"Beritahu aku! Mana Xiao Ba?" kata Chu Qiao dengan dingin. Dia menusuk pisau belatinya itu lebih dalam, menyebabkan kesakitan yang lebih perit kepada lelaki ini. Darah yang berwarna merah terang itu meleleh keluar dari lehernya.
"Siapa...siapa Xiao Ba?" lelaki yang sering membuat perancangan sulit ini kini tidak berasa begitu angkuh dan dia terus meromok dengan penuh ketakutan lalu tergagap, "Aku tak kenal siapa Xiao Ba… Aku hanya bekerja di bawah orang lain."
"Xiao Ba pemilik kalung ni. Budak kecil yang kau cuba menyamar sebagai."
"Aku… Aku tak tahu," balas lelaki kerdil itu. "Seseorang yang berkhidmat untuk Tuan Muda Keempat telah datang kepada aku. Aku tetamu keluarga Zhuge. Aku tak ada masalah dengan kau."
"Kau tak tahu?" Chu Qiao memasamkan wajahnya dan merenung tubuh lelaki itu. Melihat lelaki ini mengangguk tanpa henti, Chu Qiao bertambah berang dan dengan beberapa pergerakan lincah, mata lelaki itu terbeliak, anak matanya mengembang, anggota badannya mengeras dan pernafasannya terus berhenti. Hanya ada satu luka yang panjang dan berdarah di lehernya.
"Kau tak sesuai jadi pembunuh upahan. Sejak kau akan mati tak lama lagi, lebih baik kau buat sesuatu yang baik sebelum kau mati." Chu Qiao merenung tajam mayat yang terkulai di atas tanah itu dan lantas bertinggung dan menanggalkan pakaian lelaki itu dengan lincah.
Perkataan 'tenang' bagaikan tidak wujud pada malam itu di Bandar Zhen Huang. Walaupun malam sudah meningkat dewasa, namun obor api di pintu gerbang timur masih lagi dinyalakan terang. Tuan muda keempat keluarga Zhuge sendiri yang bertugas di sana, meminta untuk menggerakkan separuh daripada pasukan tentera Zhen Huang untuk menangkap seorang hamba yang telah melarikan diri dari Kediaman Zhuge. Beberapa barisan tentera telah bergerak ke sana, namun masih tiada berita yang dapat disampaikan.
Zhuge Yue berdiri di atas kuda, pintu gerbang di belakangnya kelihatan seolah-olah seekor singa yang sedang nyenyak tidur. Orang-orang suruhannya mengekori tuan muda itu dengan setia, tidak berani untuk berbuat apa-apa bunyi kerana risau mereka akan menaikkan kemarahannya.
"Tuan Muda Keempat!" Zhu Cheng, memakai jubah kelabu, melangkah pantas ke sisi Zhuge Yue, dan lantas berbisik ke telinga tuan muda, "Tuan Muda Keempat, Tuan Muda Pertama mahu tuan pulang ke rumah sekarang."
Zhuge Yue yang berpura-pura tidak mendengar pernyataan Zhu Cheng itu terus merenung ke hadapan, raut wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang emosi.
Zhu Cheng menyambung pantas, "Ada berita yang mengatakan Yan Xun dah melarikan diri dari bandar ini, bersama beberapa orang dari Kediaman Zhi Zi. Keluarga Wei dah melakukan kesilapan yang sangat besar, dua jari Wei Jing dah dikerat putus dan dia dah diambil sebagai tahanan."
Zhuge Yue mengerutkan wajahnya setelah mendengar hal ini. Dia berfikir sejenak sebelum membalas, "Yan Xun?"
"Ya," omel Zhu Cheng, "Ia berlaku dekat Jalan Besar Jiuwai, di antara Kuil Bai Lan dan juga Dataran Zi Wei."
Tuan Muda Zhuge Yue menjawab dengan suara yang rendah, "Mereka datang dari arah mana?"
"Saya rasa… Saya rasa mereka datang dari arah Tasik Chi Shui."
"Berani betul!" dengus Zhuge Yue dengan keningnya yang diraih tinggi. Dia baru tersedar Wei Shuye telah mengepung kediaman Zhuge di jalan Ba Xing dan mencederakan ramai orang suruhan di dalam.
"Yan Xun melarikan diri ke arah mana?"
"Tuan Muda Keempat, Tuan Muda Pertama dah beri arahan kepada Tuan supaya tak masuk campur dalam urusan ini. Tolong jangan masuk campur!"
Zhuge Yue meraih keningnya sekali lagi. Semasa dia ingin menyambung percakapannya, dia tiba-tiba terdengar telapuk kaki kuda yang semakin dekat ke arah mereka. Seorang lelaki kurus yang sedang memakai topi besar mendekati mereka dengan kudanya dan lantas melontarkan sekujur tubuh mayat ke atas tanah sebelum tiba di sisi Zhuge Yue. Dia sedang memakai baju perisai kulit berwarna hijau, lantas menunjukkan dia baru sahaja dibunuh oleh seseorang dari pihak Yan Xun.
Seorang hamba yang berada di sisi Zhuge Yue berteriak lantang, "Tuan Muda Keempat, Hu Sheng dah kembali."
Zhuge Yue merenung mayat yang terbongkang di atas tanah. Badannya kaku, rambutnya kusut masai, dan bajunya berlumuran dengan darah dan lumpur, jelas menandakan dia sudah mati berjam-jam yang lalu. Kemarahan menguasai diri Zhuge Yue dan dia mendongak kepalanya sedikit dan merenung tajam si kerdil yang tidak mencapai tiga kaki itu. Dia mengutur perlahan, "Kau bunuh dia?"
Hu Sheng melonjak turun dari kudanya dengan penuh lemah gemalai, tertunduk dan lantas melutut di atas tanah bersalji. Suaranya dalam dan tidak dapat didengari di dalam angin utara yang kencang itu, "Saya senang hati sebab tak menghampakan tuan!"
"Bila aku suruh kau bunuh dia?" Zhuge Yue lantas mengangkat cemetinya untuk melibas belakang Hu Sheng tanpa sedikit pun rasa belas kasihan. Dia menengking, "Kau patut mati!"
"Tuan Muda!"
"Ah! Pembunuh upahan!"
Bunyi nafas yang ditarik kedengaran kuat. Semasa cemeti Zhuge Yue melekat pada badan orang tersebut, dia terus mendongak ke atas. Orang ini mempunyai kulit yang cerah dengan wajah yang kebudak-budakan. Bagaimana dia boleh menjadi seorang pembunuh upahan? Anak kecil itu mendengus mengejek dan menerima libasan cemeti tersebut sebelum berdiri pantas dan mengeluarkan pisau belatinya yang terlindung dari penglihatan ramai sebelum meraihnya ke leher Zhuge Yue. Dengan pergerakan yang kecil, tuan muda itu terus berhenti daripada terus menghalang.
"Kau belum mati lagi?"
"Seperti yang kau mahu, aku masih hidup dan sihat." Chu Qiao merenung tajam Zhuge Yue dengan penuh kekejaman dalam matanya. Dia membalas perlahan, "Tapi, aku tak pasti berapa lama lagi kau akan hidup."
"Lepaskan adik aku!" laung Chu Qiao. "Kalau tidak, kau akan jumpa Tuan Besar Kedua keluarga kau dalam neraka!"
Dataran kosong itu bersalji tebal, pergunungan di sana kelihatan menakjubkan. Angin utara meniup salji ke udara, mengakibatkan bulu mata setiap orang dipenuhi dengan salju putih. Chu Qiao sedang memakai jubah berwarna kelabu besi dan topi gergasinya telah menghalang salju untuk berehat di atas bulu matanya. Tangannya yang kecil dan cerah itu sedang menggenggam pisau belati dengan kemas, Chu Qiao berdiri di hadapan puluhan ribu tentera tanpa seinci pun perasaan takut yang terbit di mukanya.
Zhuge Yue mendengus dingin, memusingkan badannya dan berkata dengan tenang, "Kau akan bunuh aku ke?" Angin meniup kencang di sepanjang jarak antara mereka berdua. Burung hantu yang berterbangan di udara berbuat bunyi seumpama tangisan roh-roh yang telah meninggal dunia akibat dibunuh tanpa sebab munasabah.
Anak mata Chu Qiao menjadi dingin. Pondok kayu api yang usang, senyuman yang terukir di bibir anak kecil yang suci, daging bakar yang berbau harum… Semua perkara tersebut terlintas di fikirannya bagaikan bom yang telah diletupkan. Dia menunduk wajahnya perlahan, merenung anak mata tuan muda itu dengan tajam. "Belum cuba belum tahu."
"Ya ke?" Zhuge Yue tersenyum dan separa melayukan matanya, lantas dia membalas, "Okay, baiklah." Menghabiskan ayatnya, dia merapatkan lagi lehernya dengan pisau belati tajam milik Chu Qiao seolah-olah dia telah hilang kawalan kepada gerak-gerinya.
"Tuan Muda!"
"Tuan!"
Suara-suara cemas kedengaran datang dari belakang tuan muda itu. Masa bagaikan telah berhenti berputar pada saat ini. Bunyi dari belakang tertumpu pada satu arah, membuatkan ia bergema kuat di kawasan rata itu. Chu Qiao terperanjat, langsung tidak menyangka pemuda ini sangat bertekad dan berkeyakinan hingga dia lebih rela membunuh dirinya sendiri daripada diancam. Sepantas kilat, berbagai-bagai perkara yang melintas di fikirannya dan sebelum dia dapat membuat apa-apa keputusan, tanpa disedari dia telah mengurangkan tekanan pisau belatinya di leher Zhuge Yue, namun ia masih tersemat di situ, meninggalkan satu garisan berdarah yang panjang sehingga ke cuping telinganya.
Zhuge Yue dengan pantas mengambil peluang apabila melihat Chu Qiao yang terganggu, dia lantas menggerakkan badannya ke hadapan seperti seekor ikan yang tangkas, dan melangkah ke hadapan untuk menukar situasi mereka! Semuanya berlaku dalam sekelip mata dan sebelum pernafasan pemerhati-pemerhati belum sempat dilepaskan, jejaka muda yang berada di dalam tahanan gadis kecil itu kini telah melepaskan diri, walaupun dengan gerak-gerinya yang luar biasa. Namun pada masa ini, berdiri di hadapan gadis kecil ini dan menghalakan pedangnya ke arah Chu Qiao, dia berkata dingin, "Kau tak boleh bunuh aku," Darah segar mengalir dari lehernya. Walaupun luka yang dialaminya itu tidak dalam, namun banyak juga darah yang sedang mengalir keluar dari kulitnya yang cerah itu yang lantas diserap oleh baju.
Zhu Cheng melangkah ke hadapan dengan pantas dan menyeru cemas, "Tuan Muda Keempat, Tuan dah tercedera! Cepat! Kembali ke rumah, kembali ke rumah!"
Zhuge Yue merenung Chu Qiao dengan penuh dingin, seolah-olah dia tidak mendengar apa yang telah dituturkan Zhu Cheng. Dia mencapai lap tangan berwarna putih salji daripada dalam poket dan darah yang mengalir keluar dari lehernya itu terus diserap oleh lap tangan miliknya. Kesan darah berwarna merah pada lap tangan itu membuatkan ia kelihatan seperti pokok plum yang sedang berkembang penuh.
"Cepat! Bagi ubat ke sini! Tuan Muda Keempat, tolong duduk supaya saya boleh balut kecederaan tuan!"
Jejaka muda tersebut kelihatan pucat sambil berdiri di atas tanah lapang bersalji. Sesuatu yang tajam secara tiba-tiba terlintas hadapan mata, dan dengan pantas dia mengangkat tangan kanannya untuk menggenggam objek tersebut, urat-urat di tangan tersembul keluar. Setelah beberapa ketika, dia membuka telapak tangannya dan membiarkan lap tangan yang sudah renyuk itu dihanyutkan angin, ia membuat dua lingkaran di udara sebelum lenyap dari penglihatan oleh salji tebal yang ganas.
Lap tangan tersebut mempunyai banyak memori bagi Zhuge Yue, terutamanya apabila ia digunakan untuk mengelap air mata seseorang yang penting baginya sebelum ini. Walaupun tuan muda itu mempunyai perwatakan yang tidak dapat diduga, namun dia juga mempunyai rasa bertanggungjawab untuk melindungi seseorang. Kini niatnya itu bagaikan lap tangan yang melayang tersebut, tiada harapan untuk kembali, menandakan inilah penamat bagi hubungan mereka. Pasukan yang lebih banyak melabur dalam sesuatu pertempuran selalunya akan tewas dalam pertempuran tersebut.
"Tangkap dia!" Zhuge Yue memusingkan badannya dengan dingin, tanpa sebarang emosi.
Pihak tentera Kediaman Zhuge mengelilingi Chu Qiao yang berdiri di tengah-tengah bulatan pasukan tentera dan sedang mengacukan pedangnya yang panjang dan mencerminkan raut wajah yang membatu. Sepasang anak mata itu jelas terpancar ketenangan, kehausannya untuk membalas dendam, kewaspadaannya, hasrat tekad yang tidak pernah terpadam, namun tiada sedikit pun penyesalan mahupun kelemahan yang terpancar dari anak mata Chu Qiao.
Daripada mula lagi dia mengerti cara untuk terus hidup. Dia mengerti jenis kebencian yang tertanam di dalam dirinya. Dia jelas mengerti akan pertolongan yang diterimanya. 'Jadi, Zhuge Yue, bila kau putuskan lengan Xiao Jiu, bila kau bunuh Lin Xi, kita dah ditakdirkan untuk menjadi musuh. Salah seorang daripada kita harus membunuh seorang lagi, tiada jalan lain.'
"Bergerak!" Satu suara rendah kedengaran lantang datang dari kumpulan tentera itu. Tiada seorang pun orang suruhan dari keluarga Zhuge yang berani untuk memandang rendah akan gadis kecil yang kelihatan lemah ini, jadi sekumpulan tentera yang cekap dan berbadan tegap meluru ke arah Chu Qiao untuk menyerangnya. Di dalam kegelapan malam, bunyi dentang-dentung daripada pedang yang bersabung itu boleh didengari dari kejauhan, dan anak kecil ini telah mempamerkan kelincahan yang tidak pernah dilihat orang sebelum ini, dengan putaran kaki kirinya yang tersemat di tanah dan kaki kanan yang melayang di udara menyepak pihak musuh. Chu Qiao lantas membuat balik kuang terbang, pedangnya dilumuri darah dan tangan kanannya pula menggenggam leher salah seorang daripada pihak musuh, dengan pantas dia menyentap urat-urat leher dengan satu bunyi yang retakan. Biji mata lelaki tersebut tersembul dari soketnya dan lantas dia terkulai di atas tanah.
Semua mata yang memandangnya terpana melihat gadis kecil ini, namun tiada seorang pun dari mereka yang mengundurkan diri. Sebilah pedang yang besar dan tebal yang semakin menghampiri Chu Qiao dan memanggil-manggil namanya, gadis kecil itu menghalang hentakan pedang tersebut, namun masih terjatuh dua langkah ke belakang akibat badannya yang kecil. Bajunya berlumuran dengan darah, mempamerkan yang dia telah tercedera hanya setelah satu pusingan pertempuran.
Setelah melihat akan hal ini, pengawal-pengawal dari Kediaman Zhuge bersorak ceria. Tidak kira secerdik atau sekejam mana anak kecil ini, dia hanyalah seorang gadis berumur lapan tahun dan kekuatan batinnya langsung tidak setanding seorang lelaki dewasa.
Semua orang di sekeliling Chu Qiao dapat merasai sebuah peluang kecil telah terbuka dan mereka terus meluru ke arah anak gadis kecil itu. Zhuge Yue berdiri di luar medan pertempuran, bibirnya pucat, sambil Zhu Cheng sedang membalut kecederaannya. Salji tebal yang menghujani bumi itu membuatkan keseluruhan kawasan ini kelihatan lebih tandus dari biasa.
"Cepat bergerak!" Pada masa yang sama, satu laungan lantang secara tiba-tiba bergema dari kejauhan. Bunyi telapuk kuda yang huru-hara kedengaran datang dari utara.
Kesemua pihak tentera pasukan Kediaman Zhuge mengalih pandangan mereka ke arah utara dan dari kejauhan, ratusan kuda tegap sedang marak ke arah medan pertempuran tersebut. Anak muda yang mendahului kumpulan itu sedang memakai pakaian serba putih, dengan rambutnya yang hitam pekat dan busur silang di lengan. Dengan beberapa panahan busur, dia berjaya menjatuhkan beberapa orang tentera milik keluarga Zhuge.
"Gadis!" Kuda-kuda pertempuran meluru pantas dan bercampur dengan pihak lawan. Jejaka muda itu mengangkat Chu Qiao ke atas dan meletakkannya di belakang kuda miliknya. Dengan anak mata yang terang, dia tertawa, "Aku selamatkan kau sekali lagi! Bagaimana kau akan membalas pertolongan aku?"
Dengan satu kibasan pedang, Chu Qiao berjaya memesongkan lembing yang sedang tepat menuju ke arahnya. Dia dengan pantas memusingkan kepalanya dan memandang Yan Xun dengan penuh berang, dan lantas menengking, "Kau gila ke? Datang balik pada jam sebegini, kau mahu mati ya?"