Hospital besar Kuala Kangsar
Masa kini
KEPALA Puan Zahrah yang berselubung kain telekung berwarna putih, memalingkan wajahnya ke sisi diikuti dengan ucapan salam. Kemudian, dia menghadap wajahnya ke kiri seperti ulahnya tadi. Usai, dia menunaikan fardu ain yang merupakan ibadah wajib bagi penganut agama Islam. Dia meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan, dan dengan kerendahan hati, dia menadah tangannya ke dada langit. Memohon ampun pada pemilik angkasa, meminta belas ihsan pada sang pencipta. Dia yang tida dua, Allah yang satu. Wajah tenang itu, berujar melafazkan doa.
Terlalu banyak perkara yang berlaku dalam kehidupannya. Satu persatu onak duri yang menguji setip liku-liku kehidupannya. Andai diturutkan hati, mati. Diturutkan rasa, binasa. Hanya kepada Allah dia berserah diri. Pasti dia sudah hanyut, jika dia tidak mengenal fitrah Ilahi. Tiada tuhan yang berhak disembah, hanya kepada Allah yang satu. Allah yang hakiki.
Ujian ini…, apakah, dia tidak punya pilihan?
Rintih, bibirnya mengumam dalam doanya sendiri. Matanya mulai bergenang dengan mutiara jernih itu. Pengaduannya hanyalah pada yang Maha Mendengar. Allah! "Allah..wahai Tuhanku yang Maha Mendengar bisikkan hatiku. Engkau Allah Yang Maha Lembut. Engkau Yang Maha Perkasa. Andai tidak aku minta secara lisan, namun hati sudah berbisik lama akan permintaanku. Duhai Allah..Engkaulah Pemilik ragaku." Nadanya rendah, penuh mengharap. "Aku meminta akan Dikau untuk temukan aku dengan anak-anakku, Andai tidak kini, biarlah ianya sebelum ajal ini menjemput Ya Rabb. Aku rindukan mereka." Bicaranya dalam sendu yang dalam. Murung jiwanya, walau senyumannya tidak pernah lekang di bibir. Hanya kerana, tiada siapa yang dapat meneka isi hati manusia. Lama dia tenggelam dalam pengharapannya pada Pencipta Yang Hakiki.
Usai dia berdialog isi hatinya secara langsung dengan Allah dalam solatnya. Dia bangun, menyidai sejadah yang dibentang. Telekung yang menyarung tubuhnya, dilipat ke dalam kotak-kotak almari. Tudung yang tersangkut, dicapai dan di sarung ke kepalanya.
"Ibu.." suara Waziff kedengaran di balik langsir. Puan Zahrah tersenyum nipis. Langsir, diselak sedikit luas. Kelibat menantu lelaki yang tinggi lampai itu, datang menyambutnya. Risau ibunya itu pitam tanpa dia ketahui. "Kenapa tak panggil saya?" soal Waziff merapati ibunya. Telekung di tangan ibunya, diambilnya.
"Hish..ibu bukan terlalu uzur sangat sampai tak boleh nak solat. Lagipun, bukan jauh sangat ibu berjalan." tuturnya, saat Waziff cuba membantunya berjalan ke arah katil yang ditempat untuk pesakit.
"Bahaya." ulah menantunya, pendek.
"Kamu inilah..." rungut Puan Zahrah. Senyuman dibibirnya, semakin melebar. Bukan dia hendak melarang sangat, seronok juga dilayan manja bergini.Terubat juga rindu pada anak-anaknya.
Terkenang pula dua anak kembarnya. Meruntun pula rasa sebak di hatinya. Andai ditakdirkan anaknya kembali, walau hanya penanda kubur. Sudah cukup buatnya. Ada juga, kewujudan anaknya sebagai pengubat rindu yang menebal.
"Baiknya suami kak, ya..." tegur, salah seorang jururawat yang sedang berdiri di sisi kaunter pertanyaan. Gelagat Waziff yang membantu Puan Zahrah ke katil pesakit, membuatkan jururawat itu kagum sekaligus memuji ikhlas.
Mereka, yang sedang membualkan sesuatu tertarik dengan layanan Waziff pada Puan Zahrah. Lembut dan tampak mengambil berat. Jururawat tembam kedua pipinya, ramah menegur pesakit. Berujar dengan senyum melebar.
Melonjak naik dua kening Puan Zahrah tatkala ditegur jururawat yang bertugas. Malah, terbit rasa geli hati di hujung hatinya. Sapaan yang tiba-tiba itu, meletuskan ketawa di bibirnya. Waziff juga begitu. Tidak disangka, ibu mentuanya dikatakan isterinya. Tetapi, ianya memang sukar untuk percaya. Ibu mentuanya kelihatan muda. Seperti sebaya dengan dirinya. Tapi, tua sangatkah dia??
Belakang bahu Waziff, diusap Puan Zahrah. "Ini, anak saya." bicaranya. "Dialah satu-satu anak yang saya ada. Pandai, jaga ibu." tambahnya, memuji menantu lelakinya.
"Maaf kak..Maaf kak, saya tak tahu. Saya ingatkan, ini suami akak. Awet mudanya akak. Memang saya sangka, anak akak ni. Suami akak." kecoh seketika, jururawat itu berujar. Serba salah jururawat muda itu, membetulkan ujarannya tatkala matanya sekilas melihat air muka Waziff yang sudah kelat dan pudar.
"Tak apa..tak apa.." senyum Puan Zahrah. Berbasa basi, berujar lembut. "Apa nama anak?" Puan Zahrah melontar soalan.
"Akak panggil je saya, Afif. Nama saya Nur Afifati." balas jururawat yang bernama Nur Afifati, sopan. Dia tetap memanggil Puan Zahrah, dengan panggilan kak walaupun Puan Zahrah, memanggilnya anak.
"Afif. Sedap nama tu? Tapi, kenapa tak panggil nama Fati?" aju Waziff, menyoal pula.
"Fati, tiada makna. Afif, bermaksud...kejap! Saya lupalah.." Sengih Afifati. "Penyembuh kowt....akak saya beritahu. Dia ambil jurusan Bahasa arab." jawabnya, meneka dan menerangkan secara rela. Kemudian dia tersengih sendiri.
Puan Zahrah ketawa kecil. "Manis betul kamu ini. Ouh, makcik nak tanya tentang bunga tu.." Puan Zahrah yang terleka dengan perbualan di antara mereka. Teringat kembali, tentang dua kuntum bunga mawar berlainan warna, yang terletak di atas mejanya.
Afifati yang pada mulanya, terpaja-paja mulai menangkap soalan yang dimaksudkan Puan Zahrah, lalu menjongket bahunya. Tanda dirinya yang tidak tahu, sekadar berisyarat. "Saya dapat pesanan ini dan kad di atas meja di kaunter, siap ada no katil akak dan nama akak. Akak tak tahu, siapa yang hantar?" tanyanya pula.
"Ouh ye ke. Kalau macam itu, tak apalah. Terima kasih, ya." Ucap Puan Zahrah dengan senyum di bibirnya, dan kemudian dia meminta diri untuk kembali semula ke katilnya. Waziff juga begitu. Memimpin ibu mentuanya hingga ke katil pesakit. Afifati, hanya mengangguk hormat. Dia kembali menyambung kerjanya semula.
"Bunga ros dua warna, hitam dan putih. Hitam adalah kematian, dan putih adalah kelahiran." Puan Zahrah mengulangi ungkapan yang terluah di bibir, pesakit di hadapan mereka.
Sewaktu dia menanyakan soalan pada menantunya, tentang dua kuntum bunga ros di atas meja, dihadapan katilnya. Seorang pesakit wanita, yang duduk bertentangan dengannya memberitahu makna di sebalik maksud dua bunga tersebut. Dalam waktu ketika fikirannya melayang, dia teringat tentang dua anaknya.
Hatinya mendesah akan maksud dari bunga itu, yang lebih menjurus pada dua anak ya yang sama rupa, tetapi berbeza personaliti.
Bila dia memikirkan, ada sesuatu yang mengusarkan hatinya. Wazif, menantunya. "Waziff, bagaimana kalau. Sofea dan kakak, balik semula ke pangkuan kita?" sengaja Puan Zahrah menyoal, untuk melihat reaksi menantunya.
Waziff memandang wajah Puan Zahrah. Air mukanya, sangat tenang. Bibirnya, melebar dengan senyuman yang nipis. Tanpa jawapan, tangan ibu mentuanya dicium lama. Umpama simbol, yang membawa maksud dirinya yang tidak kisah. Dia juga faham kenapa ibunya meminta dia menukar nama panggilannya dari Ammar ke Waziff. Risau dia kembali sakit seperti dahulu sehingga hilang kewarasannya. Hilang personalitinya kerana kehilangan isterinya. Penukaran panggilan namanya itu, seolah-olah ianya adalah kehidupannya yang baru.
Kehilangan dua ahli keluarganya serentak, adalah satu dugaan buat dia dan ibu mentuanya. Setiap pengakhiran solatnya, doanya tak pernah terhenti. Rindu...mestilah dia rindu. Terutama pada Sofea. Mereka pasti akan kembali jua, ke pangkuan keluarga. Mata ibu mentuanya, direnung kasih.
"Mereka pasti akan kembali." ujarnya perlahan.
Bersambung...