Chereads / Persiapan Seorang Wife-to-be / Chapter 18 - Permintaan 1

Chapter 18 - Permintaan 1

Terhibur Nur Husna melihatkan bayi kecil di depannya ini sedang ketawa mengekek. Walau tiada sebatang gigi yang tumbuh selain gusi lembut sebagai penyeri, namun itu tidak mampu menyembunyikan seri comel wajah bulat dan tembam itu. Sekali lagi suara selak dengan tawa lantang si bayi memenuhi ruang banglo apabila Nur Husna asyik sekali membuat bunyi letupan di perut Qalbi menggunakan dua bibirnya. Mungkin geli diperlakukan begitu rupa hingga tak dapat menahan dirinya daripada ketawa kuat. Hingga belum sempat Nur Husna menyembamkan wajahnya ke perut Qalbi untuk diusik sekali lagi, bayi itu sudah menjerit suka kerana teruja.

"Seronok benar Qalbi ada orang main dengan dia. Lepas ni Husna tak ada, sunyilah nak dengar dia gelak ketawa macam ni."

Nur Husna berpaling ke sisi apabila disapa Puan Rosnah. Tidak berdiam diri, Nur Husna bangun memimpin wanita itu untuk bersandar di sofa berhampiran. Memang sengaja Nur Husna tidak bermukim di dalam bilik Qalbi. Kalau di bawah lebih mudah sekiranya dicari Puan Rosnah sekaligus bersiap-siaga jika diperlukan pertolongan daripada wanita itu. Walaupun dilarang Puan Rosnah, tapi kedegilan Nur Husna buatkan wanita itu hanya mampu menggelang.

Walaupun hanya sekadar menghampar toto di lantai ruang tamu serta dikelilingi peralatan keperluan Qalbi. Selain memudahkannya, Nur Husna tidak perlu berulang-alik turun naik dari bilik Qalbi. Bilik itu hanya akan digunakan jika mahu menidurkan Qalbi. Selainnya, masa banyak dihabiskan di bawah sahaja.

Yang penting, tidak gaduh Puan Rosnah perlu bersusah-payah memanjat tangga jika mahu berbual kosong dengannya. Seperti sekarang ini. Wanita ini, walaupun sedang diuji dengan kesihatan yang memburuk, tapi itu tidak langsung menjadi alasan kepadanya untuk bergerak lincah dalam banglo ini. Walaupun terbatas kerana mudah penat, tapi itulah sikap orang tua. Tak pandai untuk duduk diam. Ada sahaja kerjanya. Diam-diam sahaja, sudah selesai tiga juadah untuk dimakan. Ataupun kuih muih sudah terhidang di depan Nur Husna bersama seteko kopi untuk minum petang.

Kalau Qalbi tidur, sempatlah mahu dibantu apa yang patut -walaupun Nur Husna dengan dapur merupakan musuh tradisi- tapi dicuba juga. Tak enak kalau sekadar menjadi pemerhati. Mujur Puan Rosnah seperti memahami. Cepat sahaja mata tua itu dapat membaca gerak-geri Nur Husna yang kekok dengan kerja dapur. Disuruh sahaja Nur Husna duduk di meja membantu yang asas sahaja –seperti potong bawang; walaupun banjir juga air matanya- kalau tidak membantu pun, sekadar menjadi teman berbual sudah memadai. Tidaklah kesunyian wanita itu.

"Barulah terasa hidup sikit banglo ni. Meriah rasanya dengar gelak tawa Husna dengan Qalbi. Kalau Bella tak ada macam ni lah umi. Seorang diri. Zam tu susah nak ada dekat rumah."

Sepanjang duduk di banglo ini, itulah yang didengar. Keluh-kesah seorang ibu yang kesunyian. Nur Husna tahu alasan Puan Rosnah yang tidak mahu menggunakan khidmat pembantu rumah. Alasan Nur Husna; selain kurang beban kerja rumah, Puan Rosnah punya teman berbual. Jawab wanita itu, bukan mahu menunjuk diri sendiri terlebih mampu, tapi trauma yang menghantui dirinya.

Jika tidak dicerita, Nur Husna tidak akan tahu sepuluh tahun lalu suami Puan Rosnah meninggal kerana diracun pembantu rumah yang dipercayai. Lebih menyedihkan, perbuatan kejam itu tega dibuat kerana arwah suaminya punya hubungan sulit dengan wanita itu tapi berpaling tadah daripada janjinya mahu peristerikan dia. Hancur luluh hati isteri yang menggunung cintanya buat suami. Apatah lagi suaminya diambil pergi buat selamanya.

Setelah itu, Puan Rosnah yang dulunya menetap di ibu negara berhijrah ke tanah Pahang demi memulakan hidup baru. Hanya dengan anak cucunya, Puan Rosnah menghilangkan kesunyiannya. Selain bergiat aktif dengan aktiviti persatuan dan beramah mesra dengan jiran tetangga.

"Selalu ke Encik Azam tu kerja luar umi? Lepas tu, umi seorang diri, tak takut ke? Kalau Husna, satu kampung dah Husna suruh datang rumah temankan Husna."

Nur Husna menyambut bualan Puan Rosnah sambil tangannya lincah memakaikan Qalbi dengan pakaian. Anak kecil itu baru sahaja sudah dimandikan. Lepas ini, mengantuk lah mata tu kalau sudah diberikan susu. Selalunya dekat Darul Sakinah begitulah ragamnya, cepat sahaja mata itu terlelap. Biasalah bayi sekecil ini, kerjanya tidur sahaja.

Tapi, dua hari menjaga Qalbi di sini, bersungguh anak kecil itu bersengkang mata mahu bermain. Jauh sikit meraung mintakan perhatian. Awalnya disangka Nur Husna, Qalbi itu kelaparan mahupun lampinnya basah minta ditukar. Tapi apabila botol disua, dialih mulutnya. Lampinnya pula kering sentiasa. Tapi, nampak sahaja muka Nur Husna, mulutnya ramah entah apa butir katanya. Gayanya seperti seronok bercerita.

Lepas itu, tahulah Nur Husna bahawa bayi asuhannya itu mahukan perhatian, inginkan teman berbual. Tak padan dengan kecil. Riuh mahu berbual! Tak kira lagi bilamana Nur Husna dan Puan Rosnah sedang rancak bersembang. Sibuk mulut mugil itu mahu menyampuk bersama. Mana tak riuh rumah banglo itu dengan gelak tawa mereka.

"Selalu sangat Azami tu, susah nak lekat dekat rumah. Kalau nak nampak batang hidung tunggu hujung minggulah baru jumpa. Itupun lepas umi marah, sibukkan sangat dengan kerja sampai lupa balik rumah. Tapi, Alhamdulillah. Belakangan ni, Azami dah pandai urus masa dia. Dah hadkan waktu kerjanya, malam bonding time dengan keluarga. Lagi-lagi lepas dia kenal Husna. Sebab tu umi suruh dia cepat kahwin. Biar ada yang urus makan pakai. Umi pun ada teman. Macam sekarang. Seronok umi ada teman bual. Harapkan nak tunggu Bella. Budak tu sibuk dengan sekolah, jarang sangat ada di rumah. Cuti pun kadang-kadang sudah ada aktiviti yang dirancangnya dengan kawan-kawan. Tinggallah umi seorang dekat rumah."

Nur Husna yang sedang mengagah Qalbi yang sedang berbaring di depannya mengerutkan dahi. Puan Rosnah yang sedang termenung menikmati permandangan luar rumah dipandang sekilas. Nama yang disebut Puan Rosnah kembali dicernanya. Aneh sebenarnya. Setahu Nur Husna, tak adalah pula Nur Husna sebut nama Azami Norhakim dalam pertanyaannya tadi.

Nur Husna sedar, bukan sekali Nur Husna perasan akan kesilapan Puan Rosnah. Seringkali nama Azami disebut setiap kali soal Azam yang sedang mereka bicarakan sedangkan Nur Husna tidak pernah sekali pun buka topik tentang Azami Norhakim. Sudahnya Nur Husna buat kesimpulan sendiri yang Puan Rosnah itu lagi sedang rindu akan Azami.

Maklumlah, daripada apa yang dirisik daripada Azam apabila lelaki itu menghantar mesej kepadanya bertanyakan aktivitinya seharian di rumah malam semalam; Azami itu sudah lama tidak pulang ke rumah. Barangkali Puan Rosnah sedang rindu menggunung dengan anak terunanya seorang itu, sebab itulah acap kali tersasul nama Azami Norhakim. Walaupun ragu-ragu dengan jawaban daripada Azam. Namun Nur Husna tiada pilihan selain percayakan lelaki itu. Lagipun Puan Rosnah itu ibu Azam, pastilah lelaki itu lebih tahu akan hal itu.

Jadi, seperti halnya ketika ini. Nur Husna iyakan sahaja bicara Puan Rosnah. Pastilah Puan Rosnah mahu maksudkan Azam sebenarnya sementelah lelaki itu yang ditanya Nur Husna. Jadi, apabila memikirkan Azam, Nur Husna diserang musykil lagi.

Bukankah lelaki itu sudah kahwin? Jadi kenapa umi nak suruh dia cepat kahwin? Eh, jap.. jap. Umi tengah cakap fasal Azam ke Azami Norhakim ni? Nur Husna pegang kepalanya, pusing kejap. Qalbi pula sudah senget kepala memerhatikan Nur Husna dengan mata bulat. Jemari kecilnya ditepuk-tepuk pada pipi Nur Husna, seolah-olah membingkai wajahnya –mungkin bertanya; ibu ada masalah?- Nur Husna senyum kecil, menggesel-geselkan hidungnya ke pucuk hidung kenit itu.

"Isteri Encik Azam mana umi? Dah lama Nur Husna kenal Encik Azam dengan Qalbi, tak pernah-pernah Husna nampak dia."

Laju sahaja soalan itu ditanya tanpa memandang wajah Puan Rosnah. Daripada sesak kepalanya dengan macam-macam persoalan, ada baiknya terus ditanya kepada tuan badan. Tapi, sedarkan kebisuan daripada Puan Rosnah, Nur Husna mengalihkan perhatiannya kepada wanita itu. Wajah yang tadinya dihias senyuman manis sudah berubah suram. Bibirnya melorot ke bawah, sinar matanya yang ceria mulai sirna. Ada riak kecewa dan risau pada air muka itu. Qalbi dipeluk ke dadanya kemudian punggung diangkat beralih ke sisi Puan Rosnah. Tangan tua itu disentuh dan digenggam. Puan Rosnah beralih dan memberikan senyuman hambar.