Hayley Bright membawaku ke sebuah cafe yang terdapat di pusat bandar, Coffee n Tea HardRock cafe. Di dalamnya begitu mengujakan hati ini kerana susunan aturnya sangat canggih dan pasti menarik minat setiap pengunjung. Sebuah pentas yang disediakan untuk mendendangkan lagu kepada orang ramai. Hatiku menjadi kagum secara tiba-tiba dan sempat lagi membayangkan jika aku berpeluang memainkan sebuah lagu diatas sana.
"Robert, I need your help, man!" Kata Hayley sebaik sahaja melihat seorang lelaki berjalan ke arah kami.
"Hayley... awak ni tak pernah berubah. Kalau ada masalah je nak datang jumpa saya. Kali ini apa pula?" Soal lelaki yang bernama Robert ni sambil matanya tak lepas daripada memandang kepadaku.
Aku membalas renungannya, tapi cuma sebentar kerana berasa pelik saling memandang antara satu sama lain. Janggal.
"Saya ada urusan penting selama tiga minggu di New Zealand. Saya nak minta tolong awak jaga budak ni selama saya tak ada kat sini."
Budak... selain daripada si lembab, Hayley Bright ni memang suka sangat nak menggelarkanku bermacam-macam nama. Si Robert pula melihatku dari atas hingga ke bawah. Entah apa yang ditengoknya?
"Siapa dia ni?"
"Anak murid saya... tapi panggil saja si lembab."
Hampir hendak terjatuh rahangku mendengar cara pengenalan Hayley terhadap diriku kepada rakannya itu. Enak saja dia berkata sedemikian. Dan, kata-katanya itu disambut gelak tawa oleh Robert. Geli hatinya mendengar gelaranku, Si Lembab?
"Serius lah, Hayley... kalau dia si lembab tak logiklah boleh jadi anak murid awak pula?"
"Tak kisahlah, Robert. Yang penting awak boleh jagakan dia untuk saya selama tiga minggu."
"Anything for you, my dear. Tapi jangan salahkan saya kalau terlalu bagi dia tekanan. Awak macam tak kenal saya."
"Sebab terlalu mengenali awaklah saya percaya awak boleh bantu saya."
Mereka saling membalas senyuman... saat ini, aku menjadi sedikit kebingungan melihat gelagat pelik mereka berdua. Apa yang mereka maksudkan itu?
"Kalau awak dah kata begitu... bagaimana lagi saya boleh membantah? Lagipun, saya sangat perlukan seorang pekerja sekarang. Awak datang tepat pada masanya."
Kata-katanya dilontarkan kepadaku.. memang dikhaskan buat diriku. Bukan tepat pada masanya melainkan Tuhan sudah merencanakan segalanya. Takdir yang telah membawa aku sehingga ke tempat ini. Tempat yang sememangnya membuka hati dan mataku sendiri. Di sini... bermula sebuah kisah bagaimana aku melihat dunia. Dunia bukan khayalan tetapi dunia impian. Ia mengajar aku jatuh dan bangun sendiri, terima segalanya sebagai satu motivasi untuk menggerakkanku ke hadapan tanpa gentar. Biarpun dalam kepayahan namun aku sangat berbangga sebab diberi satu peluang yang indah untuk mencari bakat dalam diri ini.
Sebaik sahaja Hayley Bright meninggalkan aku bersendirian di tempat ini, Robert membawa aku ke bilik kuarters terlebih dahulu agar aku boleh menyimpan barang-barang kepunyaanku. Sementara mengetahui selok-belok di sekitar tempat tersebut.
"Siapa nama awak yang sebenarnya?" Soal Robert sebaik sahaja kami kembali ke cafe.
Berbelah-bahagi perasaanku saat ini sama ada hendak kekal dengan nama palsu atau tidak? Akan tetapi, ramai orang sudah mengenaliku dengan nama itu. Teruskan sajalah...
"Brielle Avriella."
"Em, cantik nama... apasal Hayley panggil awak si Lembab pula? Mesti awak tak tepati masa dia ni, kan?" Duganya sambil berseloroh.
Namun, bukankah betul dengan dugaannya itu? Memang daripada permulaannya aku lewat masuk ke dalam kelasnya? Lelaki yang bernama Robert ni memang sudah masak dengan perangai profesor Hayley Bright.
"Iya.."
"Patutlah sampai sekarang dia masih berdendam dengan awak. Jadi, selama tiga minggu ni awak kena tingkatkan usaha supaya tidak digelar sebagai si Lembab lagi."
Aku memandang ke arahnya yang sedang tersenyum itu. Apa saja yang dia nak lakukan terhadap diriku ini? Masa sesingkat itu macam mana dia boleh mengubah gelaranku pula? Adakah dia ni sedang merepek? Tak sedar ke masa berlalu agak pantas dan semudah itu dia nak berkata sedemikian?
"Percaya diri awak sendiri... buang si lembab dalam diri tu. Hayley Bright seorang yang profesional, jadi anak muridnya mesti ada potensi yang tinggi! Selama tiga minggu ni awak kerja dengan saya. Besok awak kena datang kerja seawal 5:30 am. Tolong patuhi masa, itu yang pertama!"
Semuanya tentang masa! Patuh kepada masa sebab aku sudah kehilangan banyak masa yang berharga. Inilah peluangnya untuk aku mengembalikan segalanya supaya aku berpuas hati pada penghujungnya. Robert menerangkan semua kerja yang aku kena uruskan dalam tempoh tiga minggu ini, melawat keadaan dapur dan bilik persalinan... yang lebih penting pentas persembahan. Rupanya cafe ini dibuka sehingga larut malam. Akan tetapi, syif malam berbeza kerana hanya dibuka kepada golongan yang ingin meminum alkohol. Begitu juga dengan pentas persembahan yang mana akan dimainkan pada waktu malam sahaja. Aku sudah membayangkan diriku yang sudah semestinya sangat kepenatan nanti.
"Bagaimana? Awak dah bersedia?"
Bersedia? Itu satu perkara yang tidak pasti kerana aku belum bersedia!
"Iya.." bohongku.
"Tak, awak tak bersedia lagi. Saya tau awak masih ragu-ragu lagi, kan?"
Hebat dia ni... boleh tahu dengan begitu sahaja... siapa dia ni yang sebenarnya?
"Ini jadual yang awak kena turuti selama tiga minggu. Cuma tiga minggu saja yang saya perlukan untuk mengubah personaliti diri awak. Dan, kerjasama daripada awak yang saya perlukan. Boleh, tak?"
"Boleh!"
Kali ini dengan penuh keyakinan aku menjawabnya.
"Semangat itulah yang saya nak lihat. Bagus Brielle!"
Lantas Robert memberikanku sekeping kertas yang merupakan jadual yang disediakan khas buatku. Aku hanya mampu menelan air liur setelah selesai membaca isi kandungan kertas tersebut. Hilang segala keyakinanku sebentar tadi...
Triitt...!! Triiitt...!! Tepat jam empat pagi dan alarmku mengeluarkan bunyinya. Memenuhi segenap ruangan bilikku, memecahkan tidur lenaku, berat mataku hendak bangun... namun, pintu bilik sudahpun diketuk bertalu-talu... aduhai, belum puas aku nak tidur!
"Awak ada masa lima minit untuk bersiap, Brielle!" Ucap Robert dari arah luar pintu bilikku.
Apa? Aku segera bingkas dari katil lalu berlari ke arah tandas pula. Kelam-kabut aku hendak menyempurnakan segalanya. Inilah masalahnya kalau sudah terbiasa bangun lewat. Selesai itu, aku menukar pakaian. Siap! Lantas menimbulkan batang hidung ke arah pintu. Robert kelihatan begitu serius memandang tepat kepadaku.
Sambil mengerling ke arah jam tangannya, "awak lewat sepuluh minit. Dendanya... berjoging sepuluh kali mengelilingi taman."
Hah, biar betul dengan dia ni? Aku kena berjoging pada awal pagi seperti ini? Bukankah diluar itu masih gelap gelita lagi? Aku yang masih terpaku dihadapan pintu mengengsot ke tepi apabila Robert hendak masuk ke dalam ruangan bilik pula. Dia menggelengkan kepalanya berulang kali.
"Ini tidak sepatutnya terjadi, Brielle... awak kena kemaskan katil awak tu. Sebaik aje bangun itu merupakan tugasan pertama awak. Hal kecil seperti ini tidak dapat diuruskan apatah lagi kalau ada tugasan yang lebih mencabar? Belum pasti awak akan dapat selesaikannya."
Aku hanya mampu terdiam mendengar setiap kata-kata Robert itu.
"Kemas katil awak sekarang! Saya tunggu awak kat luar. Ingat, waktu yang ditetapkan cumalah lima minit je. Lambat maka bersiap sedialah menjalani hukumannya."
Tanpa membuang masa aku terus mengemas tilamku yang berselerak dengan selimut belum berlipat dan cadarnya yang sedikit kusut. Masa yang diberikan hanyalah lima minit sahaja... aku menyelesaikannya sebelum tempoh masanya tamat!
Keadaan masih gelap diluar, kebanyakan orang belum bangun lagi... angin pagi juga terasa begitu dingin sehingga menggetarkan seluruh tubuhku.
"Sejuk?" Tanya Robert yang kehairanan memandang ke arahku.
"Iya."
"Awak boleh buat senaman sekarang. Hangatkan dulu badan yang kesejukan itu. Betul-betul si lembab lah awak ni. Lepas tu, jalankan denda awak berjoging sepuluh kali mengelilingi taman ni. Saya perhatikan awak dari sini..."
Mendengar kepada arahan Robert sebentar tadi aku terus memulakan senaman memanaskan badan terlebih dahulu. Dia menjadi pemerhati di sebuah kerusi kayu yang tersedia di taman ini. Lagaknya kelihatan seperti seorang jurulatih aje.. aku yang dah begini kurus kering disuruh lagi berjoging sebanyak sepuluh kali mengelilingi taman? Waduhh..! Sudahlah besar keluasan tempat ini... banyak betul halanganku!
Daripada keadaan yang begitu gelap aku berjoging sehinggalah sang suria ingin mengeluarkan cahayanya. Tercungap-cungap aku kerana kepenatan berjoging tanpa henti. Robert sedang berdiri tegak dihadapanku dengan tangan bersilang ke dada. Apabila diperhatikan secara teliti, dia seorang jejaka yang tegap dan berotot.
"Penat?"
"Iya.." jawabku lemah.
"Brielle Avriella, awak ada hari yang panjang untuk ditempuhi. Ini baru permulaan... setiap kali bangun pagi, awak kena berjoging lakukan senaman untuk kekal cergas dalam melakukan pekerjaan awak. Cuma itu yang saya perlukan, semangat awak!"
Diam... aku hanya mampu mendiamkan diri, tidak dapat berkata apa-apa disebabkan selama ini aku tidak pernah mempunyai semangat. Bagi hidupku telah kubiarkan takdir yang menentukan segalanya. Oleh kerana persoalan tentang kewujudanku yang masih dihantui kenapa Nicky membawa aku ke kolej tersebut... sehingga takdir menemukanku dengan seorang Profesor, Hayley Bright. Dan kini, aku dibawa ke mari pula? Apa semua ini? Apa kaitan aku dengan mereka semua? Ataupun di masa lalu, kami saling mengenali?
"Saya cuma nak bantu awak, Brielle. Awak bukan si lembab... saya tahu awak boleh hidupkan semangat yang berkobar-kobar dalam jiwa awak itu! Boleh saya tanya, apa cita-cita awak?"
Aku berfikir sejenak sebelum menjawab kepada pertanyaannya itu, "saya mau jadi seorang jutawan."
"Itu satu perkara yang tidak mustahil kerana awak dapat capai ia jika awak percaya awak boleh dan biar keyakinan diri yang membimbing awak ke arah itu!"
Kata-kata Robert itu telah membuka mindaku... sangat terkesan ke dalam sudut hatiku.
"Saya berani katakan ia tidak mustahil bagi awak hendak mencapainya jadi realiti. Cita-cita awak itu sama seperti yang pernah dikatakan oleh salah seorang sahabat lama saya... awak mengingatkan saya kepadanya. Satu hari nanti, saya ingin menjadi seorang yang terkenal. Itulah cita-citanya dan saya bangga kerana dia berjaya merealisasikan impiannya."
Pada waktu Robert menceritakan perihal kawan lamanya itu, aku perasan dengan air mukanya yang berubah menjadi kusam. Wajah kesedihan jelas terukir, aku sedar akan itu.. namun hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Lagipun, siapalah diri ini hendak bertanyakan berbagai persoalan?
"Baiklah, sekarang awak pergi bersihkan badan. Sepuluh minit sebelum jam enam pagi awak mesti ada kat cafe sudah, yer?"
Walaupun aku memang penat berjoging sebentar tadi namun mataku masih terasa begitu segar dan tidak mengantuk. Jadi, semua yang dikatakan oleh Robert itu adalah benar belaka?