Chereads / Persiapan Seorang Wife-to-be / Chapter 4 - Qalbi 2

Chapter 4 - Qalbi 2

Setelah menidurkan anak asuhannya di tingkat dua, Nur Husna kembali turun ke bawah. Tinggal lagi seorang yang belum datang. Kebiasaan setiap pekerja di sini perlu menjaga maksima lapan orang kanak-kanak. Dan setiap pekerja memang disediakan bilik khas untuk mengawasi anak asuhan mereka. Memandangkan Nur Husna masih baru, jadi anak asuhannya tidak ramai. Hanya empat orang sahaja.

"Husna.."

"Ye Puan."

Nur Husna menghampiri Puan Iffah yang sedang menunggunya di depan pintu pagar bersama wanita dan lelaki tadi. Kali ini turut serta seorang pelajar sekolah menengah sedang mengendong bayi kecil dalam pelukannya. Senyuman diberikan kepada mereka sebelum kembali memandang Puan Iffah mahu mendengarkan apa yang ingin dikatakan wanita itu.

"Kenalkan pekerja yang saya ceritakan tadi, Nur Husna. Husna, ini Puan Rosnah dan Encik Azam. Ini pula Cik Bella dan bayi ini Qalbi. Mulai hari ini, Nur Husna akan ambil alih untuk jagakan Qalbi."

Bayi kecil yang pulas tidurnya diperhatikan dengan penuh rasa teruja. Sememangnya Pusat Asuhan Darul Sakinah mempunyai perkhidmatan untuk menjaga bayi sedari umur lima bulan dan keatas. Perlahan langkahnya menghampiri Bella, wajah bersih gadis itu dipandang.

"Can I?"

Tangan dihulur meminta izin untuk mengambil si kecil di kendongan gadis itu. Tanpa membalas pertanyaan Nur Husna, Azam di sampingnya dipandang seperti bertanyakan persetujuan lelaki itu. Setelah menerima anggukan daripada Azam, Qalbi bertukar tangan ke gendongan Nur Husna.

"Subhanallah, comelnya anak ibu."

Ciuman dilepaskan di umbun-umbun yang belum lagi mengeras tanpa pedulikan mata-mata yang memandangnya. Si kecil yang merengek diganggu tidurnya ditepuk-tepuk punggungnya agar kembali selesa. Teruja Nur Husna mengusap setiap inci wajah, tubuh serta jemari tangan dan kaki yang berbalut di sebalik selimut tebal. Sudah lama dia kepengen untuk memeluk bayi seperti ini. Anak sendiri tidak punya, mahu menyibuk anak orang Nur Husna kekok. Takut sebenarnya kerana tidak biasa dengan bayi. Selalunya Nur Husna hanya melihat sahaja Puan Senah yang kadang-kadang menerima permintaan untuk mengasuh bayi selain kanak-kanak. Jika kanak-kanak Nur Husna masih boleh uruskan walaupun tidak semahir orang berpengalaman.

Lagipula kanak-kanak boleh berkomunikasi dan sudah boleh berfikir jika berbual. Kalau bayi bagaimana, apa yang akan dikatakan seorang bayi kalau dia lapar atau sedang kumuh? Menangis? Ketawa? Kalau menangis, menangis yang bagaimana? Kalau ketawa, ketawa yang bagaimana? Nur Husna tidak tahu. Walaupun dia pernah terdedah dengan pengurusan bayi ketika belajar dalam bidang ini, tapi tetap tak sama jika harus dilakukan secara praktikal begini. Manusia sekecil ini, rapuh sekali jika dilihat. Kalau salah cara, mahu sakit anak orang. Nur Husna takut sebab itu Nur Husna tidak berani. Tapi, bila sudah ada dalam pelukannya, hilang segala kekoknya malah sangat tersentuh naluri keibuannya. Dia terharu tanpa sebab, bersyukur rasanya dapat memandang wajah jernih si kecil suci tanpa noda dan dosa. Baunya dari syurga. Entah bagaimana, dia jatuh sayang pada bayi ini. Qalbi. Hatiku. Erti namanya saja sangat membelai jiwanya.

"Ibu?"

Puan Rosnah bertanya saat mendengarkan Nur Husna membahaskan dirinya sebagai ibu. Tidak lepas pandangannya pada setiap laku Nur Husna yang seperti dalam dunianya sendiri saat bertemu dengan Qalbi.

"Memang sudah jadi kebiasaan pekerja di sini menggelarkan diri dengan gelaran tertentu kepada anak-anak. Tapi selalunya yang muda-muda ni gelaran hipster sikit. Husna ni saja puan, suka kalau budak-budak panggil dia ibu."

"Tak sabar nak menimang anak sendirilah tu. Dah berkahwin ke belum?" Puan Rosnah ramah bertanya dengan senyuman lebar. Ada riak usikan di situ.

"Belum puan."

"Bujang lagi rupanya. Gaya sambut bayi macam dah bersedia jadi ibu. Kalau tak ada calon lagi bolehlah nak jodohkan dengan anak aunty."

Tersengih Puan Rosnah sambil menjeling Azam yang semakin dingin air mukanya. Menyedarkan ketidaksenangan lelaki itu serta pandangan tajam yang mengiringi segala lakunya, Nur Husna segera mengubah topik perbualan mereka.

"Qalbi berapa bulan? Dah lima bulan ke? Kecil je Husna tengok."

"Baru tiga bulan."

"Boleh ke puan? Bukannya puan tak terima kalau bayi bawah dari lima bulan?"

"Puan Rosnah ni kenalan saya. Darul Sakinah pun banyak yang ditolongnya. Tak sedap pula saya nak menolak. Sudahlah Puan Rosnah sendiri yang datang minta tolong. Husna okey kan nak mengasuh bayi? Yang lain semua sudah penuh kalau nak minta tolong pun. Macam mana Husna?"

"InsyaAllah, Husna okey puan. Barang kelengkapan Qalbi dah masukkan ke dalam ke?"

"Ada di kereta. Nanti saya masukkan."

Ada suara rupanya lelaki ni. Nur Husna pandang sekilas wajah Azam dan mengangguk sebelum kembali memandang Puan Rosnah dan Puan Iffah. Tak sanggup nak berbalas pandang mata tajam dia. Meremang bulu roma mak! Macam nak makan orang!

"Cik Husna.."

Husna berpaling ke belakang saat namanya dipanggil seseorang. Tersenyum dia menyambut lelaki yang baru datang bersama anak lelakinya berumur tiga tahun. Zaki, salah seorang anak asuhannya yang sedang ditunggu. Terpisat-pisat anak kecil itu tanda masih mengantuk mahu bertemu dunia. Setelah berpamitan dari Puan Iffah, bayi kecil dikendongannya dibawa bersama menghampiri anak asuhannya sekaligus menyapa ayah tunggal bekerjaya guru itu.

"Lambat hari ni Encik Badrul?"

"Zaki buat hal hari ni. Mengamuk bila kena kejut. Kalau tak diugut tak boleh jumpa Cik Husna, tak habislah bebalnya."

Nur Husna ketawa kecil mendengarkan itu lalu duduk bertinggung sambil menepuk-nepuk punggung Qalbi agar tidak terganggu lenanya. Wajah Zaki yang sebik diusap penuh kasih.

"Zaki tak nak jumpa ibu ke? Kenapa bebal dengan ayah pagi-pagi macam ni?" Anak mata bundar itu dipandang dengan renungan lembut. Penuh kasih dan simpati mengenangkan nasib si kecil yang sudah kehilangan ibu untuk bermanja diusia semuda ini.

"Zaki mengantuk ibu. Ayah kacau Zaki tidur. Zaki tak suka." Dengan pelat bibirnya sambil menggosok matanya, Zaki membalas pertanyaan Nur Husna. Semakin lebar senyuman Nur Husna mendengarkan aduan si kecil.

"Kesiannya anak ibu. Mengantuk lagi ye. Jom kita ke dalam. Kita sambung tidur ye. Sebelum tu, Zaki tak kasi morning kiss dekat ibu lagi. Tak peluk ibu macam biasa pun."

Mendengarkan itu, pantas Zaki melompat merangkul leher Nur Husna erat lalu menanam ciuman dalam di pipinya bertalu-talu. Lakunya itu mengundang ketawa semua orang yang memerhatikan gelagat mereka kecuali seorang. Tidak terhibur langsung dengan keletah Zaki dan Nur Husna selain pandangan tajam tanpa lepas.

"Saya tinggalkan anak saya ye Cik Husna, Puan Iffah. Saya pergi dulu. Assalamualaikum."

Perginya Proton Wira milik Badrul, Nur Husna pun memimpin tangan kecil Zaki tanpa kekok mengendung Qalbi di tangan kirinya mendekati mereka yang masih berbual. Bayi kecil itu pula tak terusik langsung tidurnya, selesa sekali dalam pelukan Nur Husna.

"Puan, saya masuk dulu. Qalbi dah boleh tinggal kan?"

"Masuk lah Husna. Nanti saya jumpa kamu dekat dalam untuk terangkan apa yang perlu."

"Saya masuk dulu. Mari puan, encik, Cik Bella."

Setelah mendapat izin dari Puan Iffah dan menunduk berpamitan pada semua, Husna masuk ke dalam rumah sambil diperhatikan dua pasang mata tanpa lepas lenggok langkah Nur Husna yang begitu berhati-hati menyamai langkah kecil Zaki yang terkedek-kedek dan masih mamai. Pandangan yang penuh dengan niat yang tersimpan.

"Macam mana Zam?"

Tanya Puan Rosnah kepada anak bujangnya yang tidak beralih matanya walaupun kelibat Nur Husna sudah hilang di dalam rumah. Tanpa jawaban, kebisuan terus mengunci bibirnya tanpa memberi sebarang respon.