Lautan biru nampak lebih tenang di bahagian dalam air. Sekawanan ikan tuna dewasa berenang dengan bebas. Nun jauh kelihatan beberapa ekor ikan paus. Ikan paus biru berenang bersama ikan paus Narwhal di tengah. Tanduk yang panjang di hadapan membuatkan ia nampak seperti haiwan yang megah walaupun saiznya lebih kecil.
Ikan paus Norwhal melihat keadaan wilayah jajahannya dengan tenang. Ikan-ikan yang lalu lalang berenang dengan perlahan bila melihat ia.
Selepas sejam, mereka sampai ke destinasi. Kelihatan sebuah bandar moden yang dikelilingi kubah lutsinar di bawah lautan yang dalam ini. Bandar itu bersinar terang. Kawanan ikan paus menuju ke bahagian bawah kubah yang bertutup dengan besi tebal. Sebuah ruangan segi empat terbuka, mereka berenang ke arahnya dan masuk ke dalam. Pintu halangan hidraulik tertutup dan air mula berkurangan.
Ikan-ikan paus itu timbul di permukaan dan menghembuskan air dari lubang di atas kepala. Ruangan itu kelihatan seperti pangkalan tentera dengan kesatria yang bergerak melakukan tugasan masing-masing. Sekumpulan orang bergerak dari jambatan besi di atas untuk menuju ke bahagian bawah.
Kabus muncul di tepi jeti dan tiga orang demi-human muncul dari sebalik kabus. Seorang jejaka berambut putih panjang dan bertanduk di tengah dahi diiringi dua orang pengawal di kiri dan kanan.
Mereka sampai dan menunduk hormat kepada tetamu jemputan. Seorang jejaka berpakaian sut hitam dan wanita yang elegan dengan gaun merah jambu paras lutut mendekati.
"Selamat datang Tuanku. Sila ikut kami", kata wanita itu dengan senyuman. Mereka melangkah masuk ke dalam lif lutsinar. Jejaka bertanduk itu dapat melihat ruangan pangkalan yang luas dan dipenuhi dengan bermacam pengangkutan tentera.
Selepas beberapa minit, lif terbuka, mereka melangkah menyusuri koridor dengan lantai marmar putih. Di hadapan pintu masuk sebuah limousin putih sudah menunggu. Lima orang tersebut masuk ke dalam, meninggalkan kumpulan pengawal di hadapan bangunan itu.
Jejaka itu melihat ke luar tingkap, bandar tersebut kelihatan jauh lebih canggih dan moden berbanding bandar manusia yang dia pernah lihat di daratan. Mereka sampai di sebuah restoran tiga bintang Michelin yang memiliki empat tingkat. Mereka masuk ke dalam lif untuk ke tingkat paling atas. Seluruh tingkat kosong, mereka masuk ke bilik VIP yang ditempah khas. Pekerja sedang menyusun lauk pauk dan terus melangkah keluar.
Mereka duduk di kerusi bahagian hadapan meja segi empat memanjang. Sambil makan mereka berborak.
"Apa pendapat Tuanku dengan hidangan ini?", kata jejaka yang memakai sut.
"Okay", balasnya bersahaja. Dua orang pengawal hanya berdiri di belakangnya.
Pekerja sedang mengemas meja dan meninggalkan seteko air teh panas yang telah dituang dalam cawan teh. Wanita dengan rambut hijau pastel menawan memberi fail hitam kepadanya. Dia membelek isi kandungan sambil mendengar penjelasan wanita itu.
"Seperti yang pihak atasan telah bincangkan sebelum ini kami akan menggunakan laluan ini pada awal tahun hadapan. Tuanku ada ingin membuat sebarang perubahan?", katanya.
"Hmm... Macam mana dengan Projek World itu?", katanya.
"Ia masih dalam proses. Kenapa Tuanku tanya?", jejaka tampan di hadapannya bertanya soalan yang tiada kena mengena dengan perbincangan ini.
"Tak ada apa", fail ditutup dan diletak tepi. Dia melihat jejaka bersut di hadapan.
"Kamu ada rasa sesuatu tak dalam beberapa hari ni?", tanyanya sambil bersilang tangan.
"Hmm? Rasanya tak ada. Kenapa Tuanku?", katanya dengan hairan.
"Kalau tak ada tak apalah. Lepas ini tak ada apa lagi kan?", dia menoleh ke arah wanita itu pula.
"Ya. Tuanku ada nak pergi mana-mana? Kami boleh iringi Tuanku", katanya dengan ramah.
"Tak perlu. Saya perlu pergi sekarang. Kalau pihak kamu ada hal hubungi kami dengan itu seperti biasa", katanya lalu berdiri.
'Pelik... Aku seorang saja ke yang dapat rasa?', fikirnya di dalam limousin sambil melihat dua orang wakil itu. Dia pernah tanya soalan yang sama kepada orang lain, mereka juga memberi jawapan yang sama.
Sudah tiba masanya ke? Selama ini aku tak pernah lihat ia berikan reaksi seperti itu. Kenapa sekarang?
Jauh di dalam lautan dalam, kelihatan sebuah objek bersinar terang menerangi lautan yang gelap gelita. Ikan-ikan berwajah aneh di sekeliling menjauhkan diri dari pancaran cahaya yang dikeluarkan oleh objek itu.