Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 54 - Makan Malam (1)

Chapter 54 - Makan Malam (1)

Pada malam itu, setelah matahari terbenam, pembantu Elf yang telah diberi arahan oleh Kilan untuk menjemput Aubree telah pun memanggil Aubree dan membawa Aubree pergi ke bilik Aubree.

Aubree membawa Della dan White bersamanya kerana dia merasa ada sesuatu yang akan berlaku ketika makan malam.

Ketika pembantu Elf memanggil mereka untuk menghadiri makan malam itu, perasaan tidak sedap hati Aubree menjadi semakin kuat.

Aubree menoleh ke arah Della. "Apa pun yang terjadi, jangan lakukan apa-apa. Biarkan saya yang urus semuanya."

Della bingung mendengar kata-kata Aubree. Dia tidak faham kenapa Aubree berkata seperti itu. Tapi dia tetap mengangguk untuk menjawab Aubree.

Setelah itu, Aubree memimpin Della keluar dari biliknya.

Pembantu Elf yang melihat Aubree sudah keluar dari biliknya, dia terus berjalan di depan.

Aubree, Della dan White berjalan mengikuti pembantu itu dari belakang.

Mereka tiba di bilik Meliani untuk makan malam tapi makan malam tidak diadakan di ruang tamu kecil di bilik Meliani tapi di bahagian belakang taman.

Pembantu Elf tadi membawa Aubree dan yang lain ke belakang taman. Di taman itu, Elf yang lain sudah pun berkumpul dan bercerita antara sesama.

Aubree berhenti sekejap dan memandang sekeliling. Dia ada melihat Kilan, Issac dan Katy bersama dengan Meliani di taman ini.

Selain itu, Fourlin juga ada bersama mereka tapi yang membuatkan Aubree merasa hairan adalah ada empat orang Elf lain yang tidak dikenali oleh Aubree.

'Pelik, kenapa ada Fourlin dan empat orang Elf lain di sini? Kilan hanya mengatakan makan malam ini hanyalah diantara Kilan dan kawan-kawannya bersama dengan Meliani. Kenapa Fourlin dan Elf yang saya tidak kenal ada di sini?'

Aubree menggerakkan anak matanya secara perlahan ke arah Meliani yang sedang duduk dan bercerita dengan Issac.

Kening Aubree berkerut saat melihat Issac yang duduk berhampiran dengan Meliani. Issac duduk di sebelah Meliani dengan wajahnya yang masih dingin sambil meminum teh dengan tenang manakala Meliani pula sedang mengatakan sesuatu kepada Issac.

Aubree dapat melihat yang Issac terlihat tidak berminat untuk mendengar apa yang diceritakan oleh Meliani tapi Aubree tidak tahu alasan Issac sampaikan dia masih tetap duduk di sebelah Meliani dan terpaksa mendengar semua cerita Meliani.

'Meliani nampak rapat dengan Issac. Hmm, kenapa saya perlu peduli pula dengan hal Issac ni?'

Issac juga sedar dengan kehadiran Aubree. Dia menoleh ke arah Aubree dan terus saja raut wajah dinginnya berubah menjadi lembut setelah melihat kelibat Aubree.

Issac tidak lagi menghiraukan Meliani yang masih bercakap di sebelahnya. Apa yang dikatakan oleh Meliani pun dia sudah tidak dengar. Saat ini, bayang yang terpamer di anak matanya hanyalah kelibat Aubree.

Aubree memandang Issac dengan wajah tidak berperasaan. Hanya beberapa saat saja sebelum Aubree memusingkan kepalanya ke tempat lain.

Della pula segera menarik Aubree yang masih berdiri di tempat dia berhenti tadi. "Kenapa kau berhenti di sana, Audrey? Marilah kita sertai mereka di sana..."

Pembantu Elf yang tadi memimpin Aubree dan kawan-kawannya ke taman ini mendekati Kilan dan memberitahu Putera Ketiga itu bahawa Aubree sudah pun tiba.

Kilan yang sedang bercerita dengan Katy tadi segera berhenti bercakap dan menoleh ke arah Aubree dengan wajah gembira.

"Audrey, kamu sudah tiba. Kau boleh ambil tempat duduk di sini..."

Kilan menunjukkan tempat duduk kepada Aubree di mana tempat dudu itu adalah berhadapan dengan Issac dan Meliani.

Bibir Aubree mengulum segaris senyuman dengan perasaan bengang muncul di dalam hatinya. Aubree tahu jika Kilan tidak tahu yang Aubree tidak mahu duduk berhadapan dengan Meliani atau Issac tapi kerana Kilan sudah menyuruh dia duduk dan Aubree juga tidak melihat tempat duduk yang lain kosong, Aubree tidak mempunyai pilihan yang lain selain duduk di sana.

White yang dari tadi diam dan hanya mengikuti Aubree terus berbaring di belakang bangku Aubree. Ekor White yang panjang itu digerakkan dan dililitkan di tangan kiri Aubree.

Meliani memandang ke arah Aubree sebaik saja Kilan mengumumkan kesayangannya tadi. Wajahnya yang gembira tadi bertukar menjadi pucat dan ada raut wajah yang cemburu terlukis di wajahnya saat melihat seekor Haiwan Sakti yang besar bersama Aubree.

Meliani ada mendengar jika Haiwan Sakti yang dimiliki oleh Aubree ialah seekor Harimau Bertanduk dan lebih besar dari Haiwan Sakti yang dimiliki oleh Meliani. Ini kerana pertama kali Meliani melihat Harimau Bertanduk itu dan dia merasa cemburu kerana dia menyedari yang Harimau Bertanduk milik Aubree ternyata lebih kuat dari Haiwan Sakti yang dimiliki oleh Meliani.

Aubree melihat wajah cemburu Meliani itu dan mengerling ke arah White yang sudah pun menutup matanya.

Meskipun raut wajah Meliani yang cemburu hanya muncul selama beberapa saat sebelum hilang lagi, namun kerana Aubree mempunyai deria penglihatan yang tajam, dia dapat menangkap semua perubahan wajah Meliani.

> 'Nampaknya Puteri Meliani yang mereka cakap ini cemburu dengan saya kerana memiliki seekor Haiwan Sakti yang lebih kuat dari Haiwan Sakti dia sendiri. Saya rasa dia tidak akan rela melihat Haiwan Sakti seperti kau jatuh ke tangan Elf macam saya...' <

Kata Aubree kepada White melalui telepati.

[Yang Mulia, jangan risau. Jika dia berusaha untuk melakukan apa-apa yang buruk terhadap Yang Mulia, saya sedia membantu!]

> 'Mestilah kau harus membantu saya. Saya ialah Permaisuri kamu! Kamu harus sentiasa membantu saya ketika saya dalam kesusahan!' <

Meliani memindahkan arah pandangannya ke wajah Aubree. Dia tersenyum ke arah Aubree sambil berkata, "Audrey, kau sudah datang. Semua orang juga baru datang ke sini tadi. Kami cuma perlu menunggu kau untuk datang saja lagi."

Walaupun Meliani tersenyum manis, itu tidak dapat menutup maksud sindiran di sebalik kata-katanya.

Aubree merenung Meliani yang masih tersenyum itu. Bukan Aubree tidak faham yang Meliani sengaja mengatakan yang semua orang sedang menunggu kedatangan Aubree kerana hanya tinggal Aubree saja yang belum datang dan dia agak lambat.

Tiada yang faham tentang maksud kata-kata Meliani selain Aubree dan Issac.

Issac mengerutkan keningnya setelah mendengar kata-kata Meliani. Dia tidak faham kenapa Meliani seolah-olah mempersalahkan Aubree kerana lambat datang sedangkan perbezaan masa Aubree datang dengan masa yang lain datang hanyalah beberapa minit saja.

"Ah, Puteri Meliani cakap apa pula ni? Kenapa Puteri Meliani cakap seperti itu? Sudah tentu Puteri Meliani yang penat menunggu kami semua untuk datang dari tadi lagi. Lagipun, bukan selalu makan malam ni diadakan oleh Puteri, jadi Puteri Meliani mesti sudah bersusah-payah menyediakan semua makan malam ini..." balas seorang Elf yang duduk di hujung meja.

Elf lain bersorak sambil terus memuji Meliani.

Meliani yang bersikap sopan dan rendah diri itu hanya tersenyum kecil sambil menggeleng. "Saya tidak merasa penat sedikit pun. Ini pertama kali kawan-kawan yang rapat dengan saya datang ke sini untuk melawat saya, jadi sudah tentu saya harus memastikan semua makan malam sedap dan berkualiti."

"Wah, Puteri Meliani memang seorang yang baik hati dan prihatin. Dia selalu memikirkan orang lain dulu sebelum diri dia sendiri!"

"Kau ni, Puteri Meliani kan memang seorang yang prihatin..."

Meliani tidak mengatakan apa-apa lagi terhadap pujian yang diberikan dan hanya tersenyum kecil.

Aubree yang dari tadi mendengar hanya menutup mulut dan tidak mengatakan apa-apa. Saat Meliani mengatakan 'kawan-kawan yang rapat', Aubree serba-sedikit tahu jika Issac, Kilan dan Katylah yang dimaksudkan oleh Meliani.

Aubree memandang ke arah Issac dan memberikan isyarat mata yang tidak mudah dikesan oleh Elf lain.

'Kau dan Meliani berkawan rapat? Betulkah kamu berdua ni sekarang kawan rapat dan bukannya lebih dari itu?'

Issac melihat isyarat mata Aubree itu dan segera memahami apa yang bermain di fikiran Aubree. Tapi Issac bersikap tenang dan hanya meminum tehnya.

Aubree melihat sikap Issac yang endah tidak endah itu membuatkan Aubree merasa marah. 'Dia datang ke sini sebab nak berjumpa dengan Meliani tapi kenapa dia asyik nak mengganggu saya? Sengaja dia nak menganggu saya sebab dia merasa saya ini ialah pemilik kedua Kristal Kehidupan yang akan merebut kedudukan Meliani?'

Aubree tidak sedar yang mindanya sudah pun dipenuhi dengan perihal Issac. Bila dia menyedari yang dia sedang berfikir tentang Issac, Aubree merasa terkejut. Segera dia membuang semua pemikiran tentang Issac.

Aubree menunduk ke meja dan hanya fokus kepada jari-jemarinya yang diletakkan di atas meja. Dia tidak lagi peduli dengan pujian yang masih diberikan kepada Meliani.

Meliani memberi isyarat kepada pembantu Elf yang berdiri di tepi taman agar mereka segera membawakan hidangan makan malam ke meja.

Pembantu-pembantu Elf itu segera melaksanakan tugas mereka dengan cekap. Dalam masa 10 minit saja, meja kosong di depan mereka sudah pun terisi dengan hidangan makan malam.

Sepanjang masa makan malam, suasana meja menjadi ceria kerana para Elf yang ada di sebelah Fourlin menceritakan banyak perkara kepada mereka semua.

Kerana makan malam ini dirayakan atas kedatangan 'kawan-kawan rapat' Meliani, Aubree makan di tempat duduknya tanpa mempedulikan sesiapa.

Tangannya sibuk mengambil lauk yang ada di pinggan tanpa berhenti. Mulutnya dikunyah tanpa henti dan makanan baru akan terus disumbat ke dalam mulutnya. Cara dia makan seolah-olah seperti seekor tupai yang tidak menjumpai kacang selama seribu tahun. Pergerakannya tenang tapi setiap kali dia makan, dia akan makan dalam kuantiti yang banyak.

Issac yang duduk di depan Aubree berhenti menggerakkan tangannya saat melihat pipi Aubree yang sudah bengkak macam belon.

Sudah jelas mulut Aubree sudah penuh tapi Aubree masih tetap mahu menyambut makanan ke dalam mulutnya.

Della di sebelah Aubree pula tidak mengatakan apa-apa dan hanya menolong Aubree untuk meletakkan lauk ke atas pinggan Aubree.

Issac: "..."

'Adakah dia terlalu lapar sampai dia kena makan seperti itu? Atau mungkin dia memang kuat makan seperti ini?'

Bila fikirkan kembali, baru Issac sedar yang ini pertama kalinya dia duduk semeja dengan Aubree untuk makan.