Bahagian I
"......." Lidahku kelu, apabila memasuki rumah baharuku ini.
"........" Dua orang pesalah, yang bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di rumahku ini, juga menantikan reaksiku mengenai perubahan itu.
Ada banyak benda dan perkara yang ingin aku persoalkan, tetapi, apabila aku melihatkan suasana ruang tamu rumahku yang mewah dengan lampu hiasan dan perabot mewah bernilai lebih ratusan ribu Yen membuatkan aku tergamam dan sukar mengatur sebarang kata. Bukankah pagi tadi rumahku masih normal dan berhiasan orang kebanyakan sahaja. Aku hanyalah orang biasa-biasa sahaja! Mustahil mereka mampu.... Tidak, segalanya tidak mustahil. Ya, mereka ialah organisasi yang dikenali sebagai mahou shoujo, sebuah organisasi yang penuh dengan misteri dan persoalan. Segala maklumat mengenai organisasi ini luar daripada pengetahuan manusia-manusia normal, apatah lagi insan yang merendah diri seperti aku.
Untuk pengetahuan kalian, kewujudan mahou shoujo ini masih samar-samar sehinggakan digelarkan sebagai khayalan golongan otaku sahaja. Ada pun maklumat yang wujud semuanya ialah legenda urban atau khabar angin daripada internet atau mulut-mulut orang tidak bersumber, bagai ombak kedengaran, pantai tidak kelihatan. Organisasi ini dikatakan telah ditubuh oleh institusi kajian yang menggunakan gadis-gadis kecil sebagai subjek tikus makmal mereka. Mahou shoujo ini wujud tiba-tiba tanpa sesiapa pun yang tahu akan identiti sebenar gadis-gadis 'pahlawan ini'. Tujuan mereka hanyalah satu, untuk menentang dan memerangi entiti asing yang mengganggu ketenteraman dunia. Benarkah makhluk asing ini sedang mengancam kita kini? Di manakah asal sebenar makhluk itu? Bukankah itu kerja organisasi rahsia 'MIB'?
"Yami... Awak marah?" Agaknya melihatkan aku terdiam sahaja setelah masuk ke rumah yang sepatutnya milik aku, Aya membuka mulutnya, bertanya nada agak kerisauan, bertanyakan soalan tersebut. Aku geleng kecil, menafikan dakwaannya.
"Bukan... Bukan begitu..." Aku tidak dapat berbicara panjang, kerana fikiranku masih kusut mengenai hal mereka. Tidak lama kemudian, aku melihat Mai yang datang dari arah dapur, menuju ke lokasiku menatang dulang berisi dua cangkir berisi teh panas, bersama biskut untuk dihidangkan kepada aku dan Aya.
"Sila duduk dan menjamu selera, Yami-sama..." Ujar Mai dengan sopan.
"Boleh tak kamu panggil aku, Yami sahaja. Seperti mana Aya memanggil aku. Jangan lupa buang panggilan 'sama' itu...." Kataku, agak kurang selesa digelar sebegitu.
"Baiklah, Yami-sama...." Balas Mai, tidak memenuhi permintaan kedua aku.
"Haa... (mengeluh), suka hati kamulah, Mai. Oh ya, apakah "benda" yang kamu lawan semalam, Aya? Makhluk asing? Makhluk mutasi?" Kataku, sambil duduk di atas sofa lembut mewah yang kini milikku. Aya tidak terus menjawab, sebaliknya duduk bertentanganku.
"Típota tou skótous…." Ujar Mai, dengan nada kecil. Aya membiarkan orang bawahannya itu menjawab untuknya.
"Hah?!" Aku tak faham. Apakah yang diluahkan oleh Mai itu, tidaklah diketahui oleh aku. Mai memandang ke arah Aya, seolah-olah meminta kebenaran untuk terus berbicara. Aya angguk kecil, memberikan lampu hijau.
"Ketiadaan dalam kegelapan… Mereka ialah entiti dari dimensi yang lain. Tujuan mereka datang ke dunia ini adalah untuk menawan bumi pada suatu ketika dahulu. Sebaliknya, niat penceroboh dunia itu terhalang kerana berjaya ditewaskan oleh barisan mahou shoujo generasi yang pertama. Untuk pengetahuan Yami-sama, Master Aya ialah…."
"Mai!" Aya menghentikan kata-kata Mai. Mai mengangguk. Agaknya ada rahsia yang tidak dapat didedahkan. Aku tidak bereaksi, sebaliknya membiarkan situasi itu kerana enggan dianggap penyibuk.
"Maaf, Master..."
"Tidak, saya minta maaf kerana menyampuk. Teruskan cerita kamu..." Kata Aya, apabila mendengar Mai meminta maaf.
"Terima kasih, Master. Pasukan Mahou Shoujo generasi pertama ini telah berjaya membunuh ketua mereka dan menghapuskan hampir seluruh bala tenteranya, namun begitu ketua mereka tidak "mati" sepenuhnya. Setelah tubuh ketua itu dihapuskan, sisa kuasanya berpecah menjadi cebisan lalu tersebar ke seluruh dunia. Cebisan kuasanya boleh memutasikan objek atau makhluk yang dirasuknya lalu menjadi entiti asing. La-Pharase merupakan salah satu bukti cebisan ketua Típota tou skótous," Mai menyambung kisah mereka.
"Yakah…? Berapa agaknya anggaran kamu tentang bilangan cebisan kuasa yang wujud dan tersebar ke dunia?" Soalku, agak gusar apabila mendengar ancaman yang tidak langsung diketahui sesiapa di dunia ini kecuali organisasi tersebut dan musuhnya.
"Tidak terbilang. Anggaran dalam ratusan malah ribuan. Jangan bimbang, bilangan entiti ini sudah semakin berkurangan. Mahou shoujo generasi baharu kini telah dihantar untuk menyelesaikan situasi ini dan menghapuskan entiti asing ini sepenuhnya... " Mai menjawab.
"Apakah sasaran sebenar mereka? Mustahil tujuan entiti itu hanya untuk merasuk objek-objek dan menyerang manusia demi menguasai dunia semata-mata?" Aku memandang tepat pada Mai, tetapi Mai tidak terus menjawab. Dia memandang ke arah Aya lagi, meminta keizinan. Aya pun mengangguk setuju, memberikan kebenaran.
"Badan sebenar, itulah tujuan sebenar mereka.... Entiti asing ini akan menyerang manusia lalu cuba menguasai tubuh badan mereka. Setakat ini, kami masih belum menemukan sebarang bukti mengenai kejayaan mereka merasuk manusia disebabkan faktor yang tidak diketahui. Seperti mana saya katakan tadi, serpihan kuasa gelap ini akan cuba memasuki objek-objek yang terdapat di dunia dan kemudian membentuk jasad untuk 'hidup'. La-Pharase sebenarnya terbentuk hasil daripada cantuman bahan buangan besi lalu digabungkan untuk membentuk tubuh makhluk tersebut. Ada sesegelintirnya yang membentuk "tubuh" yang bersaiz kecil atau lebih besar daripada La-Pharase, dikelasifikasikan mengikut tahap D sehingga AAA. Apa yang menakutkan kami ialah jika mereka berjaya masuk ke dalam badan manusia dan menguasainya, mereka akan menjadi entiti bertahap S, kerana tubuh manusia mempunyai satu benda yang paling diidami raksasa itu, 'minda'...." Mai berhenti seketika, bagai ingin melihat reaksi aku. Fantasi. Memang fantasi. Entah mengapa, aku tidak dapat menafikan hakikat ini.
"...." Aku senyap seketika. Kemudian menghela nafas panjang.
"Jika menentang La-Pharase, kalian hampir maut, bagaimana pula apabila bertemu dengan entiti lebih kuat daripada itu?"
"Sebab itulah, saya memerlukan awak, Yami-san..." Jawab Aya, sayu.
"Oh ya! Kenapa pula "magika" perlukan kuasa nyawa sebagai bayaran? Kamu berdua tidak takut akan kematian apabila menggunakan kuasa itu untuk membunuh musuh? Bukankah kalian seorang perempuan? Mengapa kalian yang dipilih?!" Aku membentak, tanda kurang senang. Mai yang tersentak dengan nadaku, kemudiaannya tersenyum.
"Takdir kami, semuanya sudah tersurat dalam perjalanan hidup kami..."
"Hah?" Aku terkejut dengan respon Mai. Aya hanya mengangguk, tanda setuju.
"Ya, takdir. Hanya gadis yang suci hatinya serta berpenampilan "cantik" sahaja yang boleh memiliki teras "magika"... Dan kebanyakan kami di Mahou Shoujo, anak yatim-piatu dan tiada punya sesiapa di dunia ini untuk menanti kepulangan kami..." Kata-kata Mai menusuk kalbuku. Aku marah akan diri aku sekarang. Mengapakah perlu seorang perempuan untuk menyelamatkan dunia?
"Tetapi, kamu juga berhak hidup seperti perempuan lain, dilindungi dan disayangi...." Aku cuba mengutarakan kekesalanku, tetapi dipotong oleh Aya, yang juga serius berujaran.
"Yami-san, kami juga mempunyai prinsip seperti awak, tidak perlukan belas simpati daripada sesiapa. Inilah takdir kami. Dan, Yami-san, awak juga telah memilih untuk berkongsi nyawa dengan saya... Jadi saya cukup menghargainya. Hargailah kami juga yang membuat keputusan sama seperti awak!" Aya agak serius dalam luahannya itu. Benar kata Aya, inilah jalan yang dipilih mereka. Aku senyum hambar. Tak sangka kata-kataku itu dilontar kembali kepadaku.
"Baiklah, aku tidak akan mempersoalkan masalah itu lagi. Sebaliknya, Aya, kamu gunalah sisa nyawa aku ini tanpa perlu menghiraukan keadaan aku. Aku pasti kamu akan teragak-agak menggunakannya, bukan?" Kataku, dengan tenang. Sesiapa pun pasti dalam dilema jika mereka berada situasi aku, tetapi bukan aku.
"Terima kasih, Yami-sama kerana berkorban demi Master..." Mai tunduk, rasa gembira dengan kerjasama aku. Aya pun turut tunduk menandakan terima kasihnya.
"Kehidupan aku mungkin tidak lagi kebosanan seperti dahulu. Mungkin kata-kata Sano ada kebenarannya, menjadi kegembiraan buat lelaki untuk didampingi gadis-gadis cantik dan comel seperti kalian. Kalau Sano tahu, dia pasti akan cemburu kepada aku, hahaha..." Sambungku, spontan sambil berseloroh. Agaknya sudah berapa lama aku tidak ketawa seperti ini. Aku pun bangkit daripada dudukku, ingin ke bilik aku.
"....." Aku lihat wajah Aya kemerahan, mungkin penat agaknya, manakala Mai hanya diam sahaja, tidak bersuara apa-apa. Aku pun memulakan langkahku meninggalkan mereka, tetapi perjalananku itu terhenti tiba-tiba.
"Ada apa-apa yang awak perlukan, Yami-san?" Soal Aya, apabila melihatkan aku memalingkan muka ke arah mereka setelah menghentikan langkahku.
"Mana bilik aku?" Soalku, yang sudah hilang arah pada rumah besar ini. Aku lupa, rumahku kini bukan lagi seperti dahulu.
.......................................
Makan malam kami senyap tanpa banyak bicara. Sesekali terdengar bunyi lagaan gelas dan irama copstik menjadi lagu tema di ruang makan ini. Untuk pengetahuan kalian, makan malam ini dimasak oleh Aya, merangkap chef rumah ini. Mai hanya membantu Aya mengemas dan membersihkan rumah. Sebenarnya, aku yang sedang menikmati makan malam ini, menantikan hukuman yang bakal dijatuhkan hakim yang juga merangkap chef rumah ini. Kenapa? Rahsia lelaki remaja yang sihat sepertiku ini sudah terbongkar. Majalah "kesihatan"ku ditemui oleh pasangan Mahou Shoujo ini. Semasa rumah ini dibina semula, barangan dalam rumah ini diteleportasi ke ruang lain, sebelum mereka mendirikan rumah ini dengan teknologi yang canggih.
Rumah ini terbina menggunakan partikel zarah yang diuraikan secara atom lalu dibentuk semula melalui pengaturcaraan komputer. Kemudiannya, partikel nanoteknologi dicampurkan untuk membentuk binaan rumah yang tahan lasak dan boleh menahan serangan mengejut daripada musuh. Seluruh bangunan rumahku ini dilengkap sistem keselamatan dan pertahanan yang sangat canggih. Malah, di ruang bawah tanah rumahku dilengkap sistem super komputer untuk membantu mahou shoujo membuat pertukaran "uniform tempur" mereka dan menyediakan kelengkapan khas untuk melawan musuh. Aya dan Mai membawaku ke bilik yang sudah disediakan untukku. Bilikku berada di tingkat dua. Ada 6 bilik semuanya di tingkat dua ini, tiganya diempunyai aku, Aya dan Mai. Bilikku dilengkap bilik mandi dan tandas, untuk mengelakkan sebarang 'kemalangan' "lucky sukebe" (untung si miang) jika berkongsi bilik mandi atau tandas. Aku tidak kisah pun, kerana aku juga enggan menjadi 'mangsa'.
Bilikku kosong tanpa sebarang perabot atau barang milikku. Apabila ditanya, Mai menerangkan bahawa baranganku telah dipindahkan ke dimensi lain (ingat poket dimensi Doreamon) sebelum rumah ini diubah suai. Bilikku juga menjadi 4 kali ganda besar berbanding bilik asalku. Semasa mereka mengembalikan semula perabot dan kelengkapan di bilikku, majalah "rahsia"ku terkeluar daripada kotak dan berteraburan di hadapan mereka. Kebimbangan aku menjadi nyata. Kedua-dua orang gadis itu mengeluarkan aura hitam lalu meluahkan perkataan "musuh!" ke arah majalah-majalah tersebut. Lebih dahsyat lagi, majalah aku itu telah dimusnahkan dengan kuasa sakti mereka! Maaf Sano, majalah-majalah kesayangan kau sudah menjadi debu beterbangan!
"Terimalah hukuman daripada saya, Mahou Shoujo Primula! Hoshi no ken (Pedang Bintang), La la li pi la lu, Fo̱s ti̱s alí̱theias!" Pancaran lazer itu menghapuskan majalah-majalah itu menjadi debuan. Oi, jangan bazirkan nyawa aku untuk memusnahkan benda alah yang mengarut milik Sanosuke itu! Aku menangis dalam hati.
"Hoshi no pistoru (pistol bintang), la la li pi la lu, Fo̱s ti̱s timo̱rías!" Mai membakar khazanah-khazanah Sanosuke dengan api hijaunya. Senjata Mai ialah pistol, yang menghembuskan api.
"Semoga roh kalian diberkati...." Kata mereka berdua dengan lagak terakhir mengalahkan musuh. Oi, musuh kalian ialah majalah kesayangan kawan baik aku! Ya, mungkin ada satu dua majalah aku suka, tetapi.... Grr....(Marah)
"Kamu berdua! Apa..... er....." Aku ingin memberontak, tetapi renungan tajam mereka memutuskan kata-kata aku. Aku berpeluh sendiri. Tiada kata-kata daripada mereka.
"....."
Jadi, sebab itulah makan malam kami dengan suasana dingin. Aku lagak tenang mengunyah makanan perlahan-lahan. Aku faham. Mereka berdua ialah gadis suci, jauh daripada budaya kuning di sini. Sebab itu, mereka berasa jijik melihat buku sedemikian. Ini semua salah Sanosuke. Buku-buku itu kebanyakan miliknya, disembunyikannya di sini kerana aku tinggal keseorangan. Sano, harapan dan impian kau selama ini sudah termusnah kini. Mungkin ketakdiran ini lebih baik untukmu...
"Yami-san, saya minta maaf kerana membakar buku-buku itu... Tapi...." Aya yang pertama membuka mulut. Aku mengeluh kecil. Aku lihat wajah Aya yang serba-salah.
"Usah fikirkan perkara yang lepas. Aku sudah melupakan kesedihan lalu..." Ujarku, sambil menikmati makanan malam ini.
"Saya rasa majalah "ero" adalah salah dan dilarang!" Ujar Mahiko... bukan, Mai kepadaku. Aku hanya mengangguk tanda kalah.
Habis sahaja makan malam, aku kembali ke bilik baharuku itu. Rasa lain sangat daripada dulu. Sebenarnya aku agak kekok apabila makan bersama mereka. Aku sudah lupa kebahagiaan menikmati makanan bersama insan-insan lain. Entah mengapa aku tersenyum sendiri. Lelaki introvert seperti aku sudah menikmati kehidupan berbunga sebagai seorang pelajar sekolah tinggi yang lain.