TAHUN 2013
LEBUHRAYA-KAWASAN REHAT TAPAH.
AINAA mengurut pengkal lehernya yang melenguh. Terasa urat lehernya, tegang. Lenguhnya, sukar untuk dia ungkapkan. Tambahan pula, sakitnya itu kian terasa sejak usianya menjangkau angka tiga puluh. Bibirnya bergumam kecil. Terasa benar badannya tidak seperti muda-muda dahulu.
Masakan tidak. Seharian, dia memandu di atas lebuh raya. Hampir dua jam lebih sebelum mereka singgah di Terminal Rehat Tapah.
Gara-gara mengambil pakaian adiknya di Cheras, dan berpatah pula ke rumah kawannya, memberi kunci rumahnya dan meminta rakannya itu untuk menjenguk rumahnya di Kuala Lumpur, buat sekali sekala semasa dia tak ada. Menjadikan masa yang diambil menjadi begitu panjang dan lama sedangkan dia baru bercadang untuk pulang awal ke kampung sebelum lewat tengah malam.
Dalam banyak perkara, Ainaa terasa lega sedikit apabila permohonan cutinya, lulus. Mujurlah, ketua atasannya tidak membantah apabila dia membuat permohonan cuti selama dua minggu.
Sememangnya pula dia memang bertuah, bila ketua atasannya adalah kawan baiknya sendiri. Memudahkan urusannya. Ainaa senyum kecil.
Jika difikirkan. Tidak semua ketua, walau rakan baik sendiri ke atau keluarga terdekat ke, yang akan cepat memahami seperti sahabatnya itu. Bila dia minta cuti, Hanis terus luluskan sahaja. Tetapi ,tidak bermakna sahabatnya itu menyeleweng kuasa, kerana dia bukannya bercuti sesuka hati. Jika ianya melibatkan kecemasan.
Gelas tinggi itu, berisi air soda pudina. Disedut rakus hingga ke titisan akhir. Perutnya, terasa kenyang dengan air dan sekeping roti bakar.
Adiknya Sofea, yang tertunduk-tunduk menghabiskan suapannya yang terakhir, hanya senyap tidak berujar. Masing-masing melayan diri sendiri. Mungkin kerana masing-masing penat apabila terpaksa pulang dalam minit-minit akhir. Itupun mereka tidak mandi dari kelmarin, semalam dan termasuk hari ini. Mereka terus sahaja bertolak pulang ke kampung.
"Kak, adik nak solat sekejap. Akak tunggu ya.." ujarnya, setelah air minumnya dihirup habis. Ainaa hanya mengangguk, dan kembali menikmati kuaci yang dibelinya. Lenggang adiknya beredar ke surau kecil itu, hilang dari pandangannya. Ainaa mengelamun lagi. Kulit kuaci, dibuang di dalam bekas pinggan yang kotor.
Ingin makan makanan berat, perutnya sudah meragam. Nanti, dibuatnya sakit perut masa tengah memandu. Naya...naya. Nak tunaikan solat, dia uzur pula.
Waktu uzurnya tidak sama dengan adiknya. Selalunya, jika kembar. Semuanya sama. Tapi, tidak bagi mereka. Mereka berdua, berlawanan. Terlalu berbeza, kecuali wajah mereka.
Kringgg!!
Berkecai khayalannya. Satu panggilan masuk tika dia sedang leka melayan aplikasi 'Whatsapp'. Punat hijau, ditarik ke kanan. Kulit kuaci yang dibuka menggunakan gigi hadapannya, dibuang.
"Hello?" ujarnya, saat panggilan diangkat.
"Weh, hah! hello?! kau tengok berita tak?." tanpa salam, suara Hanis Syaurah selaku ketua dan sahabat baiknya yang berada di corong sebelah, terus menyoal. Suaranya panik.
"Tak." Ainaa mengeleng. "Ada apa?" tanyanya pula. Terpaja-paja dia, di aju pertanyaan.
"Kau tengok cepat. Nanti, aku cerita dalam whatsapp je." panggilan terputus begitu sahaja. Satu sahaja sikap yang dia kurang berkenan dengan perangai sahabatnya. Biarlah dia habis bercakap, baru matikan panggilan. Ini, tidak. Terus sahaja tutup. Jimat katanya. Jimatlah sangat. Dahinya berkerut, hairan.
"Berita? Haish...hidup aku ni, tak pernah lari dari berita agaknya." keluhnya, berujar pada diri sendiri.
Laman web peranti 'Google' dibuka. Ainaa menaip berita untuk tarikh hari ini. Namun, sebaik tajuk berita terpampang di muka skrin telefon pintarnya. Ainaa, mengucap takziah. Potret kecil, kabur di paparan berita itu membuat dia sendiri turut berduka.
Gambar anak kecil, yang terpamer di layar skrin. Dia kenal sangat-sangat, anak lelaki Meor. Rakannya itu, selalu membawa anaknya ke lobi pejabat. Tak kisahlah, kalau dia kenal sangat dengan anak kecil ini. Malah, adiknya juga kenal anak rakannya itu.
Dia mengeleng kepalanya dan bergumam tidak jelas, menunjukkan dia juga disambar rasa sedih. "Macam manalah, benda ini boleh terjadi."
'PETALINGJAYA: Ahmad Najib bin Mohd Meor, anak lelaki kepada penyampai berita 'Detik Bebas'yang berusia empat tahun dilaporkan hilang sejak semalam di Kelana Jaya, Petaling Jaya.
Kanak-kanak itu dikatakan hilang selepas beriadah di Taman Bandaran Kelana Jaya, Jalan Pembandaran Lebuhraya, Damansara-Puchong sebelum dilaporkan hilang.
Ahmad Najib berpakaian sut hitam kecil kanak-kanak, dikatakan sempat berlegar-legar sebelum hilang tanpa dapat dikesan.
Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak tersebut diharap dapat menghubungi Balai Polis Kelana Jaya di talian 03-******** atau menghubungi terus Ibubapa mangsa 019-*******.'
Namun, saat dia menolak kekunci ke atas ke lampiran seterusnya. Keningnya, terjongket. Blog adiknya, menjadi perhatiannya kini. Malah, tajuk yang sama itu tersenarai dalam lampiran yang sama. Link blog Sofea ditekan.
Ainaa kelu di saat dia mula membaca setiap perenggan di dalam blog adiknya.. Baris ayat itu, dibaca dengan teliti. Dadanya berombak, tidak percaya. Tangannya pula, tak duduk diam mengambarkan rentak hatinya yang semakin berdebar-debar. Wajahnya, diusap dan ada kalanya mulut ditekup dengan tangannya.
Tak boleh jadi! desis hatinya. Pandangan Ainaa menerawang.
Tak senang duduk. Ainaa bingkas berdiri. Kuaci yang masih berbaki, digulung lalu di ikat dengan getah bulat. Kunci kereta, yang diletakkan di atas meja, di ambil lalu disimpan di poket seluarnya. Kakinya deras, melangkah ke surau terminal rehat dan rawat Tapah.
Kelibat adiknya dicari. Namun, tidak ketemu. Setiap jemaah, yang berselubung dengan telekung disapa. Namun, adiknya masih tidak ada. Dia kalut. Debarannya memuncak. Fikirannya, terasa berserabut. Pelbagai persoalan, timbul.
"Kak?" sapa Sofea dari belakang. Kelibat kakaknya yang berselisih dengannya, berlalu tanpa menegurnya. Termengah-mengah, langkah laju kakaknya, dikejar.
Ainaa menoleh pantas. Tersentak apabila, dia disapa dari arah belakang. Raut wajahnya tegang. Dahinya berkerut. "Buka laptop sekarang." arah Ainaa, sedikit mengarah. Menderam bunyi suaranya, mengawal perasaannya. Masakan tidak, setiap jemaah di sapa. Disangka adiknya. Namun, adiknya tiada di dalam surau. Tangan adiknya, ditarik keluar dari ruangan solat, dan bergerak ke satu sudut meja makan yang berhampiran.
Hatinya masih tak tenang. Adakah, adiknya mengupdate cerita sedemikian di belakangnya sebelum ini.
Ternyata Sofea terkejut dengan tindakan kakaknya yang seumpama ada sesuatu yang buruk berlaku, selama dia pergi ke surau.
Sikap kakaknya yang resah dan tidak tenang, membuatkan dia menurut sahaja kehendak kakaknya.
"Laptop? Ada, dalam kereta." jawab Sofea, pendek.
"Hah?!" Aina terdiam. Fikirannya ligat. Keadaannya yang kelam kabut menjadikan tingkah lakunya tak terurus. Ainaa menarik nafas, melepaskan perasaannya. Setelah reda. Dia cuba berujar dengan tenang. "Baca ni." telefon pintar miliknya, diberikan kepada adiknya.
"Anak kawan akak hilang, semalam." bicara Ainaa. Air mukanya tetap keruh walau hatinya sudah sedikit tenang. Emosinya juga, dapat dikawal dengan baik. Matanya, mencuri lihat riak wajah adiknya.
"Astagfirullah…apa ni…" Sofea menekup mulut. "Macam mana, cerita ini ada dalam blog adik?" aju adiknya serta merta.
Mata Sofea, lekas menatap mata kakak kembarnya. Nyata, air mukanya turut berubah. Gelisah. "Anak Meor, kawan akakkan..." tanyanya pula.
Ainaa mengangguk. "Bukan adik yang buat?" soalnya pula.
Sofea mengeleng laju. Jarinya, menolak ke lampiran seterusnya. "Adik tak pernah reka cerita macam ni.." ulasnya, sambil matanya terus membaca blognya sendiri hingga ke halaman seterusnya.
"Akak tahu…"
"Tapi, tadi adik pergi mana?" Tanya Ainaa.
Entah kenapa, kelibat adiknya yang sepatutnya berada di dalam surau, tidak ada ketika dia mencarinya. Perasaan syak, mula menempek di hatinya. Adakah adiknya...
"Suraulah." jawab Sofea ringkas. Fokusnya masih di blog miliknya. Pertanyaan kakaknya, dijawab sepatah.
Perasaanya lebih tertumpu pada cerita yang terbit dalam halamannya sendiri. Walaupun, dadanya berdebar membacanya. Dia tetap membaca hingga ke lembaran yang terakhir. Mungkin kerana, dia seorang penulis. Dan mungkin jua, kerana minatnya pada karya-karya penulisan hingga dia tidak mahu melepaskan peluangnya untuk menghabislan bacaannya.
"Akak cari kamu dekat dalam, tadi. Jawab dengan jujur. Kamu dekat mana?"
Sofea memandang kakaknya. Terkedu, apabila suara kakaknya sedikit meninggi. "Akak syak adik, buat semua ini ke??"
Masa kini,
Kawasan perumahan Taman Sri Emas,
Fasa dua, blok baru.
PUAN ZAHRAH, memandu perlahan di kawasan perumahan lama sebelum tangannya memutar stereng kereta lalu membelok ke selekoh. Setelah matanya menangkap bangunan lama miliknya, dia terus memakir keretanya tidak jauh dari kawasan rumah tersebut
Tudung yang tersarung di kepala, dikemaskan lipatan di pipinya. Rasa berdebar, makin terasa di dadanya. Menantunya tidak ikut, sekali. Dia risau, menantunya kembali sakit jika menjejakkan semula ke rumah ini. Semua yang berlaku dalam sekelip mata itu, terjadi di rumah agam ini.
Rumput kelihatan rapi dipotong, walau rumah itu sudah tidak berjenguk selama ini. Bunganya juga, terjaga dengan baik. Puan Zahrah terus membuka, kunci pintu utama. Pintu kayu tebal itu, ditolak ke dalam.
Sebaik sahaja kakinya melangkah. Air matanya terus merembes keluar, mencemarkan wajahnya. Seolah-olah dia melepaskan rindu pada rumah agam harta peninggalan arwah ayahnya. Satu-satu harta yang bernilai kerana mempunyai memori lama.
Setiap sudut di ruang tamu baginya, adalah kenangan indah bagi mereka sekeluarga. Namun, dia tidak tahu kenapa, satu persatu dia diuji di rumah ini. Rumah ini jugalah, dimana kedua-dua anaknya hilang tanpa jejak. Jika mati, pasti mayatnya ada. Namun, tiada langsung khabar berita.
"Abah…"sendunya perlahan. Bibirnya mengumam, melahirkan rasa rindunya yang terpendam.
Anak tangga yang menuju ke bilik anak sulung perempuannya, dipanjat naik. Walau langkahnya yang satu-satu itu terasa terheret dengan bebanan perasaan. Puan Zahrah tetap jua mendaki anak tangga.
Sesampai dia di bilik anak sulungnya. Tangan yang mula tampak menua, menekap di daun pintu. Suram raut wajahnya. "Ainaa, anak ibu.." air matanya tumpah lagi. Dadanya sakit untuk terpaksa menerima takdir, anak pertamanya hilang dari kehidupannya.
Dia menapak lagi, meneruskan langkah ke bilik seterusnya. Melewati kamar milik Sofea. Perbuatannya sama, dan derita hatinya semakin kuat melonjak. "Sofea…" dia melirih..anak bongsunya, hilang di dalam sel penjara. Logik akal manusia. Semuanya mustahil untuk perkara itu terjadi. Namun, perkara aneh itu berlaku padanya.
"Ibu…"
Langkah Puan Zahrah terhenti. Suara yang memancing pendengaran, membuatkan dia berhenti menangis. Suara anaknya....teka Puan Zahrah.
Dia menoleh ke belakang. Tetapi, kepalanya terasa berdenyut-denyut. Penglihatannya juga, kabur dan kelam. Ada jasad, yang berdiri di hadapannya. Namun, kelibat yang berdiri itu tidak jelas dalam pandangannya. Kelabu.
Puan Zahrah kelu untuk bersuara. Wajah basahnya, diseka dengan hujung lengan baju. Anak mata hitamnya, cuba menangkap wajah yang berada di hadapannya.
"Ibu…."
Lirih panggilan itu, bergema di pendengaran Puan Zahrah sehingga dia tidak sedar air matanya turun buat kesekian kali. Dia kenal suara itu.
Lemah terasa di kedua lututnya hingga dia terduduk di atas lantai papan.
"Ibu.." Jasad yang menegurnya, menapak lekas dan memangkunya sebelum pandangan Puan Zahrah gelap.
Puan Zahrah pitam. Hidungnya mengeluar cecair darah. Nafasnya, mengendur.
Masa kini,
Di Kampung Rambai-Sungai berembun bercabang dua.
Kawasan hutan dara.
"IBU!" Ainaa terjaga dari tidurnya. Dadanya berombak, menahan sebak yang mulai mencengkam perasaan. Matanya basah apabila teringat ibunya. Apa khabar ibunya dia tidak tahu.
Matanya yang basah, diseka dengan belakang tangan sebelum pandangannya meliar melihat suaasana sekitarnya. Di luar pondok, tempat dia berehat masih gelap sunyi walau masa kian berganjak ke subuh. Rambut pendeknya, diramas kasar. Disebak ke belakang, menggunakan jarinya sahaja.
Lampu minyak tanah yang masih bernyala di luar pondok, memantulkan cahaya samar-samar membuatkan anak matanya, sempat menjeling sekilas di sisi sudut pondok. Dari cahaya samar-kelam itu, dia dapat melihat wajah Danish yang masih lena dibuai mimpi. Ainaa mendengus kasar. Kedegilan lelaki itu, nyata menambahkan amarahnya.
Sudah berkali dia menghalau lelaki degil itu, pulang ke rumah. Namun, masih juga berkeras untuk menemaninya di pondok tinggal.
Bau hamis, badan lelaki itu membuatkan nafasnya sedikit sesak. Ainaa merengus, lalu bangun dari tempat pembaringan. Terhincut-hincut dia bergerak keluar, mengatur langkah menuju ke anak sungai. Tubuhnya melekit-lekit dengan peluh dan bau asap rokok, membuatkan badannya tidak selesa. Lagipula, dia mahu tunaikan fardu wajib menunaikan dua rakaat subuh, kerana waktu kian mendekat.
Lampu minyak, yang tergantung di luar pondok. Dibawa bersama, menyuluh lorong jalan ke anak sungai. Sesampai di tepian anak sungai. Lampu minyak tanah itu digantung di dahan pokok. Ainaa meletakkan tuala besar di pohon sama sebelum mencebur kakinya hingga ke atas betis.
Sejuk air sungai, yang lalu meyunsur ke dua kakinya menghilangkan rasa perit di tapak kakinya. Semenjak dia dikejar manusia tak berwajah itu, kakinya luka teruk kerana terpijak belahan kaca. Mujur Danish ada. Dan kerana itu, dia masih berada di pondok buruk untuk berlindung sebelum dia membuat persiapan untuk mencari Sofea.
"Mandi, tak ajak aku?!" tegur Danish dalam mulut yang menguap besar. Elok sahaja dia, bertenggek di dahan kayu yang tumbang, di tepi anak sungai.
"Mmm.." Ainaa hanya bergumam dan tidak banyak bersuara. Badannya yang masih tersarung baju, dibiarkan basah sekali apabila kakinya maju ke kawasan yang berair dalam. Sesekali, dia membenamkan diri dalam kesejukkan air sungai. Menghilangkan dirinya dalam pandangan anak muda.
Ainaa mencebur kepalanya keluar dari pemukaan air, lalu menghirup nafas panjang. Cahaya bulan yang masih kelihatan, melimpahkan cahaya yang ada sehingga suasana gelap itu mampu dilihat dengan renungan mata.
"Errghh..tak sejuk ke?" soal Danish, mengigil sejuk, walhal tubuhnya tidak seinci pun terkena air sungai.
Rambut pendek Ainaa yang menutup mata kanannya, dilurut ke belakang. Bibir penuhnya, terukir senyuman memegunkan mata Danish yang buat pertama kali melihat wajah lembut Ainaa. Soalannya juga, melayang tak berbalas.
"Jaga pandangan kau." teguran kasar itu, menyentak Danish sehingga dia tak mampu mengawal keseimbangan tubuhnya lalu tergelincir jatuh ke dalam sungai.
"Woahh..woahhh!! sejuk!! sejuk!!!" terlompat-lompat lelaki muda itu, melawan arus sungai keluar dari kesejukkan air. Badannya yang basah lenjun itu membuatkan dia semakin dihambat kedinginan awalan subuh.
Ainaa selindung senyumannya melihat telatah Danish yang muda darinya, empat tahun. Kadang ulah lelaki itu seperti ulah adiknya, Sofea. Penakut tetapi…manja. Gumamnya perlahan.
Danish yang dikenalinya, adalah pemuda yang pernah melanggarnya sewaktu dia cuba menyelamatkan adiknya. Dia tidak sedarkan diri, boleh dikatakan dalam tempoh yang agak lama. Mungkin, kerana itu. Danish dan sekeluarganya rasa serba salah. Dan disebabkan hal demikian, dia berada di dalam jagaan keluarga lelaki itu sehinggalah kini.
Bila dia teringat kembali. Dia dan adiknya terpisah, sewaktu dia cuba menyelamatkan adiknya dari cerita yang tertulis dalam blog adiknya. Menceritakan adiknya akan dilanggar kereta.
Ainaa mengeluh berat. Hakikatnya itu, mereka terpisah. Dia dapat rasakan, adiknya serba salah. Langit gelap yang dihiasi bintang, direnung lama.
"ALLAHU AKHBAR!! Allahu Akhbar!!" Suara azan yang berkumandang, membuatkan kedua-duanya membisu menghormati panggilan ibadat. Ainaa mula bersiap-siap untuk pulang. Wuduk diambil dalam ceburan air lalu.
Usai sempurna wuduknya. Dia melangkah keluar dari limpahan air jernih yang berlalu, menyisir rambutnya.
Danish mengikuti Ainaa dari arah belakang, seolah bersiap dari ancaman yang mendatang. "Aku bawa pakaian lebih. Gantilah, baju kau tu." Ujar Danish, sebelum dia beranjak pulang, ketika mereka di lorong kecil. Sebaik Danish beredar, kelibatnya hilang sekelip mata di pandangan Ainaa. Jalan gelap itu, menyukarkan pandangan untuk memandang dengan jarak yang jauh.
Ainaa menerobos masuk ke dalam pondok. Lalu, bersandar di dinding reput, nafas berat dihembus perlahan dengan perasaan yang membeban. Seakan banyak persoalan yang berlaku, tak mampu dia rungkaikan puncanya. "Apa sudahnya, nasibku?" tangannya mengusap mata kirinya yang buta. Terimbas memori singkat, enam tahun berlalu.
"Masa berlalu terlalu pantas."keluhnya dalam keluhan.
Bersambung...