Pada malam itu, Asteria secara diam-diam keluar dari kawasan asrama dan pergi ke suatu tempat yang tenang dan jauh dari pandangan mata orang ramai. Tujuannya adalah untuk menenangkan fikiran dan seterusnya membuat pelan bagi masa hadapannya.
Asteria tahu jika dia tidak boleh bergantung sepenuhnya duit dari ayahnya. Asteria tidak tahu apakah yang akan dilakukan oleh Lizzie selepas ini dan mungkin saja perempuan jahat itu mencuba memanipulasi ayahnya untuk menghentikan pemberian duit poket kepada Asteria.
'Tidak mungkin Lizzie akan membiarkan saya mendapatkan poket duit. Tentu dia lebih suka jika saya mengemis di tepi jalan... Atau lebih teruk lagi, saya akan mati kelaparan di luar sini...'
Asteria mengambil tempat duduk awam yang sudah disediakan di sebuah taman. Oleh kerana Asteria keluar pada waktu malam, tidak ada seorang pun kelibat manusia yang terlihat di taman tersebut. Fikiran Asteria mula menerawang jauh, mengimbas kembali memori Astaira ketika dia diusir oleh kedua orang tuanya dari kediaman mereka.
Imbas Kembali :
SLAP!
Tubuh lemah dan ramping milik Astaira terjatuh ke atas lantai dengan keras. Astaira, yang terkejut dan terkedu dengan tamparan dari sang ayah, hanya mampu terduduk di atas lantai. Tangannya sudah pun menyentuh kawasan pipi yang memerah.
"Apa yang telah kamu perbuat, Astaira? Apakah kamu tahu jika perbuatan kamu itu telah mencemarkan nama keluarga kita?!" Duke Leo Rosenburg. Laju pernafasannya menahan amarah di dalam dada.
Manakala Duchess Rosenburg, Venia Rosenburg pula mencuba untuk menghentikan Leo Rosenburg daripada mendekati Astaira. Dia mengucapkan beberapa kata kepada Leo Rosenburg agar lelaki itu boleh bersabar.
Pada malam itu, ketika malam hujan turun dengan lebat, menjadi sejarah terpahit di dalam kehidupan Astaira kerana dia diusir oleh Leo Rosenburg keluar daripada rumah tersebut.
"Kamu akan kembali ke akademi dan habiskan pelajaran kamu di sana sehingga hujung tahun ini. Jangan kembali ke rumah ini selagi kamu belum tamat di akademi tersebut. Dan jangan lakukan apa-apa yang memalukan nama keluarga kita lagi! Setelah kamu sudah tamat di akademi tersebut, ayah akan hantar kamu ke kota Damar tempat Serah tinggal. Kamu akan berkahwin dengan lelaki yang sudah dipilih ayah."
Itulah pesanan yang diberikan oleh Leo Rosenburg kepada Astaira.
Astaira masih dibenarkan menamatkan pelajaran di Akademi Percivus dan setelah dia sudah tamat, Leo Rosenburg akan menghantar Astaira ke Kota Damar di mana Serah tinggal. Serah yang dimaksudkan oleh Leo Rosenburg ialah adik perempuan Leo Rosenburg yang berkahwin dengan seorang Marques di Kota Damar.
Astaira akan dihantar ke kota tersebut untuk berkahwin dengan lelaki pilihan Leo Rosenburg dari kota itu. Perkara ini dilakukan agar gosip mengenai Astaira yang ditangkap basah kerana melakukan perbuatan 'terkutuk' bersama lelaki asing akan redah.
Gosip mengenai Astaira melakukan perbuatan terkutuk itu adalah merupakan salah satu dari rancangan jahat Lizzie untuk membuatkan Astaira dibenci oleh kedua orang tuanya. Astaira yang tidak tahu ini adalah rancangan Lizzie tidak dapat mempersiapkan dirinya. Jadi bila Leo Rosenburg memanggil Astaira pulang ke rumah, Astaira tidak tahu apa alasannya dan bagaimana hendak mempertahankan dirinya.
Makanya, ketika Leo Rosenburg menengking Astaira, dia hanya mampu terduduk di atas lantai dalam keadaan terkedu dan panik. Dia bingung bagaimana menangani masalah ini.
-Imbas Kembali Selesai-
Asteria menghembus nafas yang berat. Ibu jari dan jari telunjuk digerakkan untuk memicit batang hidungnya. Tidak dia menyangka jika dia harus menyelesaikan banyak masalah yang ditinggalkan oleh Astaira setelah wanita itu meninggal.
Sehari setelah Astaira ditangkap telah melakukan perbuatan terkutuk itu bersama lelaki asing, Astaira dipanggil kembali ke kediaman Duke Rosenburg dan pada malam itu juga, Astaira diusir dan tidak diperbolehkan untuk kembali ke rumah lagi.
Lalu kemudian, musibah lain menyusul. James mengetahui tentang apa yang terjadi, dia menjadi sangat marah dan memutuskan hubungannya dengan Astaira. Meninggalkan Astaira sendirian menghadapi masalah tersebut.
Tiada yang berfikir jika semua ini hanyalah perangkap dan tiada yang bertanya apakah betul Astaira melakukan perkara tersebut. Leo Rosenburg yang sudah terlalu marah dan malu dengan sikap Astaira tidak terfikir untuk bertanya kepada Astaira apakah yang berlaku.
Dan James yang merasa dikhianati dengan perbuatan Astaira tidak berfikir jika Astaira yang selama ini dia kenal sebagai seorang gadis yang baik hati dan lembut, akan berani mengkhianatinya. Jika James dapat berfikir dengan tenang, dia tentu akan tahu jika ada yang salah dan tahu jika Astaira telah difitnah oleh seseorang.
Tapi tidak, bukannya melindungi dan membantu Astaira agar dia boleh bangkit lagi, justru malah mereka meninggalkan Astaira seorang diri. Mereka membiarkan Astaira bergelut dengan gosip palsu dan cemuhan dari orang lain.
Tanpa ada sesiapa yang membantu dan memberikan semangat kepada Astaira, Astaira akhirnya menjadi depresi dan bila tidak tahan, dia akhirnya membunuh diri.
Memikirkan semua memori pahit itu membuatkan bahagian dada Asteria merasa sedikit sakit dan senak. Asteria tidak menyangka jika perasaan lama Astaira masih kuat di dalam dirinya sehingga bila Asteria mengingat sedikit saja dari memori Astaira, Asteria akan merasa dadanya sakit dan senak.
Asteria memegang dadanya dan diurut secara perlahan-lahan. 'Jangan risau, Astaira. Aku akan berjanji membalaskan semua dendam ini agar kau boleh bertenang di alam sana.'
"Buat masa sekarang, saya kena cari cara bagaimana memastikan kewangan saya tetap stabil..." Asteria memandang ke langit. "Tapi di dunia seperti ini, pekerjaan apa yang sesuai untuk saya lakukan? Oleh kerana saya masih seorang pelajar dan merupakan seorang anak Duke, saya tidak boleh melakukan pekerjaan di mana melibatkan banyak orang."
"Duke Rosenburg pasti akan membunuh saya jika dia tahu saya melakukan kerja part-time..."
Asteria berdiri dari tempat dia duduk tadi. "Bagaimana jika saya berjalan di sekitar kota berdekatan dengan Akademi Percivus? Siapa tahu jika saya akan menemukan pekerjaan yang boleh saya lakukan..."
Lalu Asteria pun berjalan meninggalkan taman tersebut. Dia hanya memerlukan masa selama 30 minit sahaja untuk mencapai kota tersebut. Kota yang dipanggil sebagai Kota Sundara merupakan satu-satunya kota yang dibina di dekat Akademi Percivus. Kota Sundara juga merupakan tempat di mana pelajar di Akademi Percivus pergi untuk menghabiskan masa ketika hujung minggu.
Kerana ini sudah malam, tidak banyak kedai yang masih terbuka. Kebanyakan jalan juga sudah kosong dan sunyi. Beberapa di kawasan itu tidak dipasang dengan lampu jalan membuatkan kawasan itu gelap dan menyeramkan.
Asteria yang tidak merasa takut jika harus berjalan di jalan yang sunyi dan kosong itu, meneruskan langkah sambil memandang sekeliling. Dia hanya ingin mencuba nasib jika ada sebarang pekerjaan yang boleh dia dapatkan.
Setelah berjalan selama sepuluh minit tanpa sebarang hasil, tiba-tiba Asteria mendengar suara teriakan. Suara itu terdengar kecil dan jauh sehinggakan tidak dapat didengari oleh orang biasa. Berbeza dengan Asteria yang memiliki deria pendengaran tajam, dia dapat mendengar suara itu dengan jelas.
"Ada orang memerlukan pertolongan?"
Tanpa memikirkan bahaya, Asteria berlari menuju ke sebuah lorong yang sedikit malap kerana tidak banyak cahaya dari lampu jalan menerangi kawasan tersebut. Suara teriakan tadi kembali terdengar tapi menjadi semakin jauh. Seolah-olah orang yang berteriak itu sedang diheret pergi ke suatu tempat.
Asteria tidak mengalah dan tetap mengejar suara tersebut. Sehinggalah suara tersebut menjadi sangat jelas, Asteria segera berhenti di lorong tersebut. Dia melihat ada seorang wanita sedang diheret pergi oleh seorang lelaki yang bertubuh besar. Bersama dengan lelaki tertubuh besar itu, ada dua orang lagi lelaki yang bersamanya tapi tubuh mereka tidak sebesar lelaki yang menarik wanita tadi. Dua orang lelaki tadi sedang berbual antara sesama sambil mengeluarkan suara tawa yang sinis.
"Tak sangka jika kita akan dapat bersenang dengan perempuan ini malam ni! Dia seorang perempuan yang cantik, saya tentu akan berpuas hati jika dapat tidur bersamanya. Bukan begitu Maddy?"
"Haha! Betul, kawanku Colta! Malam ini, kita harus menikmati segalanya!"
"Hahahaha!" Si lelaki bertubuh besar yang bernama Kobi itu pula hanya mengeluarkan sebuah tawa yang sangat lantang. Sangat terlihat jika dia senang kerana dapat membawa pulang seorang wanita cantik dan muda ke tempat persembunyian mereka.
Asteria melihat wanita itu cuba untuk melawan. Kerana mulutnya ditutup kuat, dia tidak dapat berteriak untuk meminta tolong.
"BERHENTI!!" teriak Asteria.
Tiga orang lelaki itu berhenti dan masing-masing memalingkan wajah mereka. Wajah mereka terlihat bengis sahaja.
"Lepaskan wanita itu sekarang juga!" kata Asteria dengan suara yang dingin.
Tiga orang lelaki itu saling berpandangan antara satu sama lain. Lalu mereka pun mengeluarkan tawa yang sangat lantang. Ternyata masih ada lagi orang lain yang berani menghalang mereka, apalagi yang menghalang mereka itu merupakan seorang perempuan juga. Ketika mereka melihat ada wanita lain yang tiba-tiba muncul dan menghentikan mereka, perasaan tamak dan nafsu mereka semakin meningkat.
"Oh, another ladies! Nampaknya makanan kita malam ini semakin banyak," ujar Maddy yang mempunyai parut panjang di tepi pipi kanannya.
"Hehehe!" Suara tawa yang sinis diberikan oleh Colta. Dia menjilat bibirnya dengan matanya yang dipenuhi dengan nafsu yang tinggi. "We're so lucky tonight!"
"Kobi, jaga perempuan tu! Jangan sampai terlepas! Biarkan kami yang uruskan mangsa baru ni!" Maddy memberi arahan kepada Kobi. Sempat dia melirik ke arah wanita yang masih dipeluk oleh Kobi. Sempat dia menunjukkan sengihan menyeramkan kepada wanita itu.
Terdapat lebih kurang tiga meter jarak tempat Asteria berdiri di hadapan tiga orang lelaki tadi. Asteria mengecilkan matanya memandang tiga orang lelaki itu. Wajah mereka terlihat teruja, mungkin sebab mereka berfikir jika mereka akan mendapat dua mangsa wanita malam ini.
Mereka memandang rendah terhadap Asteria dan berfikir jika Asteria adalah seorang perempuan yang lemah dan ingin menolong wanita tadi sahaja. Dengan beraninya, Maddy dan Colta berjalan mendekati Asteria.
Colta yang tidak menunjukkan aura nafsunya sejak awal, sudah pun memandang tubuh Asteria dari atas ke bawah dengan lidahnya yang sudah terjelir keluar. "Saya boleh terhidu bau badannya yang sangat wangi! Dia sangat sempurna! Maddy, saya mahu jadi yang pertama untuk merasa dia malam ini!"
Maddy mencebik kecil. Tidak peduli dengan diri Colta yang sudah dipenuhi dengan nafsu. "Kita harus serahkan dia kepada Bos Tariq dulu... Jika Bos sudah izinkan, barulah kau boleh menyentuh dia!!"
Maddy dan Colta berjalan ke arah dua sisi yang bertentangan iaitu ke kiri dan ke kanan. Ini adalah agar Asteria akan terkepung dan tidak akan dapat melarikan diri nanti.
Asteria tidak menunjukkan ekspresi wajah takut. Malah raut wajahnya nampak tenang sahaja. Matanya memandang ke arah Maddy dan Colta silih berganti.
"Apakah kau tidak tahu kami siapa, cik muda? Berani sekali kau menghalang pekerjaan kami?" kata Maddy dengan suara sinis. Sengihan di wajahnya bertambah lebar. "Saya tidak punya pilihan selain menangkap kau! Kau sudah melihat semuanya!"
Colta tertawa sinis pula. "Jangan risau, sayang! Jika kau mengikuti kami dengan tenang, aku akan memperlakukan kau dengan lembut malam ini!" Lalu dia menjilat lagi bibirnya, kali ini lebih bernafsu.
Bibir di sebelah kiri Asteria naik sedikit. "Kita akan lihat siapa yang akan tumbang dulu!"
Aura di sekeliling Asteria terlihat berbeda saat ini. Seolah-olah dia menjadi semakin berani dan tidak menunjukkan rasa panik ketika berhadapan dengan Maddy dan Colta. Senyuman di wajah Asteria juga menjadi semakin lebar.
Melihat senyuman itu membuatkan Maddy merasa tercabar. Renungan mata dari Asteria itu seolah-olah berkata jika Maddy bukanlah tandingannya dan Asteria tidak akan mudah ditangkap oleh mereka. Ini membuatkan Maddy yang berfikir jika dia memiliki kekuatan menjadi tercabar.
"Kau akan ikut denganku, wanita sialan!" Maddy berkata dengan suara lantang dan marah. Tangan kanannya diangkat untuk mencuba mencengkam bahu Asteria.
Namun tanpa disangka-sangka, Asteria menolak tangan kanan Maddy ke tepi lalu memberikan sebuah tendangan di belakang lutut kanan Maddy. Ini membuatkan Maddy jatuh berlutut ke bawah dengan lutut kanan menyentuh jalan.
Maddy terkejut dengan tindakan spontan Asteria. Baru saja dia mengangkat kepalanya ke atas untuk menatap wajah Asteria, Asteria sudah pun melayangkan sebuah tendangan ke badannya lagi.
Akibatnya, tubuh Maddy yang lebih besar itu terhumban ke tepi dan menghempap ke dinding bata. Tubuh Maddy jatuh terjelopok ke atas jalan. Lelaki berparut itu terbatuk-batuk kecil sambil memegang bahagian tubuhnya yang ditendang tadi.
Colta yang melihat rakannya ditumbangkan oleh Asteria dengan sekelip mata hanya mampu membuka mulutnya dengan besar. Bahkan jika lalat masuk ke dalam mulutnya pun dia tidak akan sedar.
"Hmph!" Asteria mendengus kecil. Dia ingatkan kekuatan Maddy itu mempunyai tingkat kekuatan yang tinggi sedikit, jadi Asteria berfikir yang dia boleh mencuba kekuatan yang baru dia latih kepada Maddy.
Tapi sayangnya, Maddy sudah pun tumbang padahal Asteria hanya menggunakan satu per sepuluh daripada kekuatannya. Ini membuatkan Asteria sedikit kecewa kerana dia tidak dapat menguji setakat mana kekuatannya saat ini.
"Tsk, lemah!"
Colta memandang ke arah Asteria dengan wajah yang pucat. Terlihat dengan jelas , badannya juga sudah mulai menggeletar saat ini. "Kau... Kau siapa!?? Kau bukan seorang perempuan yang normal, bukan!?"
Pandangan Asteria berpindah ke arah Colta. "Giliran kau pula..."
Colta menjadi panik. "Tu--Tunggu!!"