"Tinggalkan beberapa orang di sini, yang lain, ikut aku!"
Pengawal-pengawal kediaman itu bergegas keluar dari bilik dengan tergopoh-gapah, hanya meninggalkan tiga orang pengawal sahaja di dalam bilik itu untuk mengawasi tubuh tua milik Tuan Besar Zhuge.
Anak-anak kecil yang lain merenung Chu Qiao dengan penuh ngeri, manakala dia yang baru sahaja memperdayai pengawal-pengawal dari perkarangan istana Zhuge dengan busur silangnya yang tersemat di tangan dengan erat, tidak lagi menunjukkan sebarang rasa takut di wajahnya. Senyuman di bibir Chu Qiao terus terukir mekar apabila melihat para pengawal sedang memeriksa tubuh mayat Tuan Besar kedua Zhuge, dan lantas dia memuncungkan bibirnya dan bersiul kuat dengan bersahaja. "Hey! Hentikan apa yang kamu buat tu."
Ketiga-tiga pengawal yang masih memeriksa mayat tuan besar kedua itu memalingkan kepala mereka ke arah siulan yang berdesing tadi dan lantas raut wajah mereka bertukar menjadi pucat lesi, namun sebelum mereka dapat membuat sebarang bunyi, tiga batang anak panah telah dilepaskan dalam sekelip mata bak tahi bintang yang menerangi langit pada malam yang hening dan anak panah tersebut terus tertusuk menembusi tengkorak kepala mereka, sekaligus tubuh mereka terhempas ke atas tanah dengan darah yang mengalir. Mereka masih lagi setia mengikuti ke mana sahaja Tuan Zhuge pergi, sehingga ke neraka.
"Ahhhhh!" seorang kanak-kanak hamba menjerit secara tiba-tiba.
Chu lantas menghulurkan tangannya dan menggenggam pantas mulut anak kecil ini. "Kau patut menjerit masa aku suruh kau jerit tadi, bukannya menjerit sekarang dan menyusahkan hidup aku."
Raut wajah anak-anak kecil ini kelam bagaikan tanah liat di tepi jalan semasa mereka berteriakan senyap.
Chu Qiao mengeluh panjang, dan berkata perlahan, "Apa yang aku nak cakap ini penting sangat jadi kalian kena dengar baik-baik kalau kalian masih nak hidup, faham?"
Anak-anak kecil yang sedang menangis itu serta-merta berhenti setelah mendengar apa yang diucapkan oleh Chu Qiao dengan mata yang terbeliak.
"Aku? Aku salah seorang daripada orang suruhan Zhu Shun. Orang tua tak guna itu selalu menyakiti anak-anak kecil dan dia itu tak berperikemanusiaan. Ketua Pengawal Zhu Shun sudah tak boleh tahan melihat semua itu jadi aku dihantar ke sini untuk bunuh orang tua tu. Kita hapuskan dia demi kebaikan orang-orang macam kita ni, dan tiada sesiapa antara kamu yang boleh bagitahu sesiapa mengenai ketua pengawal Zhu Shun; tak kira bagaimana pun keluarga Zhuge seksa awak. Kalau kamu tak bagitahu sesiapa, ketua pengawal Zhu Shun akan selamatkan kamu, faham tak?"
Anak-anak kecil itu pantas menganggukkan kepala mereka tanda faham, tidak ubah dari sekumpulan arnab ketakutan.
Chu Qiao tersenyum nipis, jaring telahpun ditebarkan ke luar, sekarang mereka hanya perlu menunggu masanya apabila ikan-ikan akan berenang ke dalam perangkapnya itu. Pekerja-pekerja keluarga Zhuge pasti tidak akan mempercayai kata-kata hamba-hamba perempuan yang berada di hadapan Chu Qiao ini sama ada sekumpulan kanak-kanak ini bersedia untuk menerima hukuman yang bakal diterima mereka atau tidak. Namun seluruh perkarangan istana Qing Shan nampak dengan jelas mereka orang-orang suruhan Zhu Shun yang telah mengheret Chu Qiao ke istana keluarga Zhuge, dan Chu Qiao pasti Zhu Shun tidak akan terselamat dari hal ini. Kematian sesuatu yang pasti dan tiada sesiapa yang boleh lari daripadanya, namun yang membezakan setiap kematian dengan cara mereka meninggalkan kita.
Chu Qiao mengerling pada jam pasir yang sedang mengalir jatuh itu, dan pasti dia mempunyai masa yang cukup untuk menyelinap masuk ke dalam untuk membantu Xiao Ba yang sedang melarikan diri melalui pintu belakang. Namun semasa dia meluru ke arah pintu hadapan kediaman itu, sepasang tangan secara tiba-tiba menerkam dan lantas merentap pergelangan kakinya. Chu Qiao lantas berhenti dan merenung ke lantai dan mengenal pasti salah seorang pengawal yang sedang menunggu ajal menjemput.
"Kau patut mati sebab jadi barua untuk binatang tak guna tu!" Anak mata Chu Qiao dingin apabila merenungnya sambil merentap pantas anak panah pada lengan pengawal itu, badannya sekaligus terkejang-kejang buat seketika, dan terus berhenti. Chu Qiao bersungguh-sungguh cuba untuk membuka genggaman pengawal yang baru sahaja dibunuh itu, namun masih gagal untuk melepaskan pergelangan kakinya setelah beberapa cubaan. Lantas naik berang dengan situasi yang dilaluinya ini, Chu Qiao terus merampas pisau saber yang tersemat pada tali pinggang pengawal dan tanpa ragu-ragu memotong tangan pengawal itu.
"Apa yang kau buat?" suatu suara yang rendah bercampur dengan penuh kekejaman tiba-tiba kedengaran. Memakai jaket bulu berwarna merah terang yang diliputi salji, Zhuge Yue telah diikuti oleh sekumpulan tentera yang ramai datang dari istana Qing Shan. Tuan muda itu melihat tangan anak gadis di hadapannya yang dilumuri darah itu dengan penuh kesuraman sambil mengatakan setiap perkataan dengan perlahan.
Chu Qiao terus mendongak setelah mendengar suara tuannya dan terus mengerutkan keningnya yang kemas dan rapi. Kenapa Zhuge Yue ada di sini? Tapi itu sudah tak penting bagi aku. Gadis kecil itu lantas membalas renungan mata Zhuge Yue dengan tenang, hujung bibirnya terangkat sedikit untuk mengukir senyuman yang ringan. "Seperti yang Tuan lihat, saya sudah bunuh orang tua ni. Orang tua yang patut mati sepuluh ribu kali sebab dosa-dosanya."
Zhuge Yue kelihatan bertambah muram dengan bayangan awan gelap yang menari-nari di bawah matanya. "Semua perkara yang terjadi sebelum ni, itu semua angkara kau juga?"
"Betul tu!" Raut wajah anak kecil itu terus bersinar. Anak kecil yang manis, comel itu kelihatan sungguh suci untuk melakukan segala perkara yang kejam ini. Dia tersenyum lebar sambil mengangkat sepasang tangan yang baru sahaja dipotong itu ke atas sambil berkata, "Malangnya, sudah terlalu lambat untuk kau tahu semua benda ni. Mungkin lebih baik kalau kau merancang apa jawapan yang kau akan bagi kepada ketua keluarga puak Zhuge yang lain. Lagipun, bukankah aku ini hamba dari istana kau, dan dengan kematian Zhuge Xi, siapa lagi yang akan mendapat faedah yang paling besar daripada hal ini kalau bukan kau dan juga keluarga isteri pertama."
"Pengawal!" Zhuge Yue mengaum. "Tangkap dia!"
"Dalam mimpi kau saja!" anak kecil itu mengejek. Dia lantas menjerit sambil melemparkan sesuatu, "Ambil ni!"
Para pengawal dari istana Qing Shan dengan handal bergerak mengelilingi Zhuge Yue untuk melindunginya secara bertingkat daripada serangan Chu Qiao. Walaupun usia Yue Qi yang muda itu, kemahiran mempertahankan dirinya menjangkau bentuk badan dan usianya. Dia mengeluarkan pisau saber dari pinggang dan terus meluru, pisaunya menari-nari di udara dengan kelajuan angin kencang dan hujan lebat. Gelombang cahaya putih bergemerlapan di hadapannya, lantas membentukkan sebuah tembok yang tidak boleh ditembusi apa-apa pun.
Splat. Secara tiba-tiba, sebuah objek dengan kuat telah menghentak pisau milik Yue Qi, dan satu deret darah terpercik ke udara. Para pengawal terpana untuk melihat tangan Yue Qi yang terputus dari lengannya bergolek ke arah mereka.
Di luar tingkap bilik kediaman Zhuge itu, anak kecil itu berteriak kuat, "Zhuge Yue, Lin Xi takkan mati tanpa apa-apa sebab!" Cahaya bulan terang menyinari bumi yang tegang semasa tubuh gadis kecil itu hilang dari pandang dimamah malam.
Raut wajah tuan muda itu lebih kelam dari suasana malam tersebut, anak matanya penuh dengan kemaharan yang membuak-buak sambil berdiri teguh di luar bilik itu. Zhu Cheng mengerling ke arah tuan mudanya itu dengan penuh ketakutan, suaranya kedengaran cemas semasa dia memekik ke arah para pengawal, "Apa yang kalian tunggu lagi? Tangkap dia!" Mereka terus meluru ke arah gadis kecil itu setelah diberikan arahan seolah-olah mereka telah dipukau sebentar tadi.
Gadis kecil itu dengan pantas meluru melalui belukar yang ditumbuhi bunga di kediaman tepi seperti seekor musang licik, dan sekumpulan pengawal terus tiba ke kawasan persembunyian Chu Qiao tidak lama selepas itu, jelas sedang mengejarnya. Raut wajah anak gadis ini tidak menunjukkan sebarang emosi semasa dia berhenti dalam langkahnya.
"Oh! Itu awak ke!" Setelah Chu Qiao mengenal pasti sekumpulan lelaki yang sedang mara ke arahnya itu, dia terus melangkah, "Kalian dapat tangkap orang jahat itu tak?"
Lelaki yang kelihatan seperti sedang mengetuai kumpulan itu lantas memekik setelah melihat seorang perempuan hamba yang sedang menangis, "Berambus! Kau tak berhak tanya soalan tu, sekarang berambus!" Dia mendepangkan tangannya ke hadapan untuk menolak bahu anak kecil itu.
"Ada ramai pembunuh upahan di dalam kediaman itu yang sudah bunuh semua kaum kau. Mereka kata mereka berkhidmat untuk Tuan Muda Keempat dari istana Qing Shan, dan saya hanya di sini untuk menyebarkan apa yang dikatakan tu."
"Apa?" Lelaki itu bertanya dengan muka yang terlopong. "Mengarutlah, ada tiga ratus tentera di luar pintu gerbang kediaman itu juga dan kau boleh lihat yang mereka bukan dari istana Qing Shan. Saudara-saudara kita gagal untuk menghalang mereka, jadi kami pulang untuk mendapatkan bantuan."
Ada pasukan tentera di luar? Mungkin ia pasukan tentera milik Zhuge Yue? Kening Chu Qiao bersambung rapat dan lantas berkata dengan tenang, "Laluan ini mustahil untuk awak lalu; mereka ada lebih ramai tentera daripada awak semua. Bagaimana kalau awak semua bersembunyi di sini dan saya umpan mereka untuk datang ke sini?"
Para lelaki itu berasa teruja dan lantas bersetuju dengan perancangan itu. Mungkin gadis kecil ini mempunyai keberanian yang tidak disangka-sangka. "Bagus, kalau rancangan ini berjaya, aku akan laporkan kejadian ini kepada Tuan aku dengan benar."
"Ya." Wajah anak kecil itu ceria. "Saya hanya nak minta untuk dilepaskan dari perkhidmatan ni."
Serta-merta, para pengawal dari istana Qing Shan yang mengekori Chu Qiao itu tiba. Sebelum sekumpulan lelaki itu dapat membalas kata Chu Qiao, mereka telah diserang oleh para pengawal milik Zhuge Yue itu dalam kegelapan malam.
Yue Qi mengunggang kudanya ke hadapan, suaranya bergelumang dengan kemarahan yang membuak-buak. "Siapa kau semua ni? Aku orang bawahan Tuan Besar Kedua dan juga pengawal peribadi Tuan Muda Keempat!"
"Pergi berambuslah!" Pihak lawan Zhu Shun mengherdik, "Aku pengawal maharaja dari istana utama Sheng Jing! Saudara-saudara, tangkap mereka!"
Semasa bunyi bilah pedang yang sedang sabung-menyabung kuat kedengaran, Chu Qiao dengan perlahan menyelinap keluar dari tapak pertempuran. Setelah tiba di tembok luaran, Chu Qiao memeriksa sekelilingnya untuk dijadikan kelengkapan memanjat tembok. Pada masa yang sama, dia tiba-tiba merasakan lambaian angin yang menampar lembut belakang kepalanya, lantas anak kecil itu memalingkan kepalanya dengan lincah dan dalam sekelip mata dia mengeluarkan busur silang dan mengambil kedudukan terbaik untuk menarik tali busur, namun pihak lawannya ternyata lebih cekap dan handal. Lelaki tersebut menyauk anak kecil di hadapannya itu dengan mudah dan lantas melakukan beberapa lonjakan ke atas tembok luaran dengan lincah dan tidak lama kemudian mereka berada di atas tembok luaran.
"Alamak, tak beradablah kau ini sebab melambai-lambaikan senjata kau pada aku semasa kita berjumpa." Yan Xun sedang berjaket bulu tebal berwarna putih, berambut hitam pekat dan anak mata yang bersinar bagaikan bintang yang berkelip terang. Dia memandang Chu Qiao dengan penuh ceria, bibirnya tanpa disedari mengukir sebuah senyuman yang hampir kelihatan menggoda.
Pada masa yang sama di istana Zhuge, orang ramai berkeliaran dengan tergesa-gesa dengan obor-obor api yang terang menyala dapat dilihat dengan jelas di sekitar kawasan tersebut. Orang-orang yang berada di dalam dan luar perkarangan istana berlanggar antara satu sama lain dalam sebuah pertempuran yang dahsyat. Bunyi bilang pedang yang sahut-menyahut terus kedengaran tanpa henti, Yan Xun melihat sekelilingnya dan lantas menggeleng kepala sambil menghela keluhan panjang. "Lihat kau sekarang ni, anak kecil yang sudah menyebabkan keadaan jadi kacau-bilau macam ni. Keluarga Zhuge tak bernasib baik sungguh sebab dapat kau sebagai hamba mereka."
Chu Qiao hanya mendengus apabila mendengar kata Yan Xun sambil cuba untuk melepaskan dirinya dan berkata geram, "Lepaskan aku!"
Jejaka itu ketawa terbahak-bahak, langsung tidak mengendahkan jika beberapa pasang mata yang akan menyedari kehadiran mereka, dan lantas berganjak lebih dekat dengan anak gadis itu bersama raut wajah yang ceria dan senyuman yang lebar, "Perempuan, aku tak peduli kalau kau lupa temujanji kita. Tapi sekarang aku sudah selamatkan kau sekali lagi, jadi bagaimana kau nak membalas jasa baik aku?"
"Siapa yang minta supaya kau tolong aku? Anak celaka tak sedar diri!"
"Hm, kau selalu cakap macam tu. Aku rasa aku sudah berikan kemuliaan hati aku ini kepada seekor serigala yang suka tikam belakang." Yan Xun mengomel, namun raut wajahnya bertukar ceria serta-merta. "Tapi tak mengapa, aku boleh buat apa saja yang aku suka. Sekarang wayang sudah tamat, lebih baik kita pergi sebelum kita terbakar dek api yang semakin dekat. Pegang aku dengan kuat!" Setelah mengucapkan ayat terakhirnya, Yan Xun terus melonjak jatuh ke tanah dari atas tembok.
Terperanjat, Chu Qiao mencarut dengan perlahan akibat kebodohan dan keangkuhan putera muda itu namun pada masa yang sama dia mengetatkan lagi genggamannya pada badan Yan Xun dan lantas berharap kemahiran unggul Qinggong memang wujud dalam dunia ini dan jika tidak, mereka berdua pasti tidak akan terselamat dari lonjakan tersebut.
Thump. Seekor kuda pertempuran meringkik kuat apabila merasakan dentuman kuat pada badannya apabila dua orang anak muda itu mendarat tepat di belakang badannya dan Feng Mian tersenyum lebar, gembira. "Tuanku, saya sudah lama tunggu di sini."
Yan Xun ketawa besar sambil membetulkan kedudukannya di atas kuda. "Jadi mari kita pergi."
Teriakan pertempuran kedengaran jelas hingga ke langit yang menghitam, cahaya api yang menyalakan obor-obor itu terang menerangi jalan hingga berbatu-batu jauhnya dan putera dari kerajaan Yan Bei itu meraihkan cemeti kuda dan pantas melibaskannya. Kuda itu menderap laju dan lantas menghilang di hujung jalan dengan sekelip mata.
Hampir pada masa yang sama, Wei Jing dan Zhuge Huai telah menerima seutas surat rahsia. Di bawah sinaran lilin yang dinyalakan, raut wajah setiap seorang dari generasi muda keluarga-keluarga ternama telah bertambah cemas dan setelah memberikan arahan yang ringkas, setiap seorang dari mereka bergerak keluar dari kediaman keluarga itu.
Awan di langit berkepul-kepul dengan salji yang masih ganas membanjiri tanah, bulan yang dilindungi dek awan samar-samar menyinarkan cahayanya ke bumi. Di sebelah Kuil Bai Lu di Bandar Zhen Huang, Yan Shiqi, salah seorang daripada pengawal bayangan yang berkhidmat untuk istana Putera Yan Bei, baru sahaja memintas kuda perang milik tuannya itu. Mukanya dipenuhi dengan perasaan cemas semasa dia melaporkan, "Leftenan Kolonel Song dari pasukan tentera pertama bandar, Jeneral dari Askar Berkuda Tanpa Gentar sudah mengepung kediaman Tuanku dengan pasukan-pasukan tentera mereka. Tuan muda pertama dari keluarga Zhuge pun sudah bergegas pergi ke Jalan Ba Xing dengan sekumpulan pengawal peribadinya. Sekarang, mereka semua sedang meluru ke sini."
Yan Xun mengerutkan mukanya, suaranya penuh dengan kebimbangan, "Apa Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar buat di sini? Keluarga Zhuge sudah melaporkan kejadian ini kepada Majlis Ketua-ketua Terhormat sepantas itukah?"
"Tuanku!" Feng Mian berteriak. Bunyi telapuk kuda yang banyak semakin kuat dan dekat telah datang dari belakang. "Pengawal-pengawal sudah sempat kejar kita dari belakang!" Budak suruhan itu berkata pantas, mukanya cemas.
"Berapa ramai? Mereka orang suruhan Zhuge Yue ke?" Yan Xun bertanya.
"Bukan." Diliputi salji, Feng Mian yang berasa sangat gementar akan kejadian pada malam itu sehinggakan salju yang melekap di atas topinya itu sedikit demi sedikit terjatuh ke tanah dan dia menyambung, "Mereka ialah orang suruhan dari perkarangan istana Wei. saya nampak dengan mata kepala saya sendiri yang Wei Shuye telah mengetuai pasukan tu,"
"Keluarga Wei?" Yan Xun mengerutkan dahinya sekali lagi, nada suaranya kedengaran lebih rendah dari biasa. "Sejak bila mereka mula bekerjasama dengan keluarga Zhuge? Lagipun, bagaimana mereka boleh melaporkan dan juga mengarahkan pasukan tentera Wei untuk datang ke sini dengan secepat itu?" Dia merenung ke arah Chu Qiao yang sedang terduduk di sisinya. "Perempuan, kau ada buat hal dengan keluarga Wei ke?"
Chu Qiao lantas menyatukan keningnya rapat dan lantas berfikir panjang, namun setelah seketika menggelengkan kepalanya dengan pantas, menafikan apa yang telah ditanya Yan Xun. "Tak."
"Jadi aku tak tahu kenapa mereka boleh datang secepat itu," Yan Xun menggumam perlahan.
Chu Qiao lantas memalingkan kepalanya dan berkata, "Seseorang mesti tanggung akibat atas perlakuan mereka. Hal ini terjadi disebabkan aku, jadi aku tak rasa kau patut diheret masuk ke dalam masalah aku, Yan Xun."
Yan Xun terpana mendengar ucapan Chu Qiao. Muka kecil itu sememangnya milik seorang anak gadis berumur lapan tahun, namun ketenangan dan juga cara dia melantunkan setiap perkataan dan juga riak wajahnya, Yan Xun tidak dapat berhenti dari merenung anak gadis ini dengan penuh kagum. "Perempuan, aku rasa sangat tertarik dengan kau, jadi aku tak nak tengok kau ditangkap oleh mereka sebelum aku dapat mengenali siapa diri kau sebenarnya."
Chu Qiao meraih kedua keningnya dan lantas berkata, "Selagi masa berputar, akan datang satu hari di mana kita akan berjumpa lagi. Lagipun, bukan senang mereka nak tangkap aku. Aku seorang diri dan juga badan aku kecil, jadi aku boleh larikan diri dengan senang. Dan disebabkan darjat kau yang tinggi tu, aku tak nak kau masuk campur dalam hal aku tanpa sebab."