Langit biru kelihatan bergerak laju seiring dengan gerabak kereta api yang membelah langit. Raphael membaca buku digital di telefon pintar. Sesekali dia melihat jejaka berambut biru di hadapan yang sedang menghirup teh susu.
"Raphael. Kamu baca apa tu?", tanyanya.
"Buku fasal tumbuhan dan bunga"
"Ohh. Kamu suka bunga ke?", dia tersenyum nipis.
"Taklah. Saya ada mulakan kajian baru", dia meletak telefon di tepi meja. Cawan teh dicapai lalu dihirup.
"Mana mereka?", pembantu berambut putih tidak kelihatan.
"Saya minta mereka ambilkan manisan", seorang jejaka berpakaian kasual dan pembantu Raphael sampai dengan beberapa biji pinggan. Dia meletakkan kek tiramisu di hadapan Raphael.
Sesi perasmian dan pembukaan Aquarium Hamparan Angkasa akan diadakan dalam beberapa hari lagi. Mereka dalam perjalanan ke Verharen sejak pagi semalam, menaiki perkhidmatan kereta api Sky Circular. Raphael melihat gegelung kuning yang terapung di udara. Ia digunakan sebagai trek kereta api yang bergerak di udara.
"Awak tak nak lagi ke?", kata jejaka di hadapannya. Pinggan yang berisi kek coklat tadi sudah kosong, di mengambil kek cawan pula di piring tingkat.
"Sekejap lagi kita nak makan tengah hari. Tak payahlah makan banyak sangat", kata Raphael. Dia melihat penumpang lain yang berborak riang. Pekerja sedang membantu penumpang yang ada di gerabak kelas pertama yang lebih mewah. Kerusi beralas dengan kusyen lembut sesuai untuk perjalanan dalam tempoh panjang.
"Bila kita sampai?", tanya Raphael.
"Lewat petang ni. Kita perlu naik feri dulu dan akan sampai esok pagi mengikut jadual", balasnya.
Raphael mendekatkan diri ke tingkap bertutup dan melihat ke bawah. Mereka berada di ketinggian 3600 kaki. Bangunan di bawah kelihatan seperti mainan. Istana Kristal dapat dilihat dari sini, ia nampak seperti tompokan di langit. Raphael mencapai telefon dan sambung membaca, sesekali dia menulis sesuatu di buku nota.
Dia mengangkat muka bila terhidu bau makanan. Seorang pekerja meletakkan pinggan dan lauk pauk yang pelbagai di tengah meja. Makanan laut. Ada kupang, sotong, udang, salad, sup rumpai laut dan buah-buahan. Pembantu dia nampak terliur dengan bau makanan yang mengiurkan. Raphael mengaut sedikit setiap lauk yang ada dan diletak di pinggan dia.
"Makanlah banyak sikit. Kalau kamu nak lagi cakap saja", katanya bersahaja. Dia nampak kurus sedikit, sebab dia banyak berlatih ke? Setiap pembantu yang berkhidmat kepada ahli Kerabat akan menjalani pelbagai jenis latihan. Mereka juga diwajibkan untuk mempelajari seni mempertahankan diri dan kemahiran lain. Shawn melihat interaksi dua orang di hadapannya.
Mereka makan dengan senyap. Sesekali mereka akan mengaut lagi lauk. Makanan di meja mula berkurangan. Selesai makan, mereka diberikan pencuci mulut, aiskrim strawberi untuk dia, vanilla coklat untuk pembantu di sebelahnya, coklat dan mango untuk dua orang jejaka di hadapannya. Selesai makan, Raphael menuju ke bilik air sebentar. Selepas 20 minit, dia duduk semula di gerabak.
"Raphael. Awak masih nak duduk sini?" tanyanya.
"Ya. Kenapa?"
"Saya nak masuk bilik dulu. Kalau awak perlukan apa-apa beritahu saya", dia bangun dan memberi senyuman lalu melangkah pergi. Raphael melihat belakang dua orang jejaka itu. Pembantu dia beralih untuk duduk di hadapannya.
Raphael sambung membaca sementara dia sedang membaca buku yang diberi Sebastian. Tanpa sedar masa sudah berganjak ke pukul 3:15 petang. Raphael masuk ke bilik untuk berehat sementara menunggu kereta api tiba di stesen.
Jaket diletak tepi. Selepas mengemas barang Raphael berbaring sambil melihat lukisan mural di siling. Bilik VIP ini terasa sunyi dengan hanya kehadiran dia. Kadangkala dia akan membawa si arnab ke dalam bilik tapi dia tak boleh bawa si arnab bersama mereka. Dia memusingkan badan ke kanan. Tingkap dapat dilihat. Dia mula terlelap sambil melihat bayangan tingkap di karpet.
Kring!~
Alarm telefon berbunyi. Raphael membuka mata. Cahaya jingga memancar masuk ke dalam, membuatkan bilik kelihatan bercahaya. Dia mencuci muka dan bersiap. Mereka sudah menunggu di ruangan tempat duduk penumpang di gerabak sebelah.
"Tuan dan puan sila duduk dan pasang tali pinggang keselamatan masing-masing. Kita akan mendarat sebentar lagi. Saya Konduktor Liew mengucapkan terima kasih kerana memilih perkhidmatan Circular Sky. Sehingga kita bertemu lagi", kata suara di pembesar suara.
Kereta api mula bergerak dalam bentuk pusingan yang menuju ke bawah. Gerabak bergegar bila menyentuh laluan trek kereta api. Ia bergerak perlahan lalu masuk ke dalam stesen. Mereka membuka tali pinggang keselamatan dan bangun untuk beratur keluar.
Raphael berdiri di belakang jejaka berambut biru. Sebaik sahaja sampai giliran mereka keluar, Konduktor Liew dan semua krew menunggu di luar. Mereka menundukkan kepala tanpa berkata apa-apa. Membuat penumpang lain tertanya-tanya siapakah mereka. Jejaka di hadapannya melangkah ke arah Konduktor Liew dan menepuk bahu dia.
"Tak perlulah formal sangat. Kami gunakan kereta api ini macam penumpang lain juga", dia tersenyum lebar. Krew wanita di belakang terkaku melihat senyuman jejaka tampan itu.
"Encik berpuas hati dengan perkhidmatan kami?", tanya Konduktor Liew. Semua krew kelihatan gelisah menanti kata-kata dia.
"Ya. Saya ada berikan feedback. Kamu boleh baca sendiri nanti. Baiklah. Saya kena pergi sekarang. Saya harap dapat menggunakan perkhidmatan kereta api ini lagi", mereka semua tunduk lagi. Raphael melihat ke arah mereka sekilas. Semua krew kelihatan terpegun dengan kecantikan sepasang mata biru langit miliknya. Konduktor Liew berdehem. Membuatkan mereka tersedar dan pantas bergerak melakukan tugasan masing-masing.
Mereka sempat sampai ke stesen feri pada jam 7.15 malam, feri terakhir hari ini. Selepas makan malam, mereka beredar ke bilik. Raphael menutup lampu, dia menuju ke balkoni dan melihat pantulan bulan di permukaan air yang beralun lembut.
[1.30 p.m.]
Mereka turun dari feri dan menaiki kereta kuda ke Bandaraya Cynline dan menuju ke hotel yang telah ditempah. Raphael melihat kesibukan bandar itu di ruang balkoni di tingkat VIP, tingkat 20. Angin membelai lembut wajahnya. Laut yang bersinar seperti permata dipandang. Aquarium Hamparan Angkasa terletak di kawasan luar bandar, kira-kira 20 kilometer dari sini. Sesi perasmian akan bermula dua hari lagi.
Tok! Tok!
Raphael membuka pintu. Jejaka di hadapannya sudah menukar baju kepada pakaian yang lebih kasual. Tapi ia masih menyerlahkan ketampanan dia.
"Jomlah kita pergi makan luar. Saya dah tempah di restoran terdekat", katanya. Mereka berempat masuk ke dalam restoran bertingkat, selepas memberitahu tempahan mereka menuju ke tingkat paling atas, tingkat tiga. Ia adalah ruang terbuka dengan pemandangan laut yang indah. Tingkat ini dihiasi dengan pelbagai bunga segar dan setiap ruang dibahagikan dengan tumbuhan hijau sebagai penghadang.
Dia mengambil gambar sebelum mula makan. Raphael mengambil isi udang galah yang dimasak dengan cili padi. Pembantu dia semakin bertambah nasi. Selepas itu, mereka berjalan-jalan di sekitar bandar, keluar masuk pelbagai jenis kedai. Raphael mencapai beberapa buku mengenai tumbuhan di negeri ini dan juga tumbuhan dalam laut. Sebelum pulang mereka membeli makanan street food.
Raphael duduk makan di balkoni bilik sambil melihat cahaya yang menyinari seluruh bandar.
Mereka melangkah turun dari kereta kuda di hadapan pintu utama Kerabat Artorius. Si kucing menjenguk di sebalik tiang. Siapa mereka ni mew? Pintu terbuka.
"Selamat datang Tuan muda dan Cik muda. Silakan masuk", Victor dapat melihat si kucing mendekati Raphael di belakang. Si kucing menarik jaket dia. Raphael menoleh ke bawah.
"Hmm? Dari mana kamu datang ni?", kata jejaka di sebelahnya sambil tersenyum. Comel betullah si kucing ni. Dia mengusap lembut rambutnya. Victor tersenyum saja.
Mereka duduk menunggu di ruang tamu yang tidak berpintu. Ruang segi empat ini dikelilingi dinding cermin. Si kucing mengambil biskut dari balang. Seorang pembantu wanita membawa dulang dan menuang air teh dan meletak tepi teko sebelum berlalu pergi. Mereka semua berdiri bila melihat tuan rumah sampai. Vyrut menunjukkan kepala sedikit.
"Kamu buat apa dekat sini hmm? Mari sini", kata Vyrut kepada si kucing. Si kucing duduk di tepi dia.
"Siapa si comel ni?", tanya jejaka itu.
"Salah seorang kesatria kami adalah seorang demi-human. Mereka tinggal bersama di sini. Boleh saya tahu nama kamu?", kata Vyrut. Dia belum pernah berjumpa dengan ahli Kerabat Ephriem yang lain sebelum ini.
"Ahh. Saya Shawn Lee Isaia. Ini kali pertama kita bertemu. Saya dengar kamu sekelas dengan Raphael", katanya sambil melihat sepasang mata ruby yang bersinar dek cahaya matahari dari luar. Warna mata itu ada daya tarikan tersendiri.
" Saya Vyrut le Ciel. Ya. Kami graduasi bersama tahun lepas. Maaflah. Cuma saya dengan adik saya saja di sini. Abang-abang saya sibuk", jelas Vyrut.
"Tak apalah. Kami akan berada di sini selama seminggu. Jadi mungkin saya boleh berjumpa dengan mereka pada hari lain"
"Mana Adam?", tanya Raphael.
"Sekejap lagi dia datang. Dia sedang berlatih pedang", balas Vyrut. Mereka berborak seketika, Adam melangkah dengan pantas. Dia menundukkan kepala sedikit dan menoleh ke arah tetamu.
"Terima kasih sebab menunggu. Saya Adam", dia berjabat tangan dengan Shawn dan duduk bersebelahan Vyrut.
'Ini mesti dia. Amber huh', fikir Shawn. Dia tak pernah jumpa orang dengan mata Amber sebelum ini. Dia nampak macam budak baik.
"Hello Raphael", kata Adam sambil tersenyum lebar.
Raphael sekadar menundukkan kepala sedikit. Selepas berbincang mengenai sesuatu, Vyrut membawa Shawn melihat sekitar kediaman.
"Ermm... Raphael. Boleh saya tanya sesuatu?", kata Adam dengan teragak-agak.
"Hmm? Apa dia?", Raphael menghirup teh panas.
"Boleh tak awak tengokkan teknik pedang yang saya baru berlatih? Kalau boleh saya nak minta tips juga", kata Adam sambil meramas jari dengan gelisah.
"Okay. Tapi boleh kamu tunggu. Lepas hari perasmian aquarium kami akan datang sini lagi", balas Raphael selepas berfikir seketika.
"Baiklah. Saya boleh tunggu. Erm... Kalau awak nak saya boleh tanya abang untuk jemput kamu semua tinggal di sini. Tak perlulah ulang alik nanti", kata Adam. Dia tak mahu menyusahkan Raphael untuk berulang alik ke sini dari hotel.
"Saya kena tanya Shawn dulu. Kalau boleh nanti saya beritahu kamu"
x x x x x x x x x x x x x x x x x
Vyrut membawa Shawn ke taman bunga, mereka berborak sambil melihat bunga yang kembang mekar. Shawn menyentuh bunga yang sebesar bunga ros dengan warna biru langit dengan bahagian tengah yang lebih gelap warnanya. Kelopak di bahagian luar lebih besar dan mengecil di tengah
"Bunga apa ni?", tanya dia sambil menoleh ke arah Vyrut.
"Itu bunga Kelopak Langit. Bunga ini banyak tumbuh di sini", balas Vyrut. Dia ternampak sepasang telinga arnab di belakang pokok berdekatan pagar putih di hadapan. Vyrut mendekati dan melihat di belakang pokok. Si arnab dengan bulu putih bertompok hitam menoleh. Shawn turut mengekori dan melihat si arnab.
"Bulu dia bertompoklah", kata Shawn sambil tersenyum. Dia tak pernah jumpa arnab yang bertompok bulunya.
"Banyak arnab selalu datang sini. Kami biarkan pagar di belakang taman ini terbuka supaya mereka dapat masuk", jelas Vyrut. Shawn cuba mendekatkan tangan untuk mengusap rambut si arnab. Tapi si arnab pantas menyorok di belakang Vyrut dan melihat Shawn dari belakang kaki dia.
"Arnab memang pemalu sikit ya", kata Shawn.
"Ya. Dia cuma rapat dengan orang dia kenal saja", kata Vyrut sambil mengusap lembut rambutnya. Mereka menuju ke tempat kesatria berlatih. Kesatria-kesatria itu sedang berlatih pedang sesama sendiri dengan Emylle memerhati di tepi.
"Dia tu...", kata Shawn bila melihat sepasang telinga kucing Emylle.
"Dia abang kepada si kucing tadi", Emylle menoleh lalu menunduk hormat bila melihat kedatangan tetamu Vyrut.
"Ada yang lain juga ke?", tanya Shawn sambil melihat kesatria lain.
"Ya. Kami ada ambil beberapa orang demi-human sebagai sebahagian kesatria. Tapi tak ramai yang mampu lulus ujian yang kami lakukan setiap setengah tahun", jelas Vyrut sambil berjalan.
"Awak tahu kan fasal Kerabat kami?", tanya Shawn sambil menoleh. Mereka berhenti seketika di laluan berbumbung.
"Ya. Saya tahu", balas Vyrut. Kenapa dia tanya fasal tu tiba-tiba?
"Saya sendiri pun tak faham kenapa mereka tak suka demi-human. Maksud saya mereka comel sangat terutama budak-budak tadi", Vyrut mendengar saja.
"Tapi sejak awal tahun ni Tuan Ephriem mula bawa masuk pekerja demi-human dan puak yang tinggal berdekatan kediaman kami. Saya lega sebab ada perubahan tahun ni", tambah Shawn lalu tersenyum nipis.
"Boleh kamu aturkan masa supaya saya dapat bercakap dengan abang kamu?", tanya Shawn. Dia tahu anak sulung Kerabat Artorius tinggal di sini. Kalau perancangan ini berjaya tak sia-sia dia datang sini.
"Baiklah. Jadi maksudnya awak akan tinggal di sini lebih lama?", tanya Vyrut memastikan.
"Ya. Sila hubungi saya secepat mungkin. Maafkan saya kalau menyusahkan kamu", kata Shawn dengan perasaan serba salah.
"Tak apa. Kalau tak keberatan boleh awak bagi saya nombor telefon?", Vyrut mengambil telefon pintar dari poket jaket. Mereka memberi nombor telefon masing-masing sebelum masuk ke dalam semula.
"Kami pergi dulu", kata Shawn sambil berjabat tangan dengan Vyrut. Dia melihat si kucing di belakang Vyrut yang melihatnya dengan mata bundar. Comelnya dia.
× × × × × × × × × × × × × ×
Beberapa orang kesatria berjalan menuju ke bilik soal siasat. Salah seorang kesatria berhenti di hadapan bilik dan mengetuk pintu. Dia memberi kertas yang dikepil bersama laporan kepada Azrien.
Azrien meneliti isi kandungan laporan sebelum kembali meneruskan sesi soal siasat.
"Saya nak tahu dekat mana saja kumpulan kamu buat kerja ni", tanya Azrien.
"Kami sasarkan tempat yang ramai orang kaya dan juga tempat setinggan. Pelanggan kami nakkan produk yang berkualiti tinggi yang datang dari keluarga orang kaya", kata Ludric.
"Bagi tempat setinggan tu, ada keluarga yang akan jual anak mereka sendiri untuk dapatkan duit. Jadi kami beli dari mereka", tambahnya lagi. Azrien menulis di buku nota.
Ludric memberitahu tempat-tempat yang mereka gunakan di beberapa buah negeri untuk mengumpul semua kanak-kanak dan remaja. Dia turut menjelaskan tentang kumpulan-kumpulan lain selain mereka yang beroperasi di negeri lain dan sebuah markas lagi yang terletak di dalam hutan.
"Kamu tahu ke dekat mana?", tanya Azrien. Nampaknya dia akan lebih sibuk selepas ini.
"Aku tak tahu. Aku tahu pun sebab dia yang cakap. Dia cuma orang bawahan kepada mereka. Dia mungkin tahu dekat mana markas tu", kata Ludric.
"Haih... Okay. Saya nak kamu cam semula orang-orang yang kamu culik dalam ni dan tandakan. Nanti saya datang lagi", Azrien memberi sebuah buku tebal dengan gambar mangsa yang diculik. Dia keluar dari bilik itu dan terserempak dengan Max.
"Macam mana dengan yang lain?", tanya Azrien. Bilik-bilik lain menempatkan ahli kumpulan Ludric.
"Rasanya sekejap lagi selesai. Jadi cuma tinggal dia dan seorang lagi", balas Max. Dia melihat kesatria lain sedang membawa mereka masuk ke dalam sel tahanan semula. Sudah dua jam berlalu sejak mereka mulakan sesi soal siasat ini. Mereka juga perlu soal siasat pengawal dan juga pemimpin mereka di wad pesakit hospital tentera.
"Awak nak makan ke? Saya pergi ambilkan", kata Max. Sekarang sudah pukul dua petang. Menguruskan kesemua barang yang telah dirampas mengambil masa sebab mereka perlu kenalpasti beberapa barang yang dijumpai di bilik bawah tanah di bilik pemimpin. Beberapa barang tersebut dibeli dari auction dan ada juga yang tidak diketahui kegunaannya.
"Ambilkan untuk dia juga", Max mengangguk, faham yang seorang lagi tu untuk Ludric. Dia bergegas ke cafe. Azrien duduk di bangku besi sebelah mesin minuman. Seorang kesatria menghulurkan setin air kopi susu kepada Azrien.
"Kapten dah selesai? Minumlah dulu", katanya. Azrien menyambut dan membuka penutup tin lalu diteguk sedikit. Selepas mengetahui skala kes ini, unit dia bekerjasama dengan unit kesatria di hadapannya. Jejaka berambut biru dan bermata kelabu itu adalah Kapten bagi Unit Elit kesatria di bawah ketenteraan empayar.
"Terima kasih. Kamu dah selesai ke?", tanya Azrien. Dia membuka sarung tangan dan disimpan dalam poket seluar. Kesibukan tadi membuatkan dia terlupa, biasanya dia hanya pakai bila perlu berlawan saja.
"Ya. Saya akan beri maklumat yang kami ada nanti", balasnya. Dia melihat rambut blond keemasan Azrien yang bersinar. Ia nampak lebih baik dari yang dia dengar. Unit di bawah pimpinan Azrien selalu keluar menjalankan pelbagai misi, ini kali pertama dia dapat berjumpa dengan Azrien, si malaikat maut yang menjadi topik perbualan.
"Selepas ini selesai kita-", kata Azrien sambil berdiri, tapi kepalanya tiba-tiba berdenyut kuat membuatkan badan dia rasa terhuyung-hayang.
"Kapten Azrien!", katanya dengan panik. Dia menyambut bahu Azrien. Azrien memejam mata sambil memegang kepala.
"Kira!", Max yang baru sampai terus bergegas ke sisi Azrien.
"Kenapa dengan Kapten Azrien?", tanya dia. Dia membantu Azrien duduk semula. Azrien membuka mata dengan perlahan.
"Dia terlebih guna genshi", balas Max sambil mengambil sandwich dalam beg plastik. Dia tahu Azrien tak mahu makan sangat pada waktu sibuk begini jadi dia beli beberapa keping sandwich.
"Untuk apa?", katanya dengan keliru. Dia dengar unit mereka berjaya tangkap mereka tanpa sebarang kesulitan.
"Kami nak beritahu fasal ni masa perbincangan nanti tapi nampaknya saya kena beritahu lebih awal. Kami ada jumpa laluan bawah tanah di bawah pangkalan itu yang menuju ke sempadan. Sepanjang 7.8 kilometer dan dia tutup laluan tu dengan menggunakan genshi sampai jadi macam ni", jelas Max. Walaupun dia ada rehat sekejap selepas itu ia masih tak cukup. Sepatutnya dia berada di bilik sekarang ni untuk berehat. Dia boleh saja minta kesatria lain uruskan Ludric tapi dia degil juga nak buat sendiri.
"Ohh. Kenapa Kapten tak rehat saja? Kamu boleh uruskan ini", katanya.
"Haih... Kapten tak akan dengar pun. Kapten. Makan ni dulu", dia memberi beberapa keping sandwich yang dipek dalam bekas plastik. Azrien makan saja sebab dia tengah lapar juga.
Selepas makan dia ambil dua biji pil lalu ditelan bersama air kosong. Mereka berdua berdiri sahaja di tepi, melihat Azrien.
'Pil tu...', fikirnya. Dia pernah nampak tapi dekat mana ya?
"Saya sambung sekejap lagi. Lepas tu saya rehat", kata Azrien sambil melangkah masuk. Max mengeluh perlahan. Dia melihat Max. Mereka berdua nampak rapat dari reaksi yang dia lihat tadi.
Azrien memberi bungkusan makanan yang dibeli Max tadi kepada Ludric. Dia mengambil fail tadi dan melihat gambar yang telah ditanda. Ludric memberi senarai nama yang dia tulis di kertas kepada Azrien.
"Mereka tak ada dalam tu", katanya. Senarai nama yang dia beri adalah mereka yang datang dari keluarga miskin. Azrien tanya beberapa soalan lagi dan memberitahu sesi ini telah selesai.
"Ludric. Kalau kamu diberi peluang kedua kamu nak buat apa?", tanya Azrien.
"Hmm? Peluang huh... Hmm... Mungkin saya nak jadi seorang kesatria supaya saya dapat belasah orang-orang macam ni", katanya sambil memikirkan bagaimana nasib kanak-kanak dan remaja lain yang pernah dia berikan kepada pelanggan mereka selama ini.
"Saya faham. Ludric. Selepas kes ini selesai kamu masih nak jadi seorang kesatria?", tanya Azrien.
"Bukan aku perlu jalani hukuman dulu ke? Boleh ke orang macam aku ni jadi kesatria? Aku ada rekod hitam pada nama. Mustahillah", katanya dengan pasti.
"Kalau ada apa-apa saya akan panggil kamu lagi", kata Azrien lalu beredar keluar. Seorang kesatria masuk untuk membawa Ludric ke sel tahanan.
Max yang menunggu di luar mengambil fail di tangan Azrien. Dia perasan wajah Azrien pucat sedikit. Kesatria di sebelah dia nampak risau. Dia gelisah sepanjang menunggu di luar, bimbang kalau Azrien tiba-tiba pengsan.
"Saya masuk bilik dulu. Saya serahkan perbincangan tu pada kamu berdua", kata Azrien.
"Ya. Kapten rehatlah dulu", kata Max. Kapten Unit Elit di sebelah Max menganggukkan kepala.
Sampai dalam bilik, Azrien mencampakkan saja uniform dan tali leher di lantai. Dia terus menghempaskan diri di tilam yang empuk sambil membuka butang pada baju kemeja. Dante keluar lalu menjilat tangan Azrien yang terdampar di tepi katil. Dia tersenyum nipis lalu mengusap kepala Dante.
Kelopak mata dia semakin kuyu sambil melihat Dante lalu tertidur dengan lampu meja menyala.