Nur Husna terus dibawa menuju ke ruang makan yang sudah terhidang pelbagai jenis juadah sarapan pagi. Di situ Puan Rosnah yang masih pucat wajahnya sedang sibuk memasukkan bihun goreng ke dalam piring. Menyedari kehadiran Nur Husna dan Azam, bibir pucatnya itu lebar mengukir senyuman manis menyambut kehadiran mereka. Azam menyapa ibunya lalu mendaratkan kucupan mesra di pipi wanita itu. Manis!
"Come sweetheart, duduk sini. Sarapan dengan umi."
Alahai, kenapa Puan Rosnah ni layan aku macam anak dia ni? Nur Husna cuba mesrakan senyumannya agar tidak kelihatan terlalu kekok dan tidak selesa. Sudahlah niatnya hanya mahu menyalami wanita itu terus disambut dengan pelukan mesra. Dikucup lagi kedua pipi tembam Nur Husna bagai melepaskan rindu. Dek tidak mahu menghampakan layanan tuan rumah itu, Nur Husna turutkan sahaja menyambut mesra pelukan Puan Rosnah.
Baru sahaja mahu menarik kerusi di samping Puan Rosnah, Azam terlebih dahulu mendahului tangannya menarik kerusi tersebut lalu mempersilakan Nur Husna untuk duduk dengan lirikan mata dan senyuman penuh budiman. Semakin merah rona pipi Nur Husna segan dengan layanan kedua-dua tuan rumah ini. Tersipu malu Nur Husna melabuhkan duduknya sambil memandang Azam untuk mengucapkan terima kasih dengan gerakan bibir tanpa suara.
'My pleasure, precious.'
Sama sepertinya, jawaban turut dibalas dengan gerakan bibir tanpa suara beserta anggukan dan senyuman manis penuh gula. Oh tak lupa juga kenyitan mata coklatnya. Menawan! Nur Husna memegang dadanya lagi. Aduhai pemuda rupawan, jangan kau goda hatiku yang belum pernah ternoda buat lelaki. Lupakah kau siapa aku andai pinangan keluarga kau diterima? Jadi hentikanlah, hatiku penat melawan rasa yang semakin terbuai dengan arus layanan kau. Sedangkan hati aku selamanya bukan untuk kau. Senyuman Nur Husna mula bertukar kelat setiap kali memikirkan hakikat itu dan satu nama itu.
Azami Norhakim.
"Awal Husna datang. Mesti tak sempat sarapan kan? Mujur umi dah siap masak. Yelah, Zam nilah. Nak sangat pergi awal-awal. Lepas Subuh dah nak gerak katanya. Itulah kelam kabut masak awal pagi."
"Umi ni, Zam dah cakap kan tak payah masak. Umi tu yang beria-ria nak masak. Kalau Zam larang pun bukan umi nak dengar kan. Sudahlah umi tu tak sihat sepenuhnya lagi."
Sengihan sumbing dipaksa ukir lagi. Telinganya hanya ditadah mendengar pertengkaran kecil dua beranak itu. Entah, jawaban apalah yang sepatutnya diberikan. Tak akanlah mahu mengaku Nur Husna terhegeh-hegeh mahu bertemu Azami Norhakim. Itu namanya menjemput Azam untuk membahannya dengan senang hati. Lelaki yang kuat mengusik itu, pastilah tidak melepaskan peluang mahu mengenakan Nur Husna. Inikan pula mahu mengaku depan ibu kandung Azami Norhakim, gelojoh benar perangai kau Husna. Tak fasal-fasal disingkirkan terus daripada menjadi menantu pilihan.
Ya, kerana satu nama itu Nur Husna nekad untuk mencemar duli di mahligai ini awal pagi begini. Sebut nama lelaki itu, entah ada entahkan tidak. Sedari tadi Nur Husna sudah seperti zirafah, memanjangkannya lehernya. Matanya pula tidak duduk diam, liar memerhati kiri ke kanan mencari-cari satu susuk yang entah bagaimana rupanya. Tapi orang yang dinanti tak kunjung muncul. Setidak-tidaknya kalau tidak dapat berbual panjang sekalipun, sekurang-kurangnya dapat berselisih bahu pun sudah memadai. Tidaklah Nur Husna tertanya-tanya lagi siapa gerangan lelaki misteri itu. Tapi sepertinya, rumah ini tiada penghuni lain selain Puan Rosnah dan Azam. Selain Qalbi yang pastinya sedang tidur di bilik. Hurmmm.. tak ada rezekilah namanya. Mahu bertanya, tak sopan lah pula.
"Husna, kenapa kuis-kuis bihun goreng tu. Tak sedap ke umi masak?"
"Eh.. ar.. eh tak. Sedap puan. Ha, ni nak bertambah lagi ni. Sedapnya puan. Bolehlah nanti Husna belajar dengan puan." Gelabah Nur Husna menyusun ayat apabila ditegur saat dia sedang asyik melayan perasaannya.
"Panggil umi ye sayang. Husna kan bakal menantu umi."
Ha sudah. Tinggi benar harapan Puan Rosnah ni nak jadikan aku menantu dia. Kalaulah Azami Norhakim tu tak main sembunyi-sembunyi macam ni dah lama aku suruh mak dengan Along suruh Azami masuk meminang awal dulu lagi. Tapi mujurlah hati aku memang tak boleh disangkal lagi. Hanya nama itu. Walaupun aku tahu, pemilik nama itu tidak bersungguh pun mahu memperisterikan aku yang serba kekurangan ni.
"Baik umi."
"Haa, kan sedap dengar. Tak adalah macam orang asing. Husna kalau lapang datanglah rumah umi. Kata nak belajar masak bihun goreng kan. Pintu tu sentiasa terbuka untuk Husna. –Tadi kamu datang dengan siapa?"
"Dengan jiran saya puan.. ermm, maksud Husna umi. Long Fuad memang selalu keluar lepas Subuh sebab nak ke kebun. Selalunya minta tolong Along atau Angah, tapi diorang dah balik ke rumah diorang. Husna pula tak ada lesen memandu, sebab tu Husna tumpang Long Fuad. Sudah alang-alang satu jalan Long Fuad mahu ke kebun tadi."
Alasan yang separuh benar disampaikan. Padahal Long Fuad tidak kisah pun sebenarnya kalau Nur Husna mahu pergi lewat sikit. Tapi, Nur Husna itu tak pernahnya tak kelam-kabut. Entah apalah yang dikejarkan dengan Azami Norhakim tu sampai tergesa-gesa ajak Long Fuad keluar lepas Subuh. Sudahnya, dihantar juga Nur Husna menaiki lori Long Fuad yang sering dibawa untuk ke kebun. Bukan tidak punya kereta, tapi sudah alang-alang jalan untuk ke kebunnya satu arah untuk ke taman. Lebih baik naik lori saja, tak perlulah patah balik semula ke rumahnya nanti.
"Kenapa tak cakap. Kalau tak boleh Zam pergi ambilkan."
"Eh, tak perlu umi. Lagipun Encik Azam kan sibuk. Husna tak nak susahkan siapa-siapa."
"Haah lah, lupa pula umi –"
"Eh, tak ada susahnya. Kalau Nur Husna bagitahu Zam, dengan senang hati Zam pergi ambil tau. Kerja tu tak apa, Zam kan bos. Tapi itulah kan. Nak buat macam mana kan umi. Dah orang tak sudi. Tak akanlah Zam nak terhegeh-hegeh pula. – Umi, Zam nak gerak dah ni. Nak naik atas dulu, nak jumpa Qalbi kejap. Lepas tu terus pergi."
Nur Husna yang terkebil-kebil disindir begitu oleh Azam hanya memerhati laku Azam menyalami Puan Rosnah dan mencium lama dahi uminya. Matanya terus menyoroti langkah lelaki itu meninggalkan ruang makan. Eh, NurHusna pula yang dipersalahkan. Sudah-sudahlah buat ayat kiasan yang entah apa-apa. Suka sangat berbelit-belit yang membuatkannya semakin tidak faham. Azam seperti mahu sampaikan sesuatu. Bukan sekadar katanya yang sering berkias, lirikan matanya, bahasa tubuhnya dan semua lakukanya seolah-olah sedang berbicara tentang sesuatu. Dan sesuatu itu, Nur Husna tak faham. Hatinya pernah terlintas akan 'itu', tapi ditepis jauh-jauh. Mustahil. Sangat Mustahil. Azam itu bakal abang iparnya andai pinangan Azami Norhakim diterima nanti. Jadi tak mungkin Azam tega menyimpan rasa buat Nur Husna.
"Tambah lagi Husna."
Pelawa Puan Rosnah dengan suaranya yang agak lemah daripada tadi. Nur Husna memandang wajah pucat Puan Rosnah yang sedang mengurut dahinya sambil menghulurkan mangkuk berisi bihun goreng. Lekas tangan Nur Husna menyambut lalu diletakkan di sisi piringnya yang sudah hampir kosong.
"Umi, umi okey?" Cemas Nur Husna menerpa. Puan Rosnah mengukir senyum paksa sambil menggeleng kepalanya.
"Umi okey sayang. Boleh Nur Husna ambilkan ubat umi dekat laci tepi tu. Tak makan ubat lagi sebab tu pening tiba-tiba ni."
Tak berlengah lagi, ubat segera diambil dari laci kabinet tepi peti sejuk. Gelas kosong diambil lalu air putih ditadah. Kemudian, Nur Husna kembali ke meja dan mengeluarkan ubat mengikut apa yang tertera pada plastik ubat. Puan Rosnah dibantu untuk habiskan ubatnya.
"Umi dah okey? Nak Husna bantu apa-apa lagi?"
"Tak perlu sayang. Dah okey dah ni."
"Kita ke bilik ye umi. Umi kena rehat. Jangan buat kerja lagi."
"Eh, ni tak kemas lagi. Siapa –"
"Umi tak perlu risau. Husna kan ada. Kejap lagi Husna tolong kemaskan apa yang patut. Sekarang ni kita ke bilik ye. Umi kan tak sihat. Kena banyak berehat. Umi janganlah banyak buat kerja. Nanti penat, masuk wad lagi macam mana?" Bebel Nur Husna panjang lebar memotong percakapan Puan Rosnah melihatkan kedegilan wanita itu. Puan Rosnah hanya tersenyum manis.
"Iyelah Husna. Husna dengan Zam tu sama je. Bebelkan umi je kerja. Marilah, umi nak ke bilik. Husna tahu je kan bilik Qalbi. Husna buat je rumah ni macam rumah sendiri ye. Kalau nak apa-apa ambil je. Jangan segan-segan."
"Baik umi. Eh, marilah Husna tolong bawa umi ke bilik."
"Tak perlu. Umi kuat lagilah nak berjalan."
"Umi, I am going. Anything just give me a call. Assalamualaikum."
Lantang suara lelaki itu melaung menyampaikan pesan. Kederangan derap langkahnya tergesa-gesa menuruni tangga terus ke ruang tamu depan.
"Iyelah. Elok-elok pergi."
Puan Rosnah juga tidak kurangnya beradu suara membalas. Nur Husna tersenyum kecil. Terhibur dengan keletah dua beranak itu.
"Eh – Ya Allah, umi lupa. Husna, nah ambilkan beg kertas ni. Dalam ni ada bekal Azami. Umi bekalkan ke dia. Boleh Husna berikan ke dia. Umi nak kejar dia tak larat, tak sempat pula nak bagi nanti."
Nur Husna terpinga-pinga apabila beg kertas yang berisi bekas makanan di dalamnya bertukar tangan. Tubuh Husna terdorong apabila ditolak lembut oleh Puan Rosnah.
"Azami!! Tunggu kejap. Ambil bekal ni dulu. Nanti lapar."
Dalam tertanya-tanya Nur Husna turutkan juga mengatur langkah cepat untuk menyerahkan beg kertas tersebut.
Azami? Diakah?
Semakin laju langkahnya kerana teruja. Beginikah pertemuan mereka?
Tapi tadi bukan suara..
Langkah Husna terhenti, matanya terpaku. Pandangan mereka beradu.
Renungannya tajam. Bibirnya terjungkit sinis. Air mukanya dingin.