Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 26 - Rumah Misteri

Chapter 26 - Rumah Misteri

"Seri, baik-baik ya!" pesan Puan Julia kepada anak gadisnya yang baharu sahaja mencecah umur lima belas tahun itu.

"Baiklah emak!" Seri yang sedari tadi sedang asyik membetulkan pagar rumah bersama ayahnya menyahut.

Seri dan keluarganya tinggal di Kampung Talam. Jaraknya lebih kurang seratus kilometer dari bandar Seranas. Ayahnya Encik Johari adalah seorang pekebun dan ibunya Puan Julia pula mengambil upah membuat kuih. Dia juga mempunyai seorang adik lelaki yang berusia enam tahun bernama Faiz.

"Kamu sudah siapkan semua kerja rumah kamu Seri?" tanya Encik Johari.

"Sudah ayah."

"Ayah cuma hendak ingatkan sahaja. Esokkan kamu ada kelas"

"Mana ada ayah. Esok hari Ahad."

"Oh ya! Ayah terlupa," Encik Johari menepuk dahinya.

"Apalah ayah ni…" Seri tertawa kecil.

Mereka terus asyik berbual dan membetulkan pagar rumah mereka walaupun jam sudah menghampiri pukul sebelas malam. Sesekali, mata Seri mengerling ke arah rumah banglo yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Walaupun mereka sudah lama tinggal di situ, mereka tidak pernah kenal apatah lagi bersemuka dengan penghuni rumah tersebut. Penghuni rumah itu selalunya akan datang pada malam hari dan keluar pada awal pagi.

"Akhirnya, siap juga kerja kita." Kata Encik Johari.

"Ya. Cantik pagar kita ini ayah."

Perhatian mereka beralih kepada sebuah kereta Wira yang menuju ke arah banglo besar itu. Kereta tersebut meluncur laju dan berhenti di halaman banglo itu. Dari situ, Seri dapat melihat seorang lelaki dan seorang perempuan keluar dari kereta berkenaan.

"Sudah Seri. Jangan asyik memandang ke sana," arah Encik Johari.

"Baik ayah," Seri akur dengan arahan ayahnya. Namun, sesekali matanya menyinggah ke rumah misteri itu.