Chereads / TAK MUDAH MENJADI LELAKI MENGEMBARA KE MASA DEPAN / Chapter 1 - Adakah Roh Benar-Benar Wujud Selepas Anda Mati?

TAK MUDAH MENJADI LELAKI MENGEMBARA KE MASA DEPAN

Madam Ru
  • --
    chs / week
  • --
    NOT RATINGS
  • 796k
    Views
Synopsis

Chapter 1 - Adakah Roh Benar-Benar Wujud Selepas Anda Mati?

Ling Lan sudah mati!

Ketika dia perasan dirinya terapung di udara dan sedang menyaksikan apa yang sedang berlaku di bumi, dia tahu dia sudah mati.

Dia mendapati bahawa dia boleh melihat melalui dinding pepejal. Dia menyaksikan ibu bapanya menangis di luar Unit Rawatan Rapi. Dia juga merenung air muka adik lelakinya yang sayu. Adiknya mengeluh secara senyap ketika tidak diperhatikan oleh orang lain, seolah-olah beban berat telah diangkat dari bahunya.

Ling Lan tidak berasa marah. Dia sedar bahawa dia merupakan beban terhadap keluarganya selama 24 tahun, sehingga nyaris memufliskan seisi keluarganya yang tidak berada. Jikalau bukan kerana penyakitnya yang terlalu pelik hinggakan ia dianggap penting untuk penyelidikan dan layak menerima ubat percuma daripada kerajaan, dia mungkin telah meninggal dunia sepuluh tahun lalu kerana tidak berupaya untuk mendapatkan rawatan.

Walaupun nyawanya dapat dilanjutkan, dia masih tidak dapat mengelakkan kematian pada akhirnya. Cuma dia tidak sangka bahawa manusia memang mempunyai roh.

Dia memandang langit malam yang luas dan gelap samping tertanya-tanya sama ada makhluk dunia akhirat seperti Kepala Lembu dan Muka Kuda wujud di dunia ini, ataupun Shinigami, iaitu Dewa Kematian yang kerap disaksikan dalam anime Jepun, akan tiba-tiba muncul dan menyeret dia ke dunia akhirat?

Tiba-tiba, dia gelak dan mengejek dirinya kerana membaca buku dan komik yang tidak berguna ketika dia terbaring atas katil. Shinigami berasal dari Jepun - tidak mungkin dia akan muncul di negara China? Kebarangkalian Kepala Lembu dan Muka Kuda muncul adalah lebih tinggi, mungkin diiringi hantu kecil yang berpakaian tradisional?

"Si Bodoh! Roh manusia tidak wujud; ini adalah diri rohani kamu. Jika kamu tidak kembali segera, kamu akan lesap dan bersebati dengan tenaga dunia ini." Suatu suara yang bersifat kebudak-budakan berdengung di sebelah telinga Ling Lan, nadanya nyaring dan bimbang.

Sebelum Ling Lan dapat bertindak balas, dia terasa dirinya ditarik oleh daya tarikan yang luar biasa dan kesedarannya mulai pudar. Sebelum dia pitam, dia seolah-olah terdengar suara budak itu berseru dengan gembira, "Aku dah berjaya! Aku ingat hos aku sudah pasti tidak dapat diselamatkan."

Pada masa yang sama, hospital kerajaan bertaraf satu di mana Ling Lan sedang menerima rawatan perubatan tiba-tiba diselindungi kegelapan. Malah, seluruh ibu negara dan bandar-bandar di daerah-daerah bersekitaran turut diselindungi kegelapan.

Gangguan bekalan elektrik berskala besar sehingga meliputi seluruh ibu negara dan bandar-bandar di daerah-daerah bersekitaran yang tidak sepatutnya berlaku ini mencetuskan kekecohan pada malam yang sunyi tersebut.

Nasib baik, gangguan bekalan elektrik hanya berlanjutan untuk tiga minit. Semua bandar yang terjejas kembali pulih dengan cepat, namun Koperasi Tenaga Negeri China masih kucar-kacir. Dalam masa tiga minit, tenaga elektrik yang dibekalkan oleh mereka ke bandar-bandar tersebut hilang dengan penuh misteri, seolah-olah Koperasi Tenaga tidak membekalkan sebarang tenaga elektrik langsung. Pada hakikatnya, menurut data yang ada, mereka telah membekalkan lebih daripada satu trilion kilowatt tenaga dalam tiga minit tersebut, lebih dari sebelumnya.

Perkara ini diserahkan kepada Biro Keselamatan Negara untuk disiasat. Selepas beberapa bulan, jawapan yang diberikan kepada orang ramai adalah bahawa sistem komputer yang digunakan oleh Koperasi Tenaga untuk mengesan bekalan elektrik telah dicerobohi penggodam, yang kemudiannya mengganggu pengaturcaraan komputer sehingga bekalan elektrik ke bandar-bandar tersebut dihentikan. Pengumuman ini berjaya menenangkan hati pihak umum dan peristiwa itu tidak diungkitkan lagi.

Akan tetapi, keputusan penyiasatan yang akhirnya dimeteraikan ke dalam fail keselamatan rahsia negara adalah seperti berikut -- fenomena yang tidak dapat dijelaskan. Tenaga elektrik itu lesap tanpa jejak, seolah-olah it adalah perbuatan Tuhan!

*****

Kalendar Bintang Tahun 4731:

Di pelabuhan angkasa Planet Anta, semua pahlawan yang menuju ke garis hadapan sedang berbaris untuk memasuki pesawat perang biasa. Sementara itu, di hadapan pesawat perang induk untuk pegawai berpangkat tertinggi, sepasang kekasih berdiri saling berhadapan di antara orang ramai yang mengucapkan selamat tinggal. Dengan tangan yang berpaut, mereka bercakap dengan nada yang lembut.

"Ling Xiao, kamu mesti pulang selamat," kata Lan Luofeng dengan air mata yang mengalir.

Ling Xiao mengangguk. Dia tidak jangka dia akan bergegas ke medan peperangan selepas hanya berkahwin selama dua bulan. Namun musuh negara tidak henti-henti dan keselamatan tanah air mereka sedang diugut, sehinggakan dia terpaksa mengambil tindakan.

"Aku serahkan rumah tangga ini kepadamu." Ling Xiao berasa salah kerana perlu meninggalkan isterinya yang baru berkahwin dengannya. Sebaik sahaja dia pergi, semua masalah yang menyusahkan dalam keluarga perlu ditangani oleh wanita yang lemah lembut di hadapannya. Bolehkah dia menangani orang-orang tamak itu? Hatinya rasa tidak lega.

Dengan mata yang merah, tetapi suara yang teguh, Lan Luofeng berkata, "Jangan bimbang, Ling Xiao, aku akan jaga rumah tangga kita dengan baik." Dia meletakkan tangan Ling Xiao di atas perutnya, dan berkata dengan segan, "Dalam masa lapan bulan lagi, Abang akan menjadi seorang bapa."

"Kita mempunyai anak? Baiknya!" Terharu dengan khabar baik ini, Ling Xiao mendukung isterinya dan berpusing sambil berketawa dengan gembira.

Lan Luofeng memegang Ling Xiao dengan kuat tetapi tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan tindakan perayaannya. Selepas sekian lama, Ling Xiao akhirnya menurunkan Lan Luofeng dan memeluknya sambil berkata, "Luofeng, terima kasih!"

"Apa terima kasih? Aku isteri kamu, dan ini... ini juga anak yang aku idamkan." Lan Luofeng tersenyum lembut sambil menyentuh perutnya, kegembiraan dalam hatinya melimpah. "Abang, nama apa yang patut kita berikan kepada anak ini?"

Ling Xiao mempertimbangkan soalan itu dengan serius. Ketika dia memandang wajah isterinya yang juga terserlah dengan kegembiraan, dia mendapat inspirasi. "Aku telah membuat keputusan, sama ada anak lelaki atau perempuan, anak kita akan dipanggil Ling Lan! Anak ini milik kamu dan aku, dan layak menerima nama keluarga kami." Lan Luofeng juga adalah anak tunggal, jadi mungkin nama ini akan memberi isterinya suatu kebahagiaan.

Seperti yang dijangka, Lan Luofeng sungguh besar hati dan mengangguk dengan bersungguh-sungguh. "Baiklah, aku setuju dengan cadangan Abang." Air mata di matanya tidak lagi dapat ditahan, dan Ling Xiao tidak dapat membuat apa-apa, melainkan membantunya mengelap air mata.

Ketika ini, platform mengumumkan panggilan terakhir untuk menaiki pesawat perang. Lan Luofeng tergesa-gesa menenangkan dirinya dan mengelap air matanya sambil berkata dengan senyuman, "Ling Xiao, kamu mesti menunaikan janjimu - Ling Lan dan saya akan menunggu kepulangan kamu."

Ling Xiao mengangguk dengan serius. "Aku sentiasa menunaikan janjiku."

Dengan hati yang berat, Ling Xiao menaiki pesawat perang induk sementara Lan Luofeng memandang dengan cukup sayu. Dengan cepatnya, pintu pesawat perang induk ditutup dan enjinnya dihidupkan. Di bawah bimbingan pusat kawalan udara, pesawat perang induk menjauhi bingkai pelayaran pelabuhan, naik ke udara secara perlahan-lahan, dan mengetuai angkatan-angkatan pesawat perang untuk meninggalkan Planet Anta.

Sementara itu, tanpa disedari oleh orang-orang yang memberi tumpuan kepada keberangkatan pesawat angkasa, sejumlah tenaga yang besar telah dijanakan oleh angkatan pesawat angkasa yang dihidupkan secara serentak, sehingga ruang angkasa ini menjadi goyah malah terlipat di beberapa bahagian. Zarah yang hampir mikroskopik tiba-tiba muncul dan bergegas menuju ke Planet Anta pada kelajuan cahaya.

Lan Luofeng yang masih sedang sedih tiba-tiba merasa perutnya menjadi panas dan sejuk. Dia terkejut lalu menjerit, tangannya terus menutup perutnya. Situasi ini menarik perhatian Ling Qin, yang setakat ini diam-diam berdiri menonton seperti kertas dinding di latar belakang.

"Puan muda, adakah anda baik-baik saja?"

Lan Luofeng menutup matanya dan memerhati dengan teliti keadaan badannya. Setelah dia mendapati tidak ada apa-apa, dia rasa lega kemudian menjawab, "Pak Qin, tiada apa-apa, aku rasa mungkin tadi aku terlalu emosional."

Setelah mendengar respons tersebut, Ling Qin menarik nafas lega dan berkata, "Nyonya muda, memandangkan tuan muda sudah meninggalkan Anta, baik kita pulang ke rumah sekarang. Sini terlalu heboh dan tidak baik untuk kepada kesihatan puan muda."

Lan Luofeng bukan orang yang degil, dan dia rasa pendapat Ling Qin adalah munasabah, jadi dia mengangguk dan berkata, "Baiklah, Pak Qin."

Mereka berdua menaiki kereta apung dan meninggalkan pelabuhan angkasa untuk pulang ke rumah.