Beberapa hari telah berlalu setelah peristiwa cawan teh kesayangan Meliani pecah. Keesokan hari setelah kejadian itu, berita mengenai kejadian ini tersebar ke seluruh Menara Kristal dan tentu saja nama Aubree sebagai si pelaku sudah pun diketahui.
Ramai Elf yang tidak puas hati dengan Aubree. Bagi mereka, Meliani ialah seorang puteri Elf yang menjaga Kristal Kehidupan dan dianggap sebagai permata di mata mereka.
Jadi sesiapa yang membuat masalah atau membuat Meliani sedih atau luka akan mendapat kritikan dari semua Elf. Lebih teruk lagi, mereka akan mencuba pelbagai cara untuk membalas dendam.
Pelaku utama yang membuatkan gosip ini tersebar ialah Fourlin. Sejak awal Fourlin berjumpa dengan Aubree, dia tidak pernah menyukai gadis Elf itu.
Sekarang ialah peluang Fourlin untuk membuatkan nama Aubree tercalar dan dianggap buruk di mata orang lain. Masalah berkaitan dengan Meliani bukan masalah yang kecil kerana semua Elf menganggap Meliani sebagai permata di mata mereka.
Jadi Fourlin berfikir, kenapa tidak menggunakan kesempatan ini untuk membuatkan nama Aubree menjadi semakin tercalar?
Hensel dan Dean yang mendengar gosip buruk tentang Aubree menjadi semakin teruk itu menasihati Aubree untuk tidak keluar dan bergaul dengan Elf lain kerana Aubree akan dibuli oleh Elf lain jika dia keluar.
Issac juga memberi amaran kepada Aubree untuk kekal diam di tempat yang tersembunyi untuk sementara sehinggalah masalah ini redah sekejap.
Tapi Aubree tetap Aubree.
Dia seorang pembunuh upahan di kehidupan sebelum ini jadi bersembunyi hanya kerana masalah ini akan membuatkan egonya sebagai pembunuh upahan akan tercabar.
Pernah beberapa kali Aubree bergaduh dengan sekumpulan Elf apabila kumpulan Elf itu mencuba membalas dendam atas apa yang berlaku kepada Meliani.
Aubree melawan dan kerana dia kuat kerana dibekalkan dengan ilmu dari kehidupan lama dan kehidupan saat ini, Aubree menang melawan mereka.
Tapi kerana perkara itulah yang membuatkan keadaan menjadi semakin teruk.
Semua Elf kini memandang Aubree sebagai Elf yang sombong dan kasar. Mereka melabelkan Aubree sebagai Puteri Audrey Si Elf Kejam.
Aubree yang mendengar dirinya diberi nama panggilan yang kebudak-budakan itu hanya mampu menjulingkan matanya kerana geram.
Hensel sekali lagi terpaksa menasihati Aubree untuk bersabar dan menahan dirinya daripada bergaduh dengan Elf lain. Dia tidak mahu Tuan Gildam tahu yang Aubree membuat masalah dan Aubree akan dihukum lagi.
Walaupun Hensel tahu yang masalah ini tentu saja akan membuatkan Tuan Gildam marah tapi dia juga tidak mahu Aubree keluar ke tempat awam dan akan diejek oleh Elf lain lagi.
Sebaik saja nama Tuan Gildam disebut oleh Hensel, barulah Aubree mendengar nasihat Hensel walaupun terpaksa. Dia masih ingat yang dia sudah berjanji untuk tidak membuat masalah tapi nampaknya Aubree sudah pun melanggar janji itu.
Tapi Aubree tidak takut jika dia akan dihukum oleh Tuan Gildam kerana Aubree tahu ini bukan salahnya sejak awal.
Ada Elf lain yang dengki sangat sampai sanggup nak fitnah Elf lain!
Hari-hari seterusnya, Aubree habiskan dengan melakukan latihan sepanjang hari. Dia tidak berhenti berlatih sambil memikirkan bagaimana nantinya dia akan membuktikan yang dia bukanlah seperti yang dianggap oleh Elf yang lain.
Aubree sedar yang kebanyakan Elf di sini menganggap Meliani sebagai permata di hati mereka kerana kecantikan Meliani tapi bukannya kerana kekuatan yang dimiliki oleh Meliani.
Jika dibandingkan antara Meliani dan Aubree, Meliani memang memiliki paras rupa yang cantik dan menawan tapi Aubree lebih kuat dalam perihal kekuatan fizikal dan mental.
Jika saja semua Elf membuka mata dan hati mereka, mereka akan lebih tahu siapa yang sepatutnya lebih layak menjadi penjaga dan pemilik Kristal Kehidupan yang sebenar.
...
PAKK!
Aubree memandang dengan wajah tenang pada Della yang sedang berdiri di depannya sambil nafasnya turun naik turun menahan rasa marah.
Teko berisi teh dihempap kasar ke atas meja, menunjukkan bagaimana marah Della saat itu.
"Hei, kau kenapa ni? Jangan kuat sangat hentak teko tu... Kalau tidak, nanti kita kena suruh ganti rugi pula," balas Aubree sambil membersihkan busur panah yang dipegangnya.
Della segera memusingkan kepalanya ke arah Aubree. Melihat wajah Aubree yang tenang itu membuatkan darah Della menjadi menggelegak.
Jari telunjuk ditudingkan ke wajah tenang milik Aubree.
Della berteriak, "Kau tidak risau sedikit pun? Semua Elf di sini menyebut kau sebagai wanita Elf yang kurang ajar... Tapi kau di sini sempat lagi duduk dengan wajah tenang?"
"Aubree, kau tidak peduli sedikit pun dengan imej kau?"
Aubree hanya mengerling ke arah Della sebelum anak matanya menatap kembali busur yang dipegangnya.
Melihat tiada reaksi dari Aubree, Della merengus geram lalu dia meletakkan kedua-dua tangannya ke pinggang.
"Huh, saya tidak percaya betul yang Meliani itu adalah perempuan yang kaut cemburu. Dengki betullah dia dengan Elf lain..."
"Cuma saya saja di sini yang dapat menandingi dia dalam status sebagai pemilik Kristal Kehidupan tu, mestilah dia akan merasa terancam dan berusaha menyingkirkan saya. Saya sudah tahu perkara ini akan terjadi, jadi saya tidak takut sedikit pun..." balas Aubree selamba.
"Tapi kau sudah pun dipilih oleh Kristal Kehidupan sebagai pemiliknya... Kenapa Meliani mahu menyingkirkan kau pula? Dia ni memang sudah melebih!"
Aubree hanya memandang Della dengan senyuman kecil di bibirnya. Aubree yang ditimpa musibah ini tapi Della pula yang bising-bising macam mama ayam yang kehilangan anaknya.
"Jangan terlalu marah, Della... Masalah ini tidak akan lama. Dia sendiri yang cari masalah dengan kita, jadi dia akan kena sendiri musibah yang telah dia lakukan pada saya," ujar Aubree sambil berdiri.
Aubree sudah selesai membersihkan busur panah yang dipegangnya itu. Dia merancang hendak melanjutkan latihan memanah lagi.
Hensel dan Dean mempunyai tugas untuk memantau benteng Menara Kristal jadi mereka tidak akan dapat menemani Aubree pada kali ini.
"Della, kau tidak perlu ikut saya selepas ini... Kau boleh tunggu saja saya di sini," ucap Aubree dan segera melangkah keluar dari pondok tempat dia berehat tadi.
"Eh, Aubree... Kau belum minum teh yang saya bawa tadi," Della mencuba untuk menghentikan Aubree.
Namun Aubree sudah jauh dari pondok itu. Bila mendengar kata-kata Della tadi, Aubree hanya mengangkat tangan kanannya ke arah Della, memberitahu yang dia akan baik-baik saja tanpa meminum air teh itu dulu.
Della mengeluh kecil melihat keadaan Aubree. Dia tahu bagaimana Aubree sudah pun bekerja keras beberapa minggu ini hanya ingin menjadi kuat. Tapi apa yang jadi, semua Elf di sini tidak melihat hasil penat lelah Aubree dan malah sekarang, mencemuh dia hanya kerana sebuah insiden.
Della ingin menolong membersihkan nama Aubree tapi di tempat ini, di mana Della tidak mempunyai sesiapa dan tidak mengenali sesiapa, dengan siapa dia harus meminta bantuan?
Della mengetatkan genggaman jari-jemarinya. Saat mengingati satu nama yang muncul di mindanya, perasaan marah menjadi semakin meninggi. 'Meliani!'