Chereads / Menara D'Estelle / Chapter 50 - BAB 34

Chapter 50 - BAB 34

Beberapa hari telah berlalu, Ray menyimpan semua barang ke dalam formasi rantainya. Sangkar burung dicapai. Dia menyelak kanvas khemah. Kesatria-kesatria sedang sibuk mengemas dan menyimpan semua peralatan. Rosalyn sedang bercakap dengan Malakh di hadapan khemah pengurusan. Ray turut melihat pasukan pengkaji yang memindahkan barang ke dalam van. Ekspedisi ini berakhir lebih awal dari jangkaan mereka.

Tapi aktiviti perlombongan belum boleh bermula sebelum semua persediaan sudah dilakukan. Masih banyak lagi perlu diuruskan. Langkah kaki dihala ke arah Rosalyn.

"Terima kasih atas kerjasama Encik. Kalau ada ekspedisi lagi kami akan maklumkan", kata Rosalyn.

"Sama-sama. Saya pun tak sangka akan masuk ke sini", Malakh melihat ke arah Hutan Larangan.

"Marilah kita pergi", Rosalyn menoleh ke arah Ray.

Selepas dua jam mereka tiba di perkarangan rumah agam Lynx. Selepas menyimpan barang Ray menuju ke office Mort. Mort membaca laporan yang Ray lakukan. Mujurlah ekspedisi kali ini membuahkan hasil. Bekalan yang mereka ada kini hanya cukup sampai bulan depan.

"Kamu ada nak apa-apa ke?", Mort mengalihkan pandangan dari dokumen ke arah Ray.

"Hm..."

"Ya. Ada sesuatu yang saya nak...", Ray tersenyum.

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

Azrien melihat tanda pada peta hologram yang dipancar dari gelangnya. Cahaya jingga masuk melalui celah-celah kain kanvas khemah. Tapak perkhemahan ini dikelilingi dengan formasi camouflage. Mereka kini berada berdekatan dengan salah satu markas organisasi yang dikatakan oleh si pemimpin beberapa hari lepas. Unit Azrien dan Unit Louie akan melakukan serbuan apabila malam menjelma.

Louie melangkah masuk bersama seorang kesatria wanita di sisinya. Azrien akan menerangkan sekali lagi pelan operasi malam ini.

"Empat buah pasukan akan ditempatkan di empat lokasi ni", Azrien menunjuk bahagian utara, selatan, timur dan barat daya dari lokasi markas.

"Kumpulan saya akan masuk dahulu. Diikuti kumpulan kedua. Kumpulan kamu berdua akan bersiap sedia kalau ada yang melarikan diri. Kalau ada apa-apa berlaku saya akan hubungi kamu"

"Baiklah. Kami akan bergerak sekarang", kata kesatria wanita lalu melangkah keluar. Kesatria dari unit Azrien turut beredar untuk bersiap siaga. Meninggalkan dua orang Kapten di situ.

"Kapten Azrien. Kamu rasa alat yang dia katakan ada di sekitar sini ke?", kata Louie mengingatkan. Azrien ada maklumkan kepada dia sebelum ini.

"Kalau ada mesti sesiapa dah perasan terutamanya mage. Saya pergi dulu. Jumpa dekat sana nanti", kata Azrien lalu menyelak kanvas khemah.

Setiap pasukan sudah pun tiba di lokasi masing-masing. Azrien mendahului di hadapan diikuti kesatria di belakang. Hanya kedengaran bunyi daun berdesir dan tapak kaki mereka di sebalik bayang-bayang dedaun pokok. Dia masih tidak nampak sebarang bangunan yang dikatakan markas mereka.

"Kamu ada kesan apa-apa?", tanya Azrien kepada si mage. Ahli sihir wanita itu menyebarkan genshi ke sekeliling untuk mengesan sebarang objek. Dia dapat rasakan genshinya menyentuh sesuatu lalu dia melihat ke arah lokasi itu.

"Saya dapat kesan sesuatu. Kira-kira 200 meter dari sini"

Pasukan Azrien maju ke hadapan dan berhenti beberapa meter sebelum tiba ke tempat yang dikatakan. Mage itu menyebarkan genshinya sekali lagi, mengelilingi objek di hadapannya. Nampaknya mereka gunakan formasi penyamaran pada bangunan ini. Dia mencari lokasi formasi diletakkan lalu mereka menuju ke situ. Dia melihat sekeliling. Hm... Peliknya. Rasanya aku kesan formasi tu dekat-dekat sini.

Dia menyebarkan genshinya pada skala lebih luas dan mengesan rantaian genshi pada beberapa batang pokok. Patutlah tak jumpa. Mereka gunakan pokok ni sebagai teras untuk formasi penyamaran yang mengelilingi markas.

"Kapten. Saya tak dapat patahkan formasi ni seorang diri. Boleh Kapten minta bantuan dari pasukan lain?"

"Besar sangatkah formasi tu?"

"Ya. Ia mengelilingi markas itu. Saya perlukan enam orang mage lagi"

"Ini Alpha. Bravo, Charlie dan Delta. Sila hantar dua orang mage setiap pasukan. Over", kata Azrien pada walkie talkie.

"Ini Bravo. Boleh saya tahu untuk apa? Over", kata Louie.

"Kami perlukan mereka untuk bantu kami batalkan formasi penyamaran di sekeliling markas ini. Sila datang ke lokasi kami secepat mungkin. Over"

Selepas beberapa minit, Enam orang mage sampai ke lokasi yang diberi Azrien. Alicia, mage di bawah unit Azrien menerangkan apa yang mereka perlu lakukan. Dia menunjukkan lapan lokasi yang mengelilingi markas pada peta hologram.

"Kita perlu lakukan pada masa yang sama kalau tak sukar nak patahkan formasi ini", kata Alicia dengan serius. Mage yang lain menganggukkan kepala. Tujuh orang mage berpecah ke lokasi masing-masing sementara Alicia menuju ke pokok yang terdekat.

Setelah memastikan mereka berada di posisi masing-masing Alicia memberi arahan. Cahaya genshi bersinar serentak di lapan lokasi. Azrien dapat melihat kubah lutsinar yang besar di hadapan mula memunculkan diri. Kemudian perlahan-lahan kubah itu mula berubah pudar dan menampakkan sebuah bangunan moden dua tingkat.

Azrien memberi arahan kepada pasukan lain lalu mereka memecut masuk. Azrien menuju ke pintu masuk, seorang kesatria di sebelahnya menggunakan genshi tanah untuk memecahkan pintu. Pasukan Louie turut sampai lalu mereka berpecah, Azrien menuju ke tingkat atas manakala Louie di tingkat bawah.

'Tempat ni macam tak ada orang. Mustahil mereka tak dengar apa-apa', fikirnya bila tiada seorang pun musuh datang. Azrien mengarahkan orang bawahannya memeriksa bilik lain. Dia melangkah dengan pantas, menuju ke bilik di hujung koridor. Daun pintu ditolak kasar. Bilik itu kosong. Dia melihat sekeliling bilik. Ada meja, sofa dan beberapa perabot. Almari di sebelah kanan kosong. Azrien turun ke tingkat bawah setelah ahlinya yang lain memaklumkan penemuan mereka.

"Kapten. Tak ada sesiapa sini. Mereka dah kosongkan tempat ni", kata Louie sambil menuju ke arah Azrien.

"Panggil pasukan lain ke sini. Kita masih perlu lakukan siasatan", pasukan Charlie dan Delta sampai dan bertanya tentang situasi sekarang.

"Charlie lakukan pemeriksaan di tingkat atas. Delta di kawasan luar. Bravo di tingkat ini"

Azrien menuju ke bahagian dalam tingkat bawah, ada dapur di sebelah kanan. Dia membuka pintu berkembar selepas melalui koridor di sebelah kiri. Bilik itu kosong tapi terdapat kesan di lantai yang menunjukkan pernah ada sesuatu di situ. Berdasarkan pada keluasan bilik ini Azrien tahu ia adalah bilik mesyuarat.

Dia menuju ke ruang di sebelah kanan lobi yang merupakan ruang tamu. Ada juga beberapa buah bilik tidur di bahagian belakang. Selepas seketika Louie memberitahu penemuan mereka setakat ini.

"Kapten Azrien. Kami tak ada jumpa apa-apa yang penting. Entah dah berapa lama tempat ni ditinggalkan"

"Saya memang dah jangkakan tempat ni kosong. Tak apa. Pastikan mereka ambil gambar di setiap bilik dan kawasan luar"

"Brandon. Tolong panggil Alicia", kata Azrien kepada kesatria dari unitnya.

"Ada apa Kapten?" Alicia yang baru masuk ke dalam terus bertanya.

"Apa saja penemuan kamu setakat ini?"

"Kami ada jumpa batuan genshi bersaiz sederhana dari setiap teras"

"Kamu ada jumpa apa-apa lagi?"

"Ahh ya. Kami ada jumpa sesuatu tapi tak pasti apa benda itu. Boleh Kapten pergi tengok sekejap?"

Azrien dan Louie mengikut Alicia yang menuju ke kawasan belakang bangunan. Azrien melihat sekitar kawasan. Beberapa orang kesatria sedang mengambil gambar dan memeriksa kawasan sekeliling. Mereka menuju ke Ricky, Ketua pasukan Delta yang sedang meneliti sebuah tiang batu setinggi satu meter dengan batuan genshi sebesar penumbuk dengan corak formasi diukir di permukaannya.

Ricky menoleh bila perasan kehadiran mereka. Azrien mendekati tiang batu itu dan melihat corak formasi. Dia pernah lihat objek yang sama seperti ini semasa dia menjalankan misi.

"Kapten tahu apa benda ni?", tanya Ricky bila melihat Azrien hanya memerhati.

"Ini adalah mekanisme"

"Mekanisme?"

"Saya pernah lihat sebelum ni. Tapi biasanya mekanisme hanya boleh dijumpai di kawasan tinggalan sejarah. Ini adalah cara lama orang dahulu untuk menjaga sesuatu. Ia sama macam sistem keselamatan moden. Cuma apa yang berbeza adalah dalam formasi ni ada diletakkan perangkap", jelas Azrien.

"Perangkap?"

"Kalau ada orang cuba pecah masuk dengan mengaktifkan mekanisme ini, ia juga akan aktifkan perangkap"

"Ahh... Macam tu ya. Tapi kita masih juga perlu tahu apa disebalik mekanisme ni", kata Ricky setelah memahami penjelasan Azrien.

"Saya nak aktifkan sekarang. Semua bersedia", Ricky dan kesatria lain menjarakkan diri dari Azrien. Kenapa mereka gunakan sistem kuno ini? Apa yang mereka 'simpan' di sini?

Azrien mengalirkan genshi pada corak formasi itu lalu ia menyala dengan cahaya hijau. Cahaya yang terang bersinar dari tempat dia berdiri. Azrien melihat ke bawah. Sebuah formasi berbentuk bulatan muncul. Sekelip mata sahaja dia dikelilingi cahaya putih. Perkara terakhir yang dia lihat adalah Ricky dan Louie berlari ke arahnya.

Dia disapa kegelapan sebaik sahaja dia membuka mata. Azrien bangun sambil memegang kepala. Dekat mana ni? Dah berapa lama dia pengsan? Dia menekan skrin pada gelang untuk membuka lampu tapi tidak dapat. Kenapa tak nak menyala pula lampu ni? Habis bateri ke? Takkanlah. Gelang ini dicaj dengan genshi.

[Saya rasa ada alat yang menghalang sebarang alatan berfungsi di sekitar markas]

Dia teringat kata-kata pemimpin itu. Mereka letak dekat sini ke? Dia terasa mual dan pening kepala. Formasi tu... Kenapa ia ada di sini? Bukan formasi itu dah lama hilang? Dari mana mereka dapat? Pelbagai persoalan bermain di fikiran tanpa sebarang jawapan. Lebih baik dia kenal pasti dahulu dia di mana sekarang. Azrien bangun. Keadaan yang gelap gelita dan sunyi membuatkan dia rasa tak sedap hati. Cuma ada satu cara sahaja yang dia boleh lakukan.

Dia menyebarkan genshi ke sekeliling. Serta merta dia rasa denyutan yang menusuk di kepalanya. Azrien terus memegang kepala. Mereka letakkan peralatan anti-genshi yang berfrekuensi tinggi di sini. Dia masih boleh gunakan genshi dalam keadaan begini sebelum ini tapi nampaknya kali ini frekuensinya lebih tinggi.

Kalau cara ni tak boleh... Kali ini Azrien menyebarkan genshi dalam bentuk tali benang yang halus. Seutas tali genshi bergerak ke sekeliling dia dahulu dalam bentuk bulatan. Ia menyentuh dinding, lantai dan siling. Dia di dalam sebuah bilik kosong. Azrien gerakkan benang genshi ke hadapan. Setelah ia menyentuh sesuatu yang berbentuk seperti pintu Azrien melangkah ke arah tersebut. Dia meraba-raba pintu mencari tombol lalu dipulas.

Bebenang genshi bergerak keluar, ia menyentuh dinding dan menjalar ke sebelah kanan. Azrien berdiri di laluan koridor lalu menoleh ke kanan. Tiada apa-apa lalu dia menoleh ke sebelah kiri pula. Azrien bergerak perlahan di sepanjang koridor sambil melakar peta di mindanya. Apa agaknya yang menanti di sebalik kegelapan ini.

Sementara itu...

Louie yang sedang mengambil posisi tidak jauh dari Azrien melihat dia menyalurkan genshi pada formasi itu. Bila dia melihat cahaya formasi yang bersinar terang Louie dengan pantas menuju ke Azrien. Dia cuba mencapai Azrien tapi sekelip mata dia menghilang dari pandangan. Situasi menjadi sunyi sepi. Masing-masing terkejut dengan kejadian di depan mata. Lebih tepat lagi mereka tak percaya dengan apa yang baru sahaja terjadi.

'Tak mungkin. Kenapa formasi tu ada di sini?', fikir Louie. Di mana formasi itu menghantar Azrien. Apa yang ada dekat situ? Bermacam andaian bermain di fikirannya. Ini bukannya masa untuk panik. Louie menarik nafas lalu menoleh ke Ricky dan Alicia yang masih tampak jelas terkejut.

"Alicia saya nak kamu periksa formasi ini. Ricky panggil mage yang lain ke sini", arah Louie. Dia perlu ambil alih tugas Azrien sementara waktu.

"B-Baiklah", kata Alicia dengan gugup. Dia mendekati tiang batu dan melihat formasi dengan lebih dekat. Sebagai seorang mage dia banyak mendalami ilmu formasi genshi sama ada formasi purba atau moden. Alicia melihat corak formasi yang kompleks dan perasan ada lapisan formasi kedua di bawahnya.

"Kapten Louie. Ada lapisan kedua di bawah formasi ni. Dari koordinat pada formasi ni ia menuju ke sini", kata Alicia sambil meneliti nombor purba di dalam lingkaran formasi. Siapa yang melakar formasi ni? Satu lapisan sahaja sudah sangat sukar apatah lagi dua lapisan. Tambahan pula ia adalah formasi purba yang lebih kompleks berbanding formasi moden.

"Maksud kamu?"

"Saya rasa lokasi tempat ini di bawah tanah. Di bawah markas ini", jelas Alicia.

Ricky sampai bersama beberapa orang mage.

"Saya nak kamu bawa mereka dan cuba cari lokasi laluan masuk lain di sekitar sini. Cover kawasan 500 meter dari sini", arah Louie. Mage dari pasukannya turut sampai. Mereka kena cari tempat itu secepat mungkin. Tiada siapa tahu apa yang ada di situ atau bahaya yang menanti.

Beberapa minit berlalu sejak Azrien melangkah menyusuri koridor. Kenapa panjang sangat koridor ni? Bebenang genshi menyentuh permukaan pintu di sebelah kiri lalu dia menoleh. Dia mencapai tombol pintu di mana bebenang genshi berpusing mengelilingi ia. Daun pintu ditolak perlahan.

Azrien masuk ke dalam bilik yang dirasakan pejabat selepas bebenang genshi menyentuh perabot di dalam. Dia berjalan perlahan-lahan dengan benang genshi di hadapan. Dia menyentuh meja di hadapan sambil berjalan ke belakang meja dan mencapai tombol laci lalu ditarik. Ruang dalam laci diraba-raba. Kosong. Laci yang lain pun kosong juga.

Dia memusingkan badan ke belakang di mana almari terletak dan turut memeriksa. Kosong juga. Setelah memeriksa perabot lain dengan bebenang genshi Azrien melangkah keluar. Selepas berjalan seketika dia menjumpai pintu berkembar.

Daun pintu ditolak. Azrien dapat rasakan ruang yang luas di depannya lalu dia menggerakkan bebenang genshi dan mengesan lima buah pintu dengan dua pintu di sebelah kiri dan kanan dan sebuah pintu di hujung koridor. Azrien menuju ke pintu terdekat dan mencapai tombol pintu. Kening dia berkerut bila tangannya menyentuh sesuatu di dinding sebelah pintu lalu dia meraba objek itu. Ia adalah huruf E.

Kenapa mereka letak benda ni di sini? Benang genshi bergerak masuk dan memeriksa keadaan dalam bilik. Terdapat banyak barisan katil di sebelah kiri dan kanan. Peliknya. Betul ke ini markas mereka? Dia tak sangka layanan mereka pada mangsa adalah begini. Sebab mereka perlu jaga kualiti 'produk' ke? Keadaan bilik yang lain pun sama seperti bilik yang pertama. Cuma yang berbeza adalah setiap bilik ada huruf dengan bilik pertama ialah abjad E sehinggalah A. Mereka bahagikan 'produk' mengikut gred huh...

Selain itu, Azrien turut menjumpai fasiliti lain seperti farmasi, kafeteria dan beberapa buah bilik tidur. Sekali pandang tempat ini jauh melencong dari imej yang dia fikirkan. Azrien memandang siling.

'Rasanya sudah dalam 2 jam masa berlalu. Mereka mesti tengah cari jalan masuk ke sini. Ataupun.... Aku harap mereka tak gunakan cara tu'

~Di atas~

Setiap mage berpecah ke sekitar kawasan hutan untuk mencari lokasi laluan masuk ke ruang bawah tanah. Mereka menyebarkan genshi ke setiap pelusuk hutan tapi masih tidak menemui apa-apa.

Seorang mage lelaki yang berada agak jauh dari yang lain melihat hutan yang diselubungi kegelapan. Terdapat beberapa biji bola api terapung di sisinya.

Sudah lebih dari sejam mereka cuba mencari tapi masih tiada apa-apa. Dia mengeluh perlahan. Mungkin juga tiada laluan masuk lain selain dari mekanisme itu. Fikirnya sambil memandang tanah. Lama dia merenung sebelum mukanya berubah riak. Kenapa dia tak cuba cara ini sebelum ini?

Lantas dia menyentuh tanah dengan kedua-dua belah tangan lalu menyalurkan genshi ke dalam tanah. Beberapa saat kemudian kepala dia rasa berpinar-pinar dan terus berhenti lalu memandang tanah. Dia dapat rasa ada sesuatu menghalang atau menyekat genshinya daripada mengalir. Dia terus bangun dan berlari mencari Alicia.

Alicia yang masih lagi menggunakan formasi pengesanan menoleh bila mendengar namanya. Si mage tadi tercungap-cungap mengambil nafas.

"Alicia. Tadi saya cuba alirkan genshi ke dalam tanah tapi ada sesuatu yang menyekat. Saya rasa...", dia tidak menghabiskan ayat. Muka Alicia berubah riak bila mendengar kata-kata dia. Alicia tahu apa yang dia mahu katakan.

"Ikut saya. Kita kena laporkan pada Kapten Louie segera", dia hanya menganggukkan kepala. Mereka berdua menuju ke bangunan itu semula.

Dari jauh Alicia dapat melihat Louie sedang bercakap dengan salah seorang mage. Louie perasan mereka berdua menuju ke arahnya. Dia hairan melihat wajah mereka kelihatan tegang.

"Ada apa Alicia?"

"Saya dapat laporan ada peralatan anti-genshi di ruang bawah tanah. Dia yang jumpa", Louie terus menoleh pada lelaki di sebelah Alicia.

"Betul ke?", tanya Louie. Dia perlukan kepastian.

"Ya Kapten. Saya alirkan genshi ke dalam tanah sebab tak nampak macam ada laluan masuk lain. Dari situ saya dapat rasa genshi saya dihalang oleh sesuatu", jelasnya bila melihat muka Louie berubah serius.

"Macam yang dia katakan. Saya tak rasa kita dapat jumpa laluan masuk lain. Lagipun dah lebih dari sejam kami mencari", sambung Alicia.

Louie menopang dagu. Mereka letakkan alat anti-genshi di ruang bawah tanah dan bukannya di sini. Mereka tahu ke kami akan cuba masuk ke dalam? Sekarang mereka tak ada banyak pilihan. Sama ada mereka perlu tunggu sehingga Azrien dapat memberi sebarang isyarat atau dia perlu cari cara lain.

Persoalannya sekarang, berapa lama mereka perlu tunggu?

Azrien berada di tempat yang mereka tidak tahu lokasinya seorang diri. Tambahan pula tempat itu ada dipasang alatan anti-genshi. Kalau ada sesuatu yang tidak diingini berlaku macam mana Azrien mahu mempertahankan diri?

Louie melepaskan nafas geram lalu melihat mekanisme yang bersinar malap.