Dalam masa seminggu ini, Aubree berlatih keras hanya untuk mempersiapkan mental dan fizikalnya sebagai persiapan ujian nanti.
Tuan Gildam tidak pernah meninggalkan Aubree semasa latihan dan sentiasa memerhati gadis itu ketika dia latihan.
Tuan Gildam sangat berpuas hati dengan pencapaian Aubree dan dia tidak perlu merasa risau lagi tentang keadaan Aubree semasa ujian besok.
...
Keesokan harinya adalah di mana ujian itu akan dimulakan. Tidak seperti yang dikatakan oleh Tuan Gildam ketika mereka berada di pondok dulu, masih ada Elf yang mahu datang ke stadium di mana ujian itu dilakukan.
Pada mulanya, stadium itu tidak penuh, hanya stadium di tingkat bawah saja yang dipenuhi namun setelah setengah jam kemudian, para Elf mula berdatangan dan memenuhi kawasan stadium, tidak kira di tingkat bawah atau tingkat atas.
Aubree menunggu di khemah persiapan sebelum ujian dimulakan. Dia sudah diberikan taklimat oleh Tuan Gildam mengenai ujian yang akan dia hadapi hari ini.
Ketika ujian nanti, dia harus melewati tiga tingkat ujian, barulah dia dikira lulus.
Ujian pertama sangat mudah dimana Aubree hanya perlu bertarung satu lawan satu dengan seorang Tentera Elf yang mempunyai ilmu bela diri yang tinggi.
Untuk ujian yang pertama ini, Aubree tidak merasa panik atau risau kerana dia sudah mempunyai pengalaman bertarung satu lawan satu dengan orang-orang yang kuat sewaktu dia masih hidup sebagai pembunuh upahan di masa lalu.
"Kau tidak nampak gementar pun untuk ujian nanti..."
Suara lelaki yang terdengar lembut dan garau itu menyapa gegendang telinga Aubree, menyebabkan Aubree yang sedang menunduk di kerusi menoleh ke arah si pemilik suara.
"Issac, apa yang kau buat di sini? Bukankah kau sepatutnya sudah duduk di bangku penonton dan bersedia untuk menonton ujian saya?" tanya Aubree.
"Ya, saya memang sudah duduk di bangku saya di bahagian penonton..."
Aubree memandang Issac dengan wajah kebingungan. "Jadi kenapa kau datang ke sini?"
"Saya baru ingat yang saya belum lagi cuma ucap kata-kata semangat pada kau. Tidak mungkin saya akan biarkan kau ambil ujian ini sebelum sempat saya ucapkan kata-kata semangat pada kau..."
Aubree terkesima mendengar penjelasan Issac. Dia hanya diam saja dan memandang wajah Issac dengan wajah yang sukar dibaca. Dia tidak tahu perkataan apa yang sesuai untuk dia katakan saat ini.
Issac tersenyum lembut dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Aubree. Dia berjalan mendekati gadis itu. Setelah menarik bangku kosong yang lain, Issac duduk di hadapan Aubree.
Issac mengeluarkan sesuatu dari dalam beg kecil yang dia sangkutkan di bahagian pinggangnya.
Tanpa mengatakan apa-apa, Issac terus menarik tangan kanan Aubree dan memasukkan gelang ke dalam tangan Aubree.
Sebuah gelang berwarna perak yang dihiasi dengan ukiran bunga dan diberikan warna merah dan emas, masuk ke dalam ruang penglihatan Aubree.
Aubree memandang ke gelang yang diberikan oleh Issac dan mindanya menjadi kosong untuk sekejap.
"Ini ialah jimat sebagai tanda semangat untuk saya. Saya mahu berikan ini pada kau supaya kau akan lebih bersemangat semasa ujian nanti," Tanpa melepaskan tangan Aubree, dia menerangkan motif perbuatannya dan memandang tepat ke anak mata Aubree.
"Saya akan baik-baik saja. Saya yakin dengan kemampuan saya, jadi saya tahu saya akan lulus ujian ini. Kau tidak perlulah..."
Genggaman Issac di tangan kanannya menjadi semakin erat, membuatkan Aubree berhenti bercakap dan menatap ke arah Issac.
"Saya tahu... Saya cuma... Saya cuma nak berikan gelang ini sebagai jimat bertuah untuk kau. Ini adalah hari yang penting untuk membuktikan diri kau pada semua Elf di sini agar mereka dapat menerima kau sepenuhnya..."
Aubree hanya mendiamkan diri dan menghairankan juga kerana dia terasa dia ingin mendengar lebih lanjut apa yang ingin dikatakan oleh Issac.
"Saya tahu kau ingin berusaha sendiri untuk membuktikan diri kau kepada semua Elf... Setidaknya, gelang ini saya berikan pada kau supaya kau sentiasa ingat yang saya akan sentiasa sokong kau walaupun saya tahu kau mungkin tidak akan perlukan gelang ini..."
Aubree menunduk untuk melihat gelang yang diberikan oleh Issac tadi.
"Saya tahu kau akan mampu melewati semua tingkat ujian ini dan saya berharap agar kau akan baik-baik saja sehinggalah ujian ini habis," Issac belum habis bercakap lagi dan terus mengatakan apa yang dia ingin katakan.
Tiba-tiba, Aubree mengangkat tangan kirinya yang tidak dipegang itu ke depan wajah Issac. Issac terus berhenti kerana tindakan Aubree itu.
"Cukup!"
Aubree memandang Issac dengan wajah serius. "Saya tidak perlu dengar semua benda merepek ni sekarang... Tapi jika kau percaya yang saya boleh lulus ujian ini, saya akan lebih menghargainya..."
Secara automatik, senyuman lebar menghiasi wajah Issac. "Sudah tentu, saya sentiasa percaya dengan kau..."
Meskipun Issac berkata begitu dengan muka yang terlihat faham dan serius, Aubree tidak boleh berhenti dan terus mengeluarkan suara gelaknya.
Issac memandang Aubree dengan kening yang berkerut. "Kau tidak patut ketawa ketika situasi seperti ini..."
"Maaf, saya tidak boleh berhenti. Bukan apa, cuma... Saya tidak pernah menyangka Putera Pertama dari Kerajaan Timur yang terkenal dengan sikap dinginnya tu, boleh pula bersikap begini lembut dan baik pada Elf lain... Lebih-lebih lagi Elf seperti saya..."
Issac merenung Aubree ketawa beberapa kali sebelum dia menggenggam kedua-dua tangan Aubree dengan erat.
"Saya bersikap begini hanya pada kau seorang saja... Dan saya tidak anggap sebagai Elf lain... Kau..."
Aubree sudah berhenti ketawa dan memandang Issac dengan penuh minat. Dia mahu tahu apa yang ingin Putera Dingin ini katakan tentangnya.
Issac melihat bagaimana Aubree melihatnya dengan wajah ingin tahu dan buat pertama kali dalam seumur hidupnya, dia tidak mampu mengatakan apa yang dia rasa saat ini kepada Aubree.
"Saya akan beritahu kau jika kau sudah lulus ujian hari ini. Jadi, saya harap agar kau berusaha keras untuk lulus dalam ujian ni..."
Setelah itu, Issac terus mengusap kepala Aubree dengan perasaan hangat yang muncul di sebalik sinar matanya.
Issac tidak menunggu Aubree untuk mengatakan apa-apa. Dia berdiri dan meninggalkan khemah itu.
Aubree yang masih bingung dan tertanya-tanya tentang kata-kata Issac tadi segera membetulkan rambutnya yang kusut kerana tindakan Issac tadi.
Aubree memandang kelibat Issac yang sudah separuh terkeluar dari pintu khemah sebelum lelaki itu lenyap dari pandangan mata.
Tanpa sedar, bibirnya menguntum senyuman kecil. Walaupun kecil, ini pertama kalinya dia tersenyum hanya kerana seorang lelaki.
Sebaik saja Aubree sedar dengan perbuatannya, dia terus menampar wajahnya sendiri. 'Saya sudah jadi gilakah nak senyum pada lelaki dingin tu? Nasib baik dia sudah pergi dan tidak nampak apa yang saya buat... Kalau tidak, sampai mati pun saya tidak akan pernah lupa perasaan memalukan ni...'
Saat Aubree sedang bercakap-cakap dalam hati, matanya tidak sengaja melekat pada gelang yang diberikan oleh Issac tadi.
"Tsk, tak sangka yang dia akan terfikir untuk bagi saya benda begini..."
Walaupun Aubree merungut sedikit tapi dia tidak membuka gelang itu dan terus memakai gelang itu sehinggalah dia dipanggil untuk masuk ke stadium ujian.