Chapter 10 - Sahabat

Setelah kejadian Asteria dan Lizzie berjumpa di perpustakaan, gosip mengenai mereka tersebar ke seluruh kawasan Akademi. 

Pada hari itu, seorang pelajar perempuan menghadiri kelas A dengan tangannya yang masih berbalut. Pelajar perempuan yang mempunyai rambut berwarna hitam itu disapa oleh semua rakan-rakannya ketika dia masuk ke dalam kelas.

Lalu rakan-rakan sekelasnya menyampaikan apa yang berlaku di Akademi mereka kepada pelajar tersebut dan pelajar itu terkejut dengan apa yang berlaku.

"Astaria buat begitu pada adiknya?" tanyanya tidak percaya.

"Ya, Dorothy. Kami dengar dengan telinga kami sendiri macam mana Astaria dan adiknya berbual semasa di perpustakaan kelmarin. Nasib baik awak sudah kembali ke Akademi hari ini, jika tidak awak akan terlepas gosip ni..."

Pelajar perempuan yang bernama Dorothy yang memandang rakan-rakannya dengan wajah yang tidak percaya. 

Pada masa yang sama, pintu pada kelas mereka dibuka dari luar. Semua kepala menoleh ke arah pintu tersebut. Terdiam mereka terus bila melihat yang masuk itu ialah Asteria. 

Tadi masa Asteria tiada di kelas, bising betul mulut mereka bercakap mengenai Asteria. Dan sekarang bila Asteria sudah muncul, semua diam pula.

Asteria tidak menghiraukan mereka. Lagipun dia sudah terbiasa dengan cara pandangan mata mereka. Saat Asteria berjalan menuju ke tempat duduknya, Asteria menyedari ada wajah baru yang muncul di kelas mereka. 

Asteria memerhati wajah Dorothy untuk beberapa saat sebelum dia memandang ke tempat lain. Kakinya dengan tenang melangkah ke tempat duduk. Setelah melabuhkan punggung, Asteria memandang ke luar tingkap kelas.

Semua pelajar di kelas itu sudah biasa dengan perangai Asteria yang sentiasa mengabaikan orang di sekeliling mereka. Setelah Asteria duduk, pelajar-pelajar di Kelas A mula berbual semula tapi mereka tidak berbual mengenai Asteria lagi.

Dorothy hanya merenung Asteria dari awal dia masuk ke kelas itu. Melihat wajah Asteria yang terlihat dingin itu membuatkan Dorothy sedikit bingung. 'Sejak bila Astaria jadi dingin seperti itu?'

Dorothy masih ingat terakhir kali dia melihat Astaria, wajah gadis itu tidak sedingin ini. 'Apa yang berlaku kepada dia sepanjang ketiadaan saya di Akademi?'

"Dorothy, lebih baik awak berhenti berkawan dengan Astaria lagi. Awak perlu ingat kerana ulah Astaria, awak jadi terluka seperti ini," ujar rakan sekelas Dorothy.

Dorothy memandang ke arah rakannya itu. "Apa yang terjadi kepada Astaria? Kenapa dia nampak berbeza sekarang?"

Pelajar perempuan yang berambut pendek dan duduk di sebelah kiri Dorothy hanya menjungkitkan bahunya sambil berkata, "Kami pun tidak tahu macam mana dia berubah. Tapi selama ketiadaan awak di sini, dia sering dibuli oleh Swayde dan kawan-kawannya."

"Dorothy, tidak ada apa-apa yang menguntungkan awak jika awak masih peduli dengan perempuan tu. Fokus untuk sembuhkan diri awak dulu saat ini..." kata rakan sekelas yang lain pula.

Dorothy akhirnya tidak bertanya banyak lagi setelah melihat wajah tidak senang milik rakan-rakan sekelasnya. Nampaknya mereka juga tidak suka untuk bercakap mengenai Astaria sekarang.

Sebenarnya, Astaria dan Dorothy merupakan sahabat sejak dari tahun pertama lagi. Namun kerana satu peristiwa yang disebabkan oleh Lizzie, Dorothy tidak mempercayai Astaria lagi. Ini membuatkan hubungan persahabatan mereka retak.

Lebih teruk lagi apabila Dorothy terlibat di dalam satu kemalangan dan Astaria dituduh sebagai penyebabnya. Kemalangan itu membuatkan Dorothy tidak dapat bangun hampir sebulan lamanya dan tangan kirinya patah.

Keadaan menjadi semakin teruk apabila rakan-rakan sekelas mereka menyalahkan Astaria atas apa yang terjadi. 

'Kehidupan kau di saat-saat terakhir sangat menyedihkan, Astaria. Tiada seorang pun yang tahu kau sudah tiada dan tiada satu pun yang menangisi kau. Di mata mereka, kau seorang perempuan yang kejam dan tak tahu malu... Sedangkan kau juga adalah mangsa yang telah difitnah oleh seseorang..." Asteria berkata dalam hatinya.

Anak matanya memerhati burung-burung yang sedang terbang bebas di atas dahan sebuah pohon besar di sebelah bangunan kelasnya. Sebuah keluhan kecil dilepaskan. Alangkah baiknya jika dapat bebas seperti burung tersebut...

Tidak lama kemudian, pengajar yang akan mengajar mereka untuk pelajaran seterusnya masuk ke kelas mereka. Ketika kelas sedang berlangsung, Asteria tidak dapat fokus. Sekali-sekala, pandangannya akan dialihkan ke luar tingkap.

Yang bermain di fikirannya saat ini adalah mengenai pesta hari jadi Lizzie yang akan diadakan pada hujung minggu ini di rumah mereka. Asteria yakin semua rakan Lizzie aka dijemput, termasuk rakan sekelas Asteria.

Asteria tahu Lizzie akan membuat rancangan jahat untuk memfitnah atau mempermalukannya semasa pesta tersebut. Dia sengaja berkata dia tidak mahu James menghadiri pesta hari jadi itu jika Lizzie ingin Asteria datang ke pesta itu.

 Asteria tahu Lizzie tetap akan mengundang James. Ini membuatkan Asteria menjadi bersemangat secara tiba-tiba kerana dia ingin tahu apakah yang sedang dirancang oleh Lizzie dan setelah itu Asteria akan membalas perbuatannya.

'Aku tak sabar nak tengok reaksi muka perempuan tu dimalukan di depan semua orang. Tiba giliran untuk dia yang mendapat malu kali ini...'

Senyuman sinis muncul di wajah Asteria. Lalu kemudian, dia menumpukan perhatian kepada pengajar yang masih mengajar di hadapan kelas saat ini.

Pada waktu rehat itu, Asteria pergi ke kafeteria untuk membeli makanan. Selalunya dia akan ke luar kawasan Akademi secara sembunyi-sembunyi untuk membeli makanan tapi entah kenapa untuk kali ini, terdetik hatinya untuk pergi ke kafeteria Akademi.

'Apa agaknya yang akan berlaku di kafeteria hari ini? Kenapa aku rasa ada sesuatu yang akan berlaku di sana?'

Asteria tiba di kafeteria dan beratur seperti biasa untuk membeli makanan.

Beberapa orang pelajar yang berada di dekat Asteria mula bergosip lagi saat mereka melihat Asteria.

Namun Asteria sudah pun terbiasa dengan renungan mata dan mulut murai mereka, jadi Asteria langsung tidak terkesan dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Dengan tenang, Asteria membawa makanan tengah hari yang dibelinya ke meja yang hujung.

Sambil berjaga-jaga jika Swayde dan rakan-rakannya muncul di kafeteria itu, Asteria memandang sekeliling untuk memeriksa apakah ada sesuatu yang akan berlaku.

Setelah menunggu selama sepuluh minit, tiada apa yang berlaku. Ini membuatkan Asteria mula naik bosan untuk menunggu. Asteria segera menghabiskan kunyahan terakhir makanannya sebelum bergerak.

Namun baru sahaja dia berdiri, tiba-tiba dia terdengar satu jeritan kecil yang tidak asing lagi di telinganya. Segera kepalanya ditelengkan ke arah jeritan itu datang. 

Seperti yang dia sudah rasa, Asteria melihat Lizzie yang berdiri di tengah-tengah laluan dengan tumpahan minuman coklat di atas lantai. Di hadapan Lizzie ialah seorang lelaki yang tinggi dan sedang memegang sebuah dulang makanan.

Sepertinya, lelaki itu sedang menuju ke meja makan untuk menikmati makanan tengah harinya tapi terhenti kerana 'terlanggar' seseorang.

Asteria yang melihat ada Lizzie di sana hanya menunjukkan sebuah sengihan sinis. 'Oh, ada drama! Bukankah ini menyeronokkan?'

"Senior! Saya minta maaf! Saya tidak sengaja!" Lizzie menundukkan badannya untuk meminta maaf berkali-kali kepada lelaki tinggi tadi. Dengan wajah bersalah, Lizzie memandang baju pelajar lelaki itu yang ada kesan tumpahan coklat.

Pelajar lelaki itu memandang baju seragam yang sudah comot. Dengan senyuman kecil, dia berkata, "Tidak mengapa... Lain kali awak harus berhati-hati. Jangan sampai terlanggar orang lain lagi..."

Perasaan rasa bersalah Lizzie menjadi semakin menggunung. Air matanya yang sudah digenangi dengan air mata itu menatap wajah pelajar lelaki tersebut. "Senior, saya... Izinkan saya untuk menggantikan pakaian senior! Ini salah saya, jadi saya harus bertanggungjawab..."

Pelajar lelaki itu hanya menggelengkan kepalanya. "Tak mengapa. Awak tak perlu gantikan apa-apa. Jangan risau, saya akan baik-baik saja..."

Lizzie memandang pelajar lelaki itu dengan mata yang berair lagi.

Satu suara tawa yang sinis tapi perlahan keluar dari mulut Asteria. Sungguh, dia merasa kagum dengan lakonan yang ditunjukkan oleh Lizzie saat ini. Berani betul dia menggunakan teknik talam dua muka dia dan menggoda pelajar lelaki itu.

Siapa yang tidak kenal dengan pelajar lelaki yang tinggi itu...

Marvin Theseus, lahir dari keluarga Earl Beaxton dan merupakan pelajar terpandai dan memiliki Elemen Tanah dari kelas B. Dia mempunyai latar belakang keluarga bangsawan yang terhormat, memiliki akademi yang baik dan kekuatannya juga hampir setanding dengan Kelas S.

Ditambah lagi dengan wajah tampan dan sikapnya yang gentleman, perempuan mana yang tidak akan tertarik dengannya. 

Tapi....

Asteria tidak menyangka yang Lizzie akan berani mendekati Marvin walaupun dia memiliki James. Seluruh pelajar di Akademi tahu jika Lizzie dan James memiliki hubungan istimewa. 

Dan satu lagi fakta yang menarik adalah Marvin merupakan sepupu yang rapat kepada James.

'Lizzie... Kau akan mendapat masalah jika kau degil mahu mendekati lelaki ni. Tapi aku tidak akan menghentikan kau. Lagipula, ini akan jadi kesempatan aku untuk memasukkan kau ke dalam perangkap aku...'

Asteria tidak lagi mahu tinggal di kafeteria ini. Dia sudah melihat apa yang dia mahu lihat jadi sudah masanya untuk dia meninggalkan tempat ini. Meskipun drama tersebut belum selesai tapi Asteria sudah memiliki satu rancangan untuk memerangkap Lizzie.

'Lizzie, ini baru sahaja bermula. Aku akan pastikan kau hidup lebih teruk dari neraka.'