Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 59 - Minta Maaf(2)

Chapter 59 - Minta Maaf(2)

Fourlin menggetap giginya dengan perasaan geram. "Apa kau cakap? Kau tidak sedarkah yang perbuatan kau itu sudah salah? Kau sudah buat salah tapi tidak mahu mengaku?"

"Kau mungkin sudah lupa..." Aubree memandang Fourlin beberapa saat sebelum dia menyambung kembali ayatnya. "Saya juga adalah pemilik Kristal Kehidupan yang kedua. Saya datang ke sini sebab rayuan dari Ahli Sihir Yang Tertua dan kamu semua..."

Mendengar kata-kata Aubree itu membuatkan Fourlin dan yang lain terkedu.

Aubree tersenyum sinis dan dia menepis tangan Fourlin dengan lagak bongkak. "Saya tidak akan datang ke sini kalau bukan kerana saya perlu melindungi Kristal Kehidupan tu... Oleh kerana kau dan atasan-atasan kau yang mahukan saya di sini, saya tidak akan pernah datang. Saya boleh ubah fikiran saya bila-bila masa saja dan pergi dari sini. Saya tidak peduli jika Kristal Kehidupan itu hanya dijaga oleh seorang penjaga..."

Kemudian Aubree menoleh ke arah Meliani lagi. "Kalau kau rasa kau boleh menjaga Kristal Kehidupan tu seorang diri, mungkin lebih baik saya pergi dari sini. Tanpa pertolongan dari saya, saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada Kristal Kehidupan tu jika Raja Kegelapan membuat keputusan untuk menyerang tempat ni..."

Aubree mengangkat tangannya yang mempunyai tatu hitam. Dengan senyuman sinis, dia berkata, "Kau tidak pernah terfikir kenapa Ahli Sihir Yang Tertua meletakkan mantera ni pada saya? Ini kerana Ahli Sihir Yang Tertua tidak mahu saya gunakan Kuasa saya yang sebenar..."

Aubree berjalan mendekati Meliani. Dia menepuk bahu kiri Meliani dengan gaya sombong. "Jadi, saya berani cakap yang saya tidak akan meminta maaf. Lebih baik kau tidak buat masalah dengan saya lagi jika kau tidak mahu saya tinggalkan tempat ini. Saya tidak kisah jika Raja Kegelapan menyerang tempat ini jika saya sudah pergi nanti... Saya bukannya berminat mahu memiliki Kristal Kehidupan itu dari awal..."

Fourlin menjadi semakin marah setelah mendengar kata-kata Aubree. "Apa yang kau cakap ni?"

Aubree menoleh kembali ke arah Fourlin. "Kau lupa? Saya sudah cakap dulu, jika saya terbukti bukan pemilik Kristal Kehidupan yang kedua, saya mahu kamu semua untuk lepaskan saya... Tapi sekarang bila saya sudah terbukti sebagai Kristal Kehidupan yang kedua, kamu semua layan saya seolah-olah saya tidak berhak berada di tempat ini..."

Wajah Aubree berubah menjadi lebih dingin dan pandangan anak matanya mengecil. "Jadi beritahu saya, apakah kamu semua masih berhak mendapatkan kata maaf dari saya sedangkan status saya sebagai pemilik Kristal Kehidupan di sini lebih tinggi dari kamu semua? Saya boleh saja tinggalkan tempat ni bila-bila masa saya mahu, kau tahu? Saya pun bukannya suka sangat tinggal di sini..."

Aubree tersenyum sinis dalam hati. 'Ah, tidak baik salah gunakan status dan kekuatan saya ni... Tapi apa boleh buat, mereka yang tak ada adap nak juga kacau saya!'

Meliani dan Fourlin terkedu mendengar kata-kata.

Meliani merasa agak gembira mendengar Aubree mengaku yang dia tidak suka berada di tempat ini tapi pada masa yang sama, dia juga merasa risau jika apa yang dikatakan oleh Aubree akan membuatkan pandangan Elf lain berubah.

'Tak guna, boleh pula dia gunakan status dan kekuatan dia untuk membuatkan keadaan jadi berubah begini...'

"Kau..." Fourlin ingin membantah apa yang dikatakan oleh Aubree tapi Meliani segera menahan Fourlin.

Meliani memegang bahu Fourlin dan dengan suara yang lembut, dia berkata, "Fourlin, sudahlah... Jangan besarkan masalah ini. Jika Audrey tidak mahu meminta maaf, tak mengapa... Saya memahami apa maksud dia. Janganlah besarkan masalah ini dan memulakan pergaduhan..."

Fourlin menggepalkan penumbuknya. Dia berusaha untuk bersabar setelah mendengar kata-kata Meliani.

Aubree tersenyum sinis melihat wajah Fourlin yang kelat kerana menahan marah. "Kau patut dengar cakap PUTERI Meliani ni kalau kau tidak mahu Ahli Sihir Yang Tertua marah pada kau sebab buat saya berubah fikiran dan pergi dari tempat ni..."

Kali ini giliran Meliani pula yang berubah menjadi geram. Wajahnya yang tenang tadi berubah menjadi berkerut. Tajam matanya memandang ke wajah sinis Aubree.

Aubree tersenyum senang melihat wajah kelat milik Meliani. Dia merasa gembira kerana dapat membuatkan wanita Elf itu akhirnya terkena dengan perbuatannya sendiri.

Aubree berjalan meninggalkan mereka tanpa memandang dua kali ke arah mereka.

Katy yang berdiri di tepi mereka sejak tadi hanya memandang mereka berdebat antara satu sama lain. Dia bukannya tidak mahu menolong Meliani untuk menegur Aubree tapi ini kerana dia bukannya kenal sangat dengan Aubree.

Katy takut untuk menegur Aubree membuatkan dia melakukan satu kesalahan. Katy tidak tahu setinggi mana kekuatan Aubree atau sampai mana pengaruh Aubree di tempat ini.

Meliani dan Fourlin merenung kelibat Aubree yang semakin menjauh. Meliani menyembunyikan penumbuknya di sebalik lengan baju yang panjang dan lebar.

'Audrey, kau mungkin dapat bersikap sombong seperti ini pada saya hari ini... Tapi kau belum tahu siapa saya yang sebenarnya. Saya akan pastikan kedudukan kau di sini lebih rendah dari saya...'

***

***

Dengan gaya selamba, Aubree bersiul-siul dan berjalan menuju ke dewan makan. Dewan makan adalah tempat terbuka di mana semua Tentera Elf akan pergi untuk menjamu selera bersama.

Bersama dengan Aubree ialah White dan Della.

Beberapa orang Elf yang melintasi Aubree terus memandang Aubree dengan jelingan sinis. Mereka terus memberikan cemuhan secara senyap kepada Aubree.

Aubree tidak melayan mereka dan hanya terus saja berjalan.

[Yang Mulia, adakah kau yakin kau mahu keluar dan bertemu dengan semua Elf di sini? Sekarang ini, banyak Elf yang bercakap buruk tentang Yang Mulia dan reputasi Yang Mulia sudah pun tercalar...]

> 'White, saya sudah buat keputusan untuk tidak tinggal diam saja. Walaupun semua Elf di sini bercakap buruk tentang saya... Saya tetap akan melangkah ke depan dengan wajah megah. Lagipun, bukan salah saya pecahkan gelas kesayangan puteri Elf tu...' <

White tidak mengatakan apa-apa lagi berkaitan hal ini dan hanya mengikuti Aubree.

"Audrey, tidak mengapakah kita pergi ke dewan makan pada saat ini? Bukankah lebih baik jika kau tinggal di bilik saja? Semua Elf di sini tidak suka dengan kau, takkan kau sudah lupa?" Della memandang Aubree dengan wajah risau.

Aubree tersenyum sambil memandang ke arah Della. "Perkara yang terjadi semasa makan malam itu bukanlah salah saya, jadi kenapa saya perlu menyembunyikan diri dari mereka. Saya tidak takut dengan sesiapa pun di sini jadi kau tidak perlu takut jika mereka mahu buat masalah dengan saya. Lagipun, saya datang ke dewan makan kerana satu tujuan..."

"Apa dia?"

"Saya mahu berikan amaran kepada semua Elf di sini untuk berhati-hati supaya tidak membuatkan saya marah. Sebagai seorang pemilik Kristal Kehidupan yang sudah dipilih oleh Kristal Kehidupan itu sendiri, mereka sepatutnya melayan saya dengan baik dan bukannya mencemuh saya seperti sekarang..."

Della memegang dagunya sendiri dan berfikir. "Jadi maksud kau, kau mahu semua Elf di sini sedar yang kau bukanlah Elf yang senang dibuli atau dipijak? Kau mahu gunakan kekuatan dan status kau untuk buatkan mereka tunduk pada kau?"

"Saya tidak terfikir untuk membuatkan mereka tunduk pada saya. Saya cuma mahu mereka tidak lagi mengganggu dan cari masalah dengan saya sebab saya juga merupakan penjaga Kristal Kehidupan tu. Tiada makna status saya sebagai pemilik Kristal Kehidupan itu jika saya hidup macam di neraka di tempat ini..."

Della tersenyum manis lalu dia memeluk lengan kanan Aubree. "Saya setuju! Kau patut tunjukkan kepada semua Elf yang kau bukanlah seorang Elf yang lemah hanya kerana dibuli dan dicemuh oleh mereka."

Aubree mengangguk dengan wajah bangga kerana Della memahami apa yang dimaksudkan olehnya. "Baik, jom kita ke dewan makan sekarang!"

"Jom!"