Chereads / Moonlight Blessing (Malay Version) / Chapter 4 - Kelas Latihan (1)

Chapter 4 - Kelas Latihan (1)

Asteria harus mengakui jika kelas pertamanya sangat menarik. Dia tidak merasa bosan sepanjang masa kelas berlangsung.

Kelas mereka telah diajarkan oleh seorang pengajar lelaki yang berumur lebih kurang dalam lingkungan umur 40-an serta memiliki perwatakan yang peramah dan lembut.

Pengajar ini dikenali sebagai Sir Bromeo dan dia mengajarkan pelajaran tentang makhluk mitos ajaib yang terdapat di seluruh dunia. Makhluk mitos yang diajarkan oleh Sir Bromeo di kelas kali ini adalah tentang seekor naga air yang dikenali sebagai Guivre.

Guivre terkenal sebagai seekor naga yang mengeluarkan nafas bertoksik dan menyebarkan penyakit ke merata tempat.

Sepanjang kelas berlangsung, Asteria menumpukan seratus-peratus perhatiannya. Pelajaran seperti ini tidak pernah diajar di dunia lamanya, jadi Asteria sangat tertarik untuk belajar.

Asteria merasa bertuah kerana dapat masuk ke dunia ini yang hanya dianggap sebagai mitos oleh orang-orang di dunia moden. Tentulah, siapa yang mahu percaya kalau naga memang wujud di dunia ini...

Pelajaran kedua pula adalah mengenai tumbuhan-tumbuhan sakti yang diajarkan oleh Miss Agatha. Tumbuhan sakti yang diperkenalkan oleh Miss Agatha adalah Twin Blade Roses dan tumbuhan lobak yang mempunyai penumbuk dan akan menumbuk pemangsa yang mendekatinya.

Kedua-dua kelas ini sangat dinikmati oleh Asteria. Sepanjang masa dia belajar, Asteria tidak merasa mengantuk atau bosan. Sedangkan Aya yang bercakap di sebelah telinganya pun diabaikan.

Dan Asteria juga mendapat tahu jika Aya hanya boleh dilihat oleh dirinya. Dia tidak boleh dilihat oleh orang lain. Sebab itu kenapa Aya dengan suka hati keluar dan mengelilingi badan Asteria.

Tibanya waktu rehat pada hari itu, Asteria meninggalkan kelas secepat mungkin sebelum dia ditangkap oleh Swayde dan anak-anak buahnya. Asteria hanya membeli makanan bungkus dan kembali ke menara jam.

Sehinggalah masa rehat tamat, barulah Asteria kembali ke kelas semula.

Tapi keadaan di kelas juga tidak tenang saat Asteria masuk. Dia melihat ada satu kumpulan di tepi kelas sedang berkumpul, salah seorang dari mereka sedang menutup kepalanya dan menangis.

Beberapa orang pelajar pula sedang menyusun kedudukan meja yang sudah menjadi tunggang-langgang.

Saat Asteria masuk, semua orang menoleh ke arahnya. Wajah mereka berubah menjadi kelam setelah kedatangan Asteria, seolah-olah tidak menyukai kehadiran Asteria di sana.

"Oi, kau pergi mana tadi? Kau tahu tak, Swayde dan kumpulannya cari kau sejak dari pagi. Kerana kau tidak muncul, Stedy pula yang dibelasah oleh kumpulan pembuli tu," Salah seorang pelajar perempuan yang berambut pendek melontarkan suara yang tinggi kepada Asteria.

Asteria sekadar memandang mereka dengan wajah bersahaja. Malah pandangan matanya saat ini juga terlihat kosong. Apa yang berlaku kepada pelajar lelaki yang bernama Stedy itu bukanlah menjadi masalahnya. 

Selama ini, ketika Astaria telah dibuli oleh kumpulan pembuli itu, rakan-rakan sekelas Astaria tidak pernah membantunya. Tidak ada yang berani melawan dan membiarkan Astaria menghadapi semuanya sendirian.

Sedangkan sebelum ini, mereka semua berusaha untuk menjadi rakan yang baik kepada Astaria kerana reputasinya yang terkenal di sekolah.

Jadi kenapa dia harus menolong mereka?

"Kalau kau ada masalah dengan kumpulan pembuli itu, kau berurusan dengan mereka sendiri. Jangan nak libatkan kita orang semua."

"Betul tu! Gara-gara kau, Stedy yang dibelasah!" Pelajar lain juga ikut bersuara.

Asteria masih mendiamkan diri. Tapi matanya meneliti wajah setiap pelajar yang ada di kelas itu. Walaupun yang lain tidak menyuarakan hati mereka, tapi dari raut wajah mereka Asteria tahu jika mereka bersetuju dengan kata-kata yang dilontarkan kepadanya.Asteria berjalan mendekati pelajar perempuan berambut pendek tadi. Dengan wajah datar, dia membalas renungan matanya.

Perbuatan Asteria itu menimbulkan rasa tidak senang di hati si pelajar perempuan itu. Apa tidak, selama ini Asteria tidak pernah menunjukkan wajah datar seperti itu sebelum ini. Ini kali pertama dia bersikap seperti.

"Dan jika saya yang dibuli seperti dia, kau akan menyokong saya juga ke? Adakah kau akan membantu saya seperti kau membantu dia sekarang ini?"

Si pelajar perempuan itu terkedu. "A--apa?"

Asteria melangkah ke depan. Wajah mereka berdua semakin rapat tapi Asteria tidak menunjukkan perasaan gentar. Matanya merenung mata pelajar tersebut dengan tajam.

Kerana perbuatan Asteria itu, pelajar perempuan itu menjadi gelabah. Kakinya secara tidak sedar terundur ke belakang. Kerana terlalu gementar, dia jatuh terjelepok ke lantai.

Pelajar yang lain memandang pelajar perempuan itu dengan mulut ternganga. Malah Stedy yang tadinya menangis kini berhenti menangis dan memandang Asteria dengan wajah tidak percaya.

"Adakah kau akan membantu saya sama seperti kau sudah membantu Stedy?" Tanya Asteria lagi, kali ini dengan suara yang lebih dingin. "Jika dia tidak dapat bertahan hidup dari serangan pembuli itu, dia boleh berhenti dari Akademi ini."

Asteria memandang ke arah Stedy. Masih dengan wajah datar. "Dunia ini sangat kejam. Jika kau tidak mampu bertahan, kau yang akan ditelan oleh dunia ini. Yang kuat akan terus menjadi kuat, manakala yang lemah akan terus ditindas. It's your fault because you are too weak to fight those bully."

"Kau orang semua nak saya serahkan diri begitu sahaja hanya kerana kau orang yang jadi target baru kumpulan pembuli itu. What to do? Saya tidak berniat untuk serahkan diri. I chose to fight!"

Kemudian, Asteria memandang semua orang yang ada di kelas itu. "Jika kau orang tak mahu ditindas dengan pembuli itu lagi, berlatih lebih giat untuk menjadi lebih kuat. Mereka tidak akan menyentuh kau orang jika kau orang lebih kuat dari mereka."

Setelah memberi ucapan, Asteria bergerak ke tempat duduknya. Dia tidak pedulikan lagi rakan-rakan sekelasnya. Mereka tidak membantunya semasa Astaria susah jadi buat apa Asteria harus mempedulikan mereka.

...

Kelas selepas rehat itu merupakan kelas Latihan Elemen. Sekali lagi, Asteria merasa teruja untuk mengikuti kelas ini, pada masa yang sama juga dia agak risau.

Semasa Kelas Elemen ini, pelajar-pelajar yang mempunyai Elemen yang sama akan berkumpul di satu kawasan yang terpilih.

Asteria tidak perlu merisaukan tentang kehadiran Lizzie kerana dia memiliki Elemen Angin. Kelas bagi pengguna Elemen Angin terletak di atas bukit di belakang Akademi. Manakala Kelas Elemen Air pula terletak di tepi sebuah tasik.

Apa yang merisaukan Asteria adalah kawan-kawan Swayde yang juga memiliki Elemen Air seperti Asteria akan berada di kelas yang sama dengannya. Mereka tentu akan menggunakan kesempatan ini untuk menganggu Asteria.

Asteria berdiri di tepi tasik. Dia memandang ke arah bangunan terbuka dan bersaiz besar yang dibina di tengah-tengah tasik.

Bangunan itu merupakan kelas khas untuk pelajar-pelajar yang mempunyai Elemen Air. Terdapat sepuluh tiang berbentuk silinder dibina untuk menyokong atap bangunan tanpa sebarang dinding dibuat.

Ini memudahkan bagi mereka untuk mengakses sumber air dari tasik yang mengelilingi kawasan pondok kelas itu. Sebuah jambatan yang panjang turut dibina untuk memberi kemudahan kepada pelajar.

Sebuah keluhan yang panjang diberikan oleh Asteria saat melihat pelajar-pelajar berjalan melalui jambatan menuju ke bangunan tersebut. Kelas Elemen ini mungkin tidak akan berjalan lancar seperti kelas lain...

Asteria memulakan langkahnya berjalan di atas jambatan tersebut bersama dengan pelajar lain. Beberapa orang pelajar yang berdekatan dengan Asteria tidak mengenalinya ketika pertama kali mereka melihat Asteria. 

Mereka berfikir jika Asteria adalah pelajar baru tapi bila mereka menyedari jika itu ialah Asteria, mereka terkejut kerana tidak menyangka perubahan imej yang berlaku kepada Asteria.

Setelah menyedari pelajar tersebut ialah Asteria, mereka menjarakkan diri mereka darinya. Nampak sangat jika mereka tidak ingin berada dekat dengan Asteria. Ternyata fitnah yang dibuat oleh Lizzie juga memberikan kesan yang besar kepada pelajar-pelajar yang lain.

Tapi ini bukan lagi Astaria.... Melainkan Asteria.

Asteria tidak peduli dengan pandangan pelajar-pelajar terhadapnya. Dia juga tidak merasa sedih atau takut jika pelajar lain menjauhinya. Malah merasa selesa lagi jika dia dibiarkan bersendirian.

Di dalam pondok kelas tersebut, seluruh ruangan sudah pun diisikan dengan meja-meja kecil dan pendek. Pelajar-pelajar harus duduk bersila di atas lantai beralaskan bantal. 

Kerana pelajar-pelajar yang datang awal sudah mengisi tempat duduk yang lain, Asteria pun memilih tempat duduk yang sesuai. Dia memilih tempat duduk di bahagian paling tepi di sebelah kiri.

Jika dia duduk di bahagian tengah, tentu sahaja perhatian akan lebih banyak tertumpu kepadanya. Semasa dia duduk pun, Asteria boleh merasakan pandangan mata dari pelajar-pelajar yang sedang memandangnya.

Asteria mengabaikan mereka dan duduk dengan senyap di tempat duduknya untuk menunggu pengajar mereka masuk.

"Hei, kau! Pindah!" Arah seorang pelajar perempuan kepada pelajar yang duduk di sebelah Asteria. 

Asteria hanya memandang dengan hujung anak mata sahaja. Sesudah itu, dia kembali menumpukan perhatiannya ke hadapan.

Setelah pelajar tadi sudah berpindah tempat duduk, Laney melabuhkan punggungnya ke tempat duduk tersebut. Laney merupakan salah seorang dari pengikut Swayde dan memiliki Elemen Air. 

Asteria hanya melihat Laney datang seorang diri jadi dia menganggap bahawa hanya Laney seorang sahaja yang memiliki Elemen Air. Keadaan ini baik untuk Asteria kerana dia tidak mahu bertarung dengan mereka dalam jumlah yang ramai buat masa ini.

Laney memandang Asteria dengan segaris senyuman sinis. "Kau sangat berani, eh? Hari ini kami sudah mencari kau di serata Akademi tapi kami tak nampak kau pun di mana-mana. Kau menyorok dekat mana?"

Asteria sekadar memberikan Laney sebuah jelingan kecil. Tiada satu suara pun yang keluar dari mulutnya. 

Melihat Asteria yang hanya mendiamkan diri membuatkan Laney beranggapan jika Asteria saat ini sedang takut dan tidak mahu bercakap. "Kau ingat kau boleh menyembunyikan diri selamanya? Kau tahu kan, kalau kau buat Swayde marah, apa yang akan terjadi pada kau?"

Laney menyedari jika rambut panjang milik Asteria sebelum ini sudah pun pendek. "Yo, rambut panjang kau tu pun sudah dipotong?" Laney berkata dengan sinis. Tangannya diangkat ke arah rambut Asteria yang sudah dipotong sehingga paras dada.

Tiba-tiba, Laney mencengkam rambut Asteria dengan sangat kuat. "Selepas habis waktu kelas ini, jumpa kami di tempat biasa. Swayde akan tunggu kau di sana. Kau dengar??"

Meskipun sakit kerana rambutnya dicengkam oleh Laney, Asteria tidak mengeluarkan satu suara pun. Tapi perbuatan Laney itu membuatkan Asteria teringat akan satu memori hitam; sebelum Asteria dibunuh, si pembunuh bayaran juga ada mencengkam rambutnya banyak kali.

Asteria memandang Laney dengan pandangan yang tajam. Boleh dilihat dari raut wajah Asteria bahawa dia sedang dalam keadaan marah saat ini. 

Melihat wajah Asteria, bukannya merasa takut tapi Laney malah mentertawakan Asteria. "Ada apa dengan wajah kau seperti itu? Kau mahu melawan? Kau berani melawan saya?" Lalu Laney bertindak menampar pipi kanan Asteria beberapa kali.

Saat ini keadaan di sekeliling mereka berdua tidak tenang. Pelajar-pelajar yang melihat Asteria dibuli oleh Laney hanya mampu memandang Asteria dengan perasaan simpati. Ada juga yang memandang Asteria dengan wajah mengejek, berfikir jika Asteria berhak mendapatkan semua itu.

Asteria segera memegang tangan Laney yang digunakannya untuk menampar pipinya. Wajahnya terlihat dingin saat ini. "Sekali lagi kau sentuh muka aku, tangan kau ini akan hilang selamanya!"

Laney tertawa kecil. Sungguh, dia agak terkejut bila Asteria menahan tangannya dan memberikan amaran seperti itu. Tapi Laney tidak merasa takut. Ugutan dari seorang pelajar lemah seperti Asteria tidak akan membuatkan dia gentar.

"Kau ugut aku? Kau nak buat apa? Kau nak potong tangan aku? Kau nak cari mati ke?" Laney segera menarik tangannya semula lalu ditariknya rambut Asteria dengan semakin kuat.

Belum sempat Asteria membalas perbuatan Laney, pengajar mereka sudah pun datang. Kedatangannya pada waktu yang tepat ini menyelamatkan Asteria atau lebih tepat lagi, mengelakkan Asteria daripada menggunakan Elemen Airnya kepada Laney.

"Tsk!" Laney mencebik kecil kerana masanya untuk 'bercakap' dengan Asteria sangat pendek. "Kau bertuah kerana pengajar sudah datang. Ingat, jumpa kami di tempat biasa selepas kelas ini habis."

Laney melepaskan rambut Asteria secara kasar. 

Tunggu saja... Aku akan membalas perbuatan kau dan semua orang yang sudah membuli aku!

Dalam diam, tangannya yang diletakkan di atas meja mula digenggam erat.