Langkah Nur Husna terhenti saat terpandangkan tubuh seorang lelaki yang sedang berbaring di sofa L. Posisinya kelihatan tidak selesa. Kaki kirinya berjuntai ke lantai, sebelah lagi dilipat seperti bersila di atas sofa. Tangannya diletakkan di atas dahi sedikit menutupi wajahnya dan sebelah lagi juga terkulai ke bawah sambil memegang sejadah. Tubuhnya yang tadi hanya bersarungkan undeshirt nipis dan seluar track hitam, kini sudah berganti dengan henley kelabu, berseluar khaki biru tua dan berkopiah putih. Sepertinya baru sudah solat. Aneh, mengapa tak solat di bilik sahaja? Mengapa solat di ruang tamu?
Eh, bukan ruang tamu. Ruang tamu di tingkat bawah. Cuma ruang ini lebih sederhana luasnya. Dan dibahagi kepada dua. Di kirinya seperti dikhaskan untuk berehat, bersantai mahupun berkumpul ahli keluarga. Dilengkapi dengan set sofa bed dan sofa L, meja kopi, wardrobe untuk televisyen. Juga ada sebuah kerusi malas berteraskan kayu jati dan beberapa kerusi mini bewarna-warni serta beberapa pasu kecil dan besar dengan jambakan bunga lavender. Bunga hidup! Wangi! Patutlah bau lavender harum semerbak. Bertemakan warnanya pastel biru, ungu, kelabu dan putih cukup membuatkan Nur Husna terpegun seketika kerana kagum dengan sentuhan mudah tapi indah. Tambahan lagi, hanya berdindingkan jendela kaca dan ditutup dengan langsir tebal bewarna kelabu gelap yang diikat ke sisi membuatkan ruangan itu cerah dengan simbahan cahaya mentari dari luar.
Memisahkan ruangan itu, di kanannya seperti direka khas untuk solat. Hanya dipisahkan almari buku tinggi dan agak terlindung. Terdapat beberapa pasang jubah dan telekung digantung di ampaian dan beberapa lipatan sejadah untuk digunakan. Juga dipenuhi dengan buku-buku agama untuk rujukan dan beberapa naskhah Al-Quran, set Iqra' dan Muqaddam untuk dibaca. Menyedari itu, tahulah Nur Husna bahawa Azam solat di situ dan ketiduran di sofa. Mungkin terlalu letih melayankan ragam anaknya yang kuat meragam.
Tanpa sedar, Nur Husna yang baru selesai bancuhkan susu buat Qalbi mendekati Azam di sofa. Kain tenun yang tersepuk di kerusi malas diambil lalu diselumut tubuh Azam yang terdedah. Sudahlah pendingin udara dibiarkan terpasang dengan suhu rendah. Seperti baru tersedar lakunya itu, cepat-cepat Nur Husna mengatur langkah ke bilik Qalbi. Pintu ditutup dan Nur Husna bersandar di situ sambil menghembus nafas kelegaan. Kepalanya diketuk dengan botol susu di tangan memarahi diri sendiri. Sewenang-wenangnya lepas laku seperti Nur Husna di rumah. Mungkin kerana terbiasa selimutkan arwah Tuan Yusuf dan Puan Senah yang sering tertidur di sofa ruang tamu rumahnya, Nur Husna tidak berfikir panjang untuk bertindak seperti tadi. Mujur sahaja Azam tidak sedar, kalau tidak pasti bukan-bukan tanggapan Azam terhadapnya kelak.
Tidak mahu terbawa-bawa akan hal tadi, Nur Husna mendapatkan Qalbi yang tidak jerap tidurnya. Walaupun mata terpejam, suara kecilnya masih merengek-rengek seperti tidak selesa akan sesuatu. Nur Husna kembali risau jika anak asuhannya itu sakit yang tidak dapat dikesannya. Baru sahaja puting susu disuap ke mulut bayi itu, Qalbi tiba-tiba meraung. Tangisannya nyaring hingga selak jadinya. Cemas Nur Husna mengangkat Qalbi dibawa ke pelukannya. Punggung Qalbi ditepuk-tepuk cuba memujuk agar Qalbi kembali tenang.
Seperti baru sedarkan sesuatu, Nur Husna membelek mulut Qalbi yang dipenuhi warna putih ketika si kecil menjerit. Tadinya tidak terlalu jelas kerana sangka Nur Husna hanya tinggalan sisa susu di lidahnya. Tapi setelah dilihat betul-betul, alangkah terkejutnya dia melihat tompokan putih itu bukan sekadar sisa susu. Lebih tepatnya kulat susu atau jangkitan fungal di mulut, teruknya tompokan putih yang seakan-akan kepingan susu basi yang melekat di lidah sudah merebak ke bahagian dalam mulut dan lelangit. Patutlah mulut Qalbi kelihatan kering. Dan mungkin kerana ini juga Qalbi terus sahaja menangis. Bayi, apalah yang boleh dia lakukan selain menangis. Apatah lagi dirinya dalam kesakitan.
"Kasihan anak ibu. Maafkan ibu, nak. Ibu tak tahu Qalbi sedang sakit."
Kucupan dalam dilekapkan pada umbun-umbun Qalbi meluahkan rasa serba salahnya. Wajah Nur Husna berubah tiba-tiba saat merasakan perubahan suhu tubuh Qalbi yang mendadak. Panas. Termometer di atas kabinet diambil lalu disukat suhu Qalbi di bawah ketiaknya selama lima minit hingga bip berbunyi. 38°C! Tidak menunggu lagi, Qalbi dibawa keluar dari bilik. Langkahnya laju menerpa Azam yang masih nyenyak di sofa.
"Encik Azam!"
Terduduk Azam secara tiba-tiba saat disergah dengan suara lantang Nur Husna, ditambah pula tangisan nyaring Qalbi membingitkan ruangan itu. Terpinga-pinga Azam cuba berfikir waras apa yang berlaku kerana terlalu terkejut daripada tidurnya. Wajah gelisah Nur Husna yang dipandang kosong pada awalnya beransur hilang apabila fikirannya sudah mulai siuman. Terus Azam berdiri dan tanyakan Nur Husna apa yang telah berlaku.
"Kita ke klinik. Qalbi demam panas."
Dengar sahaja apa yang dikatakan Nur Husna, Azam tidak berlengah lagi. Kunci Perdana dicapai dan bergegas turun masuk ke dalam kereta bersama Nur Husna. Hampir sepuluh minit memandu dengan kelajuan maksima, akhirnya mereka sampai di klinik berhampiran. Nur Husna diarahkan duduk sementara Azam mengambil giliran di kaunter. Mujur sahaja pengunjung yang datang tidak ramai. Tidak sempat panas punggung, mereka sudah dipanggil untuk bertemu doktor.
Qalbi diambil alih oleh jururawat lantas diperiksa oleh seorang doktor perempuan. Nur Husna cuba bertenang sambil hatinya tidak putus doakan yang baik-baik untuk Qalbi. Wajah gelisah Azam dipandang seraya berkata Qalbi tidak akan apa-apa. Sempat Husna maklumkan berkenaan fungal thrush yang dilihat pada mulut Qalbi kerana di kereta tadi masing-masing gelisah, Azam fokus pada pemanduan untuk segera sampai, Nur Husna pula sibuk untuk tenangkan Qalbi daripada terus menangis.
"It all my fault. I should pay more attention to him. Sampai Qalbi kena thrush pun I boleh tak sedar." Memikirkan kemungkinan itu yang menyebabkan Qalbi menangis kerana kesakitan, Azam diserbu rasa bersalah. Rasa seperti dia tidak ambil berat akan keadaan anaknya itu.
"Jangan risau Encik Azam. Qalbi akan okey. Percayakan saya ye."
Senyuman ikhlas diberikan kepada Azam, cuba yakinkan lelaki itu Qalbi tidak apa-apa. Selepas beberapa minit menunggu, doktor yang memeriksa Qalbi mula mengambil tempat di meja kerjanya setelah mempersilakan Azam dan Nur Husna duduk. Tangisan Qalbi telah pun berhenti dan jururawat menyerahkan Qalbi yang telah tertidur kepada Nur Husna. Mungkin doktor ada berikan sesuatu kepada Qalbi. Apa yang diberikan tidak pula Nur Husna tahu. Nur Husna hanya memerhati sahaja doktor melakukan kerjanya tadi. Nanti pasti akan diterangkan juga apa yang diberikan oleh doktor kepada Qalbi.
"Isteri tuan ke?" Nur Husna yang baru duduk di kerusi setelah mengambil Qalbi daripada jururawat tadi, mengangkat wajahnya mendengarkan pertanyaan doktor tersebut. Baru sahaja Nur Husna mahu menjawab, Azam terlebih dahulu mencelah memberi jawaban.
"Yes, she's my wife."
Terbuntang mata Nur Husna mendengarkan apa yang dikatakan Azam. Pantas Nur Husna pandang ke sisi memandang wajah serius Azam, berharap lelaki itu tarik balik apa yang telah dikatakan sebentar tadi. Tapi hanya jelingan tajam sebagai balasan, isyarat supaya Nur Husna hanya mendiamkan diri. Nur Husna bingung jadinya. Tidak faham mengapa Azam memberikan jawaban yang tidak benar.
"Puan ada berikan berikan susu badan kepada bayi puan?"
"Tak ada doktor. Anak kami hanya ambil susu formula sedari lahir."
Bukan sahaja Nur Husna, doktor yang bertanya juga berkerut dahinya apabila Azam yang berikan jawaban, bukannya Nur Husna. Nur Husna mengerutkan dahinya kerana berfikir jawaban apa yang harus diberi. Sudahlah Azam itu pandai-pandai mengaku Nur Husna isterinya. Kalau dijawab tidak, takut salah. Kalau dijawab ya, Nur Husna tak mahu bersekongkol dengan Azam untuk berkata dusta. Pelik doktor itu memandang Nur Husna dan Azam silih berganti. Pastilah aneh soalannya dijawab Azam.
"Baiklah kalau macam tu. Cuma, andai kata puan berikan susu badan, saya nasihatkan agar bersihkan puting terlebih dahulu kerana puting yang lembab di dalam pakaian dalam selalunya akan menyebabkan jangkitan fungal."
Merah padam wajah Nur Husna mendengarkan itu. Tidak tahu mahu bereaksi bagaimana, Nur Husna hanya menunduk memandang wajah Qalbi yang sedang nyenyak tidurnya. Mahu memandang Azam lagilah dia tak mahu, Nur Husna malu.
"Okey baik doktor. She'll take care of it. Tapi, anak kami tak apa-apa kan?"
I'll take care of it? Wah, lelaki ini makin berani. Bicara Azam seolah-olah Nur Husna ini sememangnya isterinya. Tidak rasa apa-apakah bernada selamba beri jawaban begitu. Lainlah Nur Husna itu isterinya. Sebut fasal isteri, bagaimana kalau isterinya tahu Azam semborono mengaku perempuan lain isterinya. Oh, permainan apakah ini? Nur Husna juga baru perasan, ini kali kedua Azam menggunakan perkataan 'kami' pada anaknya. Nur Husna semakin bingung. Apa yang lelaki ini cuba lakukan sebenarnya?