Meliani mengerling ke arah White yang masih berbaring di tepi bangku yang diduduki oleh Aubree. Kemudian, dia memandang ke arah Aubree lagi. "Boleh saya tanya di mana saudari berjumpa dengan Harimau Sakti ini?"
Semua perhatian kini fokus ke arah Aubree.
Aubree berhenti menggerakkan tangannya dan memandang ke arah Meliani. "Saya berjumpa dengan White semasa saya berjalan di hutan. White sendiri yang temukan saya..."
"White? Nama Harimau Bertanduk ini ialah White?" tanya Kilan pula.
Aubree mengangguk membalas kata-kata Kilan.
"Saya rasa saya pernah melihat Harimau Bertanduk yang sama seperti White. Ketika itu, saya pergi memburu bersama-sama dengan Elf-Elf lain di sebuah hutan," kata Kilan lagi.
"Betulkah, Yang Mulia? Apa yang terjadi terhadap Haiwan Sakti itu selepas itu?" tanya seorang Elf kepada Kilan.
Kilan menggeleng sambil sebuah keluhan keluar dari mulutnya. "Harimau Bertanduk itu sempat melarikan diri sebelum saya sempat menangkapnya..."
Wajah Elf yang lain bertukar menjadi kecewa saat mendengar kata-kata Kilan.
"Sayang sekali... Jika saja Harimau Bertanduk itu dapat ditangkap..."
"Atau mungkin Harimau Bertanduk yang dikatakan oleh Kilan itu adalah Harimau Bertanduk yang sama dengan Harimau Bertanduk milik Audrey?" tanya Katy secara tiba-tiba.
Aubree melirik ke arah Katy secara senyap-senyap saat mendengar soalan Katy itu.
"Tidak mungkin Harimau Bertanduk yang kamu nampak itu bukan seperti Harimau Bertanduk milik Audrey. Jika memang benar, kita harus bertanya kepada Audrey jika perkara ini betul atau tidak..." Meliani mencelah perbualan mereka.
Semua Elf yang berkumpul di sana menatap ke arah Aubree lagi. Hanya Issac saja yang masih tenang dan meneruskan suapan makanannya.
Kening Aubree berkerut sedikit apabila Meliani mencuba untuk menumpukan semua perhatian para Elf kepadanya.
Tujuan Aubree duduk diam di meja itu kerana dia tidak mahu bercakap dengan mana-mana Elf dan tidak mahu membuatkan Elf lain menganggap dia sebagai seorang yang suka mengambil perhatian jika Aubree mula bercakap nanti.
Tapi sekarang matlamat Aubree itu terlihat sia-sia saja kerana Meliani berjaya membuatkan semua Elf memandang ke arah Aubree.
Aubree merasa bengang namun dia tidak melakukan apa-apa. Di dalam hatinya, dia merasa bengang namun di luar, raut wajahnya menunjukkan wajah kosong.
"Saya tidak tahu. Haiwan Sakti saya ini sangat suka berjalan-jalan di hutan. Saya sering membiarkan dia berjalan sendirian dan ke mana dia pergi, saya juga tidak tahu..."
Jawapan yang dingin dan ringkas diberikan oleh Aubree kepada semua orang. Mendengar suara dingin dan agak datar itu membuatkan Elf yang lain mula membandingkan Aubree dan Meliani.
Meliani seorang yang baik hati dan lemah lembut. Dia sentiasa akan tersenyum manis kepada semua Elf yang dia nampak dan menggunakan suara yang sopan dan lembut untuk bercakap.
Berbeza dengan Aubree, sejak awal dia datang bukan saja dia tidak menegur Elf-Elf yang lain tapi dia juga tidak peduli sama ada perlu bercakap dengan mereka atau tidak.
Kalau begini, bukankah sudah jelas siapakah yang patut menjadi pemilik Kristal Kehidupan yang sebenar. Kenapa pula seorang pemilik perlu ditambah lagi?
Kerana jawapan Aubree itu, suasana di meja itu menjadi agak kekok dan yang lain kembali makan dalam keadaan senyap.
Fourlin menjeling Aubree yang sudah pun kembali makan. Jelingan hampa dan benci diberikan oleh Fourlin kepada Aubree.
Aubree menyedari rasa benci yang mendalam dari pihak Fourlin tapi dia merasa sangat malas untuk mengambil peduli tentang wanita Elf itu. Jadi Aubree hanya mampu menunduk dan memakan saja hidangannya.
Makan malam mereka pun berakhir tapi semua Elf tidak segera kembali ke bilik masing-masing. Mereka tinggal di taman itu untuk minum teh pula.
Aubree yang sudah kenyang dan ingin kembali ke biliknya dengan terpaksa membatalkan niatnya dan tinggal di sana bersama mereka. Dia kembali duduk diam di tempat duduknya tanpa bercakap.
Yang lain juga tidak peduli dengan Aubree dan meneruskan perbualan mereka antara sesama.
Della yang merasa suasana ganjil terjadi di taman itu sudah tidak tahan duduk di sana lebih lama. Jadi, dia meminta diri untuk kembali ke biliknya.
Tinggallah Aubree di sana bersama dengan White.
Saat minuman teh sudah tiba, seorang pembantu Elf mendekati Aubree sambil menadahkan secawan teh cantik dengan ukiran bunga berwarna merah pada gelas teh itu.
Aubree memandang pembantu Elf itu dengan wajah kehairanan. 'Kenapa dia relakan diri mahu memberikan saya cawan teh secara tiba-tiba ni?'
"Ini teh untuk Puteri Audrey... Sila nikmati tehnya, Puteri..."
Walaupun Aubree merasa curiga tapi tangannya tetap diangkat untuk mengambil cawan itu.
Apa yang membuatkan Aubree terkejut selepas itu adalah ketika tangannya hampir dekat dengan cawan teh itu, secara tiba-tiba cawan teh itu terlepas dari tangan pembantu Elf tadi.
Cawan yang cantik itu terus terjatuh ke atas lantai yang keras, menghasilkan bunyi yang kuat setelah cawan itu mengenai lantai.
Bunyi cawan pecah menarik perhatian semua Elf di sana.
Anak mata Aubree mengecil melihat kejadian itu. Dia langsung tidak dapat melihat perkara ini akan berlaku.
Saat semua pandangan terarah ke arah Aubree dan pembantu Elf itu, pembantu Elf itu terus berlutut dan menundukkan kepalanya ke lantai sebagai tanda memohon maaf.
Yang peliknya, pembantu Elf itu tidak meminta maaf kepada Aubree, malah sebaliknya meminta maaf terhadap Meliani.
"Maafkan saya, Puteri Meliani. Cawan kesayangan Puteri Meliani telah pecah kerana kecuaian saya. Saya cuma mahu memberikan cawan itu kepada Puteri Audrey tapi tidak sangka cawan itu akan terlepas dari tangan saya..."
Bibir Aubree bergerak-gerak kecil kerana merasa berang. 'Kecuaian dia? Terlepas dari tangan dia? Heh, benda apa yang dia merepek ni? Sudah jelas-jelas yang pembantu ini sengaja melepaskan cawan teh tu sebelum saya sempat pegang!'
'Dan apa yang pembantu lembap ni cakap? Cawan teh ni adalah kesayangan Meliani? Kenapa gunakan cawan ni untuk saya kalau ini ialah jelas-jelas cawan kesayangan Meliani? Mereka nak buat fitnah pada saya atau apa?'
Meliani melihat bagaimana cawan 'kesayangan' yang sudah pecah di atas lantai. Dia hanya tersenyum kecil saja walaupun ada raut wajah sedih yang terlihat sedikit.
"Tidak mengapa... Itu cuma sekadar cawan." Meliani memandang ke arah Aubree pula. "Kau tidak apa-apa? Teh itu masih panas. Tangan kau tidak kena dengan teh panas tu, kan?" tanya Meliani dengan wajah prihatin.
Aubree memandang wajah prihatin yang ditunjukkan oleh Meliani itu. Jika Aubree tidak tahu bagaimana sifat Meliani yang sebenarnya, sudah lama Aubree tertipu dengan wajah prihatin itu.
Belum sempat Aubree menjawab kata-kata Meliani, Fourlin memotong ayat Aubree. "Puteri Meliani, apa yang Puteri katakan ni? Cawan ni kan adalah hadiah hari jadi Puteri Meliani oleh Permaisuri Kerajaan Selatan. Ini adalah cawan yang dibuat dari bahan yang sangat langka di dunia ini. Tentu saja cawan ini berharga! Kenapa Puteri Meliani masih perlu prihatin terhadap dia? Sudah jelas di sini jika Audrey sendiri yang sengaja membiarkan cawan itu jatuh!"
Suara Fourlin itu terdengar lantang dan bergema di seluruh taman itu.
Semua Elf menjadi senyap saat mendengar kata-kata Fourlin. Ketika mereka mendengar bagaimana berharganya cawan teh yang pecah itu terhadap Meliani, para Elf yang ada di sana menjadi simpati.
Kemudian, mereka memandang ke arah Aubree dengan pandangan menuduh pula. Mereka menuduh Aubree melalui isyarat mata yang Aubree sengaja melakukan ini kerana tidak ingin melihat Meliani dilayani dengan baik oleh Elf yang lain.
Sejak awal, mereka semua sedar yang Aubree hanya berdiam diri saja dan tiada Elf yang mahu bercakap dengan dia kecuali Kilan saja. Tapi Meliani yang sudah lama bersama dengan mereka sering berbual dengan mereka dengan nada yang ceria.
Perbezaan yang ketara diantara dua orang pemilik Kristal Kehidupan itu membuatkan semua Elf memandang Aubree dengan pandangan tidak puas hati.
"Saya fikir jika pemilik Kristal Kehidupan yang kedua ini adalah seorang yang baik seperti Meliani tapi sebenarnya dia mempunyai hati yang kejam dan busuk! Kenapa Elf macam dia dipilih sebagai pemilik Kristal Kehidupan yang kedua, ya?"
"Dia sudah memecahkan cawan kesayangan Puteri Meliani tapi saya belum dengar lagi dia meminta maaf. Sedangkan Puteri Meliani bertanya kepada dia lagi tentang keadaan Audrey tapi dia sendiri yang tidak sedar diri dan tidak mahu mengaku kesalahannya. Dia memang Elf dua muka!"
"Tsk, tsk, tsk... Jadi betullah semua gosip yang kita dengar selama ini? Elf dengan mata merah macam dia ni tidak layak tinggal di tempat ini! Kalau Ahli Sihir Yang Tertua tahu tentang ini... Adakah dia akan diusir? Saya rasa lebih baik jika dia diusir, saya juga tidak mahu dia tinggal di sini dan menyakiti Puteri Meliani lagi nanti..."
Bermacam-macam jenis gosip yang terdengar di taman itu membuatkan Elf yang lain mula terpengaruh. Ramai diantara mereka yang memandang Aubree dengan wajah tidak puas hati.
Meliani mencuba untuk mendekati Aubree. "Audrey, kamu tidak apa-apa?"
"Puteri Meliani, tolong berhenti! Jangan pedulikan dia! Dia seorang yang kejam!" Seorang Elf lelaki segera memegang tangan Meliani untuk menghentikan Meliani.
Meliani berhenti kerana tangannya dipegang tapi matanya masih memandang ke arah Aubree.
Melihat bagaimana situasi berubah menjadi tidak terkendali seperti ini, akhirnya Aubree tahu kenapa sejak awal lagi dia merasa tidak puas hati.
Rupanya ada orang yang mencuba untuk memburukkan lagi namanya!
Aubree memandang ke arah Meliani. Wajahnya berubah menjadi lebih dingin dari yang tadi dan seluruh aura di sekelilingnya berubah menjadi gelap. "Jadi, begini cara kau nak bermain? Baiklah, saya terima cabaran kau!"
Selesai mengucapkan apa yang ingin dia katakan, Aubree terus berpusing ke belakang dan meninggalkan taman itu tanpa menoleh ke belakang lagi. White mengikuti Aubree dari belakang.
Semua Elf yang masih merenung Aubree tercengang-cengang melihat Aubree pergi meninggalkan mereka.
"Dia langsung tidak meminta maaf setelah apa yang dia buat? Dia memang tidak tahu malu! Kenapa Elf macam dia masih diterima di sini? Sepatutnya dia sudah dikeluarkan dari sini!"
"Elf itu tidak layak menjadi pemilik Kristal Kehidupan yang kedua! Saya tidak setuju!"
Seluruh suasana di taman itu menjadi kacau lagi. Para pembantu Elf segera membersihkan cawan yang pecah tadi.
Issac memandang cawan yang sedang dipungut oleh pembantu Elf. "Tak sangka cawan kesayangan ini kau sanggup guna untuk Audrey dan kau sendiri tidak gunakan cawan tu. Bukankah itu bermaksud kau rela korbankan cawan ni? Kau langsung tidak menghargai kepentingan cawan ini, bukan begitu... Meliani?"
Kata-kata Issac itu membuatkan Meliani kehilangan kata-katanya. Meliani tidak tahu apa yang harus dia katakan kepada Issac.
"Is—Issac, apa maksud kau?"
Issac memandang Meliani dengan wajah dingin. Pandangan matanya sangat kosong, sangat kosong sehingga Meliani tidak dapat meneka apa yang difikirkan oleh Issac.
"Kau tahu itu ialah cawan kesayangan kau, jadi kenapa kau tidak simpan elok-elok atau gunakan untuk diri sendiri. Kenapa kau harus biarkan Audrey yang menggunakan cawan itu?"
Meliani terdiam. Dia tidak menyangka jika Issac akan mengatakan seperti itu. Sejujurnya, dia sengaja membuatkan pembantu Elf membawa cawan itu kepada Aubree dan membiarkan cawan itu jatuh dan pecah. Setelah itu, berlakon sedikit agar kejadian cawan pecah itu memang dilakukan oleh Aubree.
Tapi yang membuatkan Meliani terkedu adalah kerana Issac mengetahui perkara yang berlaku di sebalik kejadian itu.
Issac tidak mempedulikan wajah Meliani yang sudah pucat itu. Dia memandang ke arah kumpulan Elf yang bercakap buruk tentang Meliani tadi.
Kemudian, dia berkata, "Menuduh orang lain tanpa bukti adalah sifat yang buruk. Apalagi bagi mereka yang menuduh tanpa mendengar cerita dari kedua sisi. Kamu hanya tahu perkara dari sisi pertama dan sudah menuduh orang lain? Sepatutnya kamu malu dengan diri kamu sendiri kerana kamu masih hidup dengan otak yang lembap macam itu..."
Issac tidak menunggu lama untuk berada di tempat itu. Dengan wajah dingin, dia berjalan meninggalkan taman itu, meninggalkan semua Elf yang terkaku di tempat mereka.