Chapter 27 - Bab 27

Yan Xun merenung dalam ke mata Chu Qiao dengan penuh membara, anak gadis itu meluncur turun dari kuda milik Yan Xun dengan lincah, tingkah lakunya mempamerkan dia telah melakukan perkara ini beratus kali. Setelah kakinya mencecah tanah, Chu Qiao lantas meraihkan dagunya untuk membalas renungan mata Yan Xun. "Aku kena berangkat sekarang, Yan Xun. Walaupun kita berasal dari dunia yang berbeza, tapi aku akan sentiasa ingat semua pertolongan yang kau dah beri pada aku. Kalau ada suatu hari nanti di mana aku boleh membalas jasa kau, aku akan jumpa kau."

Tanpa membalas kata Chu Qiao, Yan Xun meraih hujung bibirnya dan menghadiahkan sebuah senyuman manis kepada Chu Qiao.

Daripada raut wajah Yan Xun, Chu Qiao dapat merasakan sesuatu yang buruk akan terjadi namun dia tidak membenarkan mindanya untuk berlegar di situ. Dia tidak mempunyai masa yang banyak dan ia langsung tidak membantu jika dia terus berada di bersama Yan Xun. Walaupun kejadian di kediaman Zhuge di jalan Ba Xing tidak seperti yang dirancang, bukan sahaja Zhuge Yue yang datang menyerbu dengan tiba-tiba, malah pasukan tentera milik keluarga Wei dan juga Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar telah dipanggil untuk berperang. Tahap kekecohan yang telah berlaku seolah-olah tidak tercapai dek akal. Namun, dia pasti dia dapat bersembunyi dengan selamat di dalam bandar yang sebesar ini.

Anak kecil itu melutut dan mengetatkan lagi jubah yang sedang dipakainya. Dia mengerling ke arah Yan Xun untuk kali terakhir dan lantas memecut ke jalan yang paling terlindung dek mata.

Telapuk kuda kedengaran rapat di belakang Chu Qiao dan sebelum dia dapat memusingkan badan untuk mendepani pihak lawannya, badan kecil milik Chu Qiao itu telah diangkat oleh sepasang tangan yang tegap. Tawaan kecil Yan Xun kedengaran merdu dari belakang Chu Qiao. "Tak percaya yang aku boleh melindungi perempuan macam kau? Mari kita pergi! Kita akan pulang ke Yan Bei malam ni. Kita akan lihat apa jeneral dari Pasukan Tentera Wei dan juga Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar boleh buat!" Setelah mengatakan hal itu, dia melibaskan cemetinya ganas, dan kuda itu terus menderap laju menghala ke arah pintu gerbang bandar.

"Tuanku!" Terkejut, Feng Mian dan Yan Shiqi berteriak kuat pada masa yang sama.

"Shiqi, kumpul orang-orang kita, dan ikut aku bergerak keluar bandar."

Angin utara meniup kasar dan salji membanjiri tanah dengan ganas. Lebih dari seratus pasukan berkuda menderu di atas jalan dan lantas membangunkan rakyat-rakyat Bandar Zhen Huang yang sedang nyenyak tidur, namun tiada seorang pun yang berani untuk mengambil tahu akan hal yang sedang berlaku, dan dengan pantas menutup langsir rumah masing-masing, risau akan permasalahan yang akan berlaku jika mereka diketahui masuk campur dalam urusan diraja.

Yan Xun mengekang kuda pertempurannya, lantas menghulurkan lengannya dan menunjukan tanda henti kepada para Pengawal Yan yang mengekori belakang putera itu dengan setia. Putera muda itu mendongakkan kepalanya sedikit, merenung tajam ke arah beberapa barisan tentera pihak lawan bertentangan dengan mereka. Yan Shiqi memacu kudanya ke hadapan dan lantas bersuara lantang. "Kami ahli tentera milik Tuanku Diraja, Putera Yan Bei, Yan Xun. Siapa di sana dan mengapa kalian menghalang laluan kami?"

"Saya Tentera Major Jeneral dari Pertahanan Utara Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar dengan arahan untuk menutup jalan ni." Satu suara yang lantang kedengaran bertentangan dengannya.

Kening Yan Xun dikait rapat. "Aku mendapat arahan maharaja daripada istana Sheng Jin! Siapa yang berani menghalang aku?" Dia bertanya kasar.

"Malang betul." Satu suara yang kedengaran agak feminin berkata perlahan. Malam yang hening dan sepi itu membenarkan suara tersebut untuk menusuki halwa telinga sehingga ke seberang sana.

Seorang lelaki berjubah sutera hijau memacu kudanya sekeliling di hadapan kedua-dua belah pihak itu. Bibirnya mengukir sebuah senyuman yang samar, dan berkata perlahan, "Putera Yan, malangnya bagi kau, aku pun mendapat arahan maharaja dari istana Sheng Jin juga. Jadi malam ni, tiada sesiapa yang akan keluar dari bandar ni. Sesiapa yang melanggar arahan ni akan…" Budak lelaki itu berhenti seketika dengan sengaja, matanya memandang Yan Xun dari atas ke bawah. Kemudian, dia tersengih licik sekali lagi, dan menguturkan setiap kata dengan perlahan namun jelas, "...dibunuh tanpa ampun."

"Wei Jing?" Yan Xun meraih keningnya, terkejut. Beberapa kuda dari Yan Xun, Chu Qiao memacu kudanya ke hadapan juga, namun dengan pantas Yan Xun mengangkat tangannya yang memegang cemeti kuda itu untuk menghalang laluan Chu Qiao dan sekaligus menyelamatkannya dari dikenal pasti. Chu Qiao yang berada di dalam pakaian pengawal itu menyedari apa yang telah dilakukan Yan Xun tiba-tiba berasa hangat dalam hatinya. Dia mendongakkan kepalanya dan melihat tubuh Yan Xun yang tegak dan megah itu. Kehangatan merebak di dalam dirinya, dan pada malam yang sedingin ini, ia terasa istimewa.

"Lagipun, kalau aku ingat benar-benar, arahan maharaja yang diberi pada kau untuk meninggalkan bandar ni pada esok pagi."

"Aku rindu mak aku, Permaisuri Yan. Aku akan balik malam ni." Yan Xun berkata kasar, dengan keningnya yang masih berkait rapat.

"Taat kepada ibu bapa tu bagus, tapi aku tak rasa kau patut menunjuk-nunjuk, Tuanku."

"Maafkan aku sebab kau terpaksa tengok aku dalam keadaan seperti sekarang ni, Anak Wei, tapi aku ni muda dan keras kepala sikit. Kalau aku dah buat keputusan untuk buat sesuatu, aku akan buat juga sampai aku dapat. Kalau tidak, aku tak dapat tidur dengan nyenyak"

"Betul ke macam tu?" Wei Jing tersenyum ringan, suaranya lembut namun mengerikan pada masa yang masa. "Kalau macam tu, Tuanku Diraja mungkin takkan dapat tidur langsung malam ni."

"Beraninya kau ni, Anak Wei!" Budak suruhan Yan Xun, Feng Mian, melangkah ke hadapan dan memekik dengan penuh berang, "Walaupun pada hari biasa, Tuanku berhak untuk keluar dari bandar ni untuk pergi berburu sesuka hati Tuanku, dan tiada sesiapa pun yang berani untuk menghalang beliau, lebih-lebih lagi sekarang ni. Atas kuasa siapa yang kau berdiri di sini untuk menghalang hak Tuanku untuk keluar?"

"Atas kuasa istana Sheng Jin!" satu suara yang rendah tiba-tiba kedengaran dari belakang mereka. Yan Xun dan pasukan tenteranya lantas memalingkan kuda mereka untuk menghadap suara ini, dan melihat dua lagi pasukan tentera yang sedang amra ke arah mereka. Wei Shuye, memakai jaket bulu berwarna hitam sedang ditemani oleh ZHuge Huai yang berada di sisinya. Raut wajahnya langsung tidak mempamerkan kemesraan yang dia sering pamerkan pada hari-hari biasa. Namun, kini ia jelas menunjukkan kedinginan.

"Di atas arahan maharaja, Raja Yan Bei, Yan Shicheng, telah didapati mengkhianati empayar atas dasar merancang pemberontakan ke atas empayar. Mejar Jeneral Wei Shuye telah mendapat arahan istimewa daripada maharaja untuk menangkap waris Raja Yan Bei, Yan Xun, dan menyerahkannya kepada Mahkamah Pengadilan untuk dijadikan tahanan." Setelah ayat terakhir itu diungkap, kerlipan cahaya berwarna perak memintas langit malam, sementara pedang-pedang dikeluarkan dari sarungnya. Raut wajah para tentera Yan bertukar menjadi cemas dan langsung mereka meluru ke hadapan, lantas melindungi Yan Xun dengan berdiri di hadapannya.

"Hey!" Chu Qiao menarik keluar busur silang yang tersemat di pinggangnya, dan lantas memacu kudanya untuk bergerak ke sisi kanan Yan Xun. "Nampaknya mereka semua ada di sini disebabkan kau."

Yan Xun masih mengekalkan raut wajah yang terpana dan berang. "Maafkan aku sebab heret kau dalam masalah ni," dia berkata dengan suara yang geram, matanya masih tegas tertumpu pada pihak tentera yang berada di seberangnya.

"Tak mengapa." Chu Qiao tersenyum. "Kau tolong aku, aku tolong kau. Lepas pertempuran ni selesai, kita akan jadi sama rata."

Malam itu lebih hening dari biasa, angin menyerang dari arah Platform Sembilan Negeri dengan kencang lantas menyapu rumput-rumput kering di jalan besar bandar tersebut, sekaligus melambai ganas hujung jubah para jejaka yang berada di kedua-dua belah jalan bagaikan kupu-kupu yang menggeliang-geliut dibaham dek api. Seekor burung hitam berlegar-legar di awanan, sayapnya disimpir dan lantas dikepakkan kuat di dalam cuaca bersalji tebal bak kapas dan lantas mengeluarkan suatu bunyi yang memekikkan halwa telinga. Di Jalan Besar Jiuwai, hembusan nafas kuda-kuda pertempuran mula untuk bertukar menjadi fros. Pedang saber dapat memancarkan cahaya yang terang hingga ia boleh terpancar pada bulan dan bintang. Ia bersinar lebih terang daripada obor api merah, seolah-olah memimikkan mata binatang buas itu.

Seorang demi seorang pasukan tentera yang tegap bagaikan besi milik Yan mula dihujani ribuan panahan busur. Bahu Yan Shiqi dilumuri dengan darah sementara dia masih lagi bersungguh-sungguh untuk menghalang satu lagi panahan daripada menembusinya, lantas memacu kudanya ke belakang dan berteriak kuat, "Lindungi Tuanku! Bawa Tuanku keluar dari sini!"

Beberapa orang askar milik Yan membalas dengan sorakan. Mereka meraihkan pedang dan menghayunkannya untuk membuat satu corak yang seolah-olah kelihatan seperti bulan mengambang, lantas bergerak mengelilingi Yan Xun yang berada di tengah-tengah bulatan itu.

Dengan bunyi deram-derum yang sangat kuat, sebuah tarpil mini telah disorong keluar ke medan pertempuran dan dengan sekelip mata pihak Yan dihujani batu tongkol. Tidak lama kemudian, bulatan tentera Yan yang sedang melindungi putera muda itu diranapkan, darah dari tubuh tentera-tentera itu terpercik ganas mencairkan salji di tanah.

"Kau mahu pergi ke mana?" Dengan sebelah tangan, Yan Xun menggenggam Chu Qiao yang ingin memacu kudanya untuk menyertai pertempuran dengan hanya bersenjatakan sebuah busur silang dan juga badan yang kecil dan kurus, langsung tidak menunjukkan sebarang ancaman. Pemuda itu menghalangnya dengan cemas. "Kau mahu mati ke?" Dia menengking dengan penuh kemarahan.

"Lepaskan aku!" Chu Qiao bergelut sambil matanya memeriksa tentera pihak lawan, dan pada masa yang sama cuba untuk melepaskan genggaman tangan Yan Xun yang erat menghalangnya.

Dengan satu pukulan, Yan Xun berjaya untuk melibas sebatang anak panah lagi, lantas keningnya diraih tinggi bagaikan pedangnya, dan mengaum berang, "Kau akan lari ke kematian kau! Aku tak benarkan!"

"Kita masih ada peluang untuk hidup kalau kita bertindak sekarang," Chu Qiao berpaling, suaranya tanpa kompromi. "Kau fikir aku akan duduk di sini dengan kau sambil tunggu kematian kita?"

Anak mata Yan Xun terus pudar di bawah cahaya obor api dengan penuh terpana, dan lantas berkata bersungguh-sungguh dengan nada samar kemegahan seorang anak kecil, "Ingat kalau aku mati pada hari ini, aku tak akan hampakan kau."

Chu Qiao mengerti Yan Xun telah tersalah faham akan maksud ayatnya sebelum ini, namun membuat keputusan untuk tidak menerangkan maksud sebenar kepadanya dan lantas dia berpaling dan merotok kecil.

"Shiqi," kata Yan Xun, "Sekejap lagi, bila keadaan sudah jadi huru-hara, arah beberapa orang tentera untuk bawa dia ke tempat selamat, faham?"

"Putera Yan!" Dahi Yan Xun berkedut sambil dia membantah, "Tugas saya untuk lindungi Tuanku!"

"Tugas kau untuk ikut arahan aku!"

Chu Qiao melihat kejadian ini dengan muka yang dikerutkan. Melihat Yan Xun yang sedang sibuk menengking Yan Shiqi, Chu Qiao dengan pantas merentap tangannya dari genggaman tangan pemuda itu. Chu Qiao seorang yang lincah walaupun badannya yang kecil dan kurus, dengan mudah dia dapat melonjak ke atas seekor kuda dan memacu kuda itu keluar dari bulatan dalam sekelip mata.

"Kau!" Terkejut, Yan Xun berteriak dengan kuat, dan secara tiba-tiba semua mata dari kedua-dua belah pihak tertumpu pada badan kecil anak gadis ini.

Chu Qiao menunggang kuda tersebut dengan kemahiran yang menakjubkan, dan dengan cekap telah merampas dua bilah pedang daripada dua orang tentera Yan. Pergerakannya mempesonakan. Sambil memegang busur silang kecilnya, Chu Qiao menggerakkan tubuh ke kiri dan ke kanan, dan melepaskan panahan dari arah yang berbeza, dari tepi dan juga bawah kuda tersebut. Cahaya yang menyinari malam itu telah menolong Chu Qiao untuk mengelak dari panahan busur yang sedang berterbangan di sekelilingnya.

"Cepat! Lindungi dia!" Yan Xun mula untuk melepaskan panahan yang terus menembusi tengkorak kepala pemanah pihak musuh dengan bunyi debak yang perlahan. Dia berjaya untuk mendekati pihak lawan dalam sekelip mata dengan kemahiran yang tinggi dalam memanah dan juga teknik mempertahankan diri yang sempurna.

Chu Qiao menyerang dengan strategi yang penuh licik walaupun tubuhnya lebih kecil dari tentera lain. Dia dapat memenangi setiap pertempuran secara senyap dan penuh berani kerana matanya yang cekap dan pergerakan tangannya yang pantas, lantas membenarkan Chu Qiao untuk menyerang barisan tentera pihak lawan dalam masa beberapa minit walaupun dia masih perlu banyak berlatih dalam teknik mempertahankan diri. Chu Qiao menghayunkan pedangnya laju untuk menghentak dua orang askar sebelum melemparkan senjatanya itu ke arah seorang askar pihak lawan sebelum dia dapat menyerang gadis kecil itu, dan pedang itu terus tertusuk pada leher tentera Wei.

Semangat pasukan tentera Yan serta-merta diraih tinggi setelah melihat gadis kecil ini bertarung dengan penuh agresif. Mengambil peluang keemasan ini, Yan Shiqi memekik kuat, "Serang bersama-sama dengan aku!"

"Kau hanya terperangkap, binatang-binatang buas, kau tak tahu apa-apa!" Wei Jing mengejek dengan penuh dingin. Meraih busur silangnya, dia dengan pantas menarik tali busur dan memuatkan sebatang anak panah pada tengah-tengah busur itu dan serta-merta udara dipenuhi dengan pantulan cahaya berwarna perak yang berterbangan semasa panahan busur dilepaskan seperti sekumpulan tahi bintang.

Anak panah yang menempuhi angin sejuk itu berbunyi kuat melayang ke arah Chu Qiao, namun dia terlalu terlambat untuk mengenal pasti bunyi itu. Dia memusingkan kepalanya ke sisi dan mendapati anak panah tersebut telah tiba betul-betul di antara kedua matanya dan dalam sekelip mata badan Chu Qiao menjadi lemah-gemalai dan lantas dia terjatuh dari kuda pertempurannya!

"Gadis!" tangis Yan Xun. Dia terus berpaling untuk berhadapan dengan Wei Jing, matanya membuak-buak dengan kebencian yang boleh membunuh.

Wei Jing mendengus dengan penuh ejekan sekali lagi, dan lantas berkata dengan suara yang sungguh lantang, "Putera Yan sudah melanggar perintah maharaja! Semua orang dengarlah arahan aku, tangkap dia sama ada hidup atau mati!"

Sorakan Pasukan Tentera Wei kedengaran kuat, dan mereka terus memacu kuda mereka ke arah tentera Yan dengan pertolongan Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar. Pertempuran memanah sebentar tadi kini terus bertukar menjadi pertempuran jarak dekat, dan Yan Xun serta-merta melayangkan seorang lelaki berbadan tegap di udara dengan satu tendangan yang padu, sementara pedang berwarna perak bersaiz tiga kaki di genggamannya itu menari-nari semasa dia menghapuskan dua orang lagi askar yang cuba untuk menentangnya.

"Yan Xun, kau cuba untuk melakukan pemberontakan ke?" Zhuge Huai berteriak apabila melihat Yan Xun yang sedang bertarung. Tuan muda pertama Zhuge itu tidak menyertai pertempuran di antara Pasukan Tentera Yan, Pasukan Tentera Wei dan juga Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar yang sedang berlaku di hadapan matanya itu, namun dia telah memerintahkan pasukan tenteranya untuk berdiam diri dan menyaksikan pertempuran tersebut dari luar kawasan pertempuran.

"Kalau kau benar-benar mahu menghukum aku, kenapa kau tak serang saja? Aku tidak pernah berfikir untuk memberontak, tapi kalau keluarga Wei boleh memperdayai Majlis Ketua-Ketua Terhormat supaya mereka dapat bunuh kami, kami akan lawan balik dan tunjukkan yang lelaki-lelaki dari Negara Yan Bei bukanlah sekumpulan babi yang hanya menunggu masa untuk disembelih!"

"Anak tak guna berlagak!" Wei Jing mengaum marah. Bergerak ke hadapan, dia menghayunkan tangannya sambil berkata, "Kalau macam itu, jangan salahkan aku kerana mengetepikan zaman kita belajar bersama-sama dulu."

Beberapa saat sebelum Wei Jing ingin mengarahkan serangan tanpa henti kepada pasukan tenteranya, suatu bunyi yang memekikkan telinga kedengaran datang dari sebelah telinganya. Bingung, Wei Jing lantas memalingkan kepalanya untuk melihat tubuh badan Tentera Major Jeneral dari Pertahanan Utara Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar yang tidak bernyawa dan lantas terjatuh dari kudanya dengan dentuman kuat. Kedua-dua belah mata Major Jeneral itu terbuka luas, dahinya ditusuk sebatang anak panah dan mulutnya terlopong akibat terpana. Dia kelihatan seolah-olah ingin memberitahu sesuatu, namun tubuhnya yang tidak bermaya itu tidak boleh menguturkan sebarang ayat lagi.

Jeneral dan dirinya kini sedang berada di luar kawasan panahan dan panahan biasa tidak mungkin dapat melayang sejauh itu, jadi ia datang dari mana?

Wei Jing dapat merasakan dirinya berada di dalam kemelut yang besar, dan dengan penuh berang memacukan kudanya jauh dari kawasan sebelum kuda pertempurannya itu meringkik dan jatuh terduduk, kedua telapuk kaki hadapannya mengalami kecederaan yang parah. Wei Jing lantas terjun dari kudanya, namun sebelum dia dapat bangun dari lonjakan tersebut, sebilah pisau belati ditempatkan di lehernya, dan suara dingin Chu Qiao didengari rapat di telinganya, yang samar-samar kedengaran mengejek dan berseloroh, "Bagaimana perasaan kau sekarang, Anak Wei?"