Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 52 - Perbandingan

Chapter 52 - Perbandingan

Setelah permainan memandang mereka sudah selesai, Hensel mengajak Aubree berehat di sebuah pondok gazebo yang dibina di sebuah taman bunga.

Dean tidak menyertai mereka kali ini kerana dia dipanggil oleh ketua pengawal untuk menguruskan sesuatu.

"Saya rasa lebih baik saya pergi ambil minuman dan sedikit biskut manis untuk kita nikmati semasa berehat di pondok nanti. Kau pergi saja dulu, saya akan menyusul nanti," kata Hensel sambil menepuk belakang Aubree.

Aubree hanya mengangguk dengan segaris senyuman di bibirnya. Anak matanya mengikuti pergerakan Hensel yang sudah semakin jauh sebelum dia memandang ke depan lagi. Aubree meneruskan perjalanan menuju ke taman yang disebut oleh Hensel.

Ketika dalam perjalanan, Aubree tidak sengaja terdengar gosip diantara sekumpulan Tentera Elf yang sedang berehat di bawah sebuah pokok.

Kumpulan Tentera Elf ini tidak dapat melihat Aubree kerana Aubree berdiri di sebalik pokok bunga yang berdaun lebat. Pokok bunga itu sangat tinggi sehinggakan membuatkan Aubree tersembunyi dan tidak mudah kelihatan.

Di sebelah pokok bunga itu ialah sebatang pokok yang rendang di mana di bahagian bawah pokok itulah yang digunakan oleh sekumpulan Tentera Elf itu untuk berehat dan berbual.

Aubree yang mendengar namanya menjadi tajuk utama perbualan di dalam kumpulan Elf itu menghentikan langkah kakinya.

Telinganya dipasang untuk mendengar butir perbualan mereka.

"Saya dengar pemilik Kristal Kehidupan yang kedua itu mempunyai mata yang berwarna merah. Saya belum berjumpa dengan dia di depan mata lagi, jadi saya tidak tahu bagaimana rupa pemilik yang kedua itu..."

Elf yang kedua pula mencelah, "Kau tak perlulah teruja sangat nak jumpa dengan dia. Saya dengar yang dia tidaklah secantik Puteri Meliani..."

Bila nama Meliani disebut, Tentera Elf yang ketiga mula bercakap juga. "Saya dengar mata dia yang berwarna merah tu terdengar pelik. Saya juga ada dengar yang mata dia warna merah kerana dia ada kaitannya dengan Kuasa Kegelapan. Lagipun, dalam dunia kita hanya mata berwarna biru, hijau dan kuning saja yang wujud... Saya tidak pernah mendengar Elf dengan mata berwarna merah wujud..."

"Yalah, saya pun rasa yang mata dia itu agak pelik. Siapa Elf di dunia ini yang mempunyai mata berwarna merah? Hanya dia saja... Saya dengar dari Tentera-tentera Elf yang pernah nampak dia merasa yang Elf bermata merah itu menakutkan sebab mata dia yang berbeza dari kita semua..."

"Tapi walaupun mata dia warna merah dan pelik, saya dengar yang dia seorang yang kuat. Sesuai dengan gelaran dia sebagai pemilik kedua Kristal Kehidupan tu..."

"Jadi maksudnya kau suka kalau Elf pelik tu jadi pemilik kedua Kristal Kehidupan tu? Saya rasa saya lagi suka jika Puteri Meliani seorang saja yang menjadi pemilik Kristal Kehidupan tu... Kenapa pula perlu ada penjaga yang lain? Kenapa Elf bermata merah tu yang dipilih?"

"Siapa cakap yang saya suka Elf pelik tu? Saya cuma berpihak kepada Puteri Meliani seorang saja! Saya cuma katakan seperti itu sebab saya dengar dari Elf lain!"

"Apa yang kau dengar tu semuanya palsu! Saya tidak percaya jika pemilik yang kedua itu adalah lebih baik dari Puteri Meliani..."

Perbualan kecil yang dimulakan di kumpulan itu diteruskan dan kini pertengkaran kecil diantara mereka mula terdengar.

Aubree yang masih berdiri di sebalik pokok bunga itu, dalam diam menggenggam erat jari-jemarinya.

Aubree tidak tahu kenapa, mungkin kerana dia dibayangi dengan masa lalunya sendiri, Aubree menjadi marah setelah mendengar perbualan diantara Tentera Elf tadi.

Aubree teringat akan wajah Meliani yang yang sama dengan wajah Lucy, sahabat baiknya yang sekarang dianggap musuh oleh Aubree.

Aubree tidak pernah sedar yang selama dia hidup sebagai seorang pembunuh upahan, Lucy sudah mencuba pelbagai cara untuk membuatkan namanya tercalar dan rosak di mata orang lain.

Aubree tidak pernah kisah jika orang lain membandingkan dia dengan Lucy sebelum ini kerana dia tidak pernah merasa terganggu atau terhasut dengan kata-kata buruk mereka.

Tapi setelah Aubree dibunuh oleh Lucy, Aubree sedar yang Lucy mudah terpengaruh dengan gosip buruk itu yang di mana, akhirnya membuatkan Lucy berdendam dengan Aubree.

Dendam Aubree terhadap Lucy tidak pernah padam dan semakin hari, perasaan dendam itu menjadi semakin kuat. Sekarang, Aubree sudah menjumpai orang lain yang mempunyai wajah yang sama dengan Lucy, membuatkan Aubree ingin segera melampiaskan amarahnya terhadap orang itu.

Bagi Aubree, Meliani juga adalah musuhnya kerana wajah Meliani dan Lucy yang seratus peratus sama.

Dan sekarang, Aubree dibandingkan dengan Meliani lagi membuatkan rasa dendam Aubree menjadi kuat.

Mungkin sebab Aubree trauma kerana masa lalunya dan sebab itulah Aubree tidak mahu lagi membiarkan dirinya dibandingkan dengan orang lain.

Dengan wajah yang dingin dan dipenuhi dengan aura menakutkan, Aubree berjalan meninggalkan tempat itu. Apa yang dibualkan oleh kumpulan Tentera Elf tadi tidak lagi dia dengar.

'Saya yang terbaik... Saya yang terbaik diantara semua... Tidak mungkin saya akan biarkan orang lain membandingkan saya dengan orang lain lagi...'

Ketika Hensel kembali setelah mengambil dua botol yang berasal dari tanah liat bersama dengan sebuah bakul kecil berisi biskut manis, dia menyedari yang saat ini keadaan Aubree tidak baik.

Seluruh aura di tubuh Aubree berubah menjadi kelam dan gelap, menunjukkan yang dia dalam keadaan mood yang tidak baik. Seolah-olah ada sesuatu yang membuatkan dia marah.

Melihat mood Aubree yang tidak lagi ceria seperti yang selalu dia nampak, Hensel juga ikut terkesan dan senyuman di wajahnya menjadi hilang.

Dengan berhati-hati, Hensel meletakkan semua benda yang dipegangnya ke atas meja. Dia tidak mahu membuat sebarang bunyi di sekeliling Aubree.

Hensel memahami karakter Aubree serba-sedikit. Jika Aubree berada dalam mood yang tidak baik, dia tidak suka mendengar bunyi bising di sekelilingnya. Dia lebih suka duduk diam di sebuah tempat yang sunyi dan tiada orang sambil mencuba menenangkan dirinya.

Aubree tidak menyedari kehadiran Hensel kerana dia duduk dengan membelakangkan Hensel. Saat ini, dia sedang berpeluk tubuh sambil menutup matanya. Bahagian belakangnya disandarkan ke tepi meja yang berbentuk bulat.

Hensel mengambil tempat duduk di sebelah Aubree dan menunggu sehingga gadis itu untuk membuka mulutnya.

Hanya dengan memulakan perbualan saja Hensel akan tahu jika mood Aubree sudah membaik atau tidak.

Kerana Aubree berada kedudukan seperti itu dalam masa yang lama, Hensel juga tidak mengatakan apa-apa. Dia diam di tempat duduk sambil memerhati Aubree yang terlihat seperti sedang 'tidur' itu.

Kerana Aubree menutup matanya dalam jangka masa yang lama, dia tidak sedar yang dia betul-betul tertidur.

Jika Hensel tidak ada di sana untuk menjaga dia, Aubree mungkin sudah terjatuh dari atas bangku dan terbaring di atas lantai pondok.

Hensel akan membantu menahan kepala Aubree setiap kali kepala gadis itu akan bergerak mengiring ke kiri atau ke kanan.

Yang peliknya, Hensel tidak mengejutkan Aubree dari tidurnya walaupun Aubree sudah lama tidur.