Chereads / Persiapan Seorang Wife-to-be / Chapter 21 - Meriahnya, risik ke kahwin? 2

Chapter 21 - Meriahnya, risik ke kahwin? 2

"Cepat Ateh! Kenapa terhegeh-hegeh sangat ni? Kalau bakal mak mentua kau tengok, terus dia batal nak ambil kau jadi menantu tau!"

"Iye! Iye! Sejak bila Angah dah jadi geng jemah Along dengan mak ni. Membebel tak habis-habis. Aw! Aw! Aw! Sakitlah Ngah!"

Bersepit-sepit ketam batu Maisarah mencubit bahu Nur Husna. Nur Husna pula laju menggosok bahunya yang menjadi mangsa sambil bersilat tangannya menghalang serangan Maisarah yang semakin mengganas. Angahnya ni kalau dah tunjuk taring, lebih dahsyat daripada Puan Senah dan Rozaimah. Sepitannya kalau sudah sekali kena, serik! Perit tak usah ditanya.

"Angah ni, sakitlah! Ateh nak siap la ni. Dah mandi, dah wangi-wangi dah. Tinggal nak pakai baju saja pun. Lagipun Ateh tunggu Angah, cakap nak solek-solek muka Ateh. – Ha, Angah jangan nak conteng pelik-pelik dekat muka Ateh. Aku mogok nanti batalkan majlis ni."

Telunjuk diangkat tinggi menuding muka sambil mengecilkan matanya, memberi amaran kepada Maisarah yang bakal menjadi juru soleknya. Setelah bertekak dengan Rozaimah kerana tak mahu gunakan khidmat mak andam semalam untuk jadi juru soleknya, akhirnya kakak sulungnya itu beralah jua. Mujurlah Maisarah ini memang punya bakat dalam bidang ini walaupun tidak profesional. Kalau Maisarah tak tawarkan diri, tak habis perang mulut Nur Husna dan Rozaimah yang tetap mahu gunakan khidmat mak andam dari butik temannya.

"Ye Angah tahu. Cepatlah Ateh. Nanti mak masuk tengok kau tak siap lagi, kau juga yang sakit hati."

"Ateh tengah siap ni kan. Hish, itulah orang suruh buat biasa-biasa sahaja, dijemput juga satu kampung datang. Nak juga buat majlis besar-besar. Padahal bukan majlis akad nikah ke apa, hatta majlis tunang pun bukan. Umi tu nak datang merisik saja pun. Tapi gaya naikkan khemah dah macam kenduri kahwin."

Sambil tangannya lincah menyarung jubah satin bewarna putih bersulamkan motif bunga-bunga kecil berbenang perak dan emas, mulut Nur Husna tak henti-henti bebelkan keputusan keluarganya yang mengadakan majlis besar sempena menyambut kedatangan merisik daripada keluarga Puan Rosnah. Puas dibantah, tapi suaranya minoriti tanpa ada yang menyokong. Mahu dia tak sakit hati.

Sudahlah niat Nur Husna hanya mahu berbusana kurung biasa ditegah semua. Terutamanya Alongnya, Rozaimah. Tahu-tahu sahaja sepersalinan busana, selendang berona kuning emas jenis satin dan veil jarang bewarna putih susu sebagai kain lapisan atas tudung sudah sampai ke rumahnya pagi tadi. Mahulah Nur Husna tak rasa nak membebel sepanjang masa.

"Ish kau ni Ateh. Merungut je kerja. Nak kahwin ke tak nak? Duduk sini, Angah nak solek muka kau. Kau dah wuduk ke belum?"

"Dah tadi. Alah, kalau aku tak nak kahwin pun kena paksa juga. Aw! Angah!"

"Menjawab lagi lepas ni, Angah gunting mulut Ateh."

Sekali lagi, dalam keterpaksaan Nur Husna tadahkan juga wajahnya untuk disolek Maisarah sambil menggosok pipinya yang dicubit maisarah sebentar tadi.

"Ateh, Angah bukan tak nak sokong Ateh tau. Tapi apa yang dirancang mak dengan Along tu untuk Ateh juga. Tak salah pun baik daripada segi agama mahupun adat. Kau terima sajalah masterplan diorang. Lagipun, Atehkan bongsu, dah tak ada orang lain dah lepas Ateh. Sebab tu diorang cuba lakukan sehabis baik untuk Ateh. Cuba bersyukur sikit dapat merasa mewah daripada kitaorang. Angah dengan Along dulu mana sempat nak merasa semua ni. Sebab tu angan-angan kitaorang dulu, buat dekat Ateh. Tak adalah kempunan sampai bila-bila, ye dak Ateh? Mak tu pun sendiri cakap, duit pencen arwah ayah memang mak simpan untuk Ateh. Wasiat ayah macam tu. Mak juga cakap dia boleh sara hidup sendiri, duit Along dengan Angah bagi tiap-tiap bulan lebih dari cukup. Duit meniaga kuih lagi. Jadi, Ateh janganlah marah sangat. Ye Ateh..?"

"Hurmmm..."

Kalau Nur Husna sudah beri respon sebegitu, tandanya sudah sejuklah hatinya. Maisarah tahu, dalam melawan Nur Husna patuh sebenarnya. Cuma tidak selesa dengan kemewahan yang dilambakan tiba-tiba hanya demi menguruskan rombongan merisik, meminang dan majlis kahwinnya nanti. Walaupun kalau dipandang pada kaca mata orang berduit, majlis mereka ini tidak seberapa sangat pun. Tapi buat golongan sederhana seperti mereka, sangatlah bernilai harganya.

"Lagipun Ateh, mak tu dah niat nak buat kenduri arwah sekali untuk ayah. Sudah alang-alang buat kenduri untuk kau, mak sekalikan terus buat untuk arwah ayah. Sebab tu buat besar-besar, boleh jemput ramai orang. Kalau kau bertuah, mana tahu rombongan datang kejap lagi tu bukan sekadar datang merisik. Terus sarung cincin tunang. Bertuah badan, tak susah-susah nak buat banyak kali kerja. Tunggu akad nikah je, lepas tu buat majlis resepsi."

Penuh kelembutan Maisarah cuba mengurangkan panas hati adiknya. Setelah menyudahkan beberapa sentuhan pada solekannya, Nur Husna disuruh berdiri untuk memandang cermin demi menilai hasil kerjanya. Diam sahaja Nur Husna membelek muka sendiri sebelum mengangguk dan tersenyum manis kerana puas hati dengan dengan solekan kakaknya. Kemudian Nur Husna dibantu memakaikan selendang di kepalanya dengan lilitan ringkas. Itupun setelah ditegah Nur Husna. Tidak mahulah dia jika terlalu terbelit sangat seperti video tutorial yang ditunjukkan Maisarah.

"Apa-apa sajalah Angah. Ish rimas aku. Kot ye pun risik ke tunang ke, perlu ke veil bagai ni. Mengalahkan orang nak kahwin."

Bebel lagi mulut murai itu apabila Maisarah memakaikan veil di atas tudungnya.

"Eh kau ni Ateh. Tak payah nak ketinggalan zaman sangat. Sekarang ni orang bertunang pun macam kahwin tau. Ni kira ringkas sangat Along pilih dekat Ateh. Mak pun tahulah nak jaga adab sopan anak dara dia, sebab tulah mak setuju. Tengoklah, simple apa? Tak heavy sangat macam nak menunjuk-nunjuk. Sekurang-kurangnya nampak menonjol sikit dari orang lain. Ha, cantik apa macam ni?"

Maisarah berdiri di depan Nur Husna sambil menyilang tangan, telunjuknya bermain-main di dagunya dengan senyuman lebar. Maisarah berjalan mengelilingi Nur Husna, tubuh itu diperhatinya bagi memastikan tiada lagi cacat-celanya. Cantik sangat, adik siapa la ni?

"Masalahnya, Ateh nak bertunang ke sekarang ni?"

"Ah sudah lah. Kalau cakap dengan Ateh memang nak menang ke Ateh je lah. Dah, Angah nak keluar pergi bersiap pula. Zohor pun dah masuk. Ateh solat dulu, lepas tu duduk dalam bilik ni diam-diam. Ateh jangan nak pandai-pandai rosakkan hasil kerja Angah. Nanti kalau rombongan dah sampai aku masuk balik."

Pesan Maisarah sambil mengemaskan letak duduk veil di kepala Nur Husna. Setelah puas hati dengan sentuhannya, Maisarah keluar mendapatkan yang lain untuk membantu apa yang patut.

Nur Husna pula segera menyambut seruan untuk mendirikan solat Zohor empat rakaat dengan penuh kehambaan. Kusyuk dicari dalam setiap ibadahnya, meninggalkan dunia dan segala isinya. Setelah menyudahkan wirid dan doanya, Nur Husna kembali bangun mengangkat takbir berniatkan solat istikharah dua rakaat. Istikharah untuk terakhir kalinya. Dengan penuh harapan agar hatinya dipimpin untuk memberi sebaik-baik jawaban. Bukan kerana dorongan nafsu hatinya yang sedang diulit putik-putik cinta, melainkan dorongan untuk dia membuat pilihan mengikut apa yang ditetapkan Allah padanya bahawa dia itu jodohnya.