Chereads / Persiapan Seorang Wife-to-be / Chapter 19 - Permintaan 2

Chapter 19 - Permintaan 2

"Umi okay?"

"Umi okay. Cuma risau. Azami tak suka kalau orang tanya fasal Qalbi dan perempuan tu. Mujur dia tak dengar Husna tanya, kalau tak teruk jadinya nanti."

Azam ke Aza.. Ah, pedulikan. Aku cakap fasal Azam, jadi Azamlah topik utama mereka. Azami hanya... nahhh, aku pun tak tahu. Salah sebut saja mungkin!

"Kenapa umi?"

Elusan pada tangan Nur Husna dibalas lembut sebelum menjawab pertanyaan Nur Husna. "Setiap kali umi tanya fasal perempuan tu, Azami akan mengamuk. Habis semua barang dalam rumah pecah dan berantakan. Jadi, Husna jangan lepas cakap ye. Pedulikan je fasal ni. Lebih baik diamkan terus. Boleh ye Husna?"

Berlapis dahi Nur Husna cuba mencerna permintaan Puan Rosnah. Qalbi dipelukan ditepuk punggungnya. Bayi kecil itu sudah menguap luas, tanda sudah penat dan mahu tidur. Susu yang sudah dibancuh dicapai lalu disua ke mulut mugil Qalbi di ribanya. Laju sahaja puting dinyonyot kerana lapar. Wajah Puan Rosnah yang suram kembali dipandang.

"Siapa perempuan yang umi maksudkan?"

Puan Rosnah menggeleng kecil. Embun kecil yang menitis di hujung matanya segera diseka dengan telunjuknya. Senyuman hambar dipaksa ukir.

"Tak ada siapa-siapa. Kalau Azami dah sedia, nanti dia sendiri akan beritahu Husna. –Eh, dah pukul berapa ni? Azami tak sampai lagi.." Jam di dinding dipandang sekilas sebelum kembali memandang Nur Husna lalu menyambung bicaranya. "Tadi dia telefon, katanya dah dekat dah. Tapi tak sampai-sampai lagipun. –Nanti Husna balik dengan siapa? Ada yang datang ambilkan? Atau Husna nak Azami yang hantarkan? –Ataupun macam nilah, Husna balik dengan Azami ye. Nanti umi suruh dia hantarkan Husna."

"Eh, tak payah umi. Husna dah cakap dekat Angah. Dia ada dekat rumah hari ni. Nanti kalau Encik Azam dah sampai, Angah suruh telefon dia ambilkan Husna. Lagipun kesian Encik Azam, baru balik dah kena hantar Husna. Letih dia."

Niat Puan Rosnah segera dihalang. Walaupun hubungannya dengan Azam boleh dikatakan semakin akrab, tapi untuk berdua dengan lelaki itu bukan pilihan yang wajar rasanya. Walaupun hanya sekadar menghantarnya pulang, Nur Husna tetap tidak selesa. Pesan Tuan Yusuf sering terngiang-ngiang di telinganya.

"Betul ni?"

"Betul umi. Angah dah pesan, dia yang datang ambilkan Husna."

"Baiklah kalau macam tu. Dah tidur awang kenit ni. Pergilah letak dia dekat atas. Lepas tu turun, kita minum petang sama-sama. Umi ada buat kuih bingka ubi hari ni. Ayu, jiran sebelah kasih ubi kayu. Murah katanya dekat pasar. Terlajak beli banyak, dia kasi sikit tadi. Husna dah solat Asar?"

"Dah umi."

Ringkas dijawab seraya bangun dari duduknya. Qalbi yang merengek ditepuk-tepuk punggungnya biar selesa untuk sambung tidurnya yang terganggu.

"Pergilah naik. Meraung pula nanti kalau tak selesa."

Terus Nur Husna ke atas untuk ke bilik Qalbi. Qalbi yang sudah pulas lenanya diletakkan di katil lalu diselimutkan. Sengaja tidak dibedung anak kecil itu. Sudah masuk bulan ke lima usianya, biarlah tangan dan kakinya bebas meneroka. Sarung tangan dan kaki pun sengaja tidak dipakaikan, asalkan kukunya sudah terpotong pendek dan tidak tajam yang akan cederakan kulitnya nanti.

Xperia yang ditinggalkan di bilik dicapai lalu skrin disentuh. Mesej yang baru masuk dibaca. Angah Maisarah bertanya bila mahu diambil. Cepat sahaja jemarinya membalas mesej bahawa dirinya sudah boleh diambil sekarang. Xperia disimpan di dalam poket lalu langkahnya diatur kembali ke bawah untuk kemaskan toto dan peralatan bayi yang lain. Semuanya diletakkan di dalam satu bekas besar bagi memudahkannya berpindah ke atas.

Kedengaran deruan enjin kereta masuk ke garaj rumah. Pasti Encik Azam sudah sampai. Puan Rosnah yang sedang sibuk siapkan minum petang di dapur dikhabarkan kepulangan Azam sebelum menuju ke atas semula. Segala peralatan bayi disusun pada tempatnya semula seperti biasa. Toto pula dimasukkan ke dalam almari besar di bilik itu. Terdapat juga beberapa toto dan selimut yang masih berbalut dalam plastik. Tanda belum pernah dipakai.

Setelah itu, Nur Husna bersihkan diri di bilik air untuk segarkan diri lalu kembali ke bilik Qalbi. T-shirt biru muda labuh yang tersarung di tubuh dikemaskan, tudung bawal yang dipadankan di kepala dibetulkan letak duduk pin di kiri kanan bahunya. Lipatan pada hujung denimnya dilabuhkan kepada asal. Setelah stoking disarung, sarung lengan dipakai, beg sandangnya dicapai lalu Qalbi yang sedang beradu dikucup dahi dan pipi tembamnya. Selepas membisikkan salam terus langkahnya ke bawah menyertai Azam dan Puan Rosnah yang sedang rancak bersembang.

Touch up? Nahh, tak perlu. Bukan nak ke mana pun. Balik rumah saja. Melaram lebih-lebih, ada yang minta dibebel oleh Angah kesayangan yang susah nak membebel tu.

"Eh, dah nak balik ke?"

Ayat pertama Azam saat melihatkan penampilan Nur Husna yang seperti mahu keluar itu. Nur Husna melabuhkan duduknya di sofa bujang. Azam disapanya dengan senyuman nipis sebelum menjawab pertanyaan lelaki itu.

"Haah, nak balik dah. Angah tengah dalam perjalanan ke sini."

"Laa, kan I dah cakap I hantar."

Seperti tidak puas hati daripada nada suaranya. Nur Husna tayang gigi, sudah tertangkap mahu mengelat daripada menuruti arahan Azam.

"Tak apa Encik Azam. Saya tak nak susahkan Encik Azam. Sudahlah penat baru sampai rumah, nak hantar saya pula."

"Hurmmm.."

Tandanya ada orang jauh hati. Wajah yang tadinya ceria juga tiba-tiba berubah muram. Aish, tak akanlah tu pun nak merajuk kot. Nur Husna menggosok belakang lehernya, tidak tahu mahu beri reaksi bagaimana. Jika minta dipujuk, sudah dikata dia tak tahu memujuk. Alahai, kenapa Azam versi yang satu ini sensitif sangat ni.

"Makan dulu Husna. –Hai Zam, sejak bila pandai nak merajuk ni. Tak pernah-pernah kamu perangai macam ni. Buang tabiat ke Zam?"

"Umiiii...."

Rengek Azam apabila diusik begitu oleh Puan Rosnah. Hendak lagi mendengarkan tawa kecil ibunya itu. Nampak benar niat mengusik itu. Sudah tertangkap dia bersikap begitu dengan perempuan lain, pastilah tak lepas peluang Puan Rosnah mahu mengusik. Azam mengaku, susah dia nak tunjuk sikap mengada-ngadanya itu selain dengan Puan Rosnah dan Bella. Tapi mahu bagaimana lagi, kalau dia sudah berani buka pekungnya itu tandanya dia mulai selesa dengan seseorang. Biarlah ibunya itu mahu mengusik, yang penting hatinya sedang kecewa kerana Nur Husna menolak pelawaannya. Alahai, sensitif benar hati ni sudah kenapa?

"Nak buat macam mana umi. Sudah orang tak sudi. Nak merajuk pun, bukan ada orang nak pujuk."

Kata Azam sambil menghirup kopi ditangan dengan jelingan sekilas pada gadis yang sudah serba-salah air mukanya. Puan Rosnah pula semakin lebar senyumannya, diselangi ketawa kecil. Suka benar melihatkan laku anak bujangnya sudah menunjukkan terbuka pada kaum antonim dengannya itu. Nur Husna pula hanya membisu sambil menjamah bingka ubi yang dihidang. Kopi dihirup senafas demi menutup rasa gugupnya. Jantungnya sudah mula buat perangai!

Bunyi hon dari luar membuatkan Nur Husna melepaskan nafas lega. Lekas-lekas dia letakkan cawan di meja lalu bangun daripasa duduknya. Tanpa disuruh, Puan Rosnah dan Azam turut berdiri sama mengiringi Nur Husna hingga ke pintu pagar. Dari jauh sudah kelihatan Proton Iriz biru milik Angahnya tersadai di tepi jalan; betl-betul di depan pintu pagar rumah banglo.

"Husna..."

Panggilan lembut Puan Rosnah membuatkan Nur Husna menghentikan langkahnya lalu memandang wajah tua itu. Tangannya ditarik ke genggaman Puan Rosnah lalu dielus lembut. Azam di belakang Puan Rosnah dipandang sekilas sebelum kembali bertaut mata dengan renungan Puan Rosnah yang penuh dengan harapan.

"InsyaAllah, Ahad ni umi datang rumah ye. Umi harap Husna istikharah dan berikan jawaban yang sebaik-baiknya. InsyaAllah, apa sahaja jawaban Husna umi terima. Cuma, besar harapan umi untuk jadikan Husna isteri Azami."

"InsyaAllah umi. Doakan Husna boleh berikan jawaban yang memuaskan hati semua pihak ye umi. Err... "

Terbantut ayatnya apabila Azam tiba-tiba berdiri di sisinya. Sangat dekat membuatkan kata-kata yang dirangka tadi sudah bercelaru susunan rangkanya. Ditambah lagi wangian Azam yang kuat harumannya memenuhi rongga bau Nur Husna. Terbuai sekejap dia kerana diusik naluri wanitanya.

Mujur Puan Rosnah tidak sedar akan rentak bicaranya yang berubah itu. Disangka Nur Husna sudah menyudahkan bicaranya, genggaman ditepuk lembut lalu dilepaskan perlahan. Maisarah yang baru keluar dari perut kereta menyapa Puan Rosnah dengan pelukan mesra.

"Umi maksudkan Azami kan? Bukan Encik Azam kan? Kalau Encik Azam, saya nak tolak siap-siap."

Demi hilangkan rasa gugup, soalan yang berniat gurauan itu dibisik perlahan. Lain pula Azam, berubah sebentar air mukanya sebelum dipaksa mengukir senyuman manis. Melindungi sesuatu.

"Don't worry. This time no mistaking. She means Azami for real. Kalau you, I pun tak nak."

Tawa mereka bergabung perlahan.

"Tolong Encik Azam. Saya sayu tengok umi macam tu. Apa sangatlah nak berhubung dengan umi sendiri. Sekarang ni dunia dah maju. Apa gunanya medium sosial atas talian kalau tak dimanfaatkan. Bila-bila masa, dan di mana-mana pun boleh. Boleh tengok rupa dari hujung rambut sampai hujung kaki lagi. Jadi, tolong Encik Azam. Ubatilah kerinduan seorang ibu itu. Beritahu dia, umi sangat perlukan dia."

Senyuman manis diukir sambil membalas renungan lembut Azam yang sedari tadi tidak lepas daripada melihatnya. Renungan yang meninggalkan pesan lalu bergerak menghampiri Puan Rosnah dan Maisarah meninggalkan Azam yang masih berdiri kaku dibelakang. Tanpa ada yang mendengar, keluhan berat dilepas perlahan.

Kalaulah dia tahu.