Chereads / Kiss Me Liar / Chapter 19 - Episode 19 : Terlepas kata.

Chapter 19 - Episode 19 : Terlepas kata.

Air chime yang tergantung pada bingkai tingkap bilik bergoyang-goyang kanan dan kiri setiap kali disapa angin malam. Bunyi gemerincing darinya sedikit sebanyak mengisi bilik tidur dua katil itu.

William rakan bilik Marvin baring melunjur atas katil sambil memegang buku dan menulis sesuatu beralaskan pehanya. Tidak lama kemudian keluar Marvin dari bilik air hanya bertuala sekeliling pinggang. Rambut pula kuyup seperti anjing ke basahan.

        "Berapa kali aku beritahu kau...keringkan rambut dulu sebelum keluar...licin lantai la.."bebel William dengan nada jengkelnya.

         "Kering jugak nanti...aku lupa bawa tuala kecil sekali tadi."

          Alasan sama yang selalu dia dengar. "Kau tak balik rumah dekan ke minggu ni?"tegur William sewaktu Marvin sedang tunduk menyelongkar almari pakaian.

          "Ayah aku ada hal, dia tiada di rumah sepanjang minggu ni bersama ibu aku."Marvin berdiri semula sambil mengeringkan rambut bersama tuala kecil. "Kau nampak baju t-shirt putih selalu aku pakai tu?" terbongkok- bongkok Marvin menggeledah almari pakaian.

          William meneruskan catatannya dalam bukunya. "Tak tahu...mungkin kau tertinggal dekat rumah kau. Minggu lepas kau balik sana kan?"

Baru sahaja Marvin hendak menutup pintu almari, tidak semena pintu biliknya yang terbuka dengan kasar sehingga menyebabkan daun pintu tersebut menghentak dinding.

          "Opocot kau!"Melompat bangun William dari baringnya.

Sementara Marvin tersandar ke almari dengan muka terperanjat.

          "What the hell?"mata William terbeliak luas. "Darrius!?"keningnya berkerut apabila melihat Darrius gerak menghempas tutup pintu bilik kuat-kuat. Sekali lagi mereka terkejut kerana bunyi bising itu.

Dengan berang, Darra memalingkan kepala ke kanan. Mencari Marvin. Bila dia Nampak terus di atur langkahnya dengan berang.

         "Ada apa ni Darrius?"masih tersandar di almari itu, Marvin perhatikan saja Darra menghampirinya dengan muka garang kemerahan. Mata Darra juga kemerahan.

          "Kau yang sepatutnya beritahu aku!Apa yang kau dah buat!"Darra memukul permukaan almari disebelah kepala Marvin. Oleh kerana terlalu marah, Darra langsung tidak perasan bahawa dirinya berdiri betul-betul di hadapan Marvin yang tidak berbaju.

          "Memangnya apa yang dah berlaku?" tergagap-gagap Marvin kerana jarak muka cantik Darrius begitu rapat kepadanya. Dan kerana jarak rapat mereka, dia nampak pipi kemerahan dan bibir berlebam pada Darrius. "Kenapa dengan muka awak Darrius?"dia sudah mengangkat tangan hendak menyentuh pipi itu.

SLAP!

Marah-marah Darra menampar tangan Marvin. Dia tiada mood hendak berbasa basi segala bagai!

Berkedip mata Marvin dibuat tamparan Darra. Sakit.

           "Macam mana Eilian boleh tahu aku dekat butik tu? Kenapa mereka ada di butik tu!!"

            "Hah?"

            "Selain kau!Hanya kau aje yang tahu aku ke mana dan buat apa hari ini!Dan macam mana dua manusia paling aku benci boleh tahu aku ke mana dan dimana aku berada!Beritahu aku Marvin!Beritahu aku."desis Darra di depan muka basah baru mandi Marvin itu.

           Mata Marvin terlalu fokus pada kesan luka di bibir Darra waktu itu. Keningnya berkerut. Takkan la Putera Eilian bertanya kerana lelaki itu hendak menemui Darra?"Maafkan saya Darrius. Saya terlepas kata...patut ke kita rawat luka awak ni dulu!"sekali lagi dia mahu menyentuh luka di bibir itu.

            "Aku percayakan kau, Marvin!"Darra mengundurkan diri ke belakang. Tangannya naik menguak rambut ke belakang dengan kesal. "Sebab itu aku beritahu kau...tapi kau!Apa kau buat?Kau beritahu dia orang berdua!Kenapa?"

William dekat situ pandang silih ganti kebingungan. Apa yang dia sedang saksikan ini?Patut ke dia keluar?Atau hentikan pertengkaran ini?

           "Kau sebahagian dari mereka juga?Manusia yang mahu lihat aku sengsara?Macam tu?Sebab itu ke kau berpura menjadi kawan aku?"

           "Awak nak saya bagaimana lagi Darrius?Alfareeze itu master saya, Putera Eilian tu...sah-sah saya tidak boleh menidakkan pertanyaan mereka..."

          "Kau boleh beritahu kau tak tahu apa-apa!Susah sangat ke nak menipu?Bukannya suruh buat esei lima perenggan ke apa..."

          "Bawa bertenang Darrius."

          "Macam mana aku nak bertenang. Kau tahu tak apa yang dah berlaku disebabkan mulut tempayan kau tu!?"lafaz Darra begitu letih dan berasa mengalah hendak marah apalagi mengamuk. Ikutkan hati dia mahu menangis sekarang juga.

          Teragak-agak Marvin mendekati Darra. "Mereka yang sakiti awak ke Darrius?"

Darra berdiri di situ memandang Marvin dengan dada naik turun kencang kerana berasa bengang dan marah. Tapi dia tidak tahu hendak bagaimana lagi selain naik angin dan melontar tantrum begini. Memangnya mereka semua ini mahu dia lakukan apa lagi?Cara bagaimana lagi untuk dia puaskan hati semua orang supaya berhenti sakiti dan menyusahkan dirinya ini!?

        "Kau tanya aku!?Patutnya kau tanya diri kau tu dulu. Betul ke tidak apa kau buat, patut ke tidak kau menjawab...lain kali fikir dulu sebelum bercakap!"kertas dan buku yang ada di atas meja belajar sebelahnya ketika itu Darra capai lalu dilempar ke arah Marvin. "Kenapa kau nak juga beritahu mereka aku dimana dan buat apa?"

           Cepat-cepat Marvin mengelak namun masih juga terkena akan gulungan kertas kulit ke mukanya waktu itu. "Bawa bertenang Darrius.."arahnya sambil angkat kedua tangan mahu menenangkan Darra.

Tidak cukup dengan itu, Darra capai bantal dari katil lalu dibaling lagi ke arah Marvin. Dia tidak peduli lagi orang dengar ke apa ke!Apa dia tahu rasa marah dan bengang yang tersimpan dalam dada ini perlu dilepaskan!

          "Aku penat kau tahu tak. Penat!Dari aku lahir sehingga sekarang aku cuba senangkan hati semua orang. Ikut apa semua orang mahu aku lakukan...apalagi yang kurangnya?Kau orang nak tengok aku mati sangat ke!?Baru puas hati agaknya kan?"marahnya sambil membaling semua barang yang ada berdekatan ke Marvin.

William bangun dari katil tergesa-gesa. Lelaki itu risau sekiranya ada yang cedera. Dia lalu mendapatkan Darra untuk menghentikan Darra dari terus menerus membuat sepah di dalam bilik mereka itu.

          "Hei!Hei!Apa semua ni!Hentikannya sekarang."arah William sambil memeluk sekeliling badan Darra dari belakang. Memerangkap kedua belah tangan itu sekali. "Marvin!Apa kau dah buat?"

           "Pegangkan dia sekejap...aku nak pakai baju dulu.."beritahu Marvin.

            "Lepaskan aku la!Siapa benarkan kau sentuh aku!Lepas!!"'gelut Darra sampaikan kakinya ikut naik ke Udara menendang-nendang supaya dilepaskan. "Kau suka kan tengok aku hilang kawalan macam ni?!"

Kalut kerana kekecohan itu, Marvin capai baju lalu disarungkan ke badan dalam keadaan tergesa-gesa. Baju terbalik ke dalam ke, seluar kotor yang dia pakai tadi pun sudah tidak diambil peduli lagi.

           "Darrius...bawa bertenang okay. Saya faham awak marah. Tapi jangan begini. Awak boleh cedera nanti...kalau sesuatu berlaku pada awak...apa saya nak jelaskan pada ayah saya nanti.."pinta Marvin kelam kabut di depan Darra yang sedang dikekang oleh William.

            Waktu itu William pandang Marvin tidak puas hati. "Tak boleh ke kau orang berdua selesaikan masalah dekat luar?Perlu jugak dalam bilik ni?"

             Darra berhenti bergelut. Dia pandang geram ke Marvin sebelum air mata yang dia tahankan sejak tadi mula bergenangan dalam empangan. "Kau ingat ada aku kisah ke?Kau rasa sebab siapa pipi aku berlebam dan buatkan bibir aku pecah macam ni?"

Marvin terkedu taktala melihat air mata jatuh menitis setitik dari mata kiri Darra. Hati kecilnya terdetik aneh kerana air mata itu.

             "Sebab itu saya tanya,siapa yang buat awak begini?"

Ya!Siapa kisah kalau dia disakiti atau diapa-apakan. Entah-entah tiada siapa peduli jika dia sudah tiada lagi. Mungkin apa yang berlaku di sini akan dijadikan bahan gelak mereka bahawa 'Darrius the Mighty...menangis dan melontar tantrum kerana ditampar ayah sendiri!'.Lantas Darra menolak tangan William jauh darinya. Menjauh saja dia dari dua orang itu, Darra dekati katil lantas duduk di situ. Menyeka air mata di pipi. Tangannya menopang kepala atas kakinya.

Senyap terus bilik itu. Masing-masing tenggelam dengan perasaan sendiri.

Melihatkan keadaan kasihan Darra, William melepaskan keluhan. Dia tidak tahu apa yang berlaku. Tapi sekurang-kurangnya hanya ini dia dapat lakukan untuk membantu.

           "Kau selesaikannya...aku pergi dapatkan ubat untuk dia. "bisik William kepada Marvin sebelum dia keluar dari bilik mereka.

Marvin diam di situ memandang ke katil. Bahunya jatuh hilang tiada semangat.

Apa yang telah berlaku sebenarnya ni?Marvin melepaskan keluhan sebelum jalan dekati katil dan melutut sebelah kaki dihadapan Darra atas katil itu. Tangannya memegang kepala Darra. Memaksa kepala itu supaya diangkat.

            "Apa yang dah berlaku sebenarnya ni?"

Darra pandang renungan penuh kerisauan Marvin marah-marah lalu berkata.

           "Putera Eilian jumpa aku di butik pakaian sepatutnya aku berada hari ini. Dan dia paksa aku ikut dia masuk ke istana. Dengan sengaja dia lakukan hal ini kerana pada hari yang sama ayah aku ada di dalam istana untuk sesi persidangan bersama Menteri mereka. Dan Puteri Eilian tahu ayah aku tidak suka aku berada dekat dengan dia, dia buatkan aku nampak orang yang bersalah atas kelewatan Putera Eilian ke persidangan tu."beritahunya dengan linangan air mata. "Ayah aku tampar aku sebab fikir aku sengaja dekati Putera Eilian hingga buatkan lelaki tak guna tu lewat...sedangkan aku jumpa dia dekat butik tu..."air mata turun mengalir dari tepi mata Darra.

Berkerut-kerut kening Marvin kerananya. Dia pegang kedua belah lutut Darra lalu melutut di situ sebelum menarik Darra ke dalam pelukannya. Sumpah!Dia benar-benar rasa serba salah.

           "Maafkan saya. Saya bersalah kerana tidak peka. Saya janji saya takkan berurusan dengan Putera Eilian lagi lepas ni."ucap Marvin dengan perlahan.

Ucapan itu tidak menyejukkan hati panas Darra.

Darra pandang dengan marah akan katil kosong William. Dia tidak menolak mahupun membalas pelukan itu. Dia memang nekad!Memang takkan dia munculkan diri di depan Putera Eilian lagi. Kalau lelaki itu muncul juga di depannya, jangan salahkan dia jika muka kacak lelaki itu menjadi cacat kerana dia!

Satu tiub ubat sapu dan kapas yang digunakan tergeletak di sebelah mangkuk tembaga berisi ais sebelum satu tangan muncul mencapai tuala dari mangkuk itu lalu diperah sehingga airnya kurang.

Tuala basah rendaman ais tadi kemudiannya hinggap lembut pada pipi berlebam Darra. Sekejap-sekejap ia dituam untuk kurangkan sakit pada luka Darra oleh Marvin.

         "Aku harap apa yang kau dengar dan lihat malam ni, hanya antara kita saja yang tahu William.."beritahu Marvin.

Mata terpejam Darra dipandang Marvin dengan perasaan serba salah. Tadi Marvin suruh Darra berehat saja, entah bila masanya, Darra sudah terlena atas katilnya. Enggan mengejutkan itu yang Marvin rawat saja Darra selepas William balik dari mengambil semua kelengkapan.

         "Aku tak ada masalah dengan hal tu. Boleh je aku diamkan diri. Tapi...Apa masalah Putera Eilian tu dengan Darrius sebenarnya?"soal William saat tunduk mengutip helaian kertas dan buku milik Marvin dari lantai. "Tidak dalam akademi, di luar pun lelaki itu mahu menganggu Darrius?Kalau ada polis, dah ditangkap tahu tak lelaki tu sebab buat harassment."

Sekali lagi Marvin merendam tuala ke dalam air bercampur ais. Setelah itu dia perahkannya barulah di tekap semula ke lebam Darra.

         "Aku tak faham...apa yang menyebabkan ramai sekali orang yang membencikan Darrius?Adakah hanya kerana dia rapat dengan Pearl Chang atau hanya kerana Darrius itu anak Duke Elijah?"soal William lagi saat menyusun sepah kembali ke tempat asal.

         "Macam mana dengan kau?"tanya Marvin memegang tuala sejuk itu rapat ke pipi kiri Darra. "Kau bencikan Darrius ke?"dia tekap-tekap tuala itu dengan lembut.

          "Aku?Aku takkan cari pasal dengan orang yang tak ganggu hidup aku. Aku datang sini untuk dapatkan kelayakan menjadi pegawai diraja dan bantu harumkan nama baik keluarga aku aje."jelas William mengutip pena pelepah dan helaian surat khabar lama milik esei Marvin lalu diletakkan atas meja belajar semula. "Menganggu dan membuli pelajar lain bukan dalam prinsip aku untuk berjaya."

Waktu itu, Marvin langsung tidak mendengar apa yang dibebelkan oleh William. Dia hanya jauh termenung mengenangkan sesuatu.

       "Ayah panggil Marvin ke sini ke?"

       "Ah...ya...kamu baru selesai kelas ya?"

       "Ya. Encik Ronan kata tak apa keluar awal memandangkan ayah yang mahu bertemu dengan saya. Memangnya ada hal penting ke?"

        Dekan Lorenzo tersenyum nipis. "Ya. Ianya tidak la sepenting mana tapi boleh dikatakan begitu."

       "Apakah hal itu?"kening Marvin berkerut ingin tahu.

        "Begini ya Marvin. Seperti yang kamu ketahui, Duke Elijah merupakan penyalur Utama dalam pentadbiran diraja. Bukan sahaja berpengaruh, beliau juga seorang yang amat dipercayai oleh raja. Malah beliau banyak membantu ayah sekiranya ayah buntu mendapatkan idea atau dalam masalah. Memandangkan anak beliau bakal belajar di dalam akademi kita ini, Duke Elijah telah membuat satu permintaan kepada ayah."

         "Dan?"

         "Dan ayah mahu kamu bantu ayah untuk menunaikan permintaan Duke Elijah itu."

         "Memangnya apa yang Duke Elijah minta ayah lakukan untuk anak beliau?"

         "Tapi dengan satu syarat. Ayah mahu kamu rahsiakannya dari sesiapa. Dan simpankannya sampai bila-bila. Boleh kamu lakukannya?"

         Marvin berasa semakin tidak senang duduk. Dia berasa curiga dengan tingkah Dekan Lorenzo. "Marvin janji ayah. Apakah permintaan Duke Elijah tu?"

        "Dengar baik-baik apa ayah bakal beritahu ini."Dekan Lorenzo merenung tepat ke mata Marvin lantas berkata. "Anak lelaki Duke Elijah bakal dimasukkan dalam akademi buat pertama kali dalam hidupnya. Dan ini juga kali pertama buat Darrius Emmerson belajar bersama dengan orang lain selain Master Freddie. Jadi ayah minta kamu untuk menjadi sahabatnya sepanjang Darrius ada di sini."

          "Jadi kawan aje pun ..apa yang serius sangat tentang hal itu?"

         "Ianya tidak semudah itu Marvin...sebab ianya bukan seperti yang kamu fikirkan.."

         "Lah...apa pula kali ini?"

         "Sebenarnya anak Duke Elijah itu hanya menyamar menjadi lelaki. Identiti sebenarnya ialah seorang gadis. Duke Elijah sendiri yang memberitahu ayah mengenai hal ini. Beliau mengarahkan ayah untuk pantau Darra sepanjang dia berada dalam akademi ini.."

         "Apa ayah sebut tadi?Darra?"

         "Ya...nama asal anak gadis Duke Elijah ialah Darra Emerson. Selama ini Duke Elijah memalsukan identiti anaknya supaya menyamar menjadi lelaki."

         "Kenapa Duke Elijah lakukan hal itu?"

        "Ayah tidak tahu apakah alasan sebenar Duke Elijah lakukan hal itu. Apa ayah tahu kita perlu bantu Duke Elijah. Kerana Duke Elijah sahaja yang boleh bantu kamu untuk menjadi pegawai raja dengan mudah nanti. Dengan pengaruh beliau, dengan mudah kamu mungkin di lantik terus menjadi pegawai diraja selepas tamat belajar nanti."

        Marvin tidak dengar semua itu. Dia terlalu shock dengan apa yang baru disampaikan oleh ayahnya tadi."Bila anak Duke Elijah akan masuk ke akademi ini?"

        "Esok..."beritahu Dekan Lorenzo. "Kamu perlu sambut Darrius pada hari esok."

Hela nafas panjang lepas darinya tanpa sedar. Dadanya yang terasa sesak sejak melihat Darra menangis, tidak berhenti dia dari mengeluh.

Marvin membetulkan selimut di badan Darra sebelum menepuk lengan Darra perlahan-lahan, matanya tidak teralih dari menatap mata yang berbulu mata lentik dan lebat milik Darra. Oleh kerana terlalu banyak sangat menangis, mata Darra sudahpun kemerahan.

Darra yang sudah tenggelam dalam lenanya langsung tidak sedar apabila tangan Marvin naik mengusap rambut pendeknya beberapa kali.