Chereads / Moonlight Blessing (Malay Version) / Chapter 9 - Perpustakaan

Chapter 9 - Perpustakaan

Sementara itu, Asteria yang tidak tahu jika ada orang yang sedang membahaskan dirinya sedang berjalan di sekitar perpustakaan untuk mencari bahan rujukan. Miss Agatha, pengajar yang mengajar mereka tentang tumbuhan ajaib telah memberikan mereka tugasan untuk mencari sepuluh jenis tumbuhan yang paling jarang ditemui di Kerajaan mereka.

Bagi pelajar lain, mungkin tugasan itu sangat senang bagi mereka untuk mencari jawapan. Tapi tidak bagi Asteria yang tidak sampai sebulan pun di tempat ini.

Asteria mencari setiap buku yang berkaitan. Dia mengambil beberapa buah buku yang berkaitan dengan tumbuhan ajaib sebelum membawa kesemua buku tersebut ke meja yang kosong.

Setelah melabuhkan punggung, Asteria mengambil salah-satu dari buku yang diambilnya tadi dan mula membuka muka surat pertama. Dia terlihat sangat fokus ketika membaca.

Belum lama Asteria membaca buku tersebut, dia terdengar namanya disebut oleh seorang perempuan. Mendengar suara orang itu, wajah Asteria berubah menjadi dingin. Dia diam beberapa saat sebelum dia mengangkat kepalanya untuk memandang orang yang sudah memanggil namanya tadi.

Lizzie yang sedang tersenyum itu mendekati meja di mana Asteria sedang berada. Di tangannya terdapat beberapa buah buku. Tanpa segan silu, dia melabuhkan punggung pada bangku yang berhadapan dengan Asteria.

Melihat Lizzie yang hanya duduk tanpa meminta kebenaran itu, membuatkan Asteria ingin sahaja menarik rambut perempuan itu dan mengusirnya dari perpustakaan ini.

'Apa yang dilakukan oleh perempuan ini di sini? Tapi aku tidak takut bertemu dengan dia. Aku tahu kami akan tetap bertemu pada satu masa kerana kami berada di Akademi yang sama...'

"Akhirnya saya bertemu dengan kakak di sini. Sudah lama saya tidak melihat kakak di dorm atau di kafeteria. Apakah kakak baik-baik sahaja?" Lizzie bertanya dengan suara yang simpati. Suaranya juga terdengar lembut dan penuh kerisauan.

Bagi orang lain yang tidak mengenali Lizzie, mereka mungkin berfikir jika Lizzie memang benar mengambil berat tentang Asteria. Wajah simpati dan suara yang lembut dari Lizzie membuatkan orang akan berfikir jika Lizzie sangat sayangkan kakaknya sehingga risau setelah tidak berjumpa beberapa hari.

Tapi Asteria lebih kenal sikap Lizzie yang sebenar. Kali ini, dia tidak akan tertipu dengan perempuan talam dua muka seperti Lizzie. Bila diingatkan kembali, perangai Lizzie sama seperti adik pengkhianatnya itu. 

Mengingati wajah Laura membuatkan amarah Asteria menjadi semakin meningkat.

Dipandangnya wajah Lizzie dengan wajah dingin. Asteria tidak mengatakan apa-apa pun. Hanya pandangan matanya yang tajam sahaja memerhati wajah Lizzie.

"Kenapa kakak tidak berjumpa dengan saya jika ada masalah? Saya dengar sejak akhir-akhir ini kakak sering dibuli. Kakak tidak apa-apa? Jika kakak memerlukan pertolongan, katakan pada saya..." Lizzie menggerakkan tangannya dan memegang tangan Asteria yang sedang memegang buku.

"Saya boleh meminta bantuan dari James. James akan dengarkan apa sahaja yang saya suruh dia buat. Dia boleh lindungi kakak. Lagipun, sebelum ini James dan kakak pernah jadi pasangan kekasih. Saya rasa James tidak akan keberatan..."

Sebelah kening Asteria terangkat saat mendengar pernyataan Lizzie mengenai James. 'Lelaki itu dengarkan apa sahaja yang kau suruh? Dan kau mahu lelaki tak guna tu untuk lindungi aku?'

'Are you kidding me? Kau hanya ingin mempermalukan aku.'

Asteria menarik tangannya dari genggaman Lizzie. Terasa jijik sekali dengan sentuhan dari perempuan bertalam dua muka ini. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia tarik rambut perempuan tu dan hentakkan kepala dia ke meja. Puas hati!

Melihat bagaimana Asteria mengelak daripada disentuh olehnya membuatkan Lizzie merasa tidak senang hati. Dia merasa ada sesuatu yang berbeza dengan Asteria saat ini. Sebelum ini, Asteria tidak pernah menolaknya jika Lizzie menyentuh Asteria.

Namun Lizzie cuba membuang jauh perasaan tidak senangnya itu. 

Senyuman manis diberikan kepada Asteria. "Kakak... Adakah kakak masih berkecil hati dengan saya kerana saya dan James sekarang adalah pasangan kekasih?"

Semakin tajam pandangan mata yang diberikan oleh Asteria kepada Lizzie. Dari sudut pandangannya, Asteria boleh melihat ada tanda keangkuhan di dalam mata Lizzie, seolah-olah menunjukkan yang Lizzie sudah menang kerana berjaya merebut lelaki yang disayangi oleh Astaria.

'Bolehkah aku cucuk saja mata dia dan bagi makan harimau mata dia ni? Kau boleh ambil James sepuas hati kau. Aku tak peduli. Dia sudah pun jadi sampah yang aku campak. Kau boleh kutip sampah yang aku sudah campakkan tu...'

Beberapa orang pelajar yang mendengar perbualan diantara Lizzie dan Asteria mula memasang telinga. Mereka bukan lagi fokus dengan buku yang mereka baca, tapi malah memerhati apakah yang akan terjadi kepada Asteria dan Lizzie.

Malah rakan-rakan sekelas Asteria juga berada di sana dan sedang memandang mereka. Ada juga yang ambil tidak peduli dan menyambung kembali kerja mereka.

Asteria tahu pelajar-pelajar di perpustakaan itu sudah mula memandang ke arah mereka. Malah ada juga yang berdatangan dan menonton mereka. Bukan Asteria sahaja, tapi Lizzie juga sedar dengan kerumunan orang yang mula berkumpul.

Lizzie tersenyum dalam diam. Dia sengaja membiarkan pelajar-pelajar ini berkumpul dan menyaksikan bagaimana Astaria sekali lagi dipermalukan.

Dengan wajah sedih, Lizzie mengusap hujung matanya dengan jari, seakan-akan ada air mata sebenar yang mengalir di sana. "Kakak, janganlah marah lagi. Lagipun, saya dan James jadi pasangan kekasih setelah kakak dan James sudah berpisah... Lizzie sudah banyak kali terangkan hal ini kepada kakak tapi kakak tidak pernah mendengar penjelasan saya..."

Walaupun dahi Asteria berkerut tapi dia tidak mengatakan apa-apa. Dia hanya memandang sejauh mana Lizzie boleh meneruskan lakonannya di hadapan semua orang.

"Hujung minggu ni akan ada pesta kecil di rumah dan saya harap kakak boleh pulang untuk merayakan bersamanya dengan kami. Kakak janganlah makan hati dengan kata-kata ayah yang ingin mengusir kakak keluar dari rumah."

'Diusir? Bukankah itu semua adalah ulahmu?' gumam Asteria dalam hati.

Mendengar apa yang dikatakan oleh Lizzie itu, pelajar-pelajar yang ada di sana terlopong dan mereka mula bergosip. Mereka juga langsung tidak berfikir untuk merendahkan suara mereka ketika bergosip.

Banyak dari antara mereka yang bercakap buruk mengenai Asteria. Menyebut Asteria sebagai anak durhaka dan sombong. Terlalu mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan orang tuanya di rumah.

Asteria tahu apakah yang dimaksudkan oleh Lizzie dengan pesta kecil itu. Pesta kecil itu dibuat di rumah mereka untuk merayakan hari jadi Lizzie yang ke-15. Dan Asteria tahu Lizzie akan menggunakan kesempatan ini untuk mengumumkan hubungannya bersama James sebagai pasangan kekasih.

Asteria membiarkan semua orang bercakap buruk mengenainya. Reputasinya sebagai seorang pelajar terbaik di Akademi ini sudah lama hancur disebabkan oleh Lizzie. Jadi, kenapa dia harus peduli dengan gosip mereka saat ini?

"Saya ingat hari jadi kau tidak lama lagi. Jadi, kau akan rayakan hari jadi kau itu hujung minggu ini, bukan?" ujar Asteria sambil menyandarkan tubuhnya ke belakang.

Dengan gaya selamba, Asteria menyilangkan kedua tangannya ke atas dada. Pandangan matanya yang dingin itu diarahkan ke arah Lizzie.

Sekali lagi, Lizzie merasa tidak senang. Sesuatu yang berlainan terjadi pada kakaknya. Sejak bila pandangan mata Astaria berubah dingin seperti itu?

"Ya...Ya, hujung minggu ini adalah hari jadi saya. Kakak datanglah supaya kita boleh rayakan bersama..." Tanpa sedar, Lizzie menjadi gelabah di hadapan Asteria.

Pandangan mata Asteria itu sangat tajam bagaikan seekor harimau yang sedang memandang mangsanya. Dalam diam, Lizzie menelan air liurnya. 'Aku kenapa? Kenapa aku harus merasa takut di hadapan perempuan ini?'

"Saya tak tahu jika saya dapat datang atau tidak. Saya tidak mempunyai duit untuk membeli pakaian yang baru kerana sejak dua bulan ini, duit poket saya semakin berkurangan. Tidak mungkin saya akan gunakan gaun lama yang saya simpan di dalam almari untuk pakai ke pesta hari jadi kamu. Itu adalah pesta kamu, saya harus berdandan dengan cantik supaya tidak mempermalukan kamu..."

Asteria tersenyum kecil. "Betulkan?"

Gosip baru kembali muncul bila Asteria menyebut tentang duit poketnya yang semakin berkurangan.

"Biar betul? Anak perempuan seorang Duke tidak diberikan duit poket yang cukup sampai beli baju yang baru pun tidak dapat?

"Bukankah Duke Rosenberg memberikan duit yang banyak dan sama rata pada kedua-dua anak perempuannya?"

"Jika duit poket dia berkurangan, apakah dia masih mampu membeli makanan di kafeteria? Harga makanan di kafeteria kan sangat mahal."

"Jadi selama ini, bagaimana dia mengisi perutnya?"

Wajah Lizzie menjadi pucat sedikit saat Asteria menyebut tentang duit poket. Memang masalah duit poket Asteria ada kaitannya dengan Lizzie tapi Lizzie tidak mahu ada orang lain yang tahu tentang masalah ini.

"Kakak jangan risau, Lizzie akan cuba berbincang dengan ayah untuk memberikan duit belanja yang lebih kepada kakak. Lizzie mahu kakak pakai gaun yang cantik ke pesta Lizzie. Lizzie hanya mahu kakak pulang ke rumah dan merayakan pesta ini bersama."

Asteria menyelak buku yang ada di hadapannya kepada muka surat yang baru. Matanya kembali difokuskan ke arah buku. "Saya boleh datang ke pesta kamu jika James tidak ada..."

Perkataan Asteria itu membuatkan Lizzie terkedu lagi.

"Maksud kakak?" Wajah Lizzie menjadi bingung.

"Kamu pun tahu jika James dan kakak dulu adalah pasangan kekaksih. Dan melihat dia ke pesta itu bersama kamu?" Asteria memandang Lizzie. "Adakah kamu berfikir saya tidak akan merasa sedih dan kecewa?"

"Apa maksud kakak?" Lizzie semakin bingung. Dia hairan kenapa Asteria tiba-tiba boleh bercakap seperti, sehinggakan membuat Lizzie lagi-lagi jadi bingung.

"Saya masih susah untuk melupakan cinta saya pada James. Kami sudah menjadi pasangan kekasih selama 2 tahun. Bukan mudah untuk mencari lelaki baik seperti dia..."

Walaupun Asteria berkata begitu, namun dalam hatinya dia sudah pun memaki-hamun si lelaki yang bernama James Emmanuel itu. 

'Kepala otak dia lelaki baik! Jangan harap aku masih simpan perasaan pada lelaki tak guna tu! Ini hanya alasan aku untuk kenakan balik perempuan talam dua muka ni!'

"Tapi kakak, James sudah tidak mempunyai perasaan yang sama dengan kakak. Lebih baik kakak lupakan dia cepat. Saya tidak mahu tengok kakak semakin sedih..."

"Jika kamu tidak mahu melihat saya bersedih lagi, saya tidak mahu James hadir ke pesta kamu ini. Sama ada kamu penuhi permintaan saya atau saya tidak akan datang ke pesta kamu."

Air mata bergenang di tubir mata Lizzie. Wajahnya berubah menjadi sedih. "Tapi ini ialah pesta hari jadi saya. Saya mahu James juga datang dan meraikan pesta hari lahir saya. Kakak, tolonglah untuk kali ini saja..."

'Asyik nak menangis saja kerja perempuan ni!'

Asteria tidak mengatakan apa-apa lagi. Dia hanya berpeluk tubuh sambil memandang wajah Lizzie. Memandangkan Lizzie masih menangis lagi, Asteria tidak mahu menghentikan dia. Asteria mahu Lizzie mengeluarkan semua air mata palsunya di hadapan semua orang.

Semakin lama, Lizzie yang masih menangis itu akhirnya berhenti dengan sendiri kerana sudah penat mengeluarkan air mata yang dibuat-buat itu. Lizzie memandang Asteria dengan wajahnya penuh kebingungan.

Selalunya jika Lizzie mula menangis, Asteria akan mencuba memujuk Lizzie sehingga Lizzie berhenti menangis. Tapi sekarang Asteria bukan sahaja tidak memujuknya, malah membiarkan dia menangis sampai kering air matanya.

"Kenapa kakak tidak mengatakan apa-apa?" tanya Lizzie, masih dengan suaranya yang lembut.

"Saya harus mengatakan apa lagi? Saya sudah katakan apa yang saya inginkan dan terserah kamu sama ada kamu ingin mengikuti kemahuan saya..."

"Tapi kakak... Ini ialah pesta hari jadi saya. Kakak, cubalah untuk memahami sekali ini saja," Lizzie membuatkan tanda memohon dengan menggunakan tangannya, berharap dapat mengubah fikiran Asteria.

Tapi Asteria sekadar memberikan senyuman senget. "Kamu kata ini adalah pesta kamu, bukan? Kamu boleh lakukan sesuka kamu. Kamu mahu mengundang siapa saya tidak kisah..." Asteria menutup buku yang sedari tadi dibuka tapi tidak habis dibaca.

"Tapi ini bukan pesta hari jadi saya dan saya juga berhak hendak menghadiri pesta kamu atau tidak. Kamu juga tahu jika tahun ini adalah tahun terakhir kakak di Akademi ini, bukan?"

Asteria berdiri dari kerusi. Tangannya lincah mengutip semua buku yang dibawanya tadi disusun menjadi satu tingkat. "Saya sangat sibuk dengan tugasan yang diberikan pengajar dan berlatih untuk menambahkan kekuatan saya. Saya tidak mahu emosi saya terganggu jika saya harus berdepan dengan James lagi. Sebagai seorang adik yang baik, kamu faham apa yang saya maksudkan, bukan?"

Asteria menghadiahkan segaris senyuman lebar kepada Lizzie.

Lizzie terlopong sedikit. Dia tidak tahu hendak membalas seperti apa lagi setelah Asteria berkata seperti itu. Lizzie langsung tidak menyangka jika Asteria sudah berubah seperti ini.

Melihat Lizzie yang sudah diam macam orang bisu itu, menambahkan rasa senang di hati Asteria walaupun hanya sekecil debu. Asteria mengangkat semua buku yang disusunnya tadi. Sebahagian dia simpan kembali ke rak dan sebahagiannya lagi dibawa ke kaunter perpustakaan untuk dipinjam.

Pelajar-pelajar yang masih berkumpul di sana segera membuat jalan untuk Asteria ketika Asteria melangkah ke arah kaunter. Sedikit pun, Asteria tidak menunjukkan perasaan gelabah atau takut bila dipandang semua orang.

Dengan gaya santai, Asteria meminjam buku-buku tadi dan meninggalkan kawasan perpustakaan.

Melihat Asteria sudah pergi, maka berakhirlah sesi drama sebentar tadi. Para pelajar tadi kembali ke tempat duduk mereka. Tapi mulut mereka masih tidak berhenti untuk bergosip. 

Namun kali ini, kumpulan-kumpulan gosip ini dibahagikan kepada dua kelompok. Kelompok pertama ialah mereka yang bercakap mengenai bagaimana Lizzie memaksa kakaknya untuk datang ke pesta hari lahirnya sedangkan Asteria mahu menggunakan masa ini untuk berlatih.

Sedangkan kelompok kedua pula adalah mereka yang bercakap mengenai Asteria yang menolak ke pesta Lizzie hanya kerana ada James yang akan menghadiri pesta tersebut. Mereka berkata Asteria masih menyimpan perasaan terhadap James walaupun mereka sudah berpisah.

Lizzie yang ditinggalkan di meja itu bersendirian tidak mampu membendung rasa amarahnya. Dia segera meninggalkan perpustakaan dan menuju ke sebuah kawasan yang sunyi.

Melihat ada tumbuhan bunga yang cantik di kawasan itu membuatkan Lizzie menjadi semakin marah. Entah kenapa melihat bunga-bunga itu tumbuh menjadi cantik membuatkan Lizzie teringat akan Astaria.

Walaupun mereka membesar bersama-sama, Lizzie baru menyedari yang kakaknya mempunyai banyak kelebihan berbanding dirinya sejak mereka masuk ke Akademi. Lizzie tidak suka melihat Astaria yang sentiasa tersenyum ke mana sahaja dia pergi sedangkan Lizzie hanya hidup di bayangan kakaknya.

Orang-orang di sekeliling Lizzie hanya berkawan dengannya hanya kerana mereka ingin mendekati kakaknya. Dan ada yang sengaja berkawan dengannya hanya kerana Lizzie ialah adik kepada Astaria.

Semuanya kerana reputasi Astaria yang terkenal di seluruh Akademi.

Lizzie tidak suka orang menggunakan dirinya atau berkawan dengannya hanya kerana Astaria. Lizzie membenci orang yang datang kepadanya memberikan senyuman palsu, seolah-olah mereka mengejek status Lizzie yang rendah dari Astaria.

Kerana pemikirannya seperti ini, perlahan-lahan Lizzie mula dikuasai dengan perasaan iri hati dan dengki. Dia inginkan semua yang dimiliki oleh Astaria. Dia mahu orang melihatnya bukan kerana dia ialah adik kepada Astaria, tapi kerana dia ialah Lizzie.

"ARRGHH!!"

Mahu melampiaskan amarahnya, pokok bunga yang cantik itu menjadi sasaran Lizzie. Dengan menggunakan elemen Angin, Lizzie menghancurkan pokok-pokok itu. Tidak cukup dengan itu, Lizzie menginjak kesemua serpihan tumbuhan tersebut di atas tanah.

Wajah Lizzie saat ini terlihat sangat buruk. Dendamnya pada Astaria masih belum berakhir. Dia masih ingin melihat kakaknya itu menderita sehingga tiada lagi nyawa yang tertinggal di jasadnya.

Dan tanpa diketahui oleh Lizzie, nyawa Astaria sudah pun menghilang angkaranya sendiri dan jasad yang ada di dunia ini sudah pun dikuasai oleh roh lain.