Asteria tidak membiarkan Colta menghabiskan ayatnya. Sebaliknya, Asteria semakin mara ke arah Colta dan melancarkan beberapa serangan kepada lelaki tersebut. Serangan Asteria sangat tangkas dan tepat.
Colta tidak punya pilihan lain selain daripada menghalang dan mengelak semua serangan Asteria. Dia tidak menyangka jika Asteria tahu ilmu seni bela diri. Semua serangan darinya terasa padu dan tepat. Beberapa daripada serangan gadis itu tidak dapat Colta hadang.
Maddy melihat Colta yang sedang bertarung dengan Asteria. Dia segera berdiri lagi dan mengeluarkan sebilah pisau panjang. Kali ini, dia tidak mahu menyerang dengan tangan kosong lagi. Jika dia tidak dapat membawa Asteria kembali ke tempat persembunyian mereka, Maddy akan membunuh Asteria agar identiti mereka tetap menjadi rahsia.
Asteria menyedari jika Maddy sudah pun bangkit berdiri dan bergabung dengan Colta. Namun begitu, Asteria tidak merasa takut dan panik. Dia kemudian mengubah strategi perlawanannya daripada menyerang Colta, kepada menyerang dan menghalang pada masa yang sama.
Colta yang melihat Maddy sudah bangkit semula, menjadi berani dan memandang Asteria dengan sengihan besar. Dia mungkin berasa yakin dan berani ketika melihat ada rakannya untuk berhadapan dengan Asteria. Kerana Maddy sudah memakai pisaunya, Colta juga mengeluarkan pisaunya sendiri.
Pertarungan diantara mereka bertiga pun bermula di mana masing-masing menyerang dan menghalang serangan lawan. Pertarungan itu berlangsung lebih daripada lima minit namun tidak ada tanda-tanda Asteria akan kalah. Sedangkan Maddy dan Colta sudah pun mengerang kesakitan kerana serangan yang tidak dapat ditahan dari Asteria.
"Aku ingatkan kau cumalah sekadar perempuan biasa. Rupanya kau pandai berlawan juga," Maddy berkata. "Kemahiran kau ini tidak akan berguna di mana-mana. Apa kata kau bergabung dengan kumpulan aku... Kau akan dapat duit dan makanan yang cukup..."
Bibir kanan Asteria terjungkit kecil, sinis saja rupanya. Walaupun dia memerlukan duit saat ini, Asteria tidak akan membuang harga dirinya untuk bekerja dengan kumpulan penyangak seperti mereka.
"Thanks for the offer but your gang are not worthy of me... Saya bukan seseorang yang begitu senang untuk direkrut..." balas Asteria dengan raut wajah yang angkuh.
Colta meludah ke atas jalan. Raut wajahnya terlihat mengejek sahaja. "Jangan terlalu bongkak, perempuan! Kau tidak tahu kami dari kumpulan mana! Menyebut nama kumpulan kami saja sudah pasti akan membuat lutut semua orang menjadi lemah!"
Ekspresi wajah Asteria tidak berubah pun dengan ucapan dari Colta tadi. "Saya tidak tahu dan saya tidak berminat untuk tahu!"
"Perempuan sial!" Colta berteriak dengan kuat dan terus menyerang Asteria. Tercabar egonya kerana Asteria sepertinya merendah-rendahkan martabat kumpulan yang dia sanjungi.
Asteria menghalang serangan pisau Colta sebanyak dua kali sebelum dia menyambar tangan lelaki itu. Asteria memusingkan pergelangan tangan Colta ke arah yang bertentangan. Colta menjerit kesakitan dan pisau di tangannya dilepaskan segera.
Asteria mengangkat tangan sebelah sehingga ke paras dada. Di atas tapak tangannya itu, terbentuklah sebiji bola air yang kecil seperti saiz sebiji guli. Asteria menghayunkan tangan itu ke dada Colta.
Bola air itu mengenai dada Colta dan kesannya, Colta terbuang ke belakang dengan hentakan yang keras. Ini membuatkan Colta terjatuh ke atas jalan dan tidak sedarkan diri lagi.
"Colta!!" Maddy menjerit nama Colta dengan wajah terkejut. Dia tercengang saat melihat Colta sudah pun terbaring di atas jalan dan tidak sedarkan diri lagi.
Kepala ditelengkan ke arah Maddy, sebelum Asteria mengatakan sesuatu. "I only need one request from you, which is to release that young woman right now..." Kali ini wajah Asteria terlihat lebih dingin dari tadi. Renungan matanya lebih tajam dan menakutkan.
Berhadapan dengan keadaan Asteria seperti itu menimbulkan rasa panik di dalam hati Maddy. Dia berundur beberapa langkah ke belakang dengan perasaan gementar. Tiba-tiba, bahunya dipegang oleh seseorang.
Saat Maddy menoleh ke belakang, Kobi sedang memerhatinya dengan wajah tidak senang. "Maddy, biarkan saya yang uruskan perempuan ini." Lalu Kobi menolak wanita yang ditahannya ke tangan Maddy.
Melihat Kobi yang akan maju dan menangkap Asteria, keyakinan Maddy kembali ke dalam dirinya. Berbanding dia dan Colta, Kobi lebih kuat dari segi fizikalnya, jadi melawan Asteria tidak akan menjadi masalah.
"Jika kita tidak dapat menangkap dia, bunuh saja dia! Kita tidak boleh biarkan saksi yang melihat kita masih hidup. Kalau tidak Boss Tariq akan membunuh kita..." Maddy memberitahu Kobi.
Kobi menganggukkan kepalanya. "Saya faham!"
Tanpa melengahkan waktu, Kobi berjalan mendekati Asteria. Wajahnya terlihat sangat bengis. Kobi berhenti hadapan Asteria dan mengeluarkan sebuah hembusan yang kasar dan kuat, seperti hembusan seekor sapi yang sedia untuk menyerang.
Asteria menaikkan kening kanannya. Wajahnya yang tadi tidak meunjukkan ekspresi kini memandang Kobi dengan perasaan teruja. Akhirnya dia mempunyai lawan yang boleh dia jadikan sebagai uji coba untuk menguji kekuatan terbarunya.
Maddy dan Colta tidak sesuai kerana mereka tidak memiliki kekuatan yang setara dengan Asteria. Tetapi Kobi terlihat lebih kuat berbanding dua orang rakannya. Ini membuatkan Asteria menjadi sedikit bersemangat untuk menggunakan kekuatannya.
"Kau terlihat lebih kuat berbanding dengan dua orang rakan kau..." kata Asteria. "Saya gembira akhirnya kau sudi menjadi bahan uji kaji saya..."
Kobi memandang Asteria dengan wajah bingung kerana tidak faham dengan apa yang dikatakan oleh Asteria. "Apa yang kau caka--!!"
Belum sempat Kobi menghabiskan ayatnya, Asteria sudah pun melompat tinggi ke udara dan menyerang Kobi. Kobi tidak bersedia sama sekali dengan serangan Asteria. Jadi, bila tendangan Asteria mengenai abdomen Kobi, Kobi terus terpelanting ke belakang.
Berbeza dengan tadi, Asteria sudah meningkatkan penggunaan kekuatannya. Dia tidak lagi menggunakan satu per sepuluh kekuatannya untuk melawan Kobi. Sebab itu bila dia menendang Kobi tadi, lelaki yang bertubuh besar itu terus terpelanting ke belakang.
Maddy yang pada mulanya merasa yakin jika Kobi dapat mengalahkan Asteria, kini sudah menganga dengan mulut yang terbuka luas. Dia tidak menyangka jika Asteria mampu menendang Kobi sehingga terpelanting seperti itu. Apatah lagi, dinding bata tempat Kobi terpelanting tadi sudah pun hancur, membentuk bulatan yang besar.
Asteria meniup beberapa helai rambut yang menutup mata kirinya. Melihat Kobi sudah terbuang jauh membuatkan Asteria sedikit kecewa. Jika Kobi sudah pengsan hanya kerana dari tendangannya itu, bermakna Kobi tidaklah sekuat seperti yang dia harapkan.
"Saya fikir dia boleh bertahan dengan tendangan ini. Mengecewakan!" kata Asteria. Raut wajahnya terlihat tidak senang kerana perlawanannya dengan Kobi tidak lama. 'Adakah aku terlalu menggunakan kekuatanku? Apakah aku patut merendahkan sedikit tingkat kekuatan ku tadi?'
Mendengar Asteria berkata seperti itu, hampir melayang roh keluar dari badan Maddy. Dia tidak menyangka jika gadis itu sangat kuat. Malah, dia boleh rasakan aura yang lebih kuat digunakan oleh Asteria ketika menendang Kobi tadi.
Jika Maddy memilih untuk melawan gadis itu, pastinya nyawa Maddy juga akan hilang. Maddy tidak mahu mati di sini, dia tidak sanggup mati sekarang...
Dengan raut wajah yang sudah tenang, Asteria memandang ke arah Maddy pula. Dilihatnya wanita yang mereka culik tadi masih di tangan Maddy. Langkah demi langkah Asteria mendekati mereka berdua.
Semakin dekat Asteria melangkah, semakin menjauh Maddy berundur.
Asteria berhenti melangkah ketika dia berdiri beberapa langkah dari Maddy. "Giliran kau pula."
Wajah Maddy pun bertukar menjadi pucat.
....
....
Sementara itu, di tempat lain, Roan bersama-sama dengan Cassian dan Desmond sedang berkumpul. Tempat yang mereka berkumpul ini merupakan ruang eksklusif untuk para pelajar dalam Kelas S di Akademi Percivus. Bukan Roan dan kawan-kawannya sahaja yang berada di sana tapi juga pelajar-pelajar Kelas S yang ingin berkumpul bersama.
Ruang eksklusif tersebut merupakan sebuah ruang tamu yang besar dan terletak di tengah-tengah kawasan asrama mereka. Para pelajar Kelas S boleh berkumpul di sana dan bersosial mengikut kumpulan mereka sendiri.
Tambahan lagi, pembantu yang ditugaskan di tempat itu akan menyediakan minuman dan makanan di meja yang disediakan di tepi sudut untuk para pelajar di sana. Ruang tamu eksklusif itu dipenuhi dengan suara perbualan dan gelak tawa dari pelajar-pelajar yang berkumpul di sana.
Desmond sedang membaca sebuah buku, langsung tidak terganggu dengan suasana di sekeliling di mana para pelajar sedang berkumpul. Cassian sedang memeriksa beberapa dokumen di tangannya manakala Roan pula hanya duduk di tengah-tengah mereka dengan matanya ditutup rapat, seolah-olah dia sedang tidur. Kedua tangannya juga disilangkan ke dada...
Beberapa orang pelajar perempuan yang ada di ruang tamu itu sekali-sekala memandang ke arah tempat mereka duduk. Raut wajah mereka yang terlihat gembira dan teruja itu jelas terlihat. Mereka ialah merupakan peminat kepada Roan dan kawan-kawannya.
Cassian yang sekali-sekala memandang ke arah kumpulan pelajar perempuan itu dan akan melambai ke arah mereka. Ini akan membuatkan kumpulan tersebut berteriak kesukaan. Cassian yang melihat kumpulan pelajar itu akan tersengih bangga lalu menyambung kembali pekerjaannya memeriksa dokumen.
Desmond yang memandang sikap Cassian seperti itu merasa tidak senang. "Jangan terlalu melayan perangai mereka, Cassian. Nanti mereka akan jadi obses dengan awak."
"Jangan risau, tidak ada diantara pelajar ini yang dapat membahayakan saya," jawab Cassian bersama dengan sebuah sengihan.
"Tak baik awak memperlakukan mereka seperti itu. Sikap awak itu akan buat mereka terus menyukai awak. Jika suatu hari nanti awak sudah menjumpai calon isteri awak, mereka akan bersedih," ujar Desmond dengan suara yang tenang.
Cassian akhirnya mengalah dengan kata-kata teguran dari rakannya yang berambut biru tua ini. "Baiklah, baiklah, saya faham maksud awak. Saya akan berhenti..." Jika Cassian tidak menghentikan Desmond daripada bercakap, lelaki itu akan terus 'menasihati' Cassian.
"At least, saya lebih gentleman berbanding dengan Arzhel yang setiap hari hanya tahu bermain dengan perempuan. Setiap hari dia akan tukar pasangan macam dia tukar baju," rungut Cassian sambil menggelengkan kepalanya.
Desmond tidak berkata apa-apa dan hanya matanya sahaja yang menatap ke arah rakannya itu. Dari pertama kali mereka saling mengenal, Arzhel memang sudah terkenal dengan sifat playboy. Desmond ada mencuba untuk menasihati Arzhel namun Arzhel tidak mahu mendengar.
"Kita semua tahu apa yang membuatkan Arzhel menjadi playboy seperti itu. Kita tidak boleh salahkan dia seratus-peratus dalam hal ini," kata Desmond pula. Matanya kembali ditumpukan ke arah buku yang dipegangnya.
Mendengar kata-kata Desmond itu, Cassian merasa tidak adil. Jika tadi, Desmond sudah pun menasihati Cassian agar berhenti mempermainkan perasaan perempuan tapi jika dikaitkan dengan Arzhel, Desmond tidak pula mahu mengatakan apa-apa.
Tapi Cassian tidak mahu membidas lagi kerana dia sendiri juga tahu apakah kejadian yang telah berlaku kepada Arzhel sehingga lelaki itu memiliki sifat playboy. Namun perasaan tidak puas hati kerana sikap Desmond itu membuatkan Cassian mencebik kecil.
Beberapa minit kemudian, terdengar suara pelajar-pelajar perempuan dari arah pintu masuk sebelah kiri. Ketika semua orang menoleh ke arah pintu tersebut, muncullah susuk tubuh seorang jejaka tampan dengan badan tinggi memasuki ruang tamu eksklusif tersebut.
Di belakang jejaka tampan itu adalah kumpulan pelajar-pelajar perempuan yang mengejarnya. Di tangan mereka terdapat surat berwarna-warni, jambangan bunga, coklat, kek dan jenis makanan manis lain dan banyak lagi. Semuanya ingin diberikan kepada jejaka tampan tersebut.
Siapa lagi dapat membawa kerumunan ramai seperti itu jika bukan Arzhel Nathaniel, pelajar lelaki yang tampan dari kelas S yang terkenal dengan sifat badboy dan playboynya.
Desmond dan Cassian hanya memandang suasana tersebut dengan mata yang terkebil-kebil. Sebenarnya mereka sudah terbiasa dengan keadaan yang seperti itu. Tapi Cassian tetap merasa takjub kerana Arzhel masih dapat menarik perhatian banyak pelajar perempuan.
Sebelum dia tiba di tempat duduk di mana kawan-kawannya sedang duduk, Arzhel berhenti dan menghadap semua pelajar perempuan itu. Dengan senyuman kecil, dia menatap setiap pelajar tersebut. Melihat senyuman dari Arzhel itu membuatkan pelajar-pelajar perempuan itu tersipu-sipu malu.
"Alright, ladies... Kamu semua tidak perlulah mengejar saya sehingga sini. Kamu semua boleh balik ke tempat kamu masing-masing, ya... Besok kita pasti akan bertemu lagi..."
Mendengar kata-kata Arzhel itu, kesemua pelajar perempuan itu mengeluh sedih. Sudah tentulah mereka tidak mahu meninggalkan Arzhel.
Arzhel memberikan sebuah senyuman lebar. "Saya mahu duduk bersama dengan kawan-kawan saya. Kamu semua pun tahu jika kawan saya tak suka bila kamu semua duduk bersama kami?"
Kemudian, semua mata pelajar perempuan itu tertumpu ke arah satu-satunya jejaka yang memiliki raut wajah yang tampan tapi dingin di ruang tamu ini. Siapa lagi kalau bukan Roan. Berbeza dengan Arzhel, Roan tidak menyukai ada kumpulan pelajar perempuan yang duduk bersama dengan mereka.
Arzhel boleh duduk dan berkumpul dengan kumpulan peminatnya tapi dia tidak boleh membawa mereka duduk bersama dengan Roan kerana jejaka itu tidak menyukai suasana yang bising. Apalagi sehingga mereka harus duduk dengan jarak yang dekat.
Pernah sekali mereka berkumpul dan Arzhel membawa kumpulan peminat perempuan mereka duduk bersama. Salah seorang dari mereka telah berani memegang tangan Roan. Ini membuatkan Roan menjadi marah dan hampir mencabut nyawa perempuan tersebut.
Setelah itu, Desmond memberi amaran kepada Arzhel agar Arzhel tidak membawa mana-mana peminatnya untuk berkumpul bersama mereka. Ini adalah untuk keselamatan semua orang.
Pada masa yang sama, Roan juga membuka matanya. Saat matanya dibuka, tatapan yang dingin dan menakutkan menyapa semua pelajar perempuan yang mengikuti Arzhel tadi. Ini membuatkan mereka menjadi takut untuk tinggal diam di ruang tamu itu.
Jadinya, mereka mengucapkan kata terakhir kepada Arzhel sebelum mereka melarikan diri dari tempat tersebut. Mereka tidak mahu kalau nyawa mereka akan dicabut oleh jejaka menakutkan itu.
Cassian hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila melihat kesemua pelajar perempuan itu melarikan diri setelah melihat tatapan dingin dari Roan. Dia pun memandang ke arah Roan yang sudah membuka matanya.
Arzhel kini duduk di sofa yang terpisah dari kawan-kawannya. Tangannya mencapai sebiji epal yang terletak di atas meja yang berada di tengah mereka. Dia juga memandang ke arah Roan.
"Roan, are you okay? Awak nampak tidak baik-baik saja..." Cassian bertanya kepada Roan.
Roan menganggukkan kepalanya sedikit. "Cuma rasa tidak selesa. Tenaga dalaman saya terasa tidak stabil. Mungkin sebab posyen penenang saya sudah sedikit dan saya memerlukan psoyen yang baru..."
"Zion sudah pergi berjumpa dengan ahli magik yang menjual posyen, bukan? Mungkin malam ini dia akan kembali dengan posyen baru. Awak hanya perlu berehat dan jangan lakukan apa-apa yang boleh buat tenaga dalaman awak terganggu lagi," kata Cassian pula.
Roan hanya menganggukkan kepalanya lagi. Bila teringat akan satu hal, Roan memandang ke arah Cassian. "Bagaimana dengan khabar gadis yang menyembuhkan Zion tempoh hari? Adakah kau sudah mendapatkan apa-aa maklumat?"
Sebuah keluhan keluar dari mulut Cassian. "Saya masih belum mendapatkan apa-apa. Pengawal-pengawal saya juga masih belum dapat menjejaki dia. Ini seakan-akan jika gadis itu ingin menyembunyikan identitinya. Saya sudah kembali ke taman di mana saya melihat dia tempoh hari tapi dia tidak lagi datang ke taman tersebut."
"Apakah mungkin gadis itu bukanlah pelajar di Akademi Percivus dan merupakan Adventurer yang kebetulan datang ke sini?" kata Arzhel pula.
Roan tidak menjawab. Dia juga tidak tahu jika gadis yang telah menyembuhkan Zion tempoh hari merupakan pelajar di Akademi Percivus atau hanya sekadar seorang Adventurer.
"Besok saya akan cuba masuk ke kawasan kelas di mana pelajar-pelajar biasa sedang berada. Jika dia bukan pelajar di Kelas S, dia pasti ada di kelas lain..." kata Cassian pula.
"Saya sangat tertanya-tanya dengan pelajar yang awak maksudkan, Cassian..." Arzhel berkata sambil memandang Cassian dengan sebuah sengihan nakal. "Apakah dia seorang yang cantik? Jika ya, mungkin saya boleh mengajak dia untuk makan malam atau meluang masa hujung minggu di Kota Sundara..."
Sebuah jelingan marah diberikan oleh Cassian kepada Arzhel. "She is not a toy. Jangan jadikan dia salah satu mangsa koleksi awak, Arzhel. Jika awak berani melakukan seperti itu, jangan salahkan saya jika bersikap kasar pada awak..."
Arzhel terlopong saat mendengar ugutan dari Cassian. Tapi dia tidak mengambil hati pun dengan ucapan lelaki itu. Dia sekadar menjungkitkan bahunya, "I'm just joking, okay? Awak tak perlulah serius seperti itu..."
Desmond yang sedari tadi bersama mereka hanya mendengar mereka berbual sambil membaca buku di tangannya. Kerana topik mengenai gadis yang mempunyai kuasa Healing itu tidak lagi menarik minatnya, Arzhel pun menggantikan topik perbualan mereka.