Chereads / Persiapan Seorang Wife-to-be / Chapter 12 - Keliru 2

Chapter 12 - Keliru 2

Hati Nur Husna masih tidak sedap. Ketenangan yang sekejap cuma tadi mula dilanda gelisah dan walang sekali lagi. Apatah lagi memikirkan semula jawapan Azam tadi. Apa maksudnya mungkin? Kenapa tidak dijawab ya ataupun tidak? Kenapa mesti satu perkataan yang padanya bercampur pelbagai kemungkinan. Dan itu menyebabkan Nur Husna semakin tidak faham. Hatinya panas tiba-tiba. Nur Husna rasa dipermainkan. Sudahlah dia penat memerah otak dari pagi tadi, lelaki ini pula seperti hendak tak hendak menjawab pertanyaan Nur Husna. Kesabarannya terasa menipis tanpa sebab.

"Maksud Encik Azam? Tolonglah encik, saya tak suka encik berbelit-belit macam ni. Susah sangat ke nak berterus terang? Ataupun encik sengaja nak main-main dengan saya. Kalau itu niat encik, encik baliklah. Menyakitkan hati sahaja!"

Kan Nur Husna pernah cakap, kalau Nur Husna mula tak sukakan seseorang beginilah lakunya. Cepat marah dan tidak sabar. Sikap cepat melatahnya ini semakin menjadi-jadi lepas Nur Husna kemalangan. Mudah sensitif tanpa sebab. Jika tidak kena emosinya seperti sekarang, tak ada lagi mahu berlembut dan sopan-santun selain bersuara tinggi dan kasar. Air mukanya tegang dan ronanya berubah merah menahan marah.

"Ateh, jaga suara. Mak tak ajar bercakap tengking macam ni."

Puan Senah sudah beri isyarat supaya Nur Husna jangan menunjukkan perangai kasarnya di depan tetamu mereka.

"Tak apa mak cik. Orang dilanda curiga dan tertanya-tanya memang macam ni. Tak sempat nak berlembut walaupun depan bakal suami sendiri. Apalah nasib suami dia ni nanti, hari-hari kena herdik."

Sinis. Tapi ahli keluarga Nur Husna menyambut kata-kata Azam dengan ketawa. Entah apa yang lucu Nur Husna tidak tahu. Yang Nur Husna tahu, dia semakin keliru. Azami Norhakim, calon bakal suaminya itu, adik kepada lelaki di depannya ini atau tuan badannya sendiri? Kenapa berkias segala kata-katanya? Nur Husna tak faham. Dia tak pernah berlajar sastera, jadi dia memang tak faham.

"Encik Azam!?"

Nur Husna tak tahu kenapa. Tapi dengan lelaki ini, cepat sahaja kesabaran Nur Husna menipis senipis kulit bawang. Nur Husna tak suka lelaki ini cuba memainkan watak sinis dan humor pada bukan masanya.

"Okay sweet girl, Janganlah marah. Jatuh saham nak jadi bakal isteri. Let's say Nur Husna, my younger brother is Azami Norhakim. And the owner of the name will be your future husband. Got it?"

Sekali lagi, Nur Husna semakin keliru. Seperti mahu meletup dadanya ketika ini. Tambahan lagi terpandangkan lirikan dan jungkitan bibir yang sinis daripada Azam. Nur Husna memalingkan wajahnya, matanya dipejam menahan kesabaran yang semakin menipis.

Kali ini wajah ahli keluarganya pula dipandang satu persatu dan silih berganti. Berharap ada penjelasan daripada mulut mereka sendiri. Rasa ragu-ragunya semakin menebal apabila menyedari keluarganya tidak menunjukkan reaksi aneh sepertinya. Mereka seperti tidak terkejut Azam itu bukan Azami Norhakim. Kerana layanan mereka yang mesra menyambut tetamu yang diundang tapi tidak sangka tetamu itu dia, pastilah Nur Husna yakin yang Azam itu Azami Norhakim. Sudah tiada yang bertanya akan hal itu. Lagilah Nur Husna menanam syak wasangka dalam hatinya.

"Ateh, kan Azami – Eh, maksud ibu Azam.." Puan Senah memandang Azam sekilas sebelum beralih ke arah Nur Husna yang mencuka sekali air mukanya. "Kan Azam dah cakap, Azami itu adiknya. Jadi, Azamilah bakal suami Ateh nanti. Kenapa perlu ragu-ragu? Sudahlah Ateh, kenapa nak tegangkan sesuatu yang belum pasti. Mak dengan yang lain belum buat keputusan lagi kan. Tak perlulah marah-marah macam ni. Kita nak kenal dengan keluarga calon suami Ateh saja. Jangan marah ye Ateh, mak tak suka Ateh tanya soalan macam tu. Azam tetamu kita. Tak sopan."

"Okey, Ateh minta maaf. Tapi Ateh tak puas hati kenapa mesti Encik Azam yang datang sedangkan calon Ateh itu Azami. Dan kalau betul apa yang mak cakapkan adik Encik Azam itu orangnya kenapa Encik Azam tak berterus-terang saja? Susah sangat ke nak cakap jelas-jelas. Sudahlah cara cakap macam hendak tak hendak, macam ada yang mahu disembunyikan. Ada yang mahu dikiaskan. Ateh tak faham. Lepas tu, kenapa semua macam dah tahu yang Encik Azam yang datang? Kenapa tak bagitahu Ateh? Mak cakap dekat Ateh pagi tadi, Azami yang nak datang? Ke semua saja tak mahu bagitahu Ateh. Along dengan Angah pun sama. –Ha Abang Long, Ateh tengok bukan main seronok dapat reunion dengan kawan lama. Maknanya Encik Azam pun kawan lama Abang Long lah?"

Bagai bertih jagung yang sedang rancak dimasak, begitulah mulut Nur Husna berbicara. Bertubi-tubi persoalan dilontarkan pada mereka di situ. Ekor matanya tajam menjeling jejaka di hadapannya, isyarat soalan itu ditujukan tepat kepadanya.

"Kalau dah berkawan dengan adik, tak akan dengan abang nak bermusuh. Apa masalah you Nur Husna? Apa yang you tak puas hati?"

Baru sahaja Fawwaz mahu membuka mulutnya mahu menjawab pertanyaan Nur Husna, suara Azam terlebih dahulu mencelah beserta dengan renungan tajam menikam wajah cemberut Nur Husna. Jelas, riak Nur Husna sangat keliru. Suasana yang tadinya ceria dengan kemesraan antara mereka berubah tegang semenjak Nur Husna bersuara dengan soalan sinisnya. Nur Husna bersabung mata dengan renungan Azam. Kedinginan sangat terasa antara mereka berdua.

"Macam mana saya nak puas hati sedangkan hati saya sangat kuat mengatakan ada yang tak kena semenjak Encik Azam jejakkan kaki dekat rumah ni. Cara Encik Azam sendiri jawab soalan saya lebih buatkan saya semakin tak puas hati. Bagitahu saya macam mana saya nak puas hati kalau semua nak main sembunyi-sembunyi dengan saya. Kenapa? Yang nak kahwinnya saya, hak saya untuk tahu segala yang berkaitan dengan saya. Atau Encik Azam berpakat dengan keluarga saya untuk belakangkan saya?"

"Err, Ateh..." Yang lain mula mahu tenangkan Nur Husna. Nampaknya mereka salah hari menjentik Nur Husna bukan pada waktunya. Sepatuh Nur Husna sekalipun, bila ada yang tidak kena di hatinya, beginilah dia. Sinis dan suka bertanya banyak soalan. Dia tidak kisah jika soalan itu menyinggung yang lain atau tidak.

"Apa yang I cakap semuanya betul Nur Husna. You sahaja yang tak faham. Atau you sebenarnya kecewa. Sebab orang yang you tunggu tak datang? You harapkan Azami tapi I yang datang sebagai gantinya. Maklumlah, apa yang I dengar daripada Fawwaz, you dah jatuh cinta pandang pertama dengan Azami waktu tengok gambar dia. Mak you pun cakap, you ni lebih berminat kalau soal Azami yang dibincangkan, kalau calon you yang lain you endah tak endah sahaja. Jadi, bila tak nampak batang hidungnya you nak melenting. Am I right Nur Husna?"

Pipi yang tadinya berona merah biasa-biasa, laju diserbu darah merah memenuhi wajah. Merah terang bak isi delima masak. Entah kerana malu mahupun sedang marah. Bibirnya terkunci, kepala tidak lagi mampu diangkat selain menekur lantai yang berlapik permaidani, apatah lagi mahu bertentang mata dengan Azam yang semakin galak menikam wajahnya.

"Nur Husna..." Setelah sepuluh minit hanya kebisuan memenuhi suasana hening antara mereka, lembut suara Azam memanggil Nur Husna yang masih menunduk. Gemersik yang pertama kalinya pernah menyapa pendengaran Nur Husna. Jantung Nur Husna tiba-tiba bagai dipalu rentak bunyinya. Aneh..

"I sebenarnya tak faham, kenapa you marah sangat I datang sebagai wakil keluarga I. Umi I tak dapat datang. Azami pula..."

Azam tiba-tiba menghentikan bicaranya. Serentak itu, Nur Husna mengangkat kepalanya bersabung mata dengan Azam sekaligus membuka pekung di dadanya. Serkap jarang Azam hampir betul mengena. Hati yang tak pernah disentuh oleh siapa-siapa itu ternyata sedang dipeluk rasa yang dia sendiri tidak pernah sedar.