Seperti yang dirancang, penghuni rumah pusaka keluarga Tuan Yusuf sangat sibuk membuat persiapan di hujung minggu itu. Ada sahaja tempikan suara mengatur dan mengarah agar serba-serbi lengkap hendaknya. Tak kurang juga gurau senda, gelak tawa serta usik-mengusik antara mereka memeriahkan lagi suasana teratak itu. Maklumlah, masing-masing teruja mahu menyambut kunjungan tetamu yang dinanti.
Terutama dua orang wanita itu; Puan Senah dan Rozaimah. Merekalah manusia yang paling sibuk menguruskan segalanya. Tak sempat mahu letak punggung, langkahnya sudah bergegas ke dapur dan belakang rumah melihat juadah yang sedang dimasak berkawah-kawah. Demi meraikan gadis terakhir di rumah mereka, seekor lembu juga ditumbang pagi itu. Kemudian langkah mereka berlari-lari anak mengelilingi rumah. Mahu memastikan perhiasan semuanya kemas serta tidak ada tinggalan sisa-sisa hiasan bunga di lantai yang sibuk dikerjakan malam semalam hingga ke tengahari itu. Tidak duduk diam, langkah mereka ke halaman depan rumah pula yang didominasi oleh kaum adam mendirikan khemah dan menyusun meja kerusi. Risau benar jika ada cacat cela dalam menguruskan majlis besar yang julung-julung kalinya dilakukan setelah pemergian arwah Tuan Yusuf. Sebelum ini, Sang Kepala Keluarga itulah yang menguruskan segalanya.
Langkah Puan Senah dibawa pula ke bilik Nur Husna untuk melihat apa yang sedang anak gadisnya itu lakukan. Seharusnya jam begini, anaknya sudah siap dalam persalinan yang ditempah khas untuknya. Anaknya itu sengaja dilarang keras daripada menyibukkan diri dengan kerja merewang bersama yang lain. Gadis itu disuruh berkurung di dalam bilik saja memanjakan diri. Daripada semalam sudah dipanggil mak andam untuk melakukan khidmat spa dan rambut keatas Nur Husna walaupun ditentang keras oleh anak daranya itu.
"Ateh bukan nak kahwin esok! Membazir la mak dengan Along ni!"
Itulah disongehnya mulut murai tak mahu berhenti membebel dari semalam sampai hari ni. Semua tak kena dimata Nur Husna, sedangkan serba-serbi disiapkan untuk dia. Biar berkenan orang yang melihat.
Dalam berdongkol geram dengan semua orang yang tak pedulikan luahan perasaanya, Nur Husna turutkan juga kemahuan keluarga bersendirian di biliknya yang sudah dihias cantik dengan sentuhan putih emas. Tema kakak sulungnya tanpa bertanya! Urgh!
Kalau tak mereput sendirian pun, adalah juga jiran tetangga yang dijemput datang menyapa dan mengajaknya berbual. Mahupun sanak-saudara jauh yang datang menginap sejak dua hari lalu turut datang memeriahkan majlis. Kalau sudah sepupu-sepapat ni, usikannya melampau sikit. Belum kahwin lagi dah macam-macam ditanya bab rumah tangga orang. Melebih! Ada juga yang sibuk menjadi perisik tak berbayar, soal-siasat tentang jejaka berkenaan. Penat juga dia mahu melayan kerenah mereka yang banyak soal itu ini.
"Tak siap lagi budak bertuah ni! Ateh.."
Bercekak pinggang wanita itu melihatkan anaknya masih rancak bersembang dengan sepupunya. Nur Husna yang sedang bergolek-golek atas katilnya terus menjunam ke bawah mendengar sergahan ibunya. Puan Senah yang sedang berdiri di depan pintu biliknya dipandang sambil menggosok kepalanya yang sakit dengan sengihan kerang busuk.
Mujur Maisarah datang menerpa. Tugas menguruskan adiknya itu sudah diberikan Puan Senah kepadanya. Risau pula mengamuk ibunya itu kalau dibiar lama-lama. Tambah-tambah kalau dengan Nur Husna. Adiknya itu mulut laju. Ada saja jawabnya nanti.
Sanak-saudaranya diminta ruang untuk meninggalkan Nur Husna, ibunya ditolak tubuhnya ke luar bilik untuk sibukkan dengan kerja lain. Sekarang gilirannya pula bercekak pinggang menghadap adiknya. Memang patut sangat ibunya bertempik, rombongan akan tiba selepas zohor nanti. Kurang satu jam lagi angka jam akan menunjukkan masuknya waktu zohor. Nur Husna pula masih bert-shirt putih dan berkain batik! Ada ke patut? Betuah punya adik!
Mujur juga ibunya melarang Nur Husna menyibukkan diri dengan kerja merewang walaupun merengek budak tu mahu membantu ringankan kerja orang lain. Tapi mengenali Nur Husna, selalunya akan lebih rumit jadinya kalau adiknya itu menyibuk dengan yang lain. Tak jadi kerja sudahnya!