Chereads / Menara D'Estelle / Chapter 9 - BAB 6

Chapter 9 - BAB 6

Setelah tiba di dewan mereka memanaskan badan dahulu. Nampaknya cuma mereka sahaja di sini. Vyrut terus berlatih memanah sementara Ray mengajar Adam.

"Sebelum kita mula. Boleh kamu beritahu saya apa yang kamu tahu fasal genshi elemen api", kata Ray memulakan 'kelas'.

"Dari yang saya tahu api adalah salah satu daripada elemen asas dan merupakan unsur yang paling susah dikawal berbanding elemen asas lain", jelas Adam. Dia duduk bersila.

"Betul. Boleh kamu beritahu saya sebab ia sudah dikawal?"

"Err.... sebab elemen api sangat bahaya dan mampu membakar apa sahaja benda di sekeliling", balas Adam ragu-ragu.

"Kamu betul separuh saja. Sebab itu hanya akan berlaku dan bergantung pada tahap kawalan elemen api mengikut individu. Kita boleh kaitkan api dengan suhu. Kalau suhu api semakin meningkat tahap kemusnahan meningkat juga. Jadi elemen api banyak digunakan sebagai penyerang utama yang menghasilkan kerosakan atau kemusnahan", kata Ray sambil menconteng papan hitam yang entah muncul dari mana. Adam mengangguk faham. Tangannya pantas mencatat.

"Jadi sekarang saya akan ajar kamu macam mana nak tingkatkan suhu api kamu dahulu. Selepas itu baru saya ajar teknik serangan", kata Ray. Dia tersenyum sahaja melihat Adam mencatat nota. Walaupun kawasan luar bandar sudah ada sekolah untuk golongan kurang mampu, Adam masih tidak dapat menghabiskan sekolah sejak ayahnya meninggal dunia. Dia sempat bersekolah selama 2 tahun sahaja di sekolah menengah. Tambahan pula dengan masalah kewangan yang dihadapi membuatkan Adam terpaksa belajar sendiri sahaja.

"Adam kamu tahu tak api terbahagi kepada 2 kategori?", tanya Ray. Adam menggeleng.

"Ini adalah api yang kita biasa lihat", kata Ray sambil menggunakan api pada tangan kanannya. Kemudian dia menggunakan api biru pada sebelah kiri. Itu kali pertama Adam lihat api berwarna biru.

"Bila suhu api semakin meningkat ia akan bertukar biru macam ini. It's call Tyndall Effect. Secara mudahnya, api ini berwarna biru disebabkan biasan cahaya dari matahari", Ray memadam kedua-dua api.

"Kategori kedua ialah api graviti sifar. Api ini berbentuk bola sebab tiada graviti. Tapi jenis ini kita tak boleh guna", sambung Ray.

"Saya ada soalan", kata Adam sambil mengangkat tangan.

"Apa graviti?", kat Adam.

"Graviti adalah daya tarikan magnet bumi. Macam yang kamu tengok saya berdiri sekarang sebab ada graviti. Kalau tak ada graviti mesti saya dah lama terapung", jelas Ray tanpa jemu. Adam mengangguk faham. Ray tersenyum, geli hati dengan soalan Adam. Dia tidak kesah menjelaskannya tapi situasi Adam membuatkan dia tertanya-tanya.

"Baiklah sekarang kita mulakan latihan. Sebelum itu saya nak kamu pakai ini", Ray menghulurkan gelang tangan. Adam terus sarungkan pada pergelangan tangan kanannya.

"Alat ini adalah untuk mengukur suhu api. Kamu tingkatkan dahulu suhu api perlahan-lahan. Gunakan api kecil dahulu sebab kalau api bersaiz besar nanti susah kamu nak kawal", kata Ray.

"Cuba capai takat didih dahulu", arah Ray.

Adam menggunakan api kecil bersaiz penunu. Nombor pada gelang itu mula meningkat sikit demi sedikit. Selepas 5 minit barulah suhu mencapai 100 C°.

" Boleh tahan juga kamu ni. Biasanya orang lain susah nak capai suhu ini bila baru mula berlatih. Kamu buatnya nampak mudah saja", puji Ray. Dulu dia pun begitu. Nampaknya Adam ada bakat terpendam. Dia seperti berlian yang tersembunyi disebalik lapisan batu yang tebal. Sukar ditemui.

Adam tersengih. Guru dia sebelum ini jarang berikan pujian. Jadi dia selalu rasa dia tidak cukup pandai dalam kawalan genshi.

"Memandangkan ini terlalu mudah untuk kamu, apa kata kamu cuba capai suhu 1000C°. Kalau kamu rasa tak dapat kawal hentikan saja. Kalau kamu berjaya saya akan berikan hadiah", kata Ray. Dia kata begitu untuk tarik perhatian Adam.

"Betul? Kalau macam itu saya cuba dahulu", kata Adam penuh semangat.

"Mestilah! Kalau kamu berjaya panggil saya nanti", kata Ray. Dia melangkah ke arah Vyrut yang fokus memandang papan sasaran. Dia melihat tangan Vyrut yang menarik anak panah pada talinya. Nampak sangat dia masih tak selesa memegang busur dan anak panah itu.

"V. Kamu buat apa tu?", suara Ray yang tiba-tiba muncul itu membuatkan anak panah Vyrut tersasar keluar dari papan sasaran. Vyrut menjeling geram ke arah Ray.

"Kau nak apa?", tanya Vyrut sambil mencapai anak panah baru.

"Kenapa kamu berlatih memanah? Bukan kamu guna rapier ke?", tanya Ray. Kalau tak silap abangnya yang guna busur. Mungkin dia ada ajar Vyrut agaknya.

"Suka hati aku lah. Kau buat apa dekat sini. Bukan kau patut ajar Adam ke", kata Vyrut. Anak panah dilepaskan. Ia mengena kawasan biru pada papan sasaran.

"Saya dah habis ajar dia. Saya beri Adam tugasan. Saya suruh dia cuba capai suhu 1000C° dahulu", jelas Ray sambil bersilang tangan.

"1000!? Kau dah hilang akal ke!? Kalau dia cedera nanti macam mana? Orang lain pun susah nak capai suhu tu!", siapa yang tak terkejut. Suhu itu bukan calang-calang orang boleh lakukan. Tersilap langkah boleh memakan diri.

"Bertenang lah. Kan aku cakap cuba tadi. Lagipun aku dah cakap dengan dia tadi berhenti saja kalau tak mampu kawal", jelas Ray bersungguh-sungguh. Vyrut nampak risau betul. Jarang dia nampak V begitu.

"Habis tu kau buat apa tercegat dekat sini! Pergilah tengok dia!", kata Vyrut geram. Boleh pula dia abaikan Adam. Patutnya dia perlu diawasi. Walaupun tempat ini dilengkapi dengan sistem anti kebakaran dan kebal dengan tahap genshi kelas kedua, seseorang itu masih boleh cedera kalau tak berhati-hati masa gunakan genshi. Apatah lagi Adam yang baru belajar.

Mereka bergegas menuju ke arah Adam di tengah-tengah dewan. Bahagian memanah terletak di kawasan luar dewan jadi mereka perlu ikut laluan berbumbung kira-kira 100 meter dari tempat tadi.

"Adam kamu okay ke!?", kata Vyrut. Ray baru saja sampai di belakangnya. Cepat betul V lari. Dia terus lari pecut tanpa melepaskan busur.

"Eh? Err... Saya okey je", balas Adam keliru. Kenapa abang tiba-tiba datang ni? Siap lari pecut lagi.

"Adam berapa suhu api kamu sekarang?", tanya Ray. Saiz api Adam masih sama macam tadi.

"Dah capai suhu 500C°", nombor pada gelang dilihat.

"500!?", kata Ray dan Vyrut serentak. Rasanya belum lama lagi Ray meninggalkan Adam. Api dia sudah sampai suhu itu dalam masa yang singkat! Mereka berdua saling memandang.

"Kamu okey ke? Ada rasa pening? Letih?", tanya Ray. Itu adalah tanda-tanda kalau terlebih guna genshi atau tak dapat kawal. Seeloknya berhenti kalau sudah ada tanda-tanda ini.

"Saya tak rasa apa-apa pun. Kenapa?", dia ada terlepas apa-apa ke?

"Tak ada apa lah. Kalau tak ada baguslah. Kamu masih boleh teruskan ke?"

"Rasanya boleh lagi", kata Adam.

"Tak tak tak. Kamu tak boleh teruskan. Kalau kamu cedera nanti macam mana!?", halang Vyrut.

"V. Kamu ni tak perlulah risau sangat. Kalau berlaku pun kamu kan guna genshi air. Kalau apa-apa terjadi kita berdua boleh terus bertindak. Lagipun saya nak tengok sejauh mana Adam mampu capai", jelas Ray. Dia teruja untuk lihat sama ada Adam mampu atau tidak untuk mencapai suhu 1000C°.

"Baiklah. Kalau rasa tak mampu berhenti saja", Vyrut mengalah. Macam mana Adam nak jadi lebih mahir kalau dia selalu begini.

Ray menganggukkan kepala ke arah Adam. Adam menggunakan kedua-dua belah tangannya. Api di antaranya. Dia mula tingkatkan suhu perlahan-lahan. Dari 500 ke 600.

650.

700.

750.

800.

Ray dan Vyrut tidak mahu melepaskan pandangan. Bimbang sesuatu terjadi. Sekarang adalah waktu kritikal. Takut tiba-tiba api itu hilang kawalan dan terkena Adam.

Adam mula kepenatan setelah suhu mencapai 950 C°. Dia tidak mahu berhenti separuh jalan. Aliran genshi yang tinggal sedikit disalurkan sedikit demi sedikit. Pada suhu 990 C° kepalanya tiba-tiba rasa hendak pitam. Adam teruskan juga. 995. 996. 997. 998. 999.

Aliran genshi perlahan-lahan melalui saluran dari jantung menuju ke arah lengan dan kemudian ke tapak tangan. Akhirnya suhu mencapai 1000 C°.

"Adam kamu boleh berhenti sekarang" arah Ray. Dia tak sangka Adam berjaya. Nampaknya dia perlu tunai kan janjinya pada Adam.

Adam terduduk kepenatan. Vyrut menghulurkan sebotol air sejuk yang diambil dari meja. Adam pantas meneguk air sampai tinggal suku sahaja. Vyrut lega tak ada apa-apa terjadi. Dia bangun dan melangkah ke arah Ray.

"Lain kali kau buat macam ni lagi aku tak akan lepaskan kau", Vyrut memberi amaran sambil menjeling tajam. Mata merah delimanya menakutkan Ray sedikit.

"Ya...ya...Maaflah", Ray mengangkat kedua-dua tangan. Salah dia juga tadi. Kalau Adam berada di akademi mereka dia akan ditempatkan di Aliran bangsawan Tahap 0. Khas untuk mereka yang berkebolehan seperti Adam. Kalau dapat mahu sahaja dia menawar Adam untuk melanjutkan pelajaran di situ. Keluarganya ada menyediakan biasiswa untuk orang kebanyakan yang kurang mampu. Sebab empayar ini lebih mengutamakan kemahiran dan kebolehan berbanding status seseorang.

'Haha...He's glaring dagger at me. That hurts', V tak pernah menjeling dia begitu. Dia selalu tersenyum bila mereka bersama.

"Adam kamu okey? Masih sakit ke kepala kamu?", kata Vyrut sambil membelek-belek kepala Adam.

"Hehehe.... Dah kurang sikit", Adam tertawa gembira. Sebelum ini ibu dia sahaja yang risau begini tapi kini Vyrut pula.

"Apa kata kamu rehat dulu. Petang nanti kita sambung lagi", raut wajah Vyrut nampak risau. Ray menyembunyikan perasaan cemburunya jauh-jauh. Sebelum ini Vyrut selalu risau dengannya sebab dia selalu berlatih dengan agak agresif sampai tangan dan lengannya kena luka terbakar dipenuhi calar balar. Ray dikenali dengan cara manipulasi genshi yang agresif seperti gunung berapi yang menyemburkan lavanya. Setiap kali mereka berlatih bersama, V mesti bawa kotak first aid kit dan ais.

Kenapa dia nak cemburu pula ni? Bukankah Adam tu adik dia. Adik angkat baru agaknya. Tapi... kalau betul tentu dia ada dengar khabar angin. Ini bukan kali pertama keluarga Vyrut mengambil anak angkat. Ada beberapa orang lagi. Tak silap dia kalau termasuk Adam sudah ada 7 orang.

"Kamu pergilah balik dulu. Saya nak sambung berlatih lagi. Lepas sejam saya datang", kata Vyrut. Adam bangkit dari duduknya. Badannya rasa penat sangat. Dia nak tidur dulu nanti.

"Okay...", Adam menjawab lemah. Dia terus berlalu ke biliknya. Vyrut dan Ray memerhati dari jauh.

Setelah membersihkan diri ala kadar Adam terus menghempaskan diri atas katil. Tilam yang empuk membuatkan matanya semakin kuyu.