Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 53 - Ambil Kesempatan

Chapter 53 - Ambil Kesempatan

Di sebuah lorong yang sunyi sepi, seorang gadis Elf dengan mata berwarna merah sedang berjalan sendirian. Elf ini mahu kembali ke bilik tidurnya untuk mengambil rehat sekejap.

Aubree memegang lehernya dengan tangan kiri sambil memusingkan kepalanya, mahu melegakan rasa sakit di bahagian leher belakang.

Dia tidak sedar yang dia berlatih pedang sehingga membuatkan lehernya terasa sakit. Entah bagaimana dia berlatih sampaikan lehernya patah.

Kalau tangan atau bahunya yang sakit, Aubree tidaklah hairan tapi ini di leher...

Aubree terserempak dengan Kilan di bahagian lorong yang terlihat agak luas. Aubree tidak mahu berjumpa dengan Kilan saat ini dan dia terasa mahu segera melarikan diri.

Namun Kilan lebih cepat menegur Aubree membuatkan gadis bermata merah itu terpaksa menoleh kembali ke arah Kilan lagi dengan wajah mahu tidak mahu.

Senyuman paksa diberikan kepada Kilan. "Ah, Yang Mulia Putera Kilan... Senang bertemu dengan Yang Mulia di sini..."

Kilan tidak sedar yang Aubree sebenarnya mahu melarikan diri dari dia saat ini juga. Dia tersenyum lebar ke arah Aubree namun senyuman itu hanya membuatkan Aubree terasa ingin melayangkan penamparnya ke wajah Kilan.

'Aduh, dari mana Putera Dungu ni datang? Saya cuma nak pergi bilik saya dan berehat! Kenapa saya perlu berjumpa dengan dia di sini? KENAPA?'

"Kau tidak perlulah terlalu rasmi dengan saya. Cukup panggil saya dengan nama saya pun tidak apa... Lagipun, selepas ini kita akan sering bekerjasama..."

Aubree : "..."

'Bekerjasama? Bekerjasama untuk apa?'

Untuk seketika Aubree merasa otaknya menjadi beku. Dia tidak dapat memproses maksud yang ingin disampaikan oleh Kilan.

'Siapa yang mahu bekerjasama dengan dia? Ew, tidak mahu! Tidak mungkin saya akan bekerjasama dengan lelaki macam dia!'

Aubree ketawa kecil walaupun terdengar palsu di telinganya sendiri. "Apa yang Yang Mulia cakap ni? Yang Mulia ialah seorang putera diraja dari Kerajaan Barat... Tentu saja saya perlu memanggil Yang Mulia dengan panggilan 'Yang Mulia'..."

"Saya tidak kisah jika kau panggil saya dengan menggunakan nama saya. Di sini tidak ada Elf yang akan marah jika kau memanggil saya dengan nama saya... Di masa akan datang, kita pasti akan bekerjasama bersama-sama jadi tidak mengapa jika kau memanggil saya dengan nama saya... Bermula dari sekarang..."

Aubree tersenyum dengan perasaan kekok. 'Lelaki ni memaksa betullah! Tidakkah dia sedar yang saya tidak mahu panggil nama dia sebab saya tidak suka dengan dia! Dasar Putera Dungu! Memang padanlah kau dengan nama samaran tu sebab tidak tahu nak guna otak tu untuk berfikir!'

Jika Kilan mendengar bagaimana Aubree menyumpahnya di dalam hati, tentu saja Kilan akan termuntah darah.

"Urmm... Baiklah... Err~ Kilan..."

'Peliknya nak panggil dia dengan nama sebenar dia? Urgh, pelik! Lain kali saya akan berusaha mengelak dari dia supaya saya tidak akan pernah menyebut nama dia lagi...'

"Ada apa cari saya? Kau nak bertanya sesuatu pada saya?"

Kilan yang mendengar bagaimana Aubree memanggilnya dengan nama sebenar membuatkan Kilan tersenyum lebar macam orang gila.

Peliknya, dia merasa gembira saat namanya disebut oleh gadis yang sedang berdiri di depannya saat ini. Sedangkan jika Katy memanggil namanya, dia tidak akan merasa segembira ini.

"Saya cuma nak tanya jika kau mempunyai masa malam ini... Saya nak ajak kau untuk makan malam bersama saya dan kawan-kawan saya yang lain. Jangan risau, Puteri Meliani juga akan bersama kita. Makan malam ini hanya untuk merayakan kedatangan kau ke sini dan juga sebagai tanda perkenalan kita..."

Di saat itu, Aubree hampir saja mengikuti kata hatinya dan mahu menendang Putera Dungu itu, lalu berkata di depan wajahnya, "Siapa yang nak pergi makan malam dengan kamu semua! Kamu semua boleh pergi mati bersama-sama! Jangan lagi ganggu saya!"

Aubree tahu Issac juga akan mengikuti makan malam itu dan Aubree tidak mahu melihat lelaki itu ataupun makan jika ada lelaki itu.

Siapa tahu jika lelaki itu akan membuat sesuatu yang mengejutkan dan akan membuatkan Aubree tercekik dengan makanannya sendiri. Siapa tahu, kan?

"Saya merasa terharu sebab kau menjemput saya untuk datang ke makan malam ini. Saya akan mencuba untuk pergi jika saya tidak sibuk," Aubree mahu mengatakan 'Tidak' kepada Kilan tapi dia juga tidak mahu membuat masalah terhadap Putera Dungu ini.

Meskipun Aubree mempunyai rasa tidak suka terhadap lelaki itu tapi Aubree bukannya bodoh sangat mahu menjadi musuh lelaki itu. Setidaknya, bukan sekarang!

Kilan merasa agak kecewa kerana Aubree tidak terus bersetuju untuk menyertai makan malam nanti tapi dia juga agak lega kerana Aubree tidak menolak permintaannya.

"Baiklah, saya harap jika kau dapat mengikuti makan malam ini. Sekarang, kau ialah salah seorang dari penjaga Kristal Kehidupan selain Puteri Meliani. Saya ialah seorang kawan rapat kepada Puteri Meliani jadi tentu lebih baik jika kau juga dapat menyertai kami..."

Mata Aubree mengecil saat dia mendengar yang Kilan adalah salah satu dari kawan rapat Meliani. 'Kawan rapat? Adakah ini bermakna Issac juga adalah kawan rapat kepada Meliani? Ermm... —Issh, kenapa saya perlu fikir hubungan mereka berdua? Mereka ada hubungan atau tiada bukan hal saya!'

"Baik, saya akan cuba pergi!" Aubree menjawab dengan suara yang terdengar lemah dan tidak tertarik.

Kilan merasa ada sesuatu yang pelik dengan cara percakapan Aubree tapi dia tidak mahu berfikir lebih lanjut. Kilan menganggap jika Aubree berperilaku seperti itu kerana penat setelah berlatih keras.

Kilan pun mengundurkan diri dari sana setelah dia meminta diri, meninggalkan Aubree yang sudah pun mengambil nafas lega di tengah-tengah lorong luas itu.

Aubree mengesat peluhnya yang tidak terlihat. 'Fiuh! Penat betul bercakap dengan Putera Dungu ni! Inilah kenapa saya kena menjauh dari dia di masa akan datang!'

Aubree tidak memikirkan apa-apa lagi dan meneruskan niatnya untuk kembali ke biliknya.

Tiba di sebuah lorong yang sunyi dan kosong, tangan Aubree tiba-tiba ditarik oleh seseorang.

Secara automatik, Aubree menggunakan tangannya yang tidak dipegang itu untuk menumbuk Elf yang sudah berani menariknya tadi.

"Hei, sekejap! Ini sayalah!"

"Kenapa kau asyik suka menumbuk setiap kali kau jumpa saya?"

Issac segera menahan tangan Aubree dengan menggunakan tangan kosong yang lain. Senyuman nakalnya terpamer di wajahnya saat dia melihat wajah bengang Aubree.

Aubree menarik tangannya digunakan untuk menumbuk tadi dan terus memberikan pukulan keras di perut lelaki itu.

"KAU! Kenapa kau tiba-tiba tarik saya? Kau buat saya terkejut sajalah! Memanglah saya akan tumbuk kau sebab kau selalu kejutkan saya!" Aubree memarahi Issac tanpa mempedulikan Issac yang sedang dalam kesakitan.

Issac yang dipukul di bahagian perutnya itu memegang perutnya yang sakit sambil mengerang kesakitan. Namun tidak lama kemudian, suaranya menahan kesakitan digantikan dengan suara ketawa.

"Saya buat kau terkejut? Muka saya sangat menakutkan sampai buat kau terkejut? Adakah kau melihat saya ini sebagai hantu? Muka saya yang tampan ni kau nak cakap sebagai hantu?"

Aubree: "..."

Aubree tidak menjawab apa-apa. Dia hanya memandang Issac dengan tajam. Dia melihat tangannya yang satu masih lagi dipegang oleh Issac.

Tiba-tiba saja badannya merasa seram sejuk. Bukannya Aubree tidak pernah disentuh oleh Issac sebelum ini tapi kali ini dia merasa bulu romanya meremang kerana disentuh oleh Issac.

"Kalau kau nak cari saya, panggil saya... Atau jumpa depan-depan! Bukan main tarik macam ni? Kau ni tiada otak atau apa?"

Aubree mencuba menarik tangannya dari genggaman tangan Issac. Namun bukan saja dia tidak dapat menarik tangannya dari genggaman Issac, malah Issac menarik Aubree pula sampai gadis itu masuk ke dalam pelukan Issac.

Mata Aubree menjadi bulat dan besar kerana perlakuan Isaac.

"Issac, kau—!!"

"Shh! Jangan bergerak, ada yang datang!"

Isaac yang sudah memeluk Aubree itu membawa Aubree bersembunyi di sebalik tiang berdekatan dengan tangga. Kerana tempat itu agak tersembunyi dari pandangan mata, tiada yang sedar dua orang Elf sedang bersembunyi di sebalik tiang itu.

Seperti yang dikatakan oleh Issac, Aubree mendengar bunyi tapak kaki sedang berjalan tidak jauh dari sana.

Tanpa sedar, badan Aubree membeku.

Meskipun Aubree tidak rela jika Issac menyentuhnya, Aubree juga tidak mahu ada Elf lain tahu yang Issac dan dia berada di tempat itu dengan keadaan mereka yang begitu kerana ini sudah tentu akan menimbulkan satu gosip baru lagi.

Aubree sudah mempunyai banyak gosip buruk tentang dia di sini dan Aubree tidak mahu menambahkan lagi gosip buruk yang baru.

Menyedari yang gadis di dalam pelukannya menjadi diam seolah-olah mendengar arahannya, membuatkan bibir Issac melengkung ke atas tanpa sedar.

Sengaja Issac mengambil kesempatan itu untuk menggunakan tangan kanannya yang panjang dan berotot itu untuk memeluk Aubree di bahagian bahu.

Aubree merasa sesuatu yang berat di bahagian bahunya. Saat Aubree sedar yang Issac sedang mengambil kesempatan, Aubree mendongak kepalanya ke arah Issac. Dengan renungan mata yang tajam, Aubree memberi amaran kepada Issac untuk menarik tangannya lagi.

Issac tidak ambil peduli dengan renungan Aubree dan hanya tersengih.

Aubree mahu saja menumbuk lelaki hipokrit itu kalau bukan kerana keadaan dirinya yang terperangkap saat ini.

Sebaik saja bunyi tapak kaki tadi menghilang, Aubree terus mengangkat kakinya untuk menginjak kaki Issac.

"Ah!"

Tangan di bahu Aubree terlepas dan memberikan kesempatan kepada Aubree untuk melepaskan diri.

Issac sudah pun memegang kaki kirinya yang dipijak oleh Aubree. Dia memandang Aubree dengan wajah meminta simpati.

"Itu sangat kasar, kau tahu? Kenapa kau buat begitu?"

Dengan wajah berang, Aubree bercekak pinggang di depan Issac. Dia menudingkan jari telunjuk di bahagian kanannya ke wajah Issac. "Kau kata itu kasar? Jadi kau yang ambil kesempatan terhadap saya itu tidak biadap?"

Issac sedang menunduk dan memegang kakinya yang masih terasa sakit. "Apa? Saya cuma nak lindungi kau saja tadi... Macam mana kalau ada yang nampak kau tadi?"

Aubree terus terlopong mendengar jawapan selamba itu. Dia menjadi semakin marah. Jarinya terus ditudingkan ke wajah Issac dengan kadar tapi Aubree tidak mampu mengatakan apa-apa untuk melawan kata-kata Issac kembali.

"Kau—... Kau—!!"

Issac menaikkan keningnya dan tersenyum nakal terhadap Aubree. "Kenapa dengan saya? Kau nak cakap saya bijak? Saya tahu tapi terima kasih sebab puji saya..."

'Tak tahu malu! Dia fikir dia hebat sangat!'

Aubree menggetap bibirnya dengan wajah yang merah menahan marah. "Kau memang tak tahu malu! Suka hati nak ambil kesempatan! Kau ingat kau hebat sangat? Sampai mati pun saya tidak akan pernah puji kau seperti itu!"

Aubree terus menolak Issac dengan kasar sehingga Issac terjatuh ke atas lantai sebelum Aubree berlalu meninggalkan Issac.

Issac yang sudah terduduk di atas lantai itu memandang Aubree dengan wajah bingung. "..."