Chereads / Moonlight Blessing (Malay Version) / Chapter 13 - Bukan Sesiapa

Chapter 13 - Bukan Sesiapa

Setelah membersihkan diri dan menukar pakaiannya, Asteria duduk di meja belajarnya sambil mengambil sebuah buah buku dari dalam rak kecil di tepi meja belajar. Di luar, hujan masih turun dengan lebat. 

Asteria teringat akan si jejaka bermata merah. Malah rambutnya juga berwarna merah seperti mahogany. Wajah tampan lelaki itu masih jelas tergambar di ingatannya. Meskipun wajah lelaki itu terlihat dingin namun itu hanya menyerlahkan ketampanannya sahaja.

'Apakah aku dapat berjumpa dengan dia lagi? Mungkin jika kami berjumpa lagi, aku akan bertanya siapakah namanya...'

Aya muncul di hadapan Asteria. |Master, what happen to you? Tenaga Master menjadi berkurang semenjak Master pulang daripada membeli buah. Apakah ada sesuatu yang berlaku ketika Master pergi?|

"Tidak banyak yang berlaku. Saya hanya menggunakan kekuatan saya untuk menyembuhkan seseorang sahaja. Besok tenaga saya akan kembali pulih," ujar Asteria dengan pandangannya masih fokus ke arah buku.

Aya tidak mengikuti Asteria keluar sebentar tadi sebab itu Aya tidak tahu apa yang berlaku kepada Asteria.

|Sembuhkan seseorang? Adakah Master berjaya menyembuhkan dia?| 

"Sudah tentu. Saya sangat percaya dengan kekuatan saya. Orang itu akan baik-baik sahaja selepas disembuhkan oleh saya."

|Aya percaya pada Master. Di dunia ini, tidak ada orang yang sehebat Master. Master seorang yang bekerja keras dan sentiasa berlatih untuk menjadi kuat. Aya berjanji akan mengikuti Master ke mana pun Master pergi.|

Asteria memandang ke arah makhluk kecil yang berterbangan di hadapan wajahnya. Sedikit sebanyak, kehadiran Asteria di dunia ini mengubati kesunyian dalam diri Asteria. Walaupun, Asteria tidak mempunyai rakan di sini, Aya sering berbual dengannya walaupun terkadang perkara itu tidak difahami oleh Asteria sendiri.

Senyuman kecil dipamerkan di wajah Asteria. "Terima kasih, Aya."

|Master, apa yang akan Master lakukan selepas ini? Adakah Master masih mahu meneruskan rancangan Master untuk membalas dendam?|

Asteria kembali menatap ke arah buku yang dipegangnya tadi. "Sudah tentu. Lizzie sudah membuatkan kakaknya meninggal dunia dan tanpa rasa bersalah merebut semua yang menjadi milik Astaria sebelum ini. Saya juga tidak akan tinggal diam jika ada orang seperti Lizzie masih belum mendapatkan pembalasan atas perbuatannya. Jika alam ini tidak mahu menghukum Lizzie, biarkan saya yang lakukan hukuman ini."

|Hati-hati, Master. Lizzie mungkin akan membalas kembali perbuatan Master.|

"Bukankah awak sudah berkata yang awak akan percayakan kekuatan saya, Aya? Jadi jangan risau... Kali ini, dia tidak akan dapat menyentuh saya..."

Sehingga larut malam itu, Asteria menghabiskan masanya untuk membaca buku sihir yang dipinjamnya dari perpustakaan. Keesokan harinya, seperti biasa, Asteria pergi ke sekolah seorang diri.

Kali ini, Asteria sudah tidak dapat mengelak daripada kumpulan Swayde dan rakan-rakannya. Mereka telah tiba di kelas Asteria lebih awal dari Asteria dan menganggu beberapa pelajar yang berada di kelas itu.

Ketika Asteria masuk ke kelas dan melihat mereka, Asteria tidak merasa takut. Dia juga sedar tidak selamanya dia dapat melarikan diri dari kumpulan ini.

Beberapa orang rakan sekelas Asteria yang datang awal disuruh duduk melutut di belakang kelas dengan tangan mereka dinaikkan ke atas. Malah, Jane juga sengaja memeras ugut mereka untuk menyerahkan duit poket yang mereka ada.

Melihat Asteria yang sudah tiba, Swayde yang sedang duduk di meja salah seorang pelajar menjadi sangat senang. "Wah, lihat siapa yang datang ke kelas awal pagi ini. Kawan lama kita sudah tiba. Hei, kawan-kawan... Kita harus menjemput kawan lama kita ni dengan baik..."

Hattie dan Grace dengan senang hati mengikuti kata-kata Swayde. Mereka mendekati Asteria dengan sengihan lebar di wajah mereka. Sementara itu, Laney dan Piper duduk di sisi lain dan memandang dua orang rakan mereka mendekati Asteria.

Asteria tidak memberi reaksi apa-apa. Hanya anak matanya yang menatap wajah setiap ahli kumpulan pembuli itu. Lalu Asteria memandang ke arah rakan-rakan sekelasnya pula. Jumlah mereka ada seramai lima orang dan keadaan mereka terlihat seperti tidak baik. 

Malah ada diantara mereka yang sudah menangis kerana ketakutan saat dibuli oleh Swayde dan rakan-rakannya.

"Aku tahu sulit untuk kami bertemu dengan kau setiap kali masa rehat atau selepas pulang kerana kau selalu menghilang sebelum kami tiba ke kelas kau. Jadi, saya berfikir apa kata kalau kali ini kami datang ke kelas kau sebelum kau tiba..." Swayde tersengih sinis, seolah-olah sudah melihat kemenangan di depan matanya.

Asteria mengabaikan Swayde. Matanya hanya difokuskan ke arah rakan-rakan sekelasnya. "Kamu berlima tak apa-apa?"

Melihat Asteria mengabaikan Swayde, Hattie segera mencengkam bahu Asteria. "Hei, kami sedang bercakap dengan kau. Berani kau mengabaikan kami?"

 Asteria segera menepis tangan Hattie. Sakit bukan main bila bahunya dicengkam seperti itu. Asteria tidak mahu tinggal diam. Dia harus melawan. Sudah cukup Astaria menjadi mangsa buli mereka tapi Asteria tidak mahu.

"Tak guna!" Hattie cukup terkedu saat Asteria menepis tangannya. Dipandangnya Asteria dengan pandangan tajam.

Hattie memulakan serangannya dengan melayangkan penamparnya ke wajah Asteria tapi Asteria segera mengelak. Sebuah tendangan diberikan ke perut Hattie sehingga perempuan itu terbuang ke belakang dan terlanggar ke meja-meja yang berdekatan.

"Hei, berani kau menyerang Hattie? Sini, biar aku yang ajar kau cara hormat orang lain," Grace menjerit tidak puas hati. 

Belum sempat dia berbuat apa-apa, Asteria sudah pun menarik rambut Grace sehingga membuatkan perempuan itu berteriak kesakitan.

Kali ini, Swayde tidak dapat duduk dengan tenang lagi. Dia sudah pun turun dari meja dan memandang Asteria dengan penuh amarah. "Berani kau melawan kami!!"

"Kalau aku tidak melawan kamu semua, sampai bila aku harus bertahan daripada dibuli dengan kamu semua? Aku tidak akan biarkan kau membuli saya lagi," kata Asteria dengan suara yang tegas.

Swayde memandang Asteria dengan wajah termangu. Dia menyedari yang saat ini cara pandangan dan cara Asteria bercakap juga sudah berubah. Dia tidak terlihat takut dan lemah seperti dulu.

"Kau akan terima padahnya dari aku! Berani melawan kami, kau akan terima padahnya!" Jane sudah marah kerana dua orang rakannya sudah dikalahkan oleh Asteria. Dia pun segera maju ke hadapan dan menyerang Asteria.

Asteria menolak Grace ke arah Jane membuatkan dua orang perempuan itu saling berlanggaran. Mereka terjatuh ke atas lantai sambil mengerang kesakitan.

Pada masa yang sama, rakan-rakan sekelas Asteria yang lain tiba di kelas itu. Mereka menyaksikan apa yang terjadi di dalam kelas mereka dan mereka menjadi terkejut. Salah seorang dari mereka ialah Dorothy.

Dorothy melihat tiga orang rakan Swayde sudah pun terduduk di atas lantai kelas kerana Asteria sedangkan Asteria hanya berdiri di tengah kelas dengan gaya santai. Dorothy menatap Asteria dalam diam.

"Tinggalkan kelas ini. Jangan lagi ganggu rakan-rakan sekelas saya kalau kamu semua tak mahu sesuatu yang buruk berlaku..." Asteria berkata kepada Swayde.

Arahan dari Asteria itu tidak terdengar main-main tapi kerana arahan itu keluar dari mulut orang yang selalu dibuli oleh Swayde membuatkan Swayde merasa maruah dirinya diremeh.

Swayde berjalan mendekati Asteria perlahan-lahan. "Kau akan menyesal kerana berbuat begini pada kami."

"Saya tidak akan menyesali apa-apa. Malah saya akan lebih menyesal jika membiarkan kamu semua buat benda ni pada saya lagi. Sekali sudah cukup, saya tidak akan mengulangi kesalahan saya..."

"Kau bukan sesiapa di Akademi ini. Semua orang sudah membenci kau. Dengan siapa lagi kau mahu meminta pertolongan? Bekas kekasih kau juga sudah tinggalkan kau dan memilih adik kau. Kawan-kawan kau juga sudah tinggalkan kau.... Kau nak meminta bantuan dari siapa lagi, hah?"

"Siapa cakap saya perlukan pertolongan dari mereka untuk menghadapi kamu semua?"

Swayde dan kawan-kawannya memandang Asteria dengan wajah tidak percaya. 

"Apa kau cakap?" tanya Swayde, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dikatakan oleh Asteria.

"Seperti bagaimana saya telah kalahkan Laney, begitu juga cara saya akan kalahkan kamu semua. Saya bukan lagi orang yang lemah seperti dulu... Jadi jika kamu semua tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada kamu, berhenti mengganggu saya dan rakan-rakan sekelas saya..."

Saat Asteria menyebut namanya, wajah Laney bertukar menjadi tidak senang saat itu. Namun, Laney hanya dapat mendiamkan diri sahaja.

Jane segera berdiri dan memandang Asteria. "Berhenti merepek, perempuan! Kau cakap kau lebih kuat dari kami semua? Mana buktinya?" Jane bertanya dengan suara penuh sinis.

Grace dan Hattie juga ikut berdiri. Mereka juga sedang menatap ke arah Asteria dengan renungan tajam. Mungkin merasa marah agaknya kerana dikalahkan oleh Asteria tadi.

 Asteria menaikkan kening kanannya ke atas. 'Mereka mahu bertarung dengan aku dengan menggunakan Elemen ke? Takkan mereka mahu bertarung di tempat yang seperti ini.'

Pada masa yang sama, bunyi loceng berbunyi menandakan kelas akan segera bermula. Ini bermakna Swayde dan rakan-rakannya harus kembali ke kelas mereka sendiri. 

Swayde mencebikkan bibirnya geram kerana loceng sudah berbunyi. Dia memandang ke arah rakan-rakannya yang lain, memberikan isyarat mata untuk menyuruh mereka meninggalkan kelas ini.

"Kau tunggu nasib kau! Kau tidak akan saya lepaskan!" ugut Hattie kepada Asteria sebelum mengikuti Swayde dan yang lain keluar dari kelas itu.

Bagaikan masuk ke telinga kanan, keluar telinga kiri... Begitulah ugutan Hattie kepada Asteria. Diabaikan ugutan tersebut kerana Asteria tahu mereka tidak akan dapat mengalahkan dia dengan kekuatan yang dimiliki oleh Asteria sekarang.

Swayde merenung Asteria dengan pandangan mata yang tajam. "Urusan antara kita belum selesai..." 

Hanya setelah Swayde dan kawan-kawannya sudah tiada dari kelas itu, barulah Asteria kembali ke tempat duduknya. "Kamu berlima kembalilah ke tempat duduk." 

Itu sahaja yang dikatakan oleh Asteria kepada lima orang pelajar yang disuruh duduk melutut di belakang kelas. Mereka berlima pun kembali ke tempat duduk mereka sendiri.

Perlahan-lahan, pelajar-pelajar yang sedang menunggu di luar kelas pun masuk dan mengambil tempat duduk masing-masing. Sekali-sekala, mereka memandang ke arah Asteria. Wajah mereka terlihat terkejut dan kagum.

Dorothy yang sudah pun duduk di tempat duduknya, menoleh ke belakang. Dia memerhati tingkah laku Asteria yang sedang memandang ke luar jendela, seolah-olah sedang merenungkan sesuatu yang ada di luar. Lalu dia memandang semula ke hadapan.

Tidak lama kemudian, pengajar pertama pun masuk ke dalam kelas tersebut.

****************************************

Setelah Asteria selesai di mengisi perut di kafeteria, Asteria ingin kembali ke kelas. Kini, dia tidak takut jika dia bertemu dengan Swayde dan kawan-kawannya di kawasan sekolah. 

Asteria yakin dengan kekuatannya sendiri dan menghadapi Swayde dan kawan-kawannya bukanlah masalah yang besar baginya.

"Aria!" jerit seseorang dari belakang.

Asteria yang tidak menyedari bahawa dia yang dipanggil itu hanya meneruskan langkah kakinya. Pada masa yang sama, seorang pelajar lelaki mendekati Asteria dari belakang dengan langkah kakinya yang pantas.

Lelaki itu segera menarik tangan Asteria untuk menghentikannya daripada terus berjalan. "Hei, awak tak dengar saya panggil nama awak ke?"

Asteria memandang wajah lelaki tersebut dengan wajah termangu-mangu. Dia memang tidak menyedari jika lelaki itu memanggil namanya.

"Hah, awak ada memanggil nama saya ke?" tanya Asteria lagi.

James memandang Asteria dengan wajah geram. "Awak sudah jadi pekak ke sekarang ni? Saya panggil nama awak berulang kali tapi awak tak berhenti langsung."

Asteria bukannya tidak mahu berhenti tadi tapi memang dia tidak sedar jika 'Aria' adalah nama panggilan yang biasa James sebut kepada Astaria. 

Melihat tangannya masih disentuh oleh James, Asteria segera menarik tangannya semula. "Apa yang awak nak? Kenapa mencari saya?" Tanyanya dengan wajah acuh tak acuh.

"Awak masih bertanya kenapa saya mencari awak?" Mata James membulat besar. Jelas terlihat dirinya sangat marah saat ini. "Kenapa awak tak tanya saja diri awak tu kenapa saya cari awak lagi?"

Asteria menjadi bingung bila ditengking oleh James seperti itu. Terakhir kali dia bercakap dengan lelaki itu adalah ketika hari di mana dia dan Astaria mengakhiri hubungan mereka.

Jadi, alasan apakah yang membuatkan James begitu marah kepadanya?

Asteria tidak menjawab dengan segera. Malah dia memandang pula beberapa orang rakan yang datang bersama dengan James. Walaupun mereka berdiri jauh sedikit dari mereka berdua, tapi Asteria boleh melihat mereka sedang memerhati mereka berdua.

Tumpuannya dialihkan ke arah James lagi. "Terakhir kali saya bercakap dengan awak adalah ketika hari kita berpisah. Kenapa awak tiba-tiba datang dan menengking saya pula ni?"

"Saya pun tak mahu berjumpa dengan awak lagi jika bukan kerana Lizzie..."

Bila nama adik perempuannya disebut oleh James, akhirnya Asteria mengetahui kenapa James berdiri di hadapannya saat ini. 

Segaris senyuman kecil dan sinis terbentuk di wajah Asteria. "Awak datang menengking saya tak tentu pasal hanya kerana Lizzie? Baik, beritahu saya... Kesalahan apa lagi yang telah saya lakukan sehingga awak sanggup berjumpa dengan saya?"

"Awak jangan berpura-pura tak tahu ya... Saya tahu awak tidak menyukai hubungan saya dan Lizzie tapi saya tidak tahu awak sangat membenci saya sehinggakan awak tidak mahu saya datang ke majlis hari lahir Lizzie. Boleh tak awak buang sikap pentingkan diri awak tu?"

"Kenapa? Awak tidak suka dengan cadangan saya tu?" Asteria menapak selangkah ke arah James, dengan segaris senyuman sinis. "Kalau awak tak suka, senang saja... Saya tak perlu datang ke majlis hari jadi Lizzie."

James berundur dua langkah apabila melihat Asteria tiba-tiba maju ke hadapan. Jika dia tidak berundur, wajah mereka pasti berada dalam jarak yang dekat. "Jangan dekat-dekat dengan saya."

"Jika saya tidak ada dalam majlis itu, tidak akan bermakna apa-apa kepada Lizzie. Dia masih mempunyai ayah dan mama saya untuk menemani dia semasa majlis itu. Dan masih ada banyak tetamu yang boleh menghibur dia kala tu. Kenapa saya harus datang?"

"Apa yang awak merepek ni? Lizzie tu adik awak. Dia hanya ingin menyambut hari jadi dia dengan orang yang dia sayang. Dia sayangkan kau sebagai seorang kakak." James tidak suka melihat cara Asteria bercakap dengannya saat ini, seolah-olah sikap Asteria ini sedang memperlekehkan dirinya. 

"Dan sebagai seorang kakak yang baik, tak bolehkah awak mengalah dengan keinginan Lizzie dan biarkan dia bahagia pada hari jadinya..."

"Bagaimana dengan saya? Bagaimana jika saya tidak merasa gembira ketika berada di majlis hari jadi dia?" Suara Asteria menjadi tinggi. 

Wajah James berubah menjadi penuh tanda tanya. "Apa yang awak cakapkan ni? Lizzie itu ialah adik awak, kenapa awak tidak merasa gembira sama sekali?"

Kawan-kawan James juga dilanda bingung dan masing-masing saling berpandangan.

"Kenapa saya harus menjawab pertanyaan awak? Awak dan Lizzie sudah menjadi pasangan kekasih. Cukuplah sekadar awak tahu saya bukan lagi Astaria seperti dulu, yang selalu menjaga dan memerhati Lizzie..."

James memandang Asteria dengan penuh kehairanan. Dia tidak faham kenapa Asteria berkata seperti itu. Padahal sebelum ini, Asteria sangat menyayangi Lizzie sehingga tidak sanggup melihat Lizzie terluka walau sekecil apapun itu.

"Awak berubah seperti ini kerana saya dan Lizzie telah menjadi pasangan kekasih?"

Asteria melepaskan sebuah keluhan kecil. Melihat wajah James saat ini membuatkan dia teringat Jackson yang sudah mengkhianatinya. Walaupun Asteria merasa sangat marah saat ini, dia tidak mahu melampiaskan amarahnya sekarang.

"Awak jangan berfikir saya berubah seperti ini hanya kerana awak dan Lizzie jadi pasangan kekasih. Ada banyak benda yang berlaku pada saya yang awak langsung tak ambil peduli. Semasa saya dalam keadaan sengsara dan memerlukan pertolongan, awak tak pernah ada di sisi saya..." 

Asteria menghampiri James lagi dan menudingkan jari telunjuknya ke dada James. "Jadi jangan katakan saya pentingkan diri bila awak dan semua orang tinggalkan saya ketika saya dalam kesengsaraan. Saya harus belajar bangkit sendiri tanpa ada sesiapa di sisi." 

Dan kamu semua tinggalkan Astaria mati seorang diri! Ingin sahaja Asteria katakan seperti itu tapi dia menahan diri. Sekarang bukan masa yang tepat untuk berkata seperti itu.

"Semua benda tu awak yang lakukan kepada diri awak sendiri. Jangan nak salahkan orang lain. Bertanggungjawablah atas perbuatanmu sendiri!"

Jawapan dari James itu membuatkan Asteria ingin menampar saja mulut lelaki itu. Lelaki tak guna ni tidak tahu perkara yang telah dilewati oleh Asteria sehingga saat-saat terakhirnya.

"Saya rasa lega bila awak bukan lagi kekasih saya, James. Saya juga tidak mahu menyimpan lelaki tak guna macam awak!"

Giliran James yang menjadi marah bila Asteria menyebut dirinya sebagai lelaki tak guna. "Awak-- Awak katakan saya lelaki tak guna!!!"

"Ya, memang betul pun!" ujar Asteria sebelum dia ketawa terbahak-bahak. "Oh, dan saya tidak akan mengubah fikiran saya meskipun awak datang untuk berjumpa dengan saya seperti ini, James.... Ingat, saya tidak akan datang ke majlis hari jadi itu jika awak juga ada di sana."

"Awak sudah jadi gila atau apa? Tak bolehkah awak ketepikan dendam awak pada saya tu demi adik awak?"

James masih lagi berfikir jika Asteria tidak mahu datang ke majlis hari jadi Lizzie kerana menganggap jika Asteria tidak menyukai hubungan diantara mereka berdua.

Sebenarnya, memang benar Asteria tidak menyukai hubunga mereka tapi alasan utama kenapa Asteria tidak mahu James ada di majlis itu kerana ia termasuk dalam rancangan balas dendamnya sendiri.

"Kenapa saya perlu dengar apa yang awak cakap? Kau bukan lagi kekasih saya, kan? Awak tu cuma bekas kekasih saya. Saya sudah anggap awak itu orang asing. Tak perlu awak katakan apa-apa pada saya lagi," Asteria tidak mahu mendengar percakapan James lagi.

Lebih baik dia balik ke kelas dan berehat sementara menunggu bunyi loceng. 

"Aria!"

Melihat Asteria yang ingin pergi, James segera menarik tangan Asteria lagi. Tapi ini hanya membuatkan Asteria merasa marah. Lalu dengan sekuat hati, Asteria mengayunkan lututnya dan menendang ke celah kelangkang James.

Akibatnya, James berteriak kesakitan dan jatuh terjelopok ke atas lantai. Wajahnya menjadi merah padam dan berkerut kerana menahan kesakitan yang teramat sangat. 

Kawan-kawan James yang ada di belakang sampai terlopong bila melihat Asteria berani menyerang James. Tidak pernah mereka melihat Asteria begitu kasar dengan orang lain.

"Awak sentuh saya lagi, tahulah apa akibatnya!" kata Asteria dengan suara tinggi. Setelah itu, dia pun berlalu pergi.

Kawan-kawan James segera mendekati James bila melihat lelaki itu masih terbaring di atas lorong pejalan kaki. 

"Awak tak apa-apa, James?"

"Mari kita bawa dia ke klinik di Akademi kita..."