Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 16 - Masyarakat, Minda, Etika dan Tingkah

Chapter 16 - Masyarakat, Minda, Etika dan Tingkah

Beberapa bulan yang lalu…

Maria nampaknya begitu bersemangat sekali untuk menghabiskan tesisnya. Ideanya untuk tesis itu mencurah-curah sebaik sahaja menerima tajuk tugasan itu dari Profesor Alex. Ini adalah tesisnya yang terakhir sebelum dia menamatkan pengajiannya di Universiti Nakhoda Ilusi. Dia tidak sabar-sabar lagi untuk menghabiskan pengajiannya dalam bidang sosiologi. Maria yang merupakan seorang pelajar tahun akhir dalam bidang sosiologi di Universiti Nakhoda Ilusi sudah membayangkan pelbagai perkara yang ingin dilakukan selepas dia menamatkan pengajian. Dari dahulu lagi, dia bercadang untuk melibatkan diri dalam bidang pendidikan sebaik sahaja tamat pengajiannya di UNI. Selain itu, dia juga ingin menceburkan diri dalam bidang penulisan.

Walau bagaimanapun, dia perlu menyiapkan tesisnya terlebih dahulu. Beberapa hari yang lalu, Profesor Alex telah memberi beberapa tajuk untuk dipilih dan dia memilih untuk menulis satu topik yang dirasakannya begitu menarik sekali walaupun ramai yang mengatakan yang ianya agak sukar untuk difahami dan ditulis. Hanya dia dan rakannya Suria yang berminat untuk mengambil topik ini sebagai tesis terakhir mereka.

Mereka diberi lima topik untuk dipilih dan dia mengambil keputusan untuk menulis tesis yang bertajuk ' Masyarakat, Minda, Etika dan Tingkah'. Tajuk ini dirasakan sangat unik kerana dia dapat menulis mengenai pelbagai perkara daripada sejarah, persekitaran, bahasa, kesenian, kebudayaan, sains dan teknologi.

Maria menuju ke perpustakaan Unit 1 yang terletak di kawasan sebelah barat Universiti Nakhoda Illusi yang terletak di Kota Deluna. Dia telah berjanji dengan Suria untuk berjumpa di perpustakaan. Rakan-rakannya yang lain masing-masing mengambil kesempatan untuk pulang ke kampUng sempena cuti hujung minggu. Cuti hujung minggu diambil apabila pihak universiti mengambil keputusan untuk menyambung tempoh percutian daripada dua hari kepada empat hari. Ini bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan Pulau Ilusi yang ke lapan puluh dua tahun pada hari Isnin akan datang.

Maria duduk mengambil tempat di perpustakaan yang senyap sunyi itu. Beberapa orang pelajar kelihatan sedang khusyuk membaca dan menelaah. Dia menunggu kehadiran Suria yang masih lagi belum tiba. Matanya memandang ke arah lukisan yang tergantung di dinding perpustakaan. Sebuah potret Roladi Estaka, bapa kemerdekaan Ilusi yang telah memerdekakan negara pulau itu dari Zuria. Dia juga antara tokoh yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan Ilusi.

Maria telah memulakan kajian untuk tesisnya. Dia telah membaca banyak buku dan menonton banyak filem dokumentari yang berkaitan.

"Maria!" suara sergahan seorang wanita mengejutkan Maria. Dia pantas menoleh ke belakang.

"Suria…" kata Maria sambil memukul perlahan rakannya itu.

"Shhhhhhhhh" seorang perpustakawan yang sedang bertugas member isyarat kepada mereka supaya memperlahankan suara. Mereka berdua mengangguk sambil member isyarat maaf kepada perpustakawan itu.

"Wah! sudah sihat nampaknya?" Maria mengusik Suria. Suaranya berbisik.

"Alah. Bukan sakit teruk pun. Cuma pening-pening sikit… Maaflah. Lambat sikit"

"Tidak mengapa. Ini bukannya kali pertama" Maria mengusik dengan nada yang kedengaran sinikal.

"Wow! Mendalam maksudnya"

"Saya gurau sahalah Suria. Jadi bagaimana? Banyak bahan yang awak dapat?"

"Banyak juga. Tetapi… apa kata kalau awak dulu yang terangkan tentang apa yang awak baca"

"Baiklah. Saya telah membuat kajian tentang perubahan dalam sistem masyarakat kita di Pulau Ilusi. Saya telah membaca tentang sejarah Pulau Ilusi dan pembangunan Kota Deluna. Saya juga telah membaca tentang kehidupan masyarakat lama yang menghuni Pulau Ilusi yang berbangsa Sara-sara. Saya sendiri berasal daripada keturunan itu. Tetapi, oleh kerana Ilusi dahulunya sebahagian daripada Zuria, maka kita tidak boleh lari daripada bercakap mengenai sejarah Zuria. Saya telah menyedari bahawa ada beberapa perkara yang membuatkan masyarakat kita berubah. Walaupun perang sudah lama berlalu dan Pulau Ilusi sudah menjadi sebuah negara yang maju. Ada sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat kita."

"Maksud awak?"

"Peperangan tidak pernah terjadi di Zuria dan Ilusi. Jika kita kaji betul-betul sejarah negara ini, kita dapat lihat yang konflik mula terjadi ketika Eli Kay mengambil alih tampuk pemerintahan Zuria. Boleh dikatakan yang Eli Kay adalah yang paling lama memerintah. Iaitu selama 30 tahun.

"Betul. Tidak silap saya, tempoh pemerintahan Eli Kay adalah tempoh paling berdarah dalam sejarah Zuria. Pulau Ilusi dimerdekakan dari jajahan Zuria atas usaha Roladi Estaka. Disambung pemerintahannya oleh Dafiro, Farish, Gosal dan kini Hanik. Suasana ketika Eli Kay memerintah selama dua puluh tahun menyaksikan Zuria membangun dengan begitu pesat sekali. Akan tetapi, sering kali terjadi kucar-kacir dan konflik.

"Roladi yang menjadi Menteri Besar Ilusi pada ketika itu berusaha untuk memerdekakan Pulau Ilusi dari Zuria kerana bantahan dan tentangan hebat masyarakat Pulau Ilusi terhadap polisi-polisi yang dijalankan oleh kerajaan Zuria.

"Selepas Pulau Ilusi mencapai kemerdekaan, Roladi telah melakukan banyak perubahan kepada sistem perundangan, sosial, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan. Tidak dapat dinafikan, apa yang dilakukan oleh Roladi telah membawa pembaharuan kepada Pulau Ilusi dari segi ekonomi, sains, teknologi, seni dan sastera. Malah, Ilusi telah mengatasi Zuria dalam banyak perkara. Namun, disebalik pembangunan itu, telah terjadi sesuatu yang agak menyedihkan terutamanya dari segi sistem sosial, moral dan peningkatan kadar jenayah. Pulau Ilusi kini menjadi sebuah negara yang tinggi kadar jenayahnya di benua Utopia. Sebuah negara yang cemerlang dari segi pembangunan tetapi juga tinggi kadar jenayahnya. Ini diikuti dengan negara jirannya iaitu Zuria"

"Pulau Ilusi juga menyaksikan berlakunya banyak permusuhan, penindasan, pembunuhan dan konflik. Yang menghairankan, Pulau Ilusi dan Zuria sahaja yang menghadapi masalah ini di benua Utopia."

"Perkara ini tidak terjadi tiba-tiba sahaja. Saya pasti, ada sesuatu yang menjadi penyebab kepada permasalahan ini. Kita di Pulau Ilusi ternyata hanya boleh berbangga dengan pembangunan yang dicapai. Jauh berbeza dengan apa yang berlaku di negara-negara lain di Utopia terutamanya Pasadianka. Di Pasadianka, segala-galanya amat seimbang. Pasadianka kelihatan begitu cemerlang dari segala segi. Jika sesuatu yang buruk terjadi di sana, pasti 'ianya' datang daripada 'luar'.

"Banyak persoalan yang timbul di sini. Kenapa Pulau Ilusi yang menghadapinya? Apa rahsia di sebalik kemajuan Pulau Ilusi dan apakah pula punca kemerosotan nilai kemanusiaan rakyat di negara ini?"