"Semua orang, jatuhkan senjata kalian!" Angin yang kencang telah bertukar dengan salji yang berterbangan dari pelbagai arah. Chu Qiao meraih mukanya yang kecil dan kurus itu lalu melaung kuat, "Kalau tak aku akan bunuh dia!"
"Jatuhkan senjata kalian!" Wei Shuye memekik kuat dengan raut wajah yang berang.
Satu ringkikan yang kuat dapat didengari. Sebatang anak panah terbenam tepat pada dahi kuda pertempuran milik Wei Shuye, tertusuk dari mata kiri dan terkeluar melalui mata kanan. Otak yang terburai dan darah terpercik jauh sementara kuda itu terus meringkik dengan penuh kesakitan. Wei Shuye terjatuh dari kudanya dan lantas terhempas kuat ke tanah. Malam itu merupakan malam yang sangat mengerikan.
Bertinggung di atas tanah, Chu Qiao meraih pisau belati di tangan kirinya ke leher Wei Jing. Tangan kanannya pula sedang memegang busur silang yang tersemat di bahu, lantas Chu Qiao mencondongkan kepalanya dan menggunakan bibirnya untuk mengambil sebatang anak panah di dalam tabung di belakang badan. Bibir dan tangannya bergerak pantas untuk memuatkan anak panah tersebut pada busur silang miliknya sambil matanya tidak lepas dari merenung Wei Shuye dengan penuh dingin, keningnya diraih dan dia berkata perlahan, "Anak panah seterusnya ini takkan ditujukan kepada kuda itu, jadi aku cadangkan supaya kau tak bergerak."
Semua mata yang sedang menyaksikan kejadian itu terpana seketika, badan mereka beku akibat cuaca yang ganas. Ribuan pasukan tentera elit Zheng Huang, para putera dan waris dari keluarga-keluarga terhormat, para jeneral pangkat tertinggi yang berkhidmat untuk Pusat Tugasan Tentera Maharaja, semuanya sedang merenung tajam dan berkerut melihat anak kecil yang ketinggiannya tidak mencapai tiga kaki ini. Anak gadis itu sedang memakai baju perisai kulit yang jelas terlalu besar baginya, kolar baju kulitnya yang berwarna hijau kebiruan itu melindungi mukanya yang kurus dan lebih kecil dari telapak tangan seorang lelaki dewasa. Dia mempunyai sepasang mata yang jernih dan hidungnya yang kecil dan comel itu terangkat sedikit, lengannya sungguh kecil sehingga para tentera yang melihat tubuh badan anak kecil ini berasa seolah-olah ia boleh dipatahkan dengan senang. Keseluruhan tubuh Chu Qiao memberikan anggapan dia seorang anak kecil yang lemah dan kebudak-budakan.
Namun anak kecil yang kelihatan seolah-olah angin pun mampu menerbangkannya inilah yang telah memecahkan barisan pertahanan pihak tentera elit milik keluarga Wei. Pada masa ini, bertinggung di atas tanah yang membeku, Chu Qiao mampu untuk menentang ribuan tentera. Dia telah menentang keputusan Majlis Ketua-Ketua Terhormat, dia telah menentang ketua yang menguasai singgahsana Istana Sheng Jin, menentang seluruh Empayar Xia yang Agung. Dia kini dapat mengancam semua yang berkenaan dengan mengambil ketua pihak musuh sebagai tahanannya, dengan raut wajah yang dingin dan bengis.
Ini merupakan kali pertama Chu Qiao dapat menentang pemerintahan autoritarian Empayar Xia yang Agung secara terbuka dan memandang rendah akan kuasa maharaja. Pemikirannya amat mudah, dia akan melarikan diri dari tempat terkutuk ini dan membawa Yan Xun bersamanya.
"Letak senjata kalian dan buka pintu gerbang ini." Suaranya kedengaran rendah dan matanya meliar memandang pemerhati-pemerhati di hadapannya. Busur silang yang melekap di bahunya itu turut bergerak mengikuti tubuh Chu Qiao dengan mata anak panah yang sedang merenung tajam ke arah para tentera seperti sepasang mata kehausan darah, lantas ketakutan mereka melonjak naik.
"Lakukan saja!" Tangis Wei Jing lantang. Dilahirkan daripada keturunan yang dihormati dan telah menjalani kehidupan yang mewah, putera maharaja itu tidak dapat menanggung perasaan terhina apabila diancam oleh hamba bawahan, jadi dengan degil dia mengangkat wajahnya, langsung tidak menghiraukan mata pisau belati yang melekat pada kulit lehernya, dan lantas menengking, "Jatuhkan mereka!"
Thwack. Sebelum Wei Jing dapat menghabiskan ayatnya, dua jarinya telah dikerat oleh Chu Qiao. Akibat terkejut akan kejadian itu, putera maharaja itu berteriak dalam penuh keperitan, darah terpercik keluar dari lubang di mana jarinya patut berada dan lantas membanjiri tanah.
"Aku cadangkan supaya kau diam, Anak Wei." Chu Qiao meraih pandangannya ke arah tentera keluarga Wei dan tersengih kejam. "Kalian tak faham ke apa aku cakap, atau kalian memang tak mahu mendengar arahan? Mungkin kalian berada di bawah perintah tuan yang lain?" Pandangan Chu Qiao terus beralih kepada Wei Shuye sementara dia bergerak mengelilingi putera maharaja itu. "Dengan persaingan terbesar kau yang dah mati, seseorang pasti boleh meningkat dalam kedudukan keluarga dan menjadi ketua keluarga. Mejar Jeneral Shuye, siapa lagi kalau bukan kau yang akan jadi Tuan Terhormat dalam keluarga Wei?"
"Sampah!" Wei Jing membara, suaranya penuh dengan kebencian yang membuak-buak. "Kau tak perlu cuba apa-apa, hubungan aku dengan adik aku sangat kuat."
"Hubungan harus diuji untuk tahu betapa kuatnya ia." Chu Qiao tersengih. Sengihan itu mengerikan dan kejam, sedikit pun tidak sesuai untuk wajah lapan tahun yang comel dan kecil ini. Mata mereka bertemu semasa Chu Qiao berpura-pura untuk mengerat leher Wei Jing.
Tangannya bergerak dengan pantas semasa dia mengikat kedua belah tangan Wei Jing di belakangnya. Walaupun tubuhnya kecil dan kekuatan batinnya sedikit, kemahirannya dan pilihan ikatan yang digunakan telah menyiapkan tugasannya itu dengan sempurna dan berjaya untuk menghalang Wei Jing dari melarikan diri walaupun kekuatan batin putera maharaja tersebut yang lebih berkuasa dari Chu Qiao.
"Naik ke atas kuda," kata Chu Qiao. "Saya berharap saya dapat mengganggu Anak Mulia Wei supaya berjalan dengan kami sedikit lagi."
Awan yang berkepul semakin menebal dan tiada satu cahaya bintang pun yang dapat dilihat dan bulan yang sangat terang sebentar tadi kini mula memudar.
Chu Qiao tidak menunggang bersama Wei Jing, namun setiap seorang dari mereka mendapat seekor kuda pertempuran. Anak gadis itu menunggang dengan sangat cekap dan berkeyakinan tinggi beberapa kuda di belakang Wei Jing, menggenggam erat busur silangnya yang kecil dengan mata yang tertumpu pada jejaka yang terikat di atas kuda di hapadannya, bersedia untuk melepaskan panahan jika sesuatu yang buruk terjadi. "Yan Xun, mari kita pergi."
Yan Xun mengecilkan mata, mengherotkan bibirnya ke satu arah, dan lantas melepaskan ketawa terbahak-bahak. Dia melonjak ke atas kudanya dengan malas, mengetuai orang-orang suruhannya di hadapan dan langsung tidak mengendahkan pihak musuh yang berada di sebelahnya. Chu Qiao mendahului kumpulan itu dan memancarkan sebuah aura yang ngeri dan dingin walaupun dengan badan yang kecil. Ke mana sahaja mereka bergerak, barisan tentera Zhen Huang akan berundur ke belakang kerana berasa gentar akan kehadirannya.
Pintu gerbang bandar berkeriang-keriut apabila dibuka. Obor api dinyalakan terang menyinari langit dan lantas membuatkan persekitaran kelihatan kemerahan. Petanda asap dari utara empayar tersebut terus mengeluarkan wasap hitam, pertempuran tersebut telah mengorbankan banyak nyawa rakyat Xia dan darah telah membanjiri setiap inci permukaan bumi di Penara Yan Bei. Namun di tengah-tengah bandar Zhen Huang pada masa ini, budak lelaki yang telah dinamakan sebagai ketua pemberontak, waris kepada Raja Yan, Yan Xun, sedang bergerak keluar dari Bandar Zheng Huang tanpa sebarang tentangan. Pasukan Tentera Maharaja elit Xia hanya mampu terlopong dan melihat putera muda ini bergerak keluar, tidak mampu untuk mengubah nasib mereka.
Hujung bibir Zhuge Huai menggerenyet ke atas dan lantas membentuk sebuah senyuman yang samar-samar kelihatan.
Ia tidak penting bagi keluarga Zhuge sama ada Yan Xun berjaya sampai ke utara atau tidak, apa yang penting bagi mereka ialah kegagalan keluarga Wei yang telah diperintahkan oleh Istana Sheng Jin untuk menghalang kepulangan Yan Xun.
'Tak ada berita yang lebih menyenangkan hati dari hal ini', Zhuge Huai berkata sendirian dan lantas mengarah pengawal yang berada di sisinya, "Bagitahu tuan muda keempat untuk pulang ke rumah sekarang. Aku ada hal untuk dibincangkan dengan dia."
Pengawal tersebut lantas menunduk hormat dan melangkah ke hadapan. "Tuan muda keempat dah tinggalkan bandar ini."
"Apa?" Zhuge Huai terpana. "Tinggalkan bandar?"
"Beliau baru saja keluar melalui pintu gerbang utara. Beliau kata beliau akan menangkap hamba dari kediaman yang dah melarikan diri."
"Hamba yang melarikan diri?" Zhuge Huai memasamkan mukanya. "Hamba mana yang dia sanggup kejar sendiri itu?"
"Saya tak pasti. Saya akan pergi siasat sekarang."
"Aku harap dia tak memburukkan keadaan," gumam Zhuge Huai sementara dia mendongakkan kepalanya dan merenung langit malam yang gelap gelita.
Sejam selepas itu, di atas laluan yang terlindung dari penglihatan orang ramai, Yan Xun mengarahkan supaya Wei Jing dilepaskan dari ikatannya. "Sebab aku dah setuju untuk lepaskan kau, kau boleh harap yang aku ni bukan orang yang jenis duduk berkisar, tegak berpaling. Kau boleh balik sekarang," dia berkata dengan penuh dingin.
Wei Jing merenung Yan Xun dan Chu Qiao yang berada di belakang putera muda itu dengan penuh kebencian untuk kali terakhir dan terus berpaling dan beredar untuk menuju ke arah Bandar Zhen Huang.
"Kau tak patut lepaskan dia," kata Chu Qiao dari belakang Yan Xun, suaranya dingin bagaikan ais. "Kau tak nampak ke cara dia melihat kita? Biarkan dia hidup maksudnya lebih banyak masalah pada masa akan datang."
Melihat bayang Wei Jing yang semakin mengecil, Yan Xun menggelengkan kepalanya dan menerangkan, "Bunuh dia maksudnya Yan Bei sememangnya dah melakukan pengkhianatan. Aku masih tak tahu apa yang berlaku di rumah halaman aku, jadi aku tak mahu ambil sebarang risiko." Dia memusingkan badannya. "Apa yang kau nak buat sekarang? Keluarga Zhuge pasti tak akan lepaskan kau macam tu saja. Mari ikut aku pergi ke utara."
Chu Qiao meraihkan dagunya dan tertawa kecil, "Terima kasih untuk tawaran itu, tapi aku masih ada banyak perkara untuk dilakukan."
Yan Xun memasamkan wajah. Dengan suara yang dalam dia berkata, "Perkara apa yang seorang anak kecil perlu lakukan?"
Chu Qiao mengangkat keningnya tinggi ke arah Yan Xun, "Lepas kenal aku sebegini lama, bahagian mana dalam diri aku yang nampak seperti seorang budak kecil?"
Terlopong, Yan Xun cuba untuk mencari ayat yang sesuai untuk memberi justifikasi kepada pernyataannya sebelum itu. Jika dipertimbangkan, gadis kecil ini langsung tidak kelihatan seperti seorang kanak-kanak. Putera Yan mencantumkan keningnya dan berfikir sejenak, dan lantas menarik lengan Chu Qiao akibat kejengkelan. "Kau nampak seperti seorang budak-budak pada aku. Tengoklah tangan kau, lengan kau yang kecil, kaki yang kecil, kepala yang kecil, dan tubuh yang kecil. Terang-terang kau ni cuma seorang budak, tak kira sekejam mana kau jadi, kau masih seorang budak," dia berkata dengan degil.
Chu Qiao melibas-libas lengannya dari tangan Yan Xun dan menggumam sendirian, "Pengacau betul."
"Hey!" Yan Xun melangkah ke hadapan, menghalang laluan Chu Qiao, "Kau betul-betul nak pergi?"
"Aku kena pergi."
"Apa yang kau kena lakukan? Tak boleh ke aku suruh orang suruhan aku yang lakukan untuk kau?" Putera Yan itu bertanya lantang, terasa terhina dek penolakan Chu Qiao.
Chu Qiao memusingkan badannya dan merenung mata jejaka itu yang jernih dan lantas membalas dengan serius, "Yan Xun, dari awal lagi aku kata kita bukan dari latar belakang yang sama. Aku rasa sudah tiba masanya untuk kita mengambil haluan yang berbeza."
Yan Xun duduk terdiam di atas kudanya.
"Sebab aku kenal kau, aku boleh cakap ini: susah kita nak jangka apa yang akan terjadi pada masa depan. Jaga diri baik-baik," kata Chu Qiao dengan nada yang matang. Kemudian, dia memacu kudanya ke belakang dan melibas cemetinya semasa beredar.
Tanpa cahaya bulan mahupun bintang, gadis kecil itu dan kudanya hilang dari pandangan. Yan Xun tersedar dari panaan dan bergerak ke hadapan, namun tiada jayanya. Terduduk di atas kuda, dia lantas berlaung ke arah gadis kecil yang semakin menghilang di sebalik salji tebal itu, "Hey! Cari aku di Yan Bei kalau kau perlukan aku!" Suaranya bergema kuat pada malam bersalji tebal itu. Malam tersebut masih belum menutup tirainya, dengan keadaan yang gelap gelita dan sejuk membeku.
Di dalam kegelapan di luar Bandar Zhen Huang, sebuah bayang-bayang hitam kecil meluru pantas di sepanjang jalan pengembara di seberang pintu gerbang timur. Baju perisai kulit yang besar melindungi muka dan badannya, dengan sebuah karung diperbuat daripada kulit mink terhenyak di belakang badan, bonjolannya mempamerkan keberatan kalung tersebut.
Ribut salji semakin mengganas dan tiupan angin yang kencang tidak membenarkan sesiapa sahaja untuk terus membuka mata mereka. Para jejaka bertarung untuk melangkah ke hadapan namun tiada sesiapa yang berhenti seolah-olah mereka sedang dikejar binatang buas.
Telapuk kaki kuda kedengaran secara tiba-tiba di tengah angin bersalji kencang itu. Di tanah kejauhan, seekor kuda pertempuran berwarna hitam sedang menderap laju dan anak kecil di atasnya berbadan kecil, tidak lebih dari tujuh atau lapan tahun, dan sedang memakai pakaian perisai pengawal Yan. Anak matanya yang hitam mengesan persekitaran di bawah langit menghitam bagaikan seekor helang dan dengan pantas menjumpai seorang pengembara di hadapannya dan terus meluru ke arah pengembara tersebut dengan gembira.
"Xiao Ba!" tangis Chu Qiao. Angin semakin kencang dan lantas membenam suaranya di dalam salji. Pengembara tersebut kelihatan seperti dia langsung tidak sedar akan hal kehadiran Chu Qiao dan meneruskan perjalanannya, dengan kepala yang tertunduk. Chu Qiao mara ke hadapan dan meluru ke arah pengembara tersebut dan berhenti betul-betul di hadapannya. Mengerutkan wajahnya, Chu Qiao bertanya dengan nada rendah, "Xiao Ba?"
"Hehe," suatu suara rendah dan garau membalas Chu Qiao dan dia terus mengangkat wajahnya. Mukanya berkedut dan langsung tidak menunjukkan wajah seorang kanak-kanak. Dia merupakan seorang kerdil pertengahan umur dalam kalangan empat puluh tahun!
Sebuah bolt dilemparkan dari lengan baju lelaki kerdil itu terus ke arah muka Chu Qiao, hujungnya tajam dan bersinar membeku. Terperanjat, Chu Qiao mengaduh kesakitan dan lantas dia terjatuh dari kudanya.
Sebuah ketawa garau kedengaran ngeri pada tengah malam yang membeku. Lelaki kerdil itu dengan pantas mencampakkan karung di belakangnya ke tepi dan melangkah ke hadapan dengan perlahan, selangkah demi selangkah mara ke arah gadis kecil tersebut. Hanya setelah melihat Chu Qiao yang terkulai bak mayat itu barulah dia bertinggung untuk memeriksa pernafasannya.
"Tuan mesti berasa berang kerana telah menghantarku untuk mendapatkan anak kecil ini dengan sangat mudah." ejek lelaki kerdil itu dan lantas menerbalikkan badan Chu Qiao yang terbaring di atas tanah. Namun pada masa yang sama, badan lemah milik anak gadis ini tersentak dan dengan pantas Chu Qiao terduduk. Matanya bersinar bagaikan bintang di langit dan gerak-gerinya pantas dan tegas. Dalam sekelip mata, anak kecil yang tadinya berada di dalam genggaman lelaki kerdil itu kini telah bertukar situasi. Tanpa belas kasihan Chu Qiao menikam pisau belatinya yang membeku ke dalam leher lelaki kerdil itu dan lantas meludah bolt yang terpelanting keluar dari lengan baju lelaki itu ke tanah.