Chereads / Persiapan Seorang Wife-to-be / Chapter 8 - Tolong saya! 2

Chapter 8 - Tolong saya! 2

Loceng ditekan sekali lagi apabila tiada yang membukakan pintu pagar untuknya. Mahu diintai, pagarnya rapat dan tinggi. Jadi, Husna hanya menanti gerangan yang bakal menjemputnya masuk. Faiz sudah disuruh pulang dulu, dipesan akan ditelefon jika sudah selesai. Lagipun, Nur Husna tidak mahu abang iparnya menunggu, takut lama pula dia nanti.

Selepas beberapa minit, pintu pagar dibuka seseorang. Dari sebalik pintu sudah kedengaran rengekan dan raungan bayi. Pasti itu Qalbi. Nur Husna disambut lelaki tinggi lampai yang dikenali sebagai Azam. Rambutnya kusut, apatah lagi wajahnya. Runsing dan keletihan sekali. Lelaki itu hanya bersarungkan undeshirt nipis dan seluar track hitam. Di dukungannya, Qalbi yang tidak duduk diam sedang menangis dan merengek. Nur Husna pandang hujung kaki, panas mukanya melihat tubuh lelaki itu yang melekap pada bajunya yang dibasahi peluh. Jelas lekuk dan kulit tubuh Azam.

'Seriously, dia pakai macam ni depan aku. Dia tahu kan aku nak datang.' Gumam Nur Husna dalam hati. Tiba-tiba janggal mengulit dirinya. Jujurnya ini pertama kali Nur Husna sendirian berdepan dengan Azam. Sebelum ini, hanya menyapa bisu dengan anggukan dan senyuman walaupun cuma reaksi dingin sebagai balasan.

"Masuklah." Seperti biasa. Suaranya dingin. Tidak mesra.

"Ada sesiapa?"

"I rasa you dah tahu rumah ni tiada siapa-siapa selain I dan Qalbi."

Erk? Baru sahaja mahu melangkah membontoti lelaki itu, Nur Husna berhenti. Kelu dia memikirkan kenyataan dia hanya berdua dengan Azam. Mengapa dia tak fikirkan hal ini tadi? Yelah, kepalanya hanya sibuk risaukan Qalbi. Risau anak asuhannya itu sakit hingga lupa untuk fikirkan yang ini. Aduh, macam mana ni? Perlu ke aku masuk? Kalau aku masuk, maknanya aku berdua dengan dia. Kalau tak masuk, macam mana aku nak tengokkan Qalbi?

"Nur Husna?"

Nur Husna tersentak apabila namanya dipanggil. Dia ingin katakan sesuatu tapi mendengarkan raungan Qalbi, kerunsingan Nur Husna akan hal itu hilang serta-merta. Perhatian Nur Husna beralih pada Qalbi yang belum ada tanda mahu berhenti menangis. Bayi kecil yang meronta dalam dukungan Azam segera diterpa. Tanpa bertanyakan lelaki itu, Qalbi diambil dan dibawa ke dukungannya. Merah padam wajah Qalbi kerana terlalu banyak menangis.

Nur Husna cuba memujuk bayi kecil itu supaya berhenti menangis dengan mengusap-ngusap belakang Qalbi dan ditepuk punggungnya. Setiap inci tubuh si kecil diperiksa jika ada yang luka mahupun digigit serangga. Setelah yakin tidak ada, getah seluar ditarik bersama lampinnya memastikan tidak basah yang menyebabkan si kecil tidak selesa. Qalbi masih begitu. Walaupun telah diusap-usap dan ditepuk, tangisnya berhenti sekejap dan tersedu-sedu sebelum kembali meraung.

"Masuk dulu Nur Husna."

Nur Husna masuk ke dalam rumah apabila disuruh Azam untuk sekian kalinya. Berpandukan arahan Azam, Nur Husna ke bilik bayi berada di tingkat atas. Masuk sahaja ke bilik, Qalbi dibaringkan. Nur Husna menanggalkan selimut yang membaluti Qalbi. Mungkin lapisan tebal yang membaluti tubuhnya menyebabkan Qalbi panas dan tidak selesa.

Seluar ditanggalkan, lampin sekali lagi diperiksa memastikan ianya benar-benar kering dan bersih. Setelah yakin lampin basah bukan penyebabnya, seluar kembali dipakaikan. Qalbi meronta lagi dengan tangisan sekuat hati. Qalbi menarik kedua belah kaki tembamnya ke bahagian perut, wajahnya gelisah sekejap ke kiri sekejap ke kanan sambil menggenggam jemarinya. Nur Husna memasukkan telunjuknya ke genggaman si kecil lalu kepala Qalbi yang berambus nipis diusap-usap. Sebak terasa melihatkan Qalbi yang terus-terusan menangis.

"Qalbi selalu colic ke?"

Nur Husna bertanya keadaan anak asuhannya sekiranya Qalbi sering mengalami sawan tangis di rumah. Kerana sepanjang Nur Husna menjaga Qalbi, si kecil itu jarang menangis yang berpanjangan. Azam yang kaku berdiri dengan riak wajah risaunya dipandang. Hilang aura dingin yang sering ditunjukkan lelaki itu melihatkan keadaan Azam yang tidak terurus seperti ini.

"Waktu bulan pertama dan kedua selalu la juga. Tapi sekarang dah jarang sangat. Hampir tak pernah. Tapi, entah apa sebabnya Qalbi asyik menangis. Dari malam kelmarin sebenarnya Qalbi selalu merengek lepas tu menangis sekejap-sekejap."

Jelas Azam penuh risau.

"Hari tu Qalbi demam dah okey?"

"Dah okey. Esoknya dah kebah demamnya. Cumanya Qalbi tak mahu menyusu sangat. Kalau bagi minum pun, sikit saja Qalbi minum. I fikir mungkin sebab baru kebah demam, seleranya kurang baik."

"Hari ni minum tak?"

"Minum. Tapi macam biasalah. Sikit sangat. Risau I. Nak dibawa ke doktor, takut hanya biasa-biasa sahaja. Lagipun umi dan Bella tak ada. Jadi, saya buntu nak buat apa."

"Puan Rosnah ke mana?" Nur Husna tanyakan berkenaan wanita itu apabila Azam menyebut tentangnya.

"Umi ke Kedah semalam lagi, ziarah kawannya yang baru meninggal pagi semalam. You tahu ke macam mana nak pujuk Qalbi? Perlu bawa ke doktor ke? I risau sangat ni."

"Innalillahiwainnailaihirajiun."

Perlahan Nur Husna melafazkan lafaz istirja'. Perhatiannya kembali kearah Qalbi yang belum berhenti menangis. Cumanya tidak senyaring tadi, mungkin penat barangkali. Tapi masih merengek tidak selesa dan tercebik-cebik mulutnya mahu mengangis lagi. Laku si kecil masih seperti tadi. Menggenggam jemarinya sambil menarik kakinya ke perut. Menyedarkan itu, Nur Husna menyelak baju Qalbi. Perut Qalbi diusap-usap kemudiannya dijentik. Berbunyi kuat pada perut si kecil setiap kali dijentik kelilingnya. Senyuman segaris terukir kerana lega.

"Qalbi kembung perut ni. Saya rasa tak perlu ke doktor. Saya cuba sapukan minyak dulu biar sampai selesa perutnya. Kalau Qalbi masih tak mahu berhenti menangis, baru kita ke doktor ye encik. Dekat mana minyak bayi?"

Mendengarkan penjelasan Nur Husna, Azam menghembuskan nafas lega. Lapang hatinya mendengarkan anaknya itu tidak apa-apa. Beg kecil yang berisi segala peralatan bayi diserahkan kepada Nur Husna. Nur Husna menyambut pemberian Azam. Setelah menanggalkan pakaian Qalbi selain lampinnya, minyak yuyi dikeluarkan dari beg.

"Anak ibu. Ibu minta izin urut perut Qalbi ye. Kesian anak ibu, perut masuk angin ye."

Nur Husna cuba berbual seperti biasa setiap kali mahu bermesra dengan bayi kecil itu. Dia merapatkan wajahnya ke wajah Qalbi hingga bersentuhan hidung mereka. Digesel-gesel pada hidung si kecil dengan senyuman. Tangisan Qalbi reda sebentar sambil jemarinya menyentuh wajah Nur Husna sebelum kembali dengan tangisan nyaringnya. Minyak di tangan dituang sedikit di perut Qalbi dan di tapak tangannya, dilumur rata pada perut Qalbi. Kemudian bermulalah usapan dan urutan yang sering dilihat Puan Senah lakukan kepada bayi jagaannya. Nur Husna juga praktikkan urutan itu ketika bekerja di Darul Sakinah. Sangat berkesan teknik urutan itu hingga ketiduran bayi mahupun kanak-kanak yang diurut Nur Husna.

"Saya rasa encik kena tukar susu formula Qalbi. Dekat Darul Sakinah pun Qalbi selalu kembung perut. Cumanya, tak adalah tangisnya sampai melalak begini. Mungkin kali ini Qalbi sangat tak selesa. Qalbi ada ambil susu ibu? Isteri encik ada susukan Qalbi di rumah?"

Azam membisu tidak langsung menjawab persoalan. Perasan akan perubahan wajah Azam, Nur Husna tidak bertanya lagi. Terasa seperti mahu tembus kepalanya melihatkan pandangan tajam daripada Azam. Aku salah sebut ke? Mulutnya terus dikunci daripada bertanya lanjut. Hanya berbunyi apabila Nur Husna mahu berbual dengan Qalbi.

Selepas agak lama mengurut, Qalbi mula menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti menangis. Rengekannya hanya tinggal sendu. Bibirnya menguap kecil, matanya yang berair juga seperti mahu dipejam. Sepertinya sudah mahu terlena bayi kecil itu. Kasihan, pasti keletihan kerana terlalu lama menangis.

Selepas Qalbi mula diam dan menghisap penumbuknya, Nur Husna hentikan urutan. Pakaian Qalbi kembali disarungkan pada tubuh si kecil. Nur Husna membentangkan kain bedung yang dilipat menjadi tiga segi. Kemudian, tubuh Qalbi diangkat dan diletakkan di tengah-tengah hamparan. Dibalut tubuh kecil itu dan diikat kain pada hujung kaki Qalbi. Hisapan digantikan dengan puting lalu Nur Husna letakkan Qalbi ke dalam katil bayi. Ditepuk-tepuk lembut belakang Qalbi, biar lebih lena tidurnya.

"You tengokkan Qalbi sekejap. I nak mandi dan solat."

Setelah sekian lama mendiamkan diri dan menjadi pemerhati kepada segala gerak-geri Nur Husna, Azam bersuara lalu mula mengatur langkah keluar dari bilik tanpa menunggu balasan Nur Husna.

"Saya tumpang dapur boleh? Nak bancuhkan susu Qalbi."

Pertanyaan Nur Husna hanya dibalas dengan anggukan sebelum hilang di sebalik pintu. Nur Husna menjungkit bahunya. Tidak mahu ambil tahu akan sikap lelaki itu yang sentiasa dingin tidak tentu masa.

'Cubalah belajar senyum sikit. Bukan susah pun.'

Gumam Nur Husna sendirian kerana cukup tidak berkenandengan kedinginan Azam. Seperti Nur Husna ada salah besar pada lelaki itu.Mengingatkan perbualan mereka tadi pun sudah panas hatinya. Adakah dengan semuaorang Azam berkelakuan begitu?