Sebelah kanan meja sidang duduknya para Menteri yang mengenakan uniform rasmi berwarna royal blue dengan garisan dan butang emas. Sebelah kiri meja pula dudukkan para timbalan Menteri yang mengenakan uniform rasmi berwarna merah merun dengan garisan dan butang putih. Raja Alan Salas duduk di kepala meja dengan pakaian formal putih keemasan sambil di apit dengan dua pengawal keselamatan.
Duke Elijah dan Duke Marcel saling duduk menghadap antara sama lain dalam ruang sidang. Mengetuai dua barisan berbeza uniform itu. Dan melalui barisan sahaja sudah boleh tahu siapa yang menguasai siapa.
Selama sejam persidangan dimulakan, sejam itu suasana bilik tersebut begitu tegang dan serius. Sampaikan Menteri lain yang ada di situ seakan rasa sesak hendak bernafas dalam ruangan gergasi tersebut.
Masakan tidak, masing-masing cuba hendak tunjuk hebat di hadapan Raja Alan pada waktu itu.
Duke Marcel dengan konconya.
Sementara Duke Elijah yang degil tetap pada pendiriannya tanpa sokongan para barisan Menteri yang lain. Bukan Menteri lain enggan menyokong, ianya hanya kerana Duke Elijah yang melarang mereka untuk bersuara sekiranya Duke Marcel hendak berdebat dengannya.
"Pembinaan Empangan di perkampungan Winter Emeris tidak akan membantu masalah ekonomi mereka Duke Marcel. Fokus Utama kita di sini adalah untuk membantu mereka bagi isu banjir dan kerosakkan pertanian kerana masalah cuaca.."bantah Duke Elijah.
"Sebab itu kita perlu bina empangan. Kawasan mereka itu adalah kawasan tadahan hujan kerana bentuk geografi mereka. Bina empangan dapat bantu mereka dari isu banjir tu.."jelas Duke Marcel. "Apa yang susah nak faham di sini?Saya telah menjelaskan tujuan empangan itu dibina."
Semua di situ mengerling ke Duke Elijah. Menunggu balasan lelaki berwajah serius itu.
"Kalau begitu, jelaskan pelan tindakan tuan sekiranya empangan dibina juga dalam kampung tersebut?" Duke Elijah pandang Duke Marcel dengan renungan dinginnya.
Duke Marcel hendak membuka mulut tetapi Duke Elijah menambah.
"Adakah tuan telah mengambil kira para penduduk yang mempunyai rumah dan tanah di situ?"
"Tentang itu-"
"Adakah tuan telah mempertimbangkan berapa banyak pampasan yang perlu diberikan kepada para penduduk sekiranya mereka perlu berpindah dari situ hanya kerana kawasan tempat mereka bakal di tenggelamkan?" Duke Elijah bertanya lagi tanpa berubah sedikitpun riak wajahnya.
Rakan Duke Marcel di sebelah lelaki itu bersuara. "Kami masih-"
"Adakah tuan telah merancang pelan seterusnya dimana para penduduk bakal di tempatkan sekiranya empangan dibina dalam kawasan tempat tinggal mereka?Selain itu, adakah tuan pernah berfikir mengenai kesan dimana kawasan sumber hutan dan haiwan liar akan musnah kerana empangan tersebut??"tenang seperti biasa, Duke Elijah berkata.
Lain yang disangka lain yang mendapat.
Berputus asa mereka hendak membidas hujahan Duke Elijah selepas itu.
Mereka masing-masing tercengang kerana bidasan Duke Elijah yang begitu tenang dan sangat teliti itu. Barisan uniform merah merun yang menyokong Duke Marcel tadi mula menundukkan kepala dan mengalihkan pandangan masing-masing. Malu kerana mereka langsung tidak berfikir mengenai semua yang dinyatakan oleh Duke Elijah sebentar tadi.
Raja Alan memandang Duke Marcel pula. Menunggu timbalan menterinya itu membahas semua bidasan Duke Elijah. Dia tertarik dengan soalan Duke Elijah dan mahu mendengar jawapan dari Duke Marcel sendiri.
"Jangan sampai habis kuman disembelih hanya hendak memberi makan gajah. Tiada gunanya gelegar buluh tapi apapun tak dapat.."putus Duke Elijah setelah selesai membuat hujahannya.
Berderau darah Duke Marcel mendengarnya. Lelaki itu ternganga sedikit kerana begitu tidak terkata. Hendak membalas Namun apabila kata-kata sinis Duke Elijah itu sungguh tajam hingga menusuk hati, siapa aje yang tidak akan terkedu!
"Benar kata Duke Elijah sebentar tadi. Baiknya kita cadangkan idea yang lebih membangun. Yalah, nanti jadi harap ke mulut besar cakap, kerja suatu tak boleh cekap. Kan masalah aje yang tambah." Duke Brett Woodward di barisan Menteri uniform royal blue bersuara.
Duke Wendell di barisan uniform merah merun tersenyum nipis mendengarnya. Dia memang boleh agak apa kesudahan perdebatan mereka ini,. Sebab itu dia enggan membahas atau menyokong sesiapa dalam hal ini. Dia hanya berdiri atas pagar,tidak berpihak pada sesiapa. Mana yang elok dia ambil mana yang tidak elok dia tinggalkan.
Duke Marcel semakin menjadi tidak terkata. Entah kenapa nasibnya ibarat ikan di kuali, habis melompat. Tiada satupun yang lancar buatnya hari ini.
"Bagaimana Duke Marcel?Beta turut ingin mendengar balasan kata dari tuan sendiri mengenai hujatan Duke Elijah sebentar tadi."Raja Alan bertanya kerana Duke Marcel sedikit pun tidak bersuara.
Dalam diam Duke Marcel melepaskan hela mengalahnya kerana dia tahu ideanya tadi memang tidak akan diperakui. Biarlah ditelan buaya, jangan dipagut ikan kecil...
"Maafkan saya tuanku. Saya masih merencanakannya."jawab Duke Marcel dengan senyuman serba tidak kena.
Duke Elijah berdengus kecil dengan jawapan kecil Duke Marcel. Cakap aje pandai buat apa?
"Sekiranya Duke Elijah ini serba serbi tahu...apakah idea tuan untuk isu ini?"sampuk Menteri dari barisan uniform merah merun di sebarang meja.
Waktu itulah semua orang dalam ruangan tersebut memandang ke Duke Elijah. Berharap lelaki itu mempunyai idea yang lebih bernas dari Duke Marcel tadi.
Tetapi bukan Duke Elijah yang bersuara terlebih dahulu malah Menteri lain yang ada di barisan Duke Elijah bersuara.
Duke Rodd bersuara. "Mudah saja. Kita fokuskan punca banjir dan kerosakan hasil pertanian sahaja."
"Dengan cara?"Raja Alan bertanya.
"Pertama kerahkan para penduduk untuk membina benteng di sepanjang sungai dan terusan yang cetek menuju terus ke arah laluan laut. Kedua tutup saluran air dari mana-mana tapak pertanian dan membuat saluran untuk mengalirkan lebihkan air dari membanjiri kawasan pertanian para penduduk."tambah mneteri Wanita Hannah Ponce pula.
Duke Elijah langsung tidak bersuara. Lelaki itu hanya diam mendengar cadangan barisan Menteri miliknya. Tugas hanya untuk berdebat dengan Duke Marcel. Soal lain urusan Menteri lain.
"Saya telahpun membuat pengiraan dan hitungan untuk semua perbelanjaan.Kos pun tidak terlalu tinggi memandangkan seluruhan kawasan itu mempunyai sistem tapisan air semula jadi. Kita hanya perlu menambah baik lagi untuk mengelakkan banjir dari terjadi."beritahu Duke Brett Woodward.
Silih ganti semua di situ memandang mereka yang menyampaikan pendapat. Tidak terkata kerana mereka fikirkan Duke Elijah yang akan memberi cadangan memandangkan sepanjang perdebatan tadi hanya Duke Elijah sahaja yang bersuara sementara mereka semua hanya diam tidak menyokong Duke Elijah.
Raja Alan ketawa kecil. "Boleh beta tahu idea dari siapakah ini?"
Dengan serentak, barisan Menteri uniform royal blue berpaling ke kanan mereka.
"Sudah semestinya Duke Elijah. Beliau yang berikan idea tetapi kami yang meneliti setiap aspek yang perlu dititik berat."beritahu Menteri Wanita.
Berpuas hati kerananya. Raja Alan pun mengangguk kepala. "Kalau begitu, beta menerima idea dari barisan Ketua Menteri untuk menyelesaikan isu banjir di Perkampungan Winter Emeris."titah Raja Alan tanpa berfikir panjang memandangkan idea tersebut paling bernas di antara banyak-banyak idea.
Barisan timbalan Menteri sedikit muram mendengar makluman itu. Masing-masing menarik muka masam.
"Baik tuanku."sambut barisan uniform royal blue dengan serentak.
Sementara waktu itu Duke Marcel sudah menyumpah seranah dalam hati. Memandang wajah Duke Elijah cukup membuatkan darahnya menggelegak marah. Betapa tidak puas hatinya dia dengan keputusan Raja Alan kerana mudah-mudah sahaja menerima idea Duke Elijah tidak dirinya.
Raja Alan mengajak Duke Elijah untuk keluar bersama dari bilik sidang dan mula berborak mengenai idea beliau itu. Sementara Duke Marcel perhatikan dari belakang saja akan dua orang tersebut.
👑👑👑👑👑
Sedang mereka berjalan merentasi koridor panjang di situ, muncul pulak Putera Eilian, Ricardo dan Alfareeze. Mereka yang lampai itu berjalan seiring hinggakan tiada siapa perasan akan kelibat Darra yang tersepit di antara mereka mereka waktu itu.
Terhenti serta merta perbualan Duke Elijah dan Raja Alan setelah mereka tiba di hadapan mereka tidak lama kemudian.
Dan perhatian Duke Elijah terarah pada anak perempuannya yang ada dalam rangkulan Putera Eilian. Berketik rahangnya setelah lihat. Air mukanya pula menjadi gelap.
"Anakanda...kemana anakanda telah pergi?Persidangan kami sudahpun selesai?"Raja Alan menegur terlebih dahulu.
Darra yang melihat renungan menakutkan dari Duke Elijah terus menundukkan pandangan ke lantai.
"Maaf di atas kelewatan anakanda. Ada sesuatu yang perlu anakanda uruskan. Kebetulan berjumpa dengan Darrius sekali dalam perjalanan."dengan ceria Putera Eilian bercerita.
"Adakah anak saya menganggu tuanku?"soal Duke Elijah.
Tersentak Putera Eilian. Dia terus menarik senyuman meleret. "Ohh...sudah tentu tidak. Anak tuan Duke Elijah seorang yang mudah untuk ditangani..tiada yang sukar buat saya.."
Semakin gelisah Darra dengan jawapan Putera Eilian. Entah kenapa dia merasakan Putera Eilian sengaja membawa dia masuk ke istana kerana ayahnya ada di sini. Kalau benarlah Putera Eilian hanya merencana hendak meletakkan dia dalam situasi tidak mengizinkan, Darra yakin sangat selepas ini cerita tidak akan berakhir dengan baik!
"Bagus la kalau kamu sudah berbaik dengan Tuan Muda Darrius. Ayahanda senang hati mendengarnya."ujar Raja Alan. "Tapi sayang sekali, beta mempunyai urusan lain yang perlu dihadiri jadi tidak dapat berborak lama...Darrius.."
Tersentak mendengar namanya, Darra memberi anggukan hormat serta merta.
"Kalau begitu beta minta diri dahulu. Kita berborak kemudian nanti Elijah."Raja Alan menepuk tepi lengan Duke Elijah sebelum berjalan pergi dari situ bersama dengan pengiringnya. Semua di situ menghantar Raja Alan beredar dengan tundukkan kecil.
Duke Elijah terus menjeling ke Darra. "Maafkan saya tuanku. Sekiranya tuanku tidak kisah, saya memerlukan Darrius untuk ikut bersama dengan saya."beritahunya tidak mengalihkan renungan maut ke Darra.
Waktu itu Alfareeze sudahpun perasan renungan tajam Duke Elijah. Dia mahu bersuara, tetapi Putera Eilian terlebih dahulu yang berkata.
"Sudah tentu...jika telah selesai nanti, minta Darrius temui saya di bilik belajar saya."beritahu Putera Eilian berjalan melepasi Duke Elijah.
Darra pandang ke hujung kasut saat bibirnya digigit resah. Betapa takutnya dia waktu itu.
Ricardo tidak bergerak. Dia pandang ke Darra dengan kening berkerut. Apa yang sedang berlaku di sini?
"Alfareeze!Ke sini!"tidak semena Duke Marcel memanggil. "Ikut ayah sekarang."
Teragak-agak hendak bergerak, Alfareeze turut memandang ke Darra lalu ke arahnya silih ganti. "Baik ayah."patuhnya sesaat kemudian sedangkan hatinya enggan.
"Kalau begitu kami minta diri dulu Duke Elijah. Kita berbincang lagi di lain hari."pamit Duke Wendell dan Duke Brett tidak lama kemudian. Mereka berdua jalan melepasi Darra dan Ricardo begitu saja.
Setelah itu barulah Duke Elijah yang berlalu pergi. Mahu tak mahu Darra terpaksa berpusing dan ekori langkah Duke Elijah di belakang.
Sementara Alfareeze jalan ke arah bertentangan bersama Duke Marcel. Lelaki itu sempat menoleh ke belakang dimana arah Darra dan Duke Elijah beredar pergi. Entah kenapa dia berasa berat hati!
Ricardo sahaja yang masih tetap ada di lantai itu apabila semua orang telah menjauh. Lelaki itu termenung memandang ke lantai seketika sebelum tersedar akan sesuatu yang membuatkan dia kembali memandang ke arah sama dimana Putera Eilian pergi tadi.
"Takkan la..."lafaz Ricardo dibalik nafas cemasnya. Dia terkejut dengan kenyataan bahawa alasan kenapa Putera Eilian membawa Darrius ke istana adalah kerana Putera Eilian tahu Duke Elijah akan memarahi Darrius atas kelewatan Putera Eilian masuk istana. Kerana itulah Putera Eilian sengaja bawa Darrius ke sini kerana tahu Duke Elijah akan ada di dalam istana hari ini.
Menahan nafas kerana begitu terkejut, Ricardo berpusing ke belakang dengan laju. Memandang arah dimana Duke Elijah dan Darrius menghilang tadi.
👑👑👑
Sesampai di sebuah koridor lengang tidak berpenghuni atau ada yang lalu lalang, Duke Elijah berhenti dari berjalan. Lelaki itu berdiri membelakangkan dinding menunggu Darra tiba di hadapannya. Berdiri saja Darra di hadapan, Duke Elijah tanpa membuang masa terus mengangkat tangan dan menampar pipi kiri Darra sekuat hati.
PANG!
Bergema bunyi tamparan itu dari hujung koridor ke hujung koridor.
Cepat-cepat Darra mengetap gigi dengan kuat menahan diri dari mengeluarkan suara. Berdesing telinga dibuat tamparan itu. Secara refleks Darra bawa kedua belah tangan ke belakang badan dan teguh berdiri tidak bergerak.
"Adakah kau sudah hilang akal atau tidak faham bahasa?"Duke Elijah berderam bengis. "Bukan ke aku dah beritahu. Jaga jarak kau dari Putera Eilian!Tak cukup lagi arang yang kau conteng dekat muka aku selama ni kau nak tambahkannya lagi?!"
Tertunduk Darra waktu itu. Sakit kena tamparan itu buatkan dadanya sebu dan air mata mula berlumba-lumba berkumpul dalam takungan. Memang bukan kali pertama dirinya diperlakukan begini, Namun ianya tetap membuatkan dia terkesan.
"Maafkan saya ayah."ucap Darra dengan suara dipaksa tahan supaya tidak kedengaran bergetar.
"Aku dekat sini bersusah payah bina nama...dan kau dengan mudah hendak musnahkannya!Kan kau bersama Anthony!Kenapa kau boleh berakhir dengan Putera Eilian!?Sampaikan Putera Eilian tertinggal sesi persidangannya. Ini semua pasti ulahan kau kan kenapa dia tidak masuk dalam sidang tadi!"tuduh Duke Elijah tanpa pertimbangan.
Betapa bencinya Duke Elijah melihat Darra rapat bersama dengan Putera Eilian tadi. Boleh pula Darra membiarkan dirinya itu disentuh oleh golongan kerabat diraja begitu saja!
"Sedar sedikit diri kau itu. Jangan bagai babi merasa gulai! Kau tu siapa...Putera Eilian itu siapa. Berhenti memalukan aku."ketap Duke Elijah dengan mata dijegil bulat dek terlalu marah dan geram.
Sambil mengetap gigi menahan sabar, Darra angkat mata ke atas dan bertentang muka dengan wajah bengis Duke Elijah. Betapa sentapnya Darra rasakan. Lantas dia menarik sengih meleret mengejeknya.
"Paku dulang paku serpih...jadi orang itu jangan tinggi hati. Kalau saya ini orang hina...apatah lagi ayah. Hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang. Rupa manusia tapi hati perasaan tiada. Sampai sekarang saya masih berfikir...adakah saya ini anak ayah atau anak pungut melihatkan betapa hinanya ayah perlakukan saya.."beritahu mendabik dada. Sudah hilang rasa takut kerana amarah yang bergolak menguasai segalanya.
Sekali lagi tamparan hinggap di pipi yang sama.
PANG!
Darra akhirnya terjatuh ke atas lantai kerana tamparan kuat Duke Elijah. Dia tunduk memegang pipinya sebelum merasai darah dalam mulutnya mula menyentuh lidah.
"Ini adalah amaran terakhir!Jauhkan diri kau dari Putera Eilian. Jangan dekati dia. Apalagi menjadi teman rapatnya. Kalau kau berdegil, jangan salahkan aku kalau hal tidak sepatutnya terjadi."pesan Duke Elijah sebelum berjalan pergi dari situ.
Bersama dada naik turun berombak kencang, Darra memandang belakang Duke Elijah dengan bibir tercebik-cebik mahu menangis. Serius!Kenapa Putera Eilian begitu membencikan dirinya?Kenapa lelaki itu sanggup lakukan hal sehingga tahap begini!?
Kesudahannya, Darra tidak menemui Putera Eilian sejurus itu. Dia hanya keluar dari istana dan balik terus ke akademi tanpa berlengah sama sekali. Dari detik ini juga Darra berikrar yang dia tidak akan mendekati Putera Eilian atau muncul di depan mata lelaki itu lagi.