Chereads / Menara D'Estelle / Chapter 44 - BAB 30

Chapter 44 - BAB 30

Max berdiri di muka pintu dan melihat ke dalam. Pengawal D yang kaku di karpet yang berlumuran darah dilihat sebentar.

"Kapten?", panggil Max dengan nada rendah.

"Awak tumpaskan dia ke?", kata Azrien sambil nyah aktif formasi penyamaran.

"Hmm? Oh. Dia ke? Ya", Max teringat lelaki yang memakai perisai tadi.

Azrien menghampiri bilik pemimpin dan memulas tombol pintu. Ia dikunci. Dia menoleh ke arah Max.

"Bawa dia ke sini", arahnya.

Max memberitahu kesatria lain untuk menjaga pengawal C di koridor. Dia mengikut Max ke bilik tadi. Azrien duduk dengan tenang di sofa menunggu kedatangan mereka berdua. Dia berdiri di hadapannya.

"Kamu boleh buka pintu tu?", tanya Azrien. Dia menoleh ke pintu yang dimaksudkan. Pintu kayu berkembar yang bercorak bunga dan dedaun.

"Ya. Pintu tu cuma boleh dibuka dari dalam atau menggunakan kod. Aku nak pergi jumpa dia sendiri", katanya.

"Tak apa ke? Awak dah guna banyak genshi tadi", kata Max pula. Dia dapat mengagak berapa banyak genshi digunakan untuk menghasilkan ceracak batuan yang dilihatnya di koridor.

"Aku nak cakap dengan dia je", badannya masih rasa lemah sedikit.

"Baiklah. Sebelum tu kamu tahu kan apa yang ada dalam bilik tu?", Azrien bersandar sambil bersilang tangan.

"Ada ruang rahsia yang menuju ke bawah tanah. Dia simpan wang dan segala harta yang berharga di situ. Aku pernah masuk sebelum ni", jelasnya secara ringkas.

"Bilik ni ada formasi kalis bunyi. Jadi dia tak dapat dengar apa yang berlaku di sini"

"Max. Awak dah maklumkan pada mereka?", kata Azrien.

"Ya. Mereka akan sampai pagi nanti", lapor Max. Azrien berfikir sebentar. Dia melihat jam di gelang.

[ 3.45 a.m. ]

"Kamu boleh pergi. Pastikan kamu cepat", dia mengangguk dan menuju ke daun pintu. Ukiran bunga di tengah pintu ditekan. Sebuah papan kekunci terbuka dan dia masukkan kod.

Pintu ditutup. Dia menuju ke almari buku di ruangan terpisah sebelah kanan. Lampu dinding dipusing ke kiri. Almari buku bergerak ke kanan, terdapat sebuah pintu kayu dengan ukiran emas. Pintu yang tidak dikunci dipulas. Dia melangkah turun anak tangga berjubin. Ada lampu dinding menerangi laluan.

Dia sampai di sebuah ruangan yang luas, seluas sebuah tidur bagi seorang ahli Kerabat. Dia melihat chandelier yang bersinar. Terdapat sebuah meja marble putih di tengah bilik dan di atasnya adalah duit kertas dan syiling emas yang bertimbun. Terdapat beberapa buah almari kaca yang mempamerkan peralatan genshi yang berlainan rupa dan bentuk. Ada juga kotak yang diletakkan batuan genshi bersaiz sebesar penumbuk. Ia bersinar terkena cahaya putih dari chandelier. Pemimpin itu menoleh bila mendengar bunyi tapak kaki.

"Ludric. Kenapa datang sini? Kamu nak sesuatu ke?", katanya lalu tersenyum nipis. Dia mengikat duit kertas yang telah dikira dengan gelang getah.

Ludric menghampiri. Dia menyentuh kepingan duit syiling emas. Wang hasil kegiatan perdagangan manusia. Masih terngiang-ngiang di fikirannya raungan dan tangisan kanak-kanak dan remaja yang diberikan kepada pelanggan mereka.

"Jangan risau. Nanti saya beri bahagian kamu", katanya sambil mengusap lembut rambutnya.

Dia melihat bulu matanya yang panjang, hidung mancung dan mendarat ke leher. Tangan dia mencapai ke lehernya dan mendekatkan muka padanya. Dia mencium lama. Ludric hanya membiarkan. Tangan dia merayap ke badannya lalu jari jemarinya menyelak belakang baju. Ludric tersentak.

"Tunggu...", katanya sambil menolak lengannya.

"Hmm? Nak duduk sana?", katanya sambil melirik mata ke arah sofa di belakang mereka.

"Saya nak pergi atas...", kata Ludric dengan pipi yang memerah. Dia tersenyum lalu mencium lembut pipinya.

"Okay. Mari", dia menarik pergelangan tangan Ludric ke arah tangga.

Dia tersenyum sambil mendaki anak tangga tanpa menyedari renungan tajam di belakang. Ludric memegang pisau di belakang baju bila mereka semakin hampir ke pintu. Bila langkah mereka menghampiri katil di sebelah kiri bilik, Ludric mengeluarkan pisau lalu ditusuk dari belakang.

Senyuman di wajahnya terus berubah kaku. Dia melihat ke badannya yang mula mengeluarkan cecair merah. Luka disentuh. Dia tak sangka Ludric akan menggunakan helah ini untuk menyerang dia. Dia jatuh terduduk. Pernafasan dia mula tak sekata. Pisau yang mencucuk belakang dapat dirasai setiap kali dia bernafas.

Ludric hanya melihat tanpa perasaan. Dia duduk mencangkung di hadapannya. Lelaki itu mengangkat kepala dan melihat wajah Ludric yang kelihatan tenang.

"Dekat mana kamu simpan kunci yang lain?"

"Hahh... Hahh...", dia tak menjawab tapi sebaliknya melihat ke arah potret gambar mereka berdua di hadapan katil. Dia menggerakkan badan dengan perlahan sambil mengengsot ke katil untuk bersandar.

Ludric melihat potret itu sebentar. Ia dilukis pada tahun lepas semasa mereka berjalan-jalan di bandar. Dia mengalih potret , ada sebuah peti simpanan yang diletak dalam dinding. Dia menekan kod yang sama untuk membuka pintu bilik.

Teet!

Tak dapat? Kod lain ke? Dia cuba memikirkan nombor lain. Setelah mencuba beberapa kali, peti simpanan masih lagi tidak memberi akses. Ludric berkerut kening sambil berfikir. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Takkanlah hari tu? Dia cuba mengingat nombor tersebut sambil menekan punat.

Klik!

Pintu peti simpanan terbuka. Dia mengambil empat buah kunci yang berlainan bentuk dan disimpan dalam poket. Dia menuju ke pintu lalu dibuka. Azrien dan Max menoleh.

"Ada?", tanya Azrien. Ludric mengangguk. Azrien bangun dan masuk ke dalam. Dia melihat pemimpin yang duduk di lantai, bersandar pada katil sambil memegang sebelah kanan perut. Bajunya basah dengan darah sendiri. Azrien memasang kolar anti genshi.

"B-boleh... kamu panggil dia? Saya ada sesuatu... nak beritahu", kata lelaki itu dengan lemah. Azrien terasa pelik. Dia lihat Ludric tak mengalami kesukaran semasa menyerang dia dan tiada tanda-tanda pergelutan.

Ludric masuk ke dalam semula selepas Azrien memberitahu. Dia memandang ke arahnya dengan dingin.

"Saya tahu kamu akan buat begini juga suatu hari nanti. Jadi saya tak terkejut. Boleh kamu datang dekat sikit?", katanya dengan lembut. Tak ada perasaan marah langsung di wajahnya.

Ludric tak menjawab, lantas duduk di atas katil. Dia mengambil sebuah kotak kecil dari dalam laci meja di tepi katil. Dihulurkan kepada Ludric.

"Saya ingat nak beri pada kamu tadi"

"Kamu guna duit tu ke untuk beli ni?"

"Tak. Saya tak pernah beritahu kamu lagi... tapi saya ada buka restoran tahun lepas. Saya gunakan duit tu. Boleh... kamu pakai tu? Kalau kamu tak nak simpan saja", dia tahu Ludric tak pernah menggunakan walau satu keping duit yang dia berikan selama ni. Dia menarik nafas dengan perlahan.

"Tengoklah", katanya. Perbualan mereka berhenti seketika.

"Sebenarnya... saya nak berhenti buat kerja ni dan mulakan kehidupan baru di tempat lain dengan kamu", dia memandang lantai.

"Nampaknya tak dapatlah kita tinggal bersama", katanya lalu tertawa kecil. Dia melihat raut wajah Ludric sebelum menyambung.

"Kalau kamu nak berhenti pun mereka tak akan lepaskan kamu semudah itu", kata Ludric selepas mendiamkan diri.

"Saya tahu... Sebab tu saya ada buat beberapa perancangan... Kita boleh tinggal di kawasan kampung di negara lain yang jauh dari sini..."

"Dan... Saya akan batalkan formasi tu"

"Saya tahu kamu tak akan maafkan saya. Tapi saya nak cakap juga..."

"Maafkan saya...", katanya sambil merenung wajah Ludric dengan sedih. Ludric tak membalas. Dia mengusap rambutnya dengan sebelah tangan dan melihat ke dalam anak mata Ludric.

"Sudah ke?", katanya tanpa perasaan. Dia tak tahu apa yang perlu dirasai bila mendengar kata-kata dia. Tapi Ludric tahu dia berterus terang dengan dirinya.

"Erm. Pergilah... bebaskan mereka. Saya akan beri mereka segala maklumat yang saya ada fasal 'mereka'", tangan dijauhkan. Muka dia sudah berubah pucat.

Ludric bangun dan melutut di hadapan dia lalu memeluk. Raut wajahnya berubah terkejut tapi dia membalas pelukan dengan sebelah tangan.

"Saya tak tahu kalau saya boleh maafkan kamu", dia bangkit berdiri.

"Tunaikan janji kamu", katanya lalu melangkah pergi. Azrien hanya mendengar dari tempat dia berdiri di luar pintu.

Mereka pergi semula ke bilik simpanan, Max berjaga di bilik. Kanak-kanak dan remaja tunduk merenung lantai atau memandang orang lain, memikirkan apakah nasib mereka selepas ini. Ludric berdiri di depan pintu salah sebuah bilik simpanan. Kunci diambil dan dimasukkan ke dalam lubang kunci.

'Dah sampai masanya ke?', fikir salah seorang remaja perempuan.

"Kamu semua boleh keluar", kata Ludric. Dia membuka semua pintu yang lain dan mereka keluar, memenuhi ruang di tengah bilik simpanan. Mereka berdua berdiri di hadapan muka pintu.

"Saya bebaskan kamu semua. Jangan risau Kapten ni akan hantar kamu semua ke rumah semula. Dan..."

"Maafkan saya sebab bawa kamu ke sini", Ludric tunduk 90 darjah. Dia membawa perasaan bersalah ini ke mana saja, setiap kali kumpulannya menculik, semasa dia sendirian atau dengan Tuan, dia rasakan semua yang berlaku pada setiap kanak-kanak dan remaja yang pernah diculik adalah sebab dirinya. Seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan umur 10 tahun berdiri di hadapannya.

"Kenapa abang minta maaf? Abang tak pernah cederakan kami pun", katanya dengan bingung. Dia masih tak menyedari dirinya diculik. Ludric mengangkat muka. Melihat wajah mulus yang tidak tahu apa-apa membuatkan dia rasa nak menangis. Matanya berkaca sedikit.

Mendengar kata-kata dia, baru Azrien perasan setiap orang di sini tiada satu kecederaan atau lebam di badan mereka.

"Nanti kamu semua dapat makan apa yang kamu nak. Jadi dengar cakap abang ya?", kata Ludric dengan lembut. Dia mengusap rambutnya.

"Betul ke? Kita nak pergi mana ni?", katanya dengan senyuman lebar.

Mereka semua berjalan sehingga sampai ke kawasan koridor yang penuh dengan kesan batuan dan ceracak. Kesatria lain di luar turun ke bawah untuk membawa mereka keluar seorang demi seorang. Ada beberapa buah khemah yang telah dipasang dan mereka ditempatkan di situ.

Ludric melihat semua ini di bawah pokok. Semua kesatria sibuk memindahkan kanak-kanak dan remaja. Azrien melihat Ludric sekilas sambil memberi arahan. Dia menuju ke arahnya.

"Kenapa termenung ni?", Ludric menoleh.

"Tak adalah. Aku penat je", tiba-tiba dia teringat sesuatu.

"Ahh. Saya lupa nak beritahu fasal laluan tu"

"Laluan?"

"Ya. Ada laluan bawah tanah. Kami gunakan untuk bawa mereka ke sempadan", jelas Ludric.

Mereka berdua menuju ke laluan yang dimaksudkan. Mereka bertiga melihat laluan koridor yang gelap gelita. Hanya lampu dari gelang dia dan Max menerangi laluan. Mengikut kata Ludric laluan ini sepanjang beberapa kilometer. Bila masa mereka buat ni?

"Saya tak sangka pula ada laluan sebesar ni bawah tanah. Kamu tahu ke bila mereka buat ni?", tanya Max kepada Ludric.

"Aku tak tahu. Laluan ni dah ada sejak saya sampai di sini. Lebih baik kamu tanya dia", Ludric merujuk kepada pemimpin.

Azrien mengeluarkan sebiji objek berbentuk bulat lalu dibaling ke udara. Ia mengeluarkan sayap lalu terbang laju ke arah kegelapan. Alat itu digunakan untuk mengukur jarak.

"Kamu rehatlah dulu. Kami perlu lakukan sesi soal siasat bila sudah sampai di Pangkalan", arah Azrien kepada Ludric. Ludric mengangguk dan berlalu pergi.

Selepas 10 minit objek bersayap tadi sampai dan mendarat di tangan Azrien. Dia melihat nombor yang tertera.

[ 7.8 Km ]

"Heh. Panjang juga. Apa kita nak buat dengan laluan ni?", tanya Max.

"Saya nak tutup. Kita kena pastikan mereka tak boleh guna laluan ini lagi", Azrien menghalakan kedua tapak tangan ke hadapan.

"Tutup?"

Azrien menarik nafas dan dihembus. Tanah disekeliling bergegar. Max melihat ceracak kristal merah yang besar muncul di segenap penjuru. Keadaan itu berterusan selama 45 minit ke sejam. Selepas ceracak memenuhi laluan sehingga ke penghujung, tangan diturunkan. Serentak dengan itu Azrien diserang dengan rasa hendak pitam. Kepalanya berdenyut-denyut. Pandangannya berpinar-pinar, badan dia terasa ditelan ombak.

"Kira!", Max pantas menyambut bahu Azrien. Dia ni!

"Saya okay lah. Tak perlu nak papah", Azrien menolak lengan Max.

"Tak. Saya nak kamu rehat dulu. Sementara kita masih ada masa", kata Max dengan serius.

Max memapah Azrien sehingga ke bilik tetamu di mana bilik pemimpin terletak. Azrien duduk bersandar pada sofa. Kepala yang masih berdenyut-denyut dipegang. Muka dia pucat. Max mengeluarkan sesuatu dari gelang di pergelangan tangan. Roti kosong yang dipek dalam plastik diberi kepada Azrien. Azrien memandang aneh ke arah Max.

"Kenapa bagi saya ni?"

"Makan ni. Awak tak makan apa-apa sejak semalam lagi", dia membuka paket dan disua ke mulut Azrien.

Azrien tak membalas tapi menyambut huluran. Roti digigit sedikit. Dia tak rasa nak makan sekarang. Kalau dia tak makan ni nanti dia membebel pula. Max ni nampak saja peramah tapi membebel mengalahkan perempuan. Badan pengawal D dan C telah pun dialih, meninggalkan kesan darah di karpet berwarna cerah.

Max menghulurkan tangan meminta plastik bungkusan selepas dia menghabiskan roti.

"Rehatlah dulu. Jangan risau. Saya pergi tengok mereka", Max berlalu keluar. Azrien mengambil bantal di tepi dan diletak pada sebelah kanan lalu berbaring. Denyutan tadi singgah semula bila dia berbaring. Mata dipejam. Beberapa biji lampu dinding pecah dan chandelier di atas hanya memancarkan separuh cahaya di seluruh bilik.

Selepas kira-kira sejam setengah, Azrien terjaga. Max yang duduk di sofa hitam satu lagi menoleh.

"Kamu dah bangun ke? Rasanya mereka akan sampai sekejap lagi", katanya. Di tangannya terdapat kertas dengan senarai nama dan maklumat penting setiap orang yang diculik.

Azrien bangun dan bersandar. Dia meraup muka sebelum melihat kertas di tangan Max.

"Itu senarai nama mereka?", tanyanya. Max menghulur. Azrien meneliti setiap nama tempat tinggal mereka. Max melihat keadaan Azrien yang kelihatan lebih baik. Kerja mereka belum selesai lagi. Ada banyak lagi yang menanti di sana.

Mereka berdua mengangkat kepala bila mendengar bunyi helikopter. Azrien dan Max lantas menuju ke tangga. Terdapat dua buah helikopter tentera yang membawa dua biji kontena yang diturunkan dengan perlahan. Ia tidak menjejak tanah, hanya tergantung di udara. Kira-kira 10 meter dari tanah.

Kanak-kanak dan remaja di khemah pertama keluar. Kesatria yang menggunakan genshi angin menggunakan angin untuk membawa mereka masuk ke dalam kontena pertama. Selepas memenuhi kedua-dua kontena, helikopter terbang tinggi dan menuju ke Pangkalan. Kesatria lain menyimpan semua khemah ke dalam formasi Simpanan.

"Kita bergerak sekarang", arah Azrien. Unit dia akan pulang semula ke Pangkalan sendiri. Ludric dan pemimpin ditempatkan dalam khemah yang sama. Tiga orang kesatria berjaga di khemah itu. Ludric menoleh ke katil sebelah kiri yang menempatkan pemimpin. Luka dia telah dijahit dan diberi transfusi darah. Dia duduk di katil satu lagi lalu mengeluarkan kotak dan melihat isi.

Ia adalah rantai berbentuk silinder dengan kristal genshi berwarna hijau gelap dengan rantai emas. Takkanlah ini cuma rantai biasa. Mesti ada sesuatu yang lain. Ludric menyimpan semula lalu berbaring.

Max menghulurkan sepinggan daging. Ia daging raksasa rusa rank C yang baru dipanggang. Azrien menyambut. Dante yang duduk di sisinya melihat ke arah daging. Seorang kesatria meletakkan sepinggan besar daging mentah untuk Dante. Azrien memotong kepada potongan lebih kecil sebelum disuap. Max sudah makan tadi memandangkan dia bersama kesatria lain yang menangkap rusa itu.

Azrien letak pinggan di paha, masih berbaki separuh lagi.

"Kenapa tak makan habis? Saya ambil sepotong saja pun", kata Max dengan risau. Daging rusa yang dia pilih boleh memulihkan semula kapasiti genshi dengan lebih cepat.

"Dah kenyang", Azrien membaling lebihan daging kepada Dante. Dante menyambut dengan mengangakan mulut lalu ditelan terus. Max menyambut pinggan. Azrien dan Dante menuju ke khemah.

Max masuk ke dalam selepas mengarahkan kesatria yang akan bertukar untuk berjaga di khemah suspek. Azrien membuka butang pada uniform. Dante yang memejamkan mata sambil berbaring di lantai dilihat sekejap. Max menuju ke hadapan Azrien dan menyentuh lehernya dengan belakang tangan.

"Saya okay lah. Awak boleh tak berhenti risau", Azrien menolak lengan Max. Sebenarnya dia rasa tak selesa sejak dalam perjalanan tadi. Dia nak tidur awal hari ni.

"Pastikan kamu makan pil tu", kata Max sambil membuka uniform dan digantung pada penyangkut baju. Dia mengambil botol air di atas meja dan dihulur kepada Azrien.

Azrien menyambut dan mengeluarkan botol plastik berwarna oren yang berisi pil. Ditelan dua biji lalu air diteguk. Uniform dibuka dan diberi kepada Max lalu dia berbaring ke arah kanvas khemah di sebelah kanan. Max menutup lampu kristal genshi di tengah khemah.

Max duduk di tepi katil sambil melihat belakang Azrien yang memakai kemeja merah berlengan panjang. Dia dapat mendengar hembusan nafas.

Dia ni selalu nak buat semua seorang diri. Kalau diikutkan boleh saja dia memanggil beberapa orang kesatria dan mage yang menggunakan genshi tanah untuk menutup laluan itu tapi dia nak juga buat sendiri. Max mengeluh perlahan. Atau dia buat sendiri sebab kristal lebih sukar untuk dihancurkan kalau 'mereka' datang semula ke situ.

"Ra... Kira... Bangunlah", panggil Max sambil menggoyang bahu Azrien yang masih lena tidur. Dia tahu Azrien susah nak bangun lepas makan pil itu.

Azrien membuka mata dan melihat Max. Mata terbuka tapi fikiran entah menerawang ke mana.

"Saya bawa sarapan awak ke sini sajalah", kata Max sambil menolak penutup kanvas khemah. Azrien kembali menutup mata.

Max masuk semula dengan dua biji pinggan di tangan. Azrien masih lagi lena tidur. Max tersenyum dan meletak pinggan di meja. Dia menggoyangkan lagi bahu Azrien. Kening dia berkerut lalu kelopak mata terbuka dengan perlahan. Muka Max dipandang sekejap sebelum dia memejam mata semula.

"Kira. Bangunlah. Nanti lambat kita nak bergerak", Max tersenyum, geli hati melihat tingkah Azrien. Dia masih penat agaknya. Lepas kes ini selesai, dia kena pastikan Azrien rehat secukupnya. Azrien bangun semasa Max sedang makan. Dia keluar sambil membawa botol air untuk mencuci muka. Dia masuk semula dengan raut wajah yang lebih segar.

"Makanlah dulu. Saya pergi suruh mereka bersiap sedia sekarang", Max berlalu keluar. Selesai makan, Azrien mencapai uniform. Dia keluar dan melihat kesatria yang lain sedang menyimpan peralatan dan khemah.

"Saya belum tahu lagi nama kamu", kata Azrien kepada Ludric. Mereka berjalan di tengah formasi, Max memimpin di depan.

"Saya Ludric. Ludric Dyne"

"Saya Azrien. Bila kita dah sampai nanti sesi soal siasat akan terus bermula"

"Saya perlu panggil kamu Kapten ke macam mereka?", tanya Ludric.

"Tak perlu. Kamu bukannya kesatria di bawah unit saya. Tapi kalau kamu nak panggil saya begitu. Suka hati kamulah", jelas Azrien. Ludric memandang ke hadapan semula.

Selepas satu malam lagi, mereka sampai di Pangkalan bila matahari memunculkan diri. Kesemua suspek ditempatkan di bilik berasingan untuk melakukan proses soal siasat. Setiap kesatria akan menyoal setiap seorang, kecuali pemimpin dan pengawal C yang masih tak sedarkan diri.

Kumpulan kesatria lain akan membuat senarai nama semua barang bukti yang dirampas. Peralatan genshi, batuan genshi, wang yang dijumpai dan lain-lain. Azrien kelihatan sibuk mengarahkan kesatria di dalam bilik utama Unit Elit. Max pula mengawasi tugasan setiap kesatria. Kesatria lain tak perasan tapi dia tahu Azrien masih kepenatan selepas menggunakan genshi dalam kapasiti yang banyak.

× × × × × × × × × × × ×

Di khemah yang terletak di luar Hutan Larangan. Ray tidak mengikut ekspedisi hari ini. Dia dan Rosalyn bergilir-gilir setiap hari. Ray masuk ke dalam khemah pasukan penyelidik. Mereka sibuk mengkaji tanah dan sampel batuan genshi yang diambil dari gua. Gilbert sedang melihat laporan tanpa menyedari kehadiran Ray.

"Encik Gilbert", panggil Ray. Gilbert mengangkat muka.

"Tuan muda. Kenapa datang sini? Ada apa-apa saya boleh tolong?"

"Tak adalah. Saya nak tengok apa yang kamu buat", dia tiada perkara lain yang nak dibuat selepas selesai berlatih dengan kesatria lain. Mikroskop yang diletakkan sampel tanah pada specimen stage dipandang. Ray melihat ke dalam lubang mikroskop. Dia dapat melihat mikroorganisma bergerak-gerak.

"Saya dengar Encik Gilbert hanya ambil badan raksasa semut. Kenapa tak ambil yang lain?", tanya Ray.

"Ahh. Bagi kami para pengkaji, sukar untuk dapatkan badan raksasa semut yang sesempurna ini. Ia sukar untuk ditangkap sebab mereka tinggal jauh di dalam tanah. Setakat ini cuma ada beberapa spesies raksasa semut yang telah dikaji", jelas Gilbert.

Ray melihat badan raksasa semut hitam bertompok merah yang telah dibedah. Dia boleh melihat organ dalaman ia. Selepas melihat perkara yang dibuat oleh pengkaji yang lain, Ray menuju ke penutup kanvas khemah putih.

"Maaflah kalau saya mengganggu. Saya tak pernah tengok bagaimana pengkaji melakukan kajian", kata Ray. Mereka semua tengah sibuk dengan tugas masing-masing.

"Tak ada apalah. Kami tak kisah pun. Sebagai pengkaji kami semua pun macam Tuan muda juga. Kami ingin membongkar lebih banyak misteri di sekeliling. Datanglah lagi kalau mahu tahu sesuatu. Kami akan jawab sebaik mungkin", kata Gilbert lalu tersenyum.

Who terbang ke arahnya dan mendarat di bahu. Ray mengusap kepala ia. Dia melihat langit biru yang terbentang luas. Setakat ini mereka tidak mengalami sebarang kesukaran. Harap-harap ini akan berterusan sehingga ekspedisi ini tamat.