Chereads / Mahou Shoujo Primula (Malay) / Chapter 5 - BAB 1.4 – Kemunculan Mahou Shoujo Primula

Chapter 5 - BAB 1.4 – Kemunculan Mahou Shoujo Primula

Bahagian IV

Kisah ini berlaku 5 tahun sebelum pertemuan dramatik antara Kurosaki Yami dengan Amamiya Aya, seorang mahou shoujo yang bergelar Primula. Peristiwa yang berlaku ini bakal mengubah seluruh kehidupan Yami, daripada seorang yang ceria dan aktif kepada seorang yang murung dan pesimik. Yami pada ketika itu, hanyalah seorang pelajar sekolah rendah yang sangat mengasihi si bondanya.

Hendak dijadikan cerita, peristiwa itu berlaku semasa Yami baru pulang daripada sekolah rendah. Sepertu kelazimannya, budak kecil itu pulang dengan perasaan riang kerana ingin bertemu dengan ibu tersayangnya, Kurosaki Hikari. Sampai sahaja di pintu rumah, dia terus sahaja masuk ke rumah dengan perasaan berbunga. Namun begitu, ada sesuatu keganjilan yang dirasakan oleh Yami pada hari itu. Suasana di sekitar rumah Yami begitu sunyi diam seribu bahasa, seolah-olah ada 'sesuatu' yang telah memencilkan rumahnya daripada dunia realiti. Yami pada mulanya, cuba mengendahkan keganjilan yang dirasakannya itu, tetapi hatinya mula menunjukkan perasaan kurang senang. Telinganya bagai mengiangkan kata-kata "jangan masuk ke rumah ini", tetapi Yami tetap berdegil. Keputusan itu telah menyebabkan Yami menyesal seumur hidup.

Yami menguatkan hatinya terus sahaja masuk ke rumahnya itu, lalu menuju ke ruang tamu, mencari bondanya yang tercinta. Dia nampak kelibat ibunya lantaran cuba untuk menegurnya. Sungguhpun mendengar suara Yami, ibunya, Hikari tidak berpaling ke arahnya, sebaliknya sedang berhadapan dengan 'seseorang', tetamu yang tidak diundang. Tidak, istilah 'sesuatu' lebih tepat untuk menggambarkan tetamu aneh itu. Sesuatu makhluk yang tidak pernah dilihat oleh Yami sepanjang hidupnya. Makhluk itu mengeluarkan aura mengerikan kepada sesiapa yang menghampirinya – lebih-lebih lagi kepada Yami yang hanya berusia hampir 12 tahun itu.

"Mama..." Yami yang tidak dapat memahami kegentingan situasi itu, memanggil nama ibunya, dengan penuh kegusaran.

"Yami...." Suara Hikari kedengaran gelisah, membalas kata-kata Yami. Saat ini, si ibu itu lebih bimbang akan anaknya berbanding situasi yang menimpa dirinya.

"Oh... Sekarang kau sudah berkeluarga? Kelakar...." Lembaga berbentuk manusia itu bersuara, sinis, sambil memandang ke arah Yami. Yami seraya menggigil ketakutan memandang renungan tajam makhluk itu.

"Yami, kamu jangan menghampiri mama. Lari sahaja dan tinggalkan rumah ini!" Suara kuat yang tidak pernah diluahkan oleh ibunya selama ini, menusuk rongga telinga Yami. Yami menggeleng, enggan mematuhi kata-kata ibunya itu.

"Tapi mama, raksasa itu akan bunuh mama! Saya sayangkan mama, jangan tinggalkan saya bersendirian!" Yami menghampiri ibunya, lalu memeluknya dengan erat. Kehangatan tubuh ibunya itu, akan hilang selama-lamanya jika dia melepaskan pelukan itu.

"Yggdrasil, kau punya anak yang berani... Berani untuk mati bersama-sama kau!" Lembaga itu melibaskan tangannya lalu memancarkan sinar ke arah dua beranak itu. Hikari memegang erat anaknya, melompat ke arah kiri, mengelakkan serangan makhluk itu.

"Mama...." Yami yang terkejut dengan serangan itu, memandang tepat pada wajah ibunya itu.

"Yami, dengarlah kata mama ini. Kamu harus pergi daripada sini segera. Tinggalkan mama di sini dan selamatkan diri kamu. Kamu mesti kuat meneruskan kehidupan kamu kelak tanpa ibu, sayang..." Suara Hikari yang tenang, membuatkan Yami tidak keruan.

"Mama, jangan cakap begitu! Kita kena lari dari sini bersama-sama, mama!" Yami mula menangis. Ibu Yami, Hikari mengusap rambut Yami, tersenyum mendengar kata-kata anak tunggalnya itu.

"Perempuan tidak suka pada lelaki yang selalu menangis tau. Kelak, Yami mesti berani dan kuat untuk melindungi perempuan sepanjang masa..." Hikari bangun daripada baringannya setelah mengelakkan diri daripada serangan raksasa itu. Hikari memimpin anaknya, yang jatuh bersamanya untuk berdiri semula. Raksasa itu tidak meneruskan serangan, sebaliknya menantikan pergerakan Hikari yang digelarnya Yggdrasil itu.

"Tapi mama...." Air mata Yami terus mengalir deras, memeluk ibu tersayangnya.

"Yami, kamu tidurlah, sayang. Apabila kamu celikkan mata kamu nanti, maka kuatkanlah hati kamu menghadapi cabaran hidup yang mendatang. Jangan sesekali kamu mengalah. Mungkin papa kamu tidak dapat bersama kamu sentiasa, tetapi, percayalah yang dia juga menyayangi kamu..." Kata-kata Hikari itu telah merampas kesedaran milik Yami. Matanya begitu berat diserang kantuk yang amat sangat. Yami cuba melawan, mencelikkan matanya, tetapi gagal.

"Ma....ma....." Ujaran itu mengakhiri jaga Yami. Dia tertidur dalam pelukan ibunya. Ternyata, Hikari telah menggunakan magiknya untuk menidurkan anak kesayangannya itu. Hikari membaringkan anaknya di atas sofa empuk di rumahnya, kemudian membisikkan kata-kata terakhirnya;

"Mama sayangkan kamu, Yami..." Suara ibunya bergema pada telinga Yami, biarpun Yami sudah diulit mimpi akibat lena panjang itu.

........................

Entah berapa lama Yami hilang dalam mimpi kosong itu. Dia telahmeninggalkan ibunya di dunia realiti neraka itu, terapung-apung dalam lena yang membuaikan. Akhirnya, dia berjaya mencelikkan matanya. Sedar sahaja dia daripada pengsan, Yami terus mencari kelibat ibunya. Dia memerhatikan sekeliling, dan dia pasti bilik serba putih ini bukan bilik tidurnya.

"Mama? Di mana Mama? Mama!" Itu sahaja dapat diucapkan oleh Yami yang baru berusia setahun jagung setampuk darah itu. Yami terlalu bimbang akan keselamatan ibunya yang telah diserang oleh raksasa itu.

"Ibu kamu sudah tiada. Dia dibunuh kerana cuba menyelamatkan kamu daripada serangan pencuri..." Persoalan Yami dibalas oleh suatu suara yang tidak asing baginya. Yami berpaling ke arah empunya suara itu.

"Papa?" Yami memandang bapanya. Di bilik itu, hanya dia dan bapanya, dua beranak ini sahaja yang berada kawasan itu. Bapanya tenang meluahkan kata-kata itu, meremukkan hati anaknya tanpa belas. Apakah bapanya itu tidak mempunyai hati?

"Kenapa? Kenapa mama perlu pergi....?" Yami mula menangis, meratapi kehilangan ibunya itu.

"Kerana dia sayangkan kamu, lebih daripada nyawanya..." Suara bapanya itu makin dingin. Ada tersembunyi perasaan sedih di sebalik kaca mata lelaki separuh abad itu.

"Mama... Mama!!!!" Yami yang terlalu muda untuk menerima hakikat itu, tidak dapat menahan kesedihan, mula meracau bak orang gila, menjerit-jerit mencari ibunya itu.

"Doktor!" Melihatkan situasi itu, ayah Yami, Kurosaki Rei, menekan butang khas, menyebabkan doktor dan beberapa jururawat bergegas ke bilik wad itu, menahan pergerakan liar Yami dan cuba menenangkan si anak yang hilang pertimbangan itu. Setelah disuntik ubat penenang, barulah pergerakan Yami kembali tenang, dan akhirnya kembali ke dunia mimpi semula.

Rei tidak berbuat apa-apa, hanya memerhatikan dari jauh. Sebenarnya, dia tidak terdaya untuk melakukan apa-apa. Dia juga sedang sabar dan tabah menghadapi kehilangan isterinya. Dia hanyalah manusia biasa, sengsara apabila kehilangan insan yang paling disayangi. Segalanya itu berlaku kerana dosa silam yang telah dilakukannya. Sesalan yang dirasainya tiada bertepi. Lantaran itu, dia tidak punya daya untuk menenangkan perasaan anak tunggalnya itu, sebaliknya menjauhkan diri daripada anak tunggal yang disayanginya itu. Rei sedar bahawa saat itu, hubungan kekeluargaan antara dia dengan Yami sudah mula renggang. Yami yang mengambil masa beberapa bulan untuk pulih daripada kesedihan itu, akhirnya anaknya ini meneruskan kehidupan tanpa lagi senyum manja seperti dahulu. Yami sudah menjadi individu lain angkara tragedi hitam tersebut!

Dosa paling besar Rei kepada Yami ialah dia telah merahsiakan kejadian sebenar yang menyebabkan kematian Hikari, isterinya, juga ibu kepada Yami. Sekalipun dia mahu menceritakan rahsia tersebut, perkara itu mungkin akan membahayakan nyawa Yami. 'Benda' yang membunuh Hikari juga merupakan diklasifikasikan sebagai rahsia sulit negara. Sudah tentu, dia ialah insan yang bertanggungjawab dalam organisasi rahsia negara itu sering dipantau, justeru mustahil untuknya mendedahkan hal sebenar. Setelah Yami dibenarkan pulang ke rumah, Rei tetap menjarakkan diri daripada anaknya, dan menggunakan alasan sibuk dengan kerjaya kerana ketakutannya untuk meluahkan situasi sebenar kepada Yami. Rakan kecil Yami, Saaya dan Kanade telah membantunya ketika Rei jauh daripadanya. Rei berterima kasih kepada mereka berdua, terutamanya Saaya yang terus kekal membantu Yami hinggalah anaknya itu bersekolah tinggi.

Setelah beberapa tahun kemurungan, Yami mula menunjukkan perubahan positif. Biarpun Rei jauh dari sisi anaknya itu, tetapi dia dapat merasakan anaknya sudah semakin pulih dirawat masa yang berlalu. Kendatipun masih ada riak murung pada wajah anaknya, Yami sudah semakin bersemangat untuk meneruskan hidup. Kontradiksinya, hubungan kekeluargaan Rei dengan Yami, telah lama hancur luluh, dan tiada peluang lagi untuk membaikinya semula...