Chereads / Moonlight Blessing (Malay Version) / Chapter 5 - Kelas Latihan (2)

Chapter 5 - Kelas Latihan (2)

"Baiklah, semua pelajar... Hari ini kita akan ada perlawanan satu lawan satu sebagai latihan pada kelas hari ini. Setiap diantara kamu akan memilih pasangan kamu sendiri. Ingat ya, ini cuma sekadar latihan dan Miss tidak mahu ada yang sengaja melukakan kawan sendiri..."

Pengajar untuk kelas Elemen Air mereka hari ini ialah Miss Daisy. Dia memiliki perwatakan yang lembut dan ceria. Setiap kali dia bercakap di hadapan, wajahnya sentiasa tersenyum dan suaranya juga terdengar lembut. Walaupun ada diantara para pelajar yang tidak mendengar, Miss Daisy masih tetap sabar untuk mengajar.

Laney tersenyum senang dengan pengumuman yang diberikan oleh Miss Daisy. Ini kerana Miss Daisy telah memberikan kesempatan kepada untuk membuli Asteria. Hari ini, Asteria telah membuatkan Swayde menjadi marah kerana menyembunyikan diri setiap kali mereka ke kelas Asteria.

Jika Laney dapat membalaskan kemarahan Swayde, dia mesti akan merasa bangga pada Laney. 

Laney memusingkan kepalanya ke arah Asteria. "Kau akan menjadi partner aku semasa perlawanan satu lawan satu ini. Jangan risau, aku tak akan menyakiti kau..." Di hujung ayatnya, Laney mempamerkan sengihan yang menakutkan.

Dengan raut wajah yang seperti itu, sudah tentu Laney sedang merancang sesuatu yang jahat kepada Asteria. Orang bodoh sekali pun boleh nampak jika Laney mahu membuli Asteria dalam sesi latihan satu lawan satu ini.

Asteria tidak memberikan reaksi wajah yang terkejut dan ini membuatkan Laney sedikit ragu. Wajah Asteria nampak kosong sahaja. Kenapa Asteria nampak tenang walaupun Laney sudah memberi tanda jika sesi latihan ini akan menjadi sangat berbahaya kepada Asteria?

Ini kerana Asteria juga tidak mungkin akan membiarkan Laney sesuka hati membulinya. Sudah cukup apa yang diberikan oleh Laney dan kawan-kawannya sebelum ini terhadap Astaria.

Kenapa dengan budak ni? Apa dia sengaja tunjukkan muka cool macam tu sebab tak nak tunjukkan yang dia sebenarnya takut untuk berhadapan dengan aku?

Laney memandang ke arah depan lagi. Kali ini, senyuman di bibirnya sudah lebar. Kau tunggu, aku akan buat kau lebih teruk lagi!

"Baiklah, semua... Seperti latihan sebelum ini, mana-mana pelajar yang tenggelam ke dalam air terlebih dahulu akan dikira kalah," kata Miss Daisy memberitahu peraturan utama dalam sesi latihan ini.

Setelah Miss Daisy memberikan beberapa peraturan lagi, sesi latihan pada kelas petang itu pun dimulakan. 

Miss Daisy akan memanggil setiap nama pelajar dan pelajar tersebut berserta itu akan keluar ke bahagian tasik untuk memulakan sesi latihan. Dua buah kumpulan akan berlatih sekali gus dalam satu masa; kumpulan pertama akan berlatih di bahagian kiri manakala kumpulan yang kedua akan mengambil tempat di sebelah kanan pondok kelas tersebut.

Sejak dari tahun pertama lagi, pelajar Kelas Elemen Air telah diajarkan teknik mengawal air agar mereka boleh melayang di atas air tanpa tenggelam ke dalam air. 

Jadi sekarang, pelajar-pelajar ini boleh bertarung antara satu dengan yang lain di atas tasik tanpa merisaukan keadaan mereka jika tenggelam ke dalam air. Hanya pelajar yang kalah dalam sesi latihan ini sahaja yang akan jatuh ke dalam air.

Satu-persatu, nama pelajar dipanggil ke luar pondok untuk memulakan sesi latihan. 

Sambil memandang para pelajar tersebut bertarung, Asteria mengimbaskan kembali memori lama milik Astaria untuk melihat bagaimana cara Astaria bertarung selama ini.

Asteria akhirnya mendapat tahu jika Astaria sebenarnya agak lemah dalam bab bertarung. Meskipun, Astaria ialah seorang pelajar pandai di sekolah mereka, namun Astaria agak lemah dalam pertarungan.

Bukan kerana Astaria tidak memiliki kekuatan untuk melawan tapi kerana hatinya yang baik dan tidak mahu menyakiti sesiapa. Sebab itu kenapa Astaria memilih untuk mendapatkan kuasa Healing agar dia boleh menyembuhkan orang lain dan bukannya menyakiti mereka.

"Kau terlalu baik pada orang lain sampaikan orang lain pergunakan kau sesuka hati sahaja..." kata Asteria perlahan.

Sebenarnya, Asteria juga seperti itu sebelum ini. Kerana dia terlalu baik dengan adik dan bekas teman lelakinya, dia tidak menyedari jika adiknya ingin membunuh Asteria.

"Tak ada masa untuk menyesali segalanya. Saya tidak boleh undurkan masa. Buat masa sekarang, saya harus berlatih dengan keras. Saya tak akan benarkan sesiapa membuli saya lagi."

Tiba masanya nama Asteria dipanggil oleh Miss Daisy. Laney yang sudah menunggu saat itu untuk dipanggil menunjukkan wajah yang senang.

Asteria berjalan menuju ke tepi pondok dan menundukkan kepala ke bawah. Dia memerhati bayangnya yang muncul di permukaan air. Melihat keadaan air tasik yang sangat dalam itu membuatkan debaran di dada Asteria menjadi kuat.

|Master boleh lakukan ini. Master kena yakin pada diri sendiri. Selamat berjaya!|

Terdengar suara Aya yang keluar dari minda Asteria. Suara itu menimbulkan segaris senyuman pada wajahnya.

Saya tidak ada masa untuk meragukan diri sendiri. Jika saya ragu dengan kemampuan diri saya, saya akan gagal dalam latihan ini dan pembuli-pembuli ini akan semakin merendahkan saya...

"Kau tunggu apa lagi? Kenapa, takut kalah ke? Kau tak mahu tenggelam dalam tasik ini? Takkan kau nak jadi pengecut dan mengaku kalah sekarang?" teriak Laney yang sudah bersedia di tengah kawasan tasik. 

Asteria memandang ke arah Laney dengan wajah tidak puas hati. Siapa yang dia cakap pengecut? Saya tidak pernah cakap saya akan menyerah!

Miss Daisy menghampiri Asteria yang masih belum turun dari pondok kelas itu. "Asteria, adakah kamu baik-baik saja atau kamu merasa tidak sihat hari ini? Kamu boleh cancel latihan ini dan berehat untuk hari ini. Tak perlu paksakan diri kamu untuk teruskan latihan..."

Asteria membalas kata-kata Miss Daisy dengan sebuah senyuman kecil. Dia merasa terharu dengan sikap prihatin Miss Daisy tapi dia tidak mahu menyerah. "Miss Daisy, jangan risaukan saya. Saya baik-baik saja..."

Asteria mencuba untuk mengingati ilmu yang sudah diajarkan sebelum ini tentang cara untuk terbang di atas air. Lalu dengan penuh yakin, Asteria melangkah turun dari pondok itu. 

Satu langkah berjaya...

Dua langkah berjaya...

Akhirnya Asteria pun berjaya melayang di atas air tanpa tenggelam di atas air. Perasaannya saat ini tidak boleh dijelaskan dengan kata-kata. Ini pertama kali Asteria boleh terbang melayang di atas air dan ini membuatkan dia merasa bangga.

Asteria memandang Laney yang melayang jauh darinya. "Saya tidak akan pernah mengaku kalah..."

"Tsk, perasan kuatlah tu!" ejek Laney dengan wajah sinis.

Miss Daisy memberi tanda untuk mereka memulakan sesi latihan tersebut. Pertarungan ini menarik perhatian ramai pelajar di kelas ini kerana sebelum ini Astaria adalah seorang yang terkenal di Akademi mereka.

Dan walaupun setelah fitnah tentang Astaria menyebar ke seluruh Akademi, ramai yang masih mahu ambil tahu apakah yang akan berlaku pada Astaria dalam sesi latihan ini bersama dengan Laney. Apalagi jika Laney merupakan salah satu dari ahli kumpulan yang selalu membuli Astaria.

Bila diberikan tanda untuk memulakan sesi latihan, Laney dengan segera memulakan serangannya. Salah satu serangan yang terkenal dimiliki oleh Laney ialah bebola airnya yang boleh menghasilkan letupan yang besar jika terkena.

Dari awal, Laney sudah pun menyerangnya dengan empat bebola air. Kesemua bebola itu mempunyai saiz sebesar sebuah bola keranjang.

Asteria membuka mulutnya. Terlopong dia melihat bola air itu kerana dia tidak pernah melihat bola air seperti itu di kehidupan sebenar. Selama ini, Asteria hanya melihat benda ajaib seperti ini di televisyen sahaja.

"Wah, that was a real deal!"

Asteria terpaksa melompat tinggi ke belakang untuk mengelak daripada terkena bola air itu. Bukan sekali dua kali dia harus melompat untuk mengelak, tapi sehingga empat kali... 

Letupan demi letupan berlaku setiap kali bola air itu mengenai permukaan air tempat Asteria berpijak sebelum ini.

Laney tidak mengalah dan menghasilkan lebih banyak bola air. Suara tawanya jelas terdengar di tempat itu kerana merasa seronok dapat membuatkan Asteria tidak mampu menyerang kembali.

Asteria yang hanya mampu mengelak itu, sempat mengerling ke arah Laney. Dikecilkan matanya memandang perempuan itu. Jika saya tidak mencari cara bagaimana hendak mengalahkan Laney, saya yang akan tenggelam ke dalam air...

Sebiji bola air dilemparkan ke arah Asteria dengan kelajuan yang tinggi. Kerana Asteria hilang fokus selama sesaat, dia tidak sempat lagi untuk melompat dan mengelak.

Sebaliknya, Asteria mengangkat tinggi tangannya ke udara. Pergerakannya ini membuatkan sebuah benteng air yang tinggi muncul di hadapan Asteria. Kerana Asteria terburu-buru hendak membina benteng itu, dia tidak dapat menahan kesemua impak bola air tersebut.

Akibatnya, sebuah letupan yang besar terjadi di sana...

Asteria terpelanting ke udara tapi dia tidak terus tenggelam ke dalam air. Sebaliknya, kakinya menyentuh permukaan air. Asteria memandang kawasan bajunya di bahagian dada yang sudah basah.

Asteria memandang Laney dengan wajah geram.

Laney melihat Asteria yang hampir mendekati kekalahan. Dengan gaya bongkak, dia berpeluk tubuh. "Bagaimana? Masih mahu melawan?"

"Of course. Saya belum mulakan serangan saya." Asteria menggosok kawasan basah pada bajunya. "Ini baru saja bermula."

Tanpa disangka-sangka, Asteria membuka langkah dan berlari memecut ke arah Laney. Melihat Asteria ingin menyerangnya, Laney mengeluarkan lebih banyak bola air. 

Asteria juga tidak mengalah. Dengan menggunakan air, Asteria membuat lingkaran air yang besar dan menghadang bola-bola air itu daripada mengenai Asteria. Letupan demi letupan terjadi di sekeliling Asteria.

Namun Asteria tidak terjejas sama sekali dengan semua letupan tersebut, malah semakin lama semakin menghampiri Laney. 

Melihat Asteria semakin mendekati, tiba-tiba Laney merasa cemas. Apalagi saat dia melihat wajah Asteria yang terlihat dingin itu, seolah-olah dia akan membuatkan Laney menghilang dari muka bumi ini.

"Kau.... Jangan mendekat!"

Laney menghasilkan lebih banyak lagi bola air untuk dilemparkan ke arah Asteria. Namun kesemua bola air itu berjaya dihalang oleh Asteria dengan menggunakan lingkaran airnya.

Sehinggalah Asteria tiba beberapa meter dari Laney. Laney yang melihat Asteria sudah mendekati itu, segera membuang salah satu bola air di dekatnya ke arah Asteria.

Asteria tahu bola air itu akan dilemparkan ke arahnya, jadi dia sudah pun bersiap-sedia untuk mengelak. Saat bola air itu hampir mengenai wajahnya, Asteria mengelak ke tepi. 

Dan bola air itu melintasi kepalanya Asteria. Hanya beberapa inci dari kepalanya.

Kini Asteria sudah pun berada tepat di hadapan Laney. Asteria mengangkat sedikit tangan kanannya ke belakang. Di bahagian tapak tangannya, terbentuklah sebuah bebola air.

Mata Laney membulat saat melihat bola air tersebut.

Asteria memberikan senyuman sinis kepada Laney.

Dengan sekali hayunan, Asteria menolak bebola air itu ke bahagian dada Laney. Kuat dan padu. Kerana hentakan tersebut, tubuh Laney jatuh ke dalam air. Bukannya jatuh secara normal. Kesan dari jatuh itu menghasilkan sebuah ombak air yang besar.

Setelah beberapa minit, Laney masih tidak muncul di permukaan.

Asteria masih berdiam di tempatnya tadi. Matanya memandang ke permukaan air tempat Laney jatuh dengan pandangan kosong. 

"Hentikan sesi latihan ini."

Miss Daisy menggunakan Elemen Airnya untuk mengangkat tubuh Laney keluar dari dalam air. Dibawanya Laney kembali ke pondok. Saat itu, Laney sudah pun dalam keadaan pengsan.

 Pelajar-pelajar yang melihat keadaan Laney yang pengsan itu menjadi terkejut. Maka bermulalah gosip diantara mereka tentang bagaimana Asteria telah mengalahkan Laney dalam sekali serangan.

Asteria bergerak kembali ke arah pondok dan berdiri di tepi Laney. Dipandangnya sekilas ke arah Laney yang sedang dirawat oleh Miss Daisy.

Beberapa orang pelajar yang ada berhampiran dengan Asteria, memandangnya dengan wajah ragu-ragu. Kemudian, mereka pun bergerak untuk menjauhi dari Asteria. Walaupun Asteria menyedari perbuatan mereka tapi dia tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi.

Miss Daisy memandang ke arah Asteria. "Bukankah Miss sudah cakap, ini cuma sesi latihan sahaja. Kenapa kamu menyerang kawan kamu sehingga dia pengsan seperti ini?"

Asteria dengan wajah selambanya, berpeluk tubuh. "Miss, saya minta maaf tapi saya juga tidak tahu jika saya akan buat dia sampai pengsan macam ini..." Asteria menunjukkan tapak tangan kanannya. "Lagipun, saya baru saja belajar teknik ini tadi. Saya masih belum dapat control kekuatan bola air saya..."

Miss Daisy memandang ke arah bola air yang muncul di atas tapak tangan Asteria. Meskipun bola air itu kecil daripada bola air milik Laney tapi Miss Daisy dapat merasakan perbezaan kekuatan diantara bola air milik mereka.

Bola air milik Asteria lebih kuat berbanding milik Laney.

Miss Daisy terkedu sekejap. Sejak bila dia jadi kuat seperti ini? Setahu saya, dia tidak pernah mahu menyakiti kawan-kawannya sebelum ini? Kenapa sekarang dia sudah berani menyerang mereka?

Miss Daisy memandang pelajar-pelajar yang lain. "Baiklah, semua... Sesi latihan kita pada petang ini sudah selesai. Miss mahu kamu semua kembali ke tempat duduk masing-masing. Miss juga mahu meminta bantuan dari beberapa orang diantara kamu untuk menghantar Laney ke bilik perubatan."

Miss Daisy melirik ke arah Asteria yang sedang berjalan kembali ke mejanya sendiri. Memandangkan salah satu dari pelajarnya sudah pengsan kerana sesi latihannya, Miss Daisy terpaksa menghentikan sesi latihan itu walaupun belum selesai.

Miss Daisy pun memulakan pelajaran lain sebagai tambahan memandangkan mereka masih mempunyai masa sebelum kelas pada petang itu selesai.

 Ketika Miss Daisy mengajar di hadapan, Asteria memandang ke arah tapak tangannya secara senyap-senyap. Sebenarnya, Asteria juga tidak percaya jika dia telah berjaya mengalahkan Laney.

Saat dia menghasilkan bola air yang dia gunakan untuk mengalahkan Laney, Asteria menggunakan imaginasinya untuk menghasilkan bola air tersebut. Cuma Asteria tidak menyangka jika kekuatan bola air itu dua kali ganda lebih kuat.

Bibir Asteria menguntumkan senyuman lebar. Ini adalah pencapaian yang baik. Saya harus berlatih dengan lebih keras lagi...