Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 21 - CCTV

Chapter 21 - CCTV

Lamunan Marina terhenti apabila Inspektor David muncul.

"Bagaimana Inspektor? Ada apa-apa perkembangan?" Marina menyoal Inspektor David sejurus sahaja lelaki itu mendekatinya.

"Belum lagi Cik Marina. Masih belum ada apa-apa petunjuk"

"Bagaimana dengan kamera litar tertutup?"

"CCTV?"

"Ya. Bukankah semua pejabat di dalam banggunan ini dilengkapi dengan kamera litar tertutup?"

"Cik Marina. Boleh datang ke ibu pejabat kami pada pukul 11.00 pagi nanti? Ada sesuatu yang hendak saya kongsikan" Pinta Inspektor David.

"Kenapa tidak di sini sahaja?"Marina kehairanan.

"Sukar Cik Marina..." ujar Inspektor David mula berbisik.

"Kenapa? Tolonglah jangan buat saya tertanya-tanya"

"Datang sahaja pukul 11.00 pagi ini" tegas Inspektor David.

"Jika ia berkaitan dengan Doktor Adam, lebih baik awak beritahu sekarang!" Nada Marina sedikit meninggi walaupun dia sedang berbisik.

"Cik Marina sila beri kerjasama. I'm sort of....protecting… …" Inspektor David cuba memujuk. Namun, dia tidak dapat menghabiskan kata-katanya.

"Awak menyembunyikan sesuatu inspektor?" kata Marina, dia mula mengesyaki sesuatu.

"Baiklah, kalau Cik Marina masih berdegil. Mari ikut saya. Tetapi jangan terkejut" Inspektor David seolah-olah memberi amaran kepada Marina dan dengan segera membawa Marina menuju ke Bilik Incognito. Sebuah bilik kawalan yang menjadi pusat kawalan kamera litar tertutup di Pusat Sains, Teknologi dan Seni Negara itu. Ketika itu, ada dua orang pegawai yang berkawal di situ. Sejurus sahaja sampai, Inspektor David memasang pita rakaman yang merakamkan detik-detik ketika Doktor Adam Raufal dibunuh.

"Ini adalah video dari rakaman kamera litar tertutup" Inspektor David memberi penjelasan. Marina menonton video itu dengan teliti. Rakaman itu sungguh memeranjatkan Marina apabila dia melihat dirinya sendiri yang datang ke pejabat Dr Adam sedangkan pada waktu itu, dia baru sahaja pulang ke rumah. Dalam rakaman itu, Marina jugalah yang menembak Dr Adam dengan pistol.

"Tidak mungkin! Mustahil. Saya tidak bunuh Dr Adam! Mustahil saya yang bunuh Dr Adam! Saya berada di rumah saya semalam. Awak ingatkan yang kita berjumpa semalam?"

"Ya memang saya ingat. Awak memang bernasib baik kerana terserempak dengan saya malam tadi. Itu boleh dijadikan alibi. Namun, orang tidak akan percaya dengan semua itu."

"Maksud kamu?"

" 'Gambar tidak pernah menipu'. Awak biasa dengar pepatah itu bukan? Namun tidak ramai tahu yang ianya hanyalah ilusi. Orang tetap akan mempersoalkannya. Siapa akan percaya yang awak bukannya pembunuh kalau muka awak yang berada di dalam video tu. Walaupun awak ada saya sebagai alibi. Orang ramai boleh buat berbagai-bagai spekulasi. Sementelahan lagi, kita duduk di kawasan yang sama. Sebab itu saya mahu berjumpa dengan awak nanti. Saya mahu sembunyikan dahulu perkara ini kerana saya tahu orang yang berada di dalam video itu bukannya awak" jelas Inspektor David.

Marina termenung seketika. Pantas, dia teringatkan wanita yang seringkali mengekorinya itu, hatinya bertambah yakin yang dia ada kaitan dengan kes ini kerana dia memang seakan-akan …..

Tut! Tut! Tiba –tiba, walkie-talkie Inspektor David berbunyi dan dengan pantas dia menjawab panggilan itu.

"Inspektor David di sini. Ada progres?"

"Ini Imran. Inspektor, pihak forensik baru sahaja menjumpai mayat seorang wanita tuan." Jawab Imran. Seorang pegawai forensik yang sedang bertugas di situ.

"Di mana?"

"Dalam tandas lelaki di tingkat lima tuan"

"Dalam tandas lelaki?"

"Ya tuan"

"Baiklah. Saya datang sekarang." Inspektor David menyimpan kembali walkie-talkienya dan menoleh ke arah Marina.