Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 64 - Ujian Pertama(1)

Chapter 64 - Ujian Pertama(1)

Ketika Aubree masuk ke stadium melalui pintu masuk yang berbentuk terowong, hampir semua dari para Elf yang berada di tempat duduk penonton berdiri dan menyorak Aubree dengan suara yang kuat. Tangan mereka juga diangkat ke atas dan dilambaikan ke arah Aubree.

Melihat situasi ini membuatkan Aubree bingung sama ada hendak ketawa atau bersedih.

Selama dia berada di sini, Aubree tidak pernah melakukan apa-apa yang membuatkan mereka menyukainya kecuali masalah yang dia lakukan kepada Meliani.

Jadi masa seperti ini, mereka sepatutnya mengejek dan mencemuh dia. Bukannya menyorak nama dia begini...

Jadi melihat banyak Elf yang menyorak untuk dia membuatkan Aubree curiga sama ada mereka ikhlas untuk memberi semangat kepada dia atau sengaja menyorak kerana ingin melihat kekalahan Aubree di akhir ujian ini nanti.

'Apa-apa pun alasan mereka ingin menyorak saya, saya tidak kisah. Saya akan buktikan kepada semua Elf yang saya sebenarnya lebih kuat dan lebih layak berbanding Meliani sebagai pemilik Kristal Kehidupan itu..."

Memikirkan tentang Meliani, Aubree secara tak sedar menoleh ke arah Meliani yang duduk di tingkat dua stadium. Memandangkan status Meliani agak istimewa, tempat duduk yang disediakan untuk dia adalah sebuah tempat duduk yang beratap.

Di sana juga disediakan meja dan kerusi. Meliani boleh meminta makanan atau buah mulut untuk dinikmati ketika dia sedang menonton ujian Aubree nanti. Di tepi-tepi kawasan itu juga, terdapat pembantu-pembantu Elf yang bersedia melakukan semua arahan Meliani. Contohnya seperti mengipaskan Meliani jika dia kepanasan nanti.

Pendek kata, Meliani dilayan layaknya seperti seorang ahli kerabat diraja yang sebenar dengan kemudahan yang istimewa.

Bersama-sama dengan Meliani ialah Ahli Sihir Yang Tertua, Kilan dan Katy serta... Issac.

Mata Aubree melekat pada Issac. Dalam sekelip mata, wajah dingin Issac bertukar dan lelaki itu memberikan senyuman manis kepada Aubree, seakan-akan ingin memberi semangat kepada Aubree.

Senyuman itu hanya sesaat sebelum wajah Issac bertukar menjadi dingin. Itu pun setelah Meliani menoleh ke arah Issac.

Aubree mencebik geram dalam hati melihat bagaimana Meliani dilayan bak seperti seorang Puteri Raja yang sebenar. 'Jika mereka melihat betapa kuatnya saya nanti, adakah mereka akan melayan saya seperti itu juga?'

Soalan yang muncul di minda Aubree hilang begitu saja ketika Aubree tiba di tengah-tengah stadium.

Aubree memandang ke arah lantai perlawanan diadakan. Tidak seperti yang dia perkirakan, lantai perlawanan ini tidak dibuat dari besi atau kayu tapi hanya diletakkan pasir.

Setelah Aubree berhenti di tengah-tengah, tepat beberapa saat kemudian, seorang lelaki yang bertubuh besar dan berotot masuk ke dalam arena.

Dia ialah lawan Aubree dalam ujian pertamanya.

Ketika Aubree melihat lawannya, mulut Aubree bergerak-gerak, entah sama ada dia sedang tersenyum gembira atau kerana geram.

Aubree tahu lawannya untuk ujian kali ini adalah seorang Tentera Elf yang paling handal dalam ilmu bela diri tapi Aubree tidak pernah menyangka yang mereka akan memilih seorang Tentera Elf yang berbadan besar seperti sebesar seekor gorila.

'Mereka sengaja nak saya kalah atau apa ni? Dalam banyak-banyak Elf yang handal, kenapa yang berbadan besar juga mereka pilih? Mereka nak saya mati? Patutlah mereka bersorak kuat tadi, mereka tidak sabar nak tengok saya kalah dan mati rupanya...'

Aubree menunduk kecil sambil menutup matanya. Dia menggosok batang hidungnya dengan perasaan geram yang semakin bertambah.

Tentera Elf yang dipilih tadi berhenti tepat di hadapan Aubree. Memandangkan dia lebih besar dari Aubree, dengan senang saja dia menunduk dan menatap Aubree dari atas kerana badan Aubree yang kecil.

'Kurang asam betullah mereka ni! Tak ada rasa kesian betullah! Ini baru ujian biasa, bukannya ujian saya nak masuk jadi tentera atau apa... Kenapa mereka perlu pilih Tentera Elf yang lebih besar badannya berbanding saya? Tak guna! Makhluk tak beradap! Dasar Elf kurang ajar! PEIH!'

Walaupun Aubree sedang menyumpah-seranah dalam hati, di luar dia tetap bersikap tenang dan membalas pandangan Tentera Elf itu.

'Dasar gorila! Macam nak patah saja leher saya nak tengok dia dari bawah sini!'

'Gorila' yang dimaksudkan oleh Aubree itu melihat Aubree yang kecil, seakan-akan kecil macam semut di matanya dan dia terus tersenyum sinis.

"Kau yang akan menjadi lawan saya? Kau nampak sangat kecil macam seekor semut. Saya takut jika kau akan kalah dalam sekali tumbukan dari saya saja..."

Wajah Aubree berubah menjadi serius dan ada sedikit rasa bengang terpancar di wajahnya. 'Lupakan pasal peraturan, saya yang akan bunuh dia hari ini! Beraninya dia merendah-rendahkan saya begitu!'

Salah satu dari peraturan yang ada dalam ujian pertama ini adalah mana-mana pihak dilarang untuk membunuh lawan mereka.

Tapi kerana pihak lawannya sudah membuatkan dia marah, Aubree tanpa berkelip mata terus memilih untuk melanggar peraturan.

Ahli Sihir Yang Tertua berdiri dari kerusinya dan menggoncangkan loceng yang berada di atas meja.

Semua Elf berhenti bersuara dan menumpukan perhatian kepada Ahli Sihir Yang Tertua.

"Hari ini adalah hari ujian di mana Audrey akan menunjukkan kekuatan dia... Tujuan ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada Audrey membuktikan kemampuannya sebagai pemilik Kristal Kehidupan yang kedua..."

"Semua yang hadir di sini perlu tahu jika ujian ini adalah penting dan jika diketahui ada berlakunya penipuan dalam ujian ini, ujian ini akan dihentikan serta-merta. Jika penipuan ini terjadi bukan berasal dari pihak Audrey, Audrey serta-merta akan diumumkan lulus dalam ujian ini tapi jika penipuan berlaku dalam pihak Audrey, maka ujian ini akan dibatalkan dan dia harus menjalani ujian lain yang lebih berat dari ini..."

Keadaan stadium sangat senyap dan hanya kedengaran suara Ahli Sihir Yang Tertua yang bergema ke seluruh kawasan.

Ahli Sihir Yang Tertua memandang ke bawah, ke arah Aubree yang sudah pun memandang ke arahnya dengan wajah serius.

Ahli Sihir Yang Tertua tersenyum kecil saat melihat Aubree langsung tidak merasa gementar malah gadis itu kelihatan tidak sabar hendak memulakan ujian ini.

"Tanpa membuang masa, marilah kita saksikan ujian pertama ini. Ujian ini akan dilalui oleh Audrey dengan menentang Montee, Tentera Elf dengan kekuatan ilmu bela diri Tingkat 9..."

"Ujian dimulakan!"

Sebaik saja ayat terakhir diucapkan, loceng dibunyikan tanda perlawanan secara rasminya bermula.

Stadium sekali lagi bising dengan suara sorak-sorai dari para Elf. Diantara suara sorakan itu, nama Montee paling kuat disebut.

Aubree juga mendengar namanya disorak oleh beberapa orang Elf. Walaupun tidak kuat, Aubree masih dapat mendengar namanya disebut kerana pendengarannya yang tajam.

Aubree memandang ke arah Montee sudah pun memandangnya dengan senyuman lebar dan mengerikan.

Senyuman itu seolah-olah seperti senyuman yang sering ditunjukkan oleh pembunuh yang tersenyum ngeri sebelum membunuh mangsa mereka.

Aubree berundur beberapa langkah ke belakang dengan kedua tangannya sudah diangkat ke atas, tanda bersedia untuk melawan Montee.

"Kau ingat dengan badan kau yang kecil itu, kau akan mampu melawan saya yang berbadan besar ini?" kata Montee.

"Walaupun badan kau besar dari saya, tidak bermakna saya akan kalah dengan kau. Terkadang, memiliki tubuh yang kecil juga mempunyai kebaikannya," balas Aubree, tidak menunjukkan sedikit pun rasa takutnya kepada Montee.

Melihat Aubree yang tidak menunjukkan rasa takut, Montee tidak teragak-agak menghayunkan tangan kanannya yang besar itu dari udara ke bawah. Dia berniat hendak menggunakan cara itu untuk menghentam Aubree ke lantai stadium dan menghancurkan seluruh tulang Aubree sehingga patah.

Meskipun Aubree mempunyai badan yang kecil, namun dia lebih cepat dan tangkas berbanding Montee. Jadi sebaik saja Montee mengangkat tangannya ke atas, Aubree sudah pun melompat dua kali ke sebelah kanan.

Aubree dengan cepat melompat kembali ke belakang Montee dan berdiri di atas bahu Montee.

Tangan Montee menyentuh pasir di bawah. Tumbukan dari Montee itu membuatkan sebuah lubang yang besar terbentuk di atas pasir di depan Montee.

Pasir-pasir pun berterbangan ke mana-mana dan debu-debu pasir mula memenuhi udara, tidak tebal tapi cukup untuk membuatkan sesiapa saja yang terhidu habuk itu, akan terbatuk.

"Heeiirgghh!"

Aubree terus menarik rambut Montee dengan kuat ke arah belakang.

Montee berteriak kesakitan dan badannya secara sendirinya bergerak ke belakang kerana rasa sakit yang terhasil di belakang kepalanya.

Melihat serangan yang tidak disangka-sangka itu, keadaan stadium menjadi senyap untuk sesaat sebelum kembali bising dan kali ini semua Elf berteriak menyokong nama Aubree.

Related Books

Popular novel hashtag