Chereads / Persiapan Seorang Wife-to-be / Chapter 5 - Calon 1

Chapter 5 - Calon 1

Kahwin ye?

Nur Husna melihat beberapa keping gambar yang sengaja ditinggalkan Rozaimah dalam biliknya sambil menjahit seluar yang terkoyak di kekangkangnya. Kata Alongnya, kepingan gambar itu adalah sepuluh yang teratas setelah ditapis bersama Puan Senah dengan kerjasama Fawwaz dan Maisarah. Tak kurang juga Faiz, suami Maisarah yang juga terpengaruh dengan misi cari jodoh untuk Nur Husna yang dilancarkan Rozaimah.

"Auch!"

Pantas Nur Husna memasukkan jari tengahnya ke dalam mulut. Menghisap dan mengurangkan rasa sakit tusukan jarum. Setelah itu dikibas-kibas tangannya sebelum hujung jari tengahnya dipicit dan dimasukkan semula ke dalam mulut. Sudah hilang rasa sakitnya, Nur Husna menolak ke tepi longgokan pakaian yang perlu dijahit koyakan dan carikan pada pakaian. Jarum yang terlepas dari pegangannya tadi dicari dan dimasukkan semula ke dalam kotak jahit.

Menjahit. Misi kedua Maisarah terhadap Nur Husna setelah Nur Husna gagal mengawal api ketika menggoreng ikan bawal untuk makan tengahari mereka minggu lalu. Sudahnya hitam legam ikan tersebut kerana rentung dikerjakan Nur Husna. Kerana Nur Husna tidak berjaya menunjukkan sebarang kemajuan dalam menguruskan hal dapur –percayalah, menyiang ikan sahaja hancur isinya- Maisarah cuba menyerahkan batang jarum dan benang kepada Nur Husna untuk diasah bakat adiknya dalam bidang itu. Itupun puas menyuruh, ada sahaja jawaban Nur Husna mahu membalas. Kepetahan mulutnya dalam menjawab memang membuatkan orang yang mendengar mahu tangan-tangankan Nur Husna sampai lumat.

"Kenapa susahkan diri menjahit segala, kalau terkoyak hantar ke kedai. Apa fungsinya Kak Batrisya bukak butik dekat kampung ni kalau tak ada orang yang gunakan perkhidmatan dia. Jadi, tak payahlah jahit segala. Bakal suami Ateh pun bukan nak makan benang jarum ni pun kalau lapar. Entah dia pun setuju hantar ke kedai. Tak pun buang sajalah baju rosak tu, beli baru."

Dan Nur Husna kena kuarantin dari menyentuh setitik air mahupun sebutir nasi. Apatah lagi secubit lauk atau sesenduk sup. Perintah berkurung keatas Nur Husna akan terus berlangsung hingga Nur Husna mahu belajar menjahit daripada Maisarah.

Jadi, dengan separuh hati Nur Husna menurut untuk belajar menjahit ketika Angahnya itu sekali lagi berkunjung ke rumah Puan Senah hujung minggu ini. Diajar asas-asas menjahit kepada Nur Husna seperti menjahit cara jahitan mengundur, jelujur, silang pangkah dan insang pari.

Pesan Maisarah, walaupun zaman kini sudah banyak kedai-kedai yang menawarkan khidmat untuk menjahit, tetapi dalam hal-hal remeh seperti seluar terkoyak, butang tercabut dan koyakan pada poket saku tidak perlu dibazirkan wang untuk dikeluarkan. Jika punya kemahiran asas, masalah yang kecil seperti itu boleh diselesai di rumah. Tidak perlu berhabis wang membayar upah menjahit mahupun membeli pakaian baru sedangkan pakaian yang lama masih boleh dipakai jika dibaiki. Pembaziran juga dapat dihindarkan.

Benar, jarum dan benang tak mampu mengenyangkan perut suami. Tapi andai suami perlu segera membaiki pakaiannya yang rosak, bagaimana seorang isteri dapat menawarkan khidmatnya untuk mengurangkan beban seorang suami jika dia tidak tahu? Walaupun kecil, tapi urusan seperti ini dapat mengeratkan kasih sayang antara pasangan. Suami akan lebih menghargai isterinya kerana membantu mengurangkan hal remeh yang terkadang mereka tidak sempat untuk fikirkan. Kadang-kadang itu, bukan para lelaki tidak tahu menjahit, tapi kesibukan mereka mengharapkan ada yang sudi membantu. Apa salahnya seorang isteri juga punya kemahiran dalam urusan seperti ini?

Mendengarkan nasihat Maisarah yang panjang lebar sambil menjadi mentor kepada Nur Husna dalam meningkatnya kemahiran asasnya dalam menjahit dengan lebih kemas dan cantik, Nur Husna mula lebih terbuka dan rela hati untuk memahirkan diri. Benar kata Puan Senah. Nur Husna jika Maisarah yang bercakap dan beri nasihat, Nur Husna akan lebih patuh mendengar. Mungkin bicara Maisarah lebih lembut dan berhikmah daripada Puan Senah dan Rozaimah. Bukan kedua-dua mak dan kakak sulungnya itu tidak pernah berlembut, tapi sudah biasa suara kedua-duanya akan sentiasa tinggi setiap kali bercakap. Bicara biasa sahaja sudah seluruh pelosok rumah boleh dengar, apatah lagi kalau marah dan meninggi suara. Memang bingit telinga yang mendengar.

Nur Husna mengurut-ngurut hujung jari tengahnya yang sudah penuh dengan lubang-lubang kecil luka kerana banyak kali gagal mengawal daripada tertusuk jarum dek tangannya yang masih keras mengendalikan alatan kecil itu. Bukan Nur Husna tidak cuba menggunakan jidal, sejenis logam yang berfungsi melindungi jari daripada jarum yang tajam seperti yang disarankan Maisarah. Tapi Nur Husna lebih selesa kalau tidak memakainya.

Kepingan gambar kembali dilihat sepuluh wajah calon terakhir yang perlu ditentukan lima yang terpilih daripada mereka. Kerana daripada lima yang dipilihnya itu, keluarganya akan bermesyuarat mana yang perlu diputuskan sebagai bakal suami Nur Husna. Selepas itu, calonnya akan ditemukan dengan Nur Husna muka ke muka untuk berbual dan mengenali jika ada keserasian antara mereka. Jika Nur Husna suka, dan calonnya juga sudah ada lampu hijau maka majlis dan perjalanan yang lebih jauh akan dibincangkan kedua-dua pihak.

Bagaimana kalau tak ada keserasian?

Mudah kata Puan Senah. Cara yang sama akan dicuba dengan empat calon yang lainnya. Jika tidak ada pada empat calon itu, diteruskan pula pada lima calon yang tidak dipilih Nur Husna. Jika semua tak ada, Puan Senah sendiri akan menggunakan kuasa vetonya. Tahu benar kedegilan anak daranya seorang itu.

Kertas-kertas yang mengandungi segala maklumat calon-calonnya dibaca berkali-kali. Tidak dinafikan, masing-masing mempunyai latar belakang kerjaya yang sangat baik walaupun berbeza. Ada yang bekerjaya guru, sebahagiannya mengusahakan premis sendiri, jurutera, pensyarah, doktor, ustaz dan ada juga yang masih belajar dan bekerja sambilan.

Masing-masing juga mempunyai pendidikan tinggi, ada juga yang sudah ke tahap berpangkat doktor falsafah. Jika dilihat wajah-wajah mereka pula, tidak ada cacat celanya. Walaupun tidaklah terlalu kacak hingga boleh menjadi model dunia. Tapi mereka semua mempunyai air muka yang sedap mata memandang. Kacak yang biasa-biasa juga ada. Ada yang berkulit putih, sawa matang dan hitam manis. Mungkin yang hitam manis itu selalu berjemur kerana kerjanya mengusahakan bergulung sawah padi milik keluarganya.

Menurut apa yang tertulis, sikap mereka baik-baik belaka. Kelemahan mereka juga disertakan bersama. Rozaimah berkata, dia tidak meneka tapi dia dan suaminya Fawwaz sendiri menyiasat dan bertanyakan keluarga dan kenalan rapat calon-calonnya. Jadi Nur Husna tidak perlu ragu-ragu andai ada yang dusta di situ.

Memikirkan dari segi paras rupa, kerjaya, pendidikan, kelebihan dan kekurangan, Nur Husna pilih sahaja semua. Hehe, tamak anak dara seorang ni! Tapi jika mahu dibandingkan dengan dirinya yang penuh dengan kekurangan memang tak mungkin pipit dan enggan terbang bersama. Nur Husna sedar diri, dirinya tiada apa-apa kelebihan untuk menyenangkan bakal suamianya. Calon-calonnya serba boleh segalanya. Nur Husna hanya tinggal masuk dalam kehidupan bakal suaminya dan lain-lain akan diuruskan bakal suaminya. Tidakkah seperti Nur Husna sedang mengupah seorang orang gaji untuk menyara hidupnya?

Give and take.

Prinsip itu lebih suka diaplikasikan dalam hidupnya. Jika semuanya diberikan bakal suaminya kepada Nur Husna, apa pula yang Nur Husna harus berikan kepada bakal suaminya. Sudahlah calon-calonnya semua bekerjaya. Pastilah sibuk belaka dengan kerja sendiri. Lepas itu, perlu memikirkan Nur Husna pula yang perlu dijaga. Nur Husna tak suka itu.

Pembantu rumah?

Nur Husna menggumam dengan persoalan itu. Nahh, tak perlu. Kalau nak pembantu rumah, baik kahwin sahaja dengan pembantu rumah. Kenapa nak kahwin dengan Nur Husna yang penuh dengan kekurangan dan kelemahan?

Nur Husna sedar sangat akan kekurangannya sebagai bakal seorang isteri untuk menguruskan rumah tangganya sendiri. Pesan arwah ayahnya, seorang isteri itu sentiasa memudahkan urusan suaminya. Nur Husna? Mungkin akan lebih menyusahkan si dia kelak.