Banglo tiga tingkat yang menjadi salah satu cawangan Pusat Asuhan Darul Sakinah menjadi destinasi Nur Husna pagi itu tanpa tergesa-gesa. Dengan hanya berbasikal mini bercat biru muda, santai Nur Husna mengayuh sambil melihat kesibukan kota di pagi hari. Semuanya mahu cepat untuk sampai ke destinasi. Lega hatinya tidak perlu bersesak dengan kesibukan jalan raya pada pagi-pagi begini kerana Darul Sakinah tidaklah jauh hingga berbatu-batu dari rumahnya. Lagipun dia hanya berbasikal, tak perlu mencelah di lebuh raya. Jalan shortcut melalui jalan kampung sudah memudahkan perjalanannya.
Tiba sahaja di kawasan banglo, Nur Husna meletakkan basikal di garaj. Kereta Viva dan Kancil serta lima buah motosikal sudah tersadai di situ tanda pengurus Darul Sakinah dan teman-teman sekerjanya yang lain sudah sampai lebih awal. Mangkuk tingkat di raga basikal yang berisi nasi lemak diambil lalu dibawa ke dalam.
"Assalamualaikum. Selamat pagi semua. Semua sihat ke? Rindu Husna tak?"
Yang lain sudah ketawa kecil saat melihat tubuh genit Nur Husna melangkah masuk ke dalam dengan laungan semangat di pagi hari. Tubuh sahaja genit, tapi suara mengalahkan orang bertubuh besar. Tengoklah! Dengar suara lantang dia pagi-pagi begini sudah mampu menghilangkan kantuk masing-masing. Kak Mastura yang sempat terlelap di mejanya juga terjaga mendengarkan suara bingit Nur Husna.
"Aww—" Nur Husna mengaduh saat bahunya ditampar kasar oleh Kak Zaitun. Pekerja paling senior di pusat asuhan ini.
"Kamu ni Husna, tak memekak pagi-pagi bukan kamulah. Kot ye pun dah terbiasa cubalah pandang kiri kanan ada tetamu ke tidak."
Mendengarkan itu, Nur Husna memandang sekeliling memastikan adakah benar Darul Sakinah dikunjungi tetamu di pagi hari begini. Yang dilihatnya beberapa anak kecil berumur 2 hingga 4 tahun yang masih tidur di ruang tamu. Pasti masih mengantuk ketika dihantar ibu bapa mereka tadi. Jika waris anak asuhan yang dimaksudkan Kak Zaitun, mustahil sekali. Kebiasaannya waris hanya menghantar anak mereka di pintu dan disambut salah satu pekerja Darul Sakinah. Jarang sekali jika ada yang mahu masuk ke dalam banglo pagi-pagi kerana bekejaran untuk ke tempat kerja. Kalau ada pun ketika petang mahu ambil anak mereka pulang ataupun punya waris baru yang mahu daftarkan anak mereka.
Memikirkan itu, segera Nur Husna memandang Bilik Pengurus Puan Iffah tidak jauh darinya yang terbuka luas pintunya. Senyuman yang tadi lebar incinya berubah kelat saat terpandangkan seorang wanita berusia tapi bergaya sedang memandang ke arahnya dengan senyuman manis. Di sisi wanita itu, seorang lelaki muda tinggi lampai turut memandang ke arahnya. Sayangnya tiada senyuman selain berwajah kelat. Hai la saudara, mengapa mencuka sekali? Cuba ceria sikit pagi-pagi, barulah semangat nak buat kerja. Ni baru pagi dah kelat muka, macam mana tak stress. Eh, ke situ pula kau Husna.
Nur Husna menunduk sedikit tanda menyapa dan memohon maaf atas kelakuannya tadi. Anggukan dibalas wanita itu dan kembali menyambung perbualan dengan Puan Iffah. Nur Husna tidak berlama di situ. Langkahnya di tuju ke dapur rumah untuk memindahkan nasi lemak ke bekas. Senang sikit jika ada yang mahu menjamah nanti. Setelah dipelawa semua rakan sekerjanya untuk menjamu sarapan pagi air tangan Puan Senah, Nur Husna menuju ke beranda depan. Menanti jika ada waris lain yang datang untuk menghantar anak mereka.
Mujur sahaja Puan Iffah itu kenalan Puan Senah. Tamat sahaja pengajian diplomanya dalam jurusan Pendidikan Islam Awal Kanak-Kanak, maknya itu sibuk menyuruh Nur Husna segera mencari kerja. Sakit mata katanya mahu melihat Nur Husna memproses kilang tahi mata sepanjang masa. Mahu disuruh kerjakan urusan rumah, segalanya kekok. Masak tidak tahu, kemas rumah pula puas disuruh. Nur Husna itu nama sahaja anak dara kampung, tapi berat tulangnya mengalahkan anak bandar mahupun mereka yang membesar di luar negara. Duduk kampung sendiri seperti rusa masuk kampung. Itulah jadinya dari kecil sampai ke besar dimanjakan sangat ayahnya.
Padahal Puan Senah bukan tidak tahu, selepas dua tahun terlantar koma di katil kerana kemalangan, Nur Husna memang dilarang keras untuk melakukan segala macam kerja oleh Tuan Yusof. Setelah sedar dari koma kemalangan maut yang hampir melumpuhkannya ketika berumur 15 tahun, Nur Husna perlu menjalani rawatan fisiologi hampir setahun untuk membantunya kembali berjalan dan membantu pancainderanya kembali berfungsi seperti sedia kala. Selepas itu, gadis itu sentiasa diawasi agar tidak menjejaskan kesihatan anak bongsu mereka. Kerana itu segala-galanya Husna lambat. Dari segi pendidikan sendiri Nur Husna ketinggalan. Peluang untuk habiskan sekolah menengah sahaja terlambat daripada mereka yang seusia dengannya. Lihatlah, umur 26 tahun baru sijil diploma dapat digenggam. Itupun setelah diminta kepada Puan Senah, selepas setahun pemergian arwah ayahnya. Jika ikutkan arwah, tak diizinkan anaknya jauh kerana risau. Biarlah hanya habis sekolah menengah, Tuan Yusof lebih betah melihat Nur Husna di depan mata daripada melepaskan anak bongsunya belajar jauh. Risau andai kemalangan maut kembali menjemput anaknya itu. Dia masih kuat untuk menyara Nur Husna, jika ada yang tidak mahukan anaknya kerana dinilai faktor pendidikan yang terkebelakang tidak mengapa. Tuan Yusof tidak kisah, dia ada untuk menjaga Nur Husna sampai bila-bila.
Mengingatkan segala pengorbanan Tuan Yusof memang tidak pernah kering air matanya. Setelah Tuan Yusof pergi, barulah Puan Senah sedikit tegas kepada Husna. Supaya berjinak dengan kerja-kerja rumah. Jangan dimanjakan sangat badan tu. Nanti tidak tahu apa-apa sampai ke tua. Sekurang-kurangnya untuk diri sendiri kalau tiada siapa-siapa nanti. Kerana itulah juga Puan Senah beri keizinan untuk Nur Husna melanjutkan pengajiannya walaupun tidak jauh. Sekurang-kurangnya anaknya itu punya pengalaman dengan dunia luar. Itupun selepas Nur Husna berjinak dengan dunia asuhan, pekerjaan yang dilakukan Puan Senah hampir lima tahun ketika arwah Tuan Yusof masih hidup. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan kanak-kanak, Nur Husna mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam jurusan ini.
Kerana semua inilah Nur Husna hanya mengikut suruhan Puan Senah untuk bekerja dengan Puan Iffah di Darul Sakinah. Dan sekarang disinilah dia, walaupun graduasinya sudah berlalu, tidak terfikir pula mahu mencari pekerjaan lain. Lagi pula, Puan Iffah cakap kelulusan Nur Husna memang sangat layak dalam bidang asuhan kanak-kanak. Bezanya dari segi bayaran gaji sahajalah, mungkin boleh dinaikkan lagi bersesuaian dengan kelayakan.