Chereads / Persiapan Seorang Wife-to-be / Chapter 13 - Keliru 3

Chapter 13 - Keliru 3

"Azami tak ada di sini untuk masa sekarang. Dia ada urusan kerja. Maaf bagi pihak Azami tidak dapat pulang dalam waktu terdekat. Dia pergi pun tiba-tiba sahaja. I datang ni sebab umi suruh juga I datang hari ni. Sebab dah selalu sangat tangguh. Sebenarnya umi dah lama nak datang. Cumanya tak berkesempatan. Kalau you ragu-ragu fasal I dengan Fawwaz, I tak tipu. Kami memang kawan rapat dari zaman kolej."

"Termasuk Azami..." Potong Nur Husna akan bicara Azam. Cuba meyakinkan diri dengan apa yang didengar. Kali ini lebih perlahan suaranya, hampir tidak dengar. Mujur mata Azam sangat peka dengan gerak bibir Nur Husna.

"Ye, termasuk Azami. Kami memang satu kolej. So, mind to share? Kenapa you marah sangat dekat I?"

Kali ini suara Azam benar-benar lembut menyapa. Air mukanya juga tiada langsung riak dingin yang sering ditunjukkan lelaki itu. Renungannya yang sentiasa tajam, kelihatan lembut dan penuh kasih sayang. Kasih sayang? Mengapa itu pula yang terasa di hatinya. Ah, mustahil itu. Nur Husna tiba-tiba diserbu rasa malu, hangat pipinya berona merah jambu. Segera dilarikan anak matanya, kotak suaranya dibetulkan dengan deheman kecil. Amarah yang tadinya menguasai dirinya entah ke mana pergi. Tiba-tiba sahaja diulit rasa sejuk mengusir panas di hati mendengarkan suara Azam yang begitu. Seperti sedang memujuk dan Nur Husna terpujuk?

"Nur Husna?"

"Er, saya.. saya minta maaf. Saya sedar kelancangan mulut saya. Tapi, saya rasa tertipu. Saya tak tahu siapa yang menipu. Tapi saya rasa ada yang tidak kena. Ada yang tak betul. Tapi macam semua mahu mengunci mulut. Encik Azam pula berbelit kata yang saya tak faham. Walaupun keputusan siapa bakal suami saya belum ditentukan, tapi kalau Azami pilihannya bagaimana? Suka sahaja tidak cukup Encik Azam. Ini soal kehidupan saya yang akan datang. Saya tak mahu perjudikan kehidupan saya pada sesuatu yang disembunyikan. Biarlah hubungan yang terikat nanti terbina dengan baik. Saya siap bongkarkan siapa saya kepada bakal pasangan saya, saya harap begitu juga di pihak sebaliknya. Jika benar dia calon bakal suami saya, hak saya untuk tahu tentangnya. Sekali lagi, maafkan saya Encik Azam. Sakit hati saya tidak kena tempatnya. My bad."

Begitulah Nur Husna, cepat marahnya cepat juga sejuknya jika kena dengan orang yang bijak berlembut kata dengan Nur Husna. Mereka yang lain masing-masing menghembuskan nafas lega. Telahan mereka Nur Husna tidak banyak songeh kalau hal yang berkaitan calon bakal suaminya ternyata meleset sama sekali. Nur Husna sangat ambil berat akan hal itu. Cumanya tidak terlalu ditunjukkan. Sekarang sudah terang di depan mata mereka, Nur Husna lantang bersuara untuk sesuatu yang berkaitan dengannya. Namun hakikatnya, respon Nur Husna itu tidak langsung mengundang negatif di benak mereka. Masing-masing mempamer senyum lebar sebagai tanda sepakat. Langkah seterusnya akan diambil.

"You akan tahu segala-galanya tentang siapa bakal suami you Nur Husna. Andai Azami dan Nur Husna itu ditakdirkan berjodoh, saya berani janji, you akan tahu segala-galanya tentang lelaki bernama Azami Norhakim."

Terhenti nafas Nur Husna saat terpandangkan senyuman manis yang tertampal ikhlas di bibir nipis Azam. Pertama kalinya. Senyuman yang tidak pernah ditunjukkan kepada Nur Husna sepanjang perkenalan mereka. Nur Husna bagai berada di dunianya sendiri hingga tidak sedar kaki Azam sudah diatur meninggalkan ruang tamu mereka. Ahli keluarganya yang lain juga sudah mengangkat punggung membontoti Azam hingga ke luar rumah. Jika tidak dipanggil Puan Senah, pasti Nur Husna akan tetap di tempatnya hingga Azam sudah memandu pergi meninggalkan perangan mahligai ini.

"Azam panggil tu. Dia dah nak balik." Jelas Puan Senah sekali lagi apabila Nur Husna menunjukkan wajah terpinga-pinganya.

Sedar dirinya ditunggu tetamu yang sudah berdiri di Proton Perdananya, cepat-cepat Nur Husna turun menyarung selipar mendekati Azam. Fawwaz yang sedang berbual dengan Azam bergerak menjauhi Azam dan Nur Husna menyertai keluarganya yang lain yang agak jauh jaraknya dari mereka. Seperti mahu beri peluang pada Azam berbual lanjut dengan Nur Husna secara sendiri sambil dipantau dari jauh sebelum lelaki itu bergerak pulang.

"Apa?" Tegur Nur Husna apabila Azam hanya terus-terusan merenung Nur Husna tanpa berkata apa-apa. Puan Senah cakap Azam panggil Nur Husna tadi. Ni sudah di depan mata diam pula dia.

"Kalau Azami yang datang merisik, apa yang akan you jawab?"

Nur Husna terpana dengan pertanyaan Azam. Terbuka tutup mulut Nur Husna seperti teragak-agak jawaban apa yang seharusnya diberi.

"Jawaban saya sama seperti apa yang keluarga saya putuskan buat saya." Jawaban selamat. Jawaban yang sentiasa diberikan kepada Badrul setiap kali lelaki itu bertanyakan kata putus daripada Nur Husna.

"I nak dengar jawaban dari you. Bukan keluarga you."

"Apa yang keluarga saya jawab, itulah yang saya jawab."

"Nur Husna..." Meleret suara Azam dengan jawaban acuh tidak acuh daripada gadis itu. Serinya tadi sudah berubah serius. Tertelan air liur Nur Husna melihat perubahan riak Azam. Encik Azam dah kembali perangai asalnya. Dah manis senyuman tu, kenapa dingin balik. Kedekut betul.

"Datang dulu, baru tahu apa saya jawab."

"Really?" Azam menguji kesungguhan jawabannya tadi.

"Sungguhlah. Encik Azam cakap nak datang merisik kan? Kalau saya menolak maknanya saya atau keluarga saya sudah pilih yang lain. Jangan salahkan kami andai itu jawabnya nanti. Bukankah Kak Rozaimah dah cakap awal-awal, kalian hanya calon. Boleh jadi terpilih, boleh jadi tidak. Jadi jangan terlalu letakkan harapan yang tinggi. Tak begitu? Andai tak jadi, tak bermaksud kami mungkir janji. Mak tu suka bersilaturrahim. Suka kenal-kenal orang. Mak dan Kak Long pilih cara ni sebab arwah ayah memang ajar macam ni. Kenal saudara baru, kenal kawan baru, kenal kenalan baru, kenal keluarga baru. Ramai kenalan itu banyak kebaikannya. Nabi SAW ajar suruh sebarkan salam dengan orang tidak kenal sekalipun. Bermaksud perlu sangat menjalinkan persaudaraan sesama umat Islam. Itu apa yang arwah ayah ajar. Lagipun, kalau tak jadi suami saya pun nanti. Percayalah Encik Azam, semua calon-calon ni akan jadi anak angkat kesayangan mak. Mak akan layan kalian mengalahkan anak sendiri. Tunggulah, tiap-tiap minggu dia suruh datang rumah. Kalau tak, dia sendiri yang pergi rumah korang. Haa, baru tahu nanti siapa Puan Senah tu. Mak kandung korang akan jadi mak tiri."

Ketawa mereka bergabung mendengarkan celoteh Nur Husna bebelkan sikap Puan Senah yang pantang benar dapat kenal dengan anak muda sebaya anak-anaknya. Tak akan terlepas dalam senarai anak angkat Puan Senah. Lagi-lagi kalau berkaum Adam. Tahu sajalah apa yang dibuat.

"Kalau jawaban sebaliknya?" Azam menduga lagi. Matanya tidak lepas langsung memandang wajah Nur Husna. Nur Husna mengherotkan bibirnya, perlahan kepalanya menunduk memandang hujung selipar. Pipinya sekali lagi panas dengan darah yang menyerbu untuk berkumpul di situ.

"Kalau jawaban sebaliknya, macam Encik Azam cakap tadi. Andai Azami Norhakim dan Nur Husna itu ditakdirkan untuk berjodoh, maka itulah yang sudah tersurat."

"I lebih suka jawaban yang ini. Azami, dia meletakkan harapan pada penjodohan ini. I benar-benar harap inilah jawabannya nanti."

Mendengarkan kata-kata Azam, senyuman Nur Husna semakin memudar. Dia tersedarkan sesuatu. Kekurangan dirinya dan siapa Azami Norhakim. Ikhlaskah dia mahu menerima Nur Husna hingga meletakkan harapan yang begitu?

"Azami... dia tahu kekurangan saya?"

Teragak-agak Nur Husna melontarkan persoalan itu. Wajah Azam dicuri pandang daripada ekor matanya. Mahu melihat reaksi lelaki itu. Azam pula hanya menjungkitkan hujung bibirnya ke sisi. Kelihatan sinis tapi seperti mahu mengusik juga ada. Dengan kenyitan mata yang tiba-tiba lagi. Apakah? Tiba-tiba Nur Husna rasa Azam di depannya bukan Azam yang dia biasa temui.

"Dia tahu. Sebenarnya, Azami punya citarasa yang sangat tinggi. Dia seorang yang sempurna. Jadi dia pernah punya angan mahu isteri yang sempurna untuk berdiri di sisinya."

Hati Nur Husna tergores. Rasa rendah dirinya semakin merantai dirinya.

"Jadi kenapa dia masih mahu beri harapan dia yang dipilih kalau dia sudah tahu saya tidak sempurna. Kesihatan saya juga tidak berapa baik."

Kepalanya terus ditunduk ke bawah, sayu wajahnya kerana kecewa yang tidak pandai diselindungkan mendengarkan apa yang dimahukan Azami. Nur Husna tahu keputusan belum dibuat, tapi dia juga tidak tahu mengapa hatinya berasa seperit itu.

"Umi suruh. Sebab umi paksa, dia bagi syarat. Dia nak bakal isterinya benar-benar bersedia untuk jadi isteri dia baru dia terima untuk teruskan. –Pedulikan dia Nur Husna. Dia memang degil. " Bertambah-tambah calar yang tergores di hatinya.

"Saya boleh tolak kalau dia mahukan begitu –"

"No, it's okay Nur Husna. Don't be so sad, sweet girl. Why not you try to prove yourself to him first? I rasa you tak adalah teruk sangat. Tunjukkan dekat dia, you boleh jadi lebih baik daripada sekarang. Kalau dia jaja you tak ada kelayakan untuk jadi isteri dia sebab you tak ada ciri-ciri seorang isteri. Then, bearing out that you have the qualification to be his wife. There's still lots of time. Don't worry okay?"

"Encik Azam ni beria sangat macam saya dah buat keputusan je." Nur Husna melepaskan ketawa hampar cuba menutup kecewa di hatinya.

"I know you like him Nur Husna."

Mata Nur Husna membesar. Memang benar-benar tertulis di wajahnyakah? Wajah Nur Husna semakin berubah terang rona merahnya.

"Jadi, jangan putus asa okey. Sampai waktunya nanti, I benar-benar harap jawaban positif daripada you Nur Husna. Jawaban yang you sendiri putuskan, bukan keluarga you. – Oops, got to go now. Qalbi is waiting for me. So, I'll see you around then. Bye Nur Husna. Assalamualaikum."

Sempat Azam mengenyitkan matanya kepada Nur Husna setelah mengangkat tangan kepada keluarganya berpamitan sebelum memboloskan diri ke dalam perut kereta. Berkepul-kepul debu tanah berterbangan seiring pacuan empat tayar itu dipandu pergi.

Perlahan senyuman kecil terukir manis di bibirnya tanpa sedar. Kepalanya digelengkan tidak percaya dengan sikapnya seharian ini. Pasang surut yang jelas ketaranya. Angin monsunnya boleh berubah menjadi bayu sepoi-sepoi bahasa hanya kerana seorang lelaki itu. Dadanya yang berubah rentaknya disentuh perlahan. Rasa yang tak pernah dirasai seumur hidupnya, mengapa hadir ketika berdepan dengan dia. Senyumannya sedikit memudar tiba-tiba. Dia itu Azam, bukan Azami Norhakimm. Bukankah Azami Norhakim yang kau harapkan belakangan ini Nur Husna.

Nur Husna berpaling mahu segera masuk ke rumah, malas mahu berfikir panjang tentang itu. Lagipun ianya tidak penting. Langkahnya tiba-tiba terhenti melihatkan ahli keluarganya sedang bersilang tangan di dada semuanya bersama senyuman mengusik masing-masing tertampal di bibir mereka. Terangkat kening Nur Husna melihatkan laku mereka itu.

"Apa?"

"Mak, Along rasa kita dah boleh buat keputusan ni." Rozaimah memandang Puan Senah dengan ketawa kecilnya.

"Haah mak. Angah pun setuju. Tak sabarnya nak makan nasi minyak." Maisarah juga menambah rencah menyokong dengan saranan kakak sulungnya.

"Fawwaz dengan Faiz boleh uruskan hal lain. Termasuk belikan set Al-Quran, alat solat dan buah tangan sebagai tanda keputusan calon sudah diputuskan dan hubungan akan disambung sebagai saudara rapat untuk sering bersilaturrahim. Tak dapat ikat sebagai keluarga besan tak bermaksud kena putus saudara betul tak mak?"

Fawwaz turut melontarkan perbuatan yang pernah diajarkan arwah bapa mentuanya, Tuan Yusuf. Sikap Tuan Yusuf yang sangat tinggikan sopan-santun jika mahu memberikan khabar yang sebaliknya kepada sesiapa sahaja. Tuan Yusuf juga pernah melakukan cara itu ketika mahu menolak permintaan teman jauh yang mahu jadi rakan kongsi Tuan Yusuf menguruskan ternakan lembu dan kambingnya. Walaupun tidak ada pada adat, tapi itulah cara Tuan Yusuf mahu menolak sesuatu, menyampaikan khabar yang mengecewakan dan juga sebagai tanda persaudaraan tetap terikat antara mereka. Malah, ketika mahu mencarikan jodoh untuk Maisarah juga begitu dulu. Cumanya calonnya hanya dua. Jadi, tidak terlalu pening kepala seperti situasi Nur Husna.

"Boleh sangatlah tu. Mak dah lama tunggu nak buat keputusan. Jomlah masuk dalam. Boleh bincang panjang lagi."

Semua membontoti Puan Senah ke dalam rumah sambil berceloteh berbincang masa depan Nur Husna tanpa pedulikan tuan badannya yang berdiri kaku di luar rumah.

Erk? Cepat sungguh keluarganya itu buat kerja.

-----

1- Dari Ibnu 'Umar RA "Ada seorang yang bertanya kepada Rasûlullâh SAW, 'Wahai Rasûlullâh SAW, Islam yang bagaimanakah yang paling baik ?' Beliau SAW menjawab : "Engkau memberi makan dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal maupun yang tidak kenal."