Chereads / Menara D'Estelle / Chapter 8 - BAB 5

Chapter 8 - BAB 5

Seperti biasa Vyrut akan bangun tepat jam 6 pagi. Selepas membersihkan diri dia terus membeli sarapan. Sampai di cafe dia hairan kenapa banyak peserta beratur. Biasanya jam begini belum ada orang lagi di sini. Kemudian dia ternampak notis pada skrin apabila dia mendongak.

MAKANAN DIEDARKAN SECARA PERCUMA BERMULA HARI INI DAN ESOK.

'Ah... Patutlah', fikir Vyrut. Kebanyakan peserta di sini adalah orang kebanyakan jadi situasi begini lebih banyak menguntungkan mereka.

Sampai gilirannya Vyrut memesan dua set English Breakfast dan juga dua paket buah. Setelah bersusah payah keluar dari kesesakan itu Vyrut terus menuju ke bilik Adam.

"V... ?", kata suara yang cukup Vyrut kenal. Dia menoleh ke belakang.

Seorang budak lelaki sebaya dirinya dengan rambut merah berapi dan sepasang mata kelabu melihat ke arahnya. Lelaki itu tersenyum nipis sambil melangkah mendekati Vyrut.

"Awak pun lulus juga ya?", katanya. Dia melihat plastik di tangan Vyrut.

"Awak baru nak sarapan ke? Apa kata makan dengan saya?", katanya lagi dengan senyuman. Matanya tertancap pada rantai di leher Vyrut.

Vyrut tidak membalas sebaliknya melangkah pergi. Dia tahu Vyrut akan mengelak jadi dia menyambar pergelangan tangannya. Langkah kaki Vyrut terus terhenti. Dia tidak mahu memandang ke arahnya.

"Tunggu... V... Tak boleh ke kita cakap sekejap. Saya ada sesuatu yang hendak dibincangkan", katanya dengan berhati-hati. Bimbang Vyrut akan cuba lari lagi.

"Saya... tak ada apa nak dibincangkan dengan awak. Lepaskan tangan saya", kata Vyrut dengan dingin.

"Tidak. Saya tak akan lepaskan. V itu bukan-"

"Cukup! Tak payah cakap apa-apa! Itu memang salah saya!", jerit Vyrut tiba-tiba. Dia tunduk memandang lantai.

Dia menolak bahu Vyrut supaya dia menghadap ke arahnya. Tapi Vyrut masih memalingkan wajahnya.

"V. Sampai bila awak nak mengelak begini. Kita kawan kan? Saya tahu itu bukan salah awak", katanya dengan lembut. Sebenarnya dia tidak tahan berpisah dengan sahabatnya. Selama ini mereka selalu bersama.

" Saya...rasa lebih baik kita tamatkan di sini saja", kata dengan perlahan.

" Tidak! Saya tak benarkan! V. Kalau betul awak nak tamatkan kenapa awak masih pakai rantai tu?", kata lelaki itu.

Vyrut menggenggam rantai dengan tangan kirinya. Jauh di sudut hatinya dia rindukan sahabatnya tetapi dalam masa yang sama dia rasa bersalah. Dia sekadar tunduk merenung lantai. Rantai itu adalah hadiah pemberian sahabatnya sejak kali pertama mereka berkawan. Dia ada rantai yang sama.

"V?", dia memanggil. Genggaman pada bahu Vyrut dilepaskan . Tak sedar pula dia genggam terlalu kuat.

"Berikan saya masa. Saya nak fikir dulu", kata Vyrut. Dia masih keliru antara mendengar penjelasan sahabatnya atau membiarkan sahaja. Dia tahu isu ini tidak akan selesai selagi dia masih mengelak begini.

" Okay...", dia tersenyum lega.

"Awak...nak tak makan dengan saya?", tanyanya lagi.

Vyrut memandang ke arahnya.

"Kali ini saja", kata Vyrut sambil memalingkan wajahnya. Dia tersenyum gembira.

"Saya pergi ambil makanan. Tunggu sekejap ya", katanya sambil berlari-lari anak ke arah cafe.

Vyrut melabuhkan punggung di bangku besi berdekatan. Tentu Adam tengah tunggu dia sekarang. Dia menoleh ke arah laluan yang menuju cafe. Selepas 10 minit, kelibat dia kelihatan.

" Maaf. Saya lambat. Banyak orang tadi", katanya sambil tercungap-cungap mengambil nafas. Dia berlari pun sebab bimbang Vyrut akan menghilangkan diri.

Vyrut terus melangkah pergi tanpa menunggu. Dia berjalan beriringan dengan Vyrut. Sampai di hadapan pintu, Vyrut menekan loceng. Dia hairan kenapa Vyrut menekan loceng. Ini bukan bilik dia agaknya. Kedengaran bunyi tapak kaki dari dalam dan bunyi selak dibuka.

"Awak dah sampai. Lamanya...", kata Adam sambil membuka daun pintu. Dia hadapannya terdapat seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Raut wajah Vyrut tampak suram dan kaku.

"Masuklah dulu", kata Adam mengalukan tetamu barunya. Kawan abang agaknya.

"Terima kasih", balasnya sambil tersenyum lebar. Dia melangkah masuk diikuti Vyrut.

Dia meletakkan makanan di atas meja dan membasuh tangan. Vyrut terus duduk dan mengeluarkan makanan dari beg plastik. Set kutleri dan cawan sudah sedia tersusun. Dia membuka bekas makanan dan diletak atas pinggan. Adam menuang air kopi ke dalam cawan. Dia duduk di antara Adam dan Vyrut pada meja segi empat itu.

"Abang beli set ini?", kata Adam.

'Abang?', fikir lelaki itu. Sejak bila pula sahabatnya ada adik baru. Dia tak tahu pun. Dia menoleh ke arah Vyrut.

"Ya. Kenapa kamu tak suka?", balas Vyrut dengan tangan sebelah kirinya memegang hujung rambut. Dia masih tak selesa dengan gelaran itu.

"Taklah. Saya suka yang ni. Lepas makan kita nak pergi berlatih ke?", tanya Adam sambil memotong sosej dengan garpu. Disuap ke mulut. Sedapnya!

'Dia masih lagi ada tabiat itu. Setiap kali dia rasa tak selesa mesti dia pegang hujung rambut', dia tersenyum. Berlatih ya?

"Mestilah. Kamu nak cepat mahir guna teknik itu kan?", Vyrut hanya memandang pinggan. Dia tahu si rambut merah merenungnya.

"Okay! Lagipun saya suka berlatih dengan abang", kata Adam dengan senyuman lebar.

"Kalau macam itu saya pun nak ikut sekali", dia mencelah.

"Tak boleh. Kau cakap nak makan sama saja kan? Buat apa nak ikut?", kata Vyrut dengan dingin. Dia menjeling ke arahnya.

"Oh yalah. Siapa dia abang?", tanya Adam. Dia menoleh. Dia tertarik dengan rambut yang merah membara seperti api. Itu kali pertama dia melihat orang yang berambut merah.

"Dia ni? Nama dia Ray", Vyrut membalas dengan nada bersahaja.

'Dinginnya...', fikir Ray.

"Saya Ray. Selamat berkenalan", kata Ray dengan senyuman.

"Nama saya Adam", mereka berjabat tangan sebentar.

"Apa elemen genshi awak?", tanya Ray sekadar ingin tahu.

"Saya punya elemen api", balasnya.

"Oh... Kita berdua sama lah. Awak nak saya ajar ke?", kata Ray. Nampaknya dapatlah dia ikut latihan itu nanti. Hehe.

" Tak boleh. Saya saja sudah cukup. Saya boleh ajar Adam", kata Vyrut pula. Ray memang pandai ambil kesempatan kalau situasi berpihak pada dia.

"Tak boleh ke? Saya rasa Ray lebih sesuai ajar saya memandangkan genshi kami berdua sama", Adam menoleh ke arah Vyrut.

Kalau diikutkan Ray memang lebih sesuai mengajar Adam sebab elemen api lebih sukar dikawal berbanding elemen lain. Tambahan pula Ray adalah antara pengguna genshi api paling handal di akademi dahulu. Selepas berfikir dengan mendalam Vyrut setuju.

Ray tersenyum. Dia tahu Vyrut akan mengalah juga.