"Apa yang kau akan buat kalau aku tak datang balik? Tak kenang budi betullah!" Yan Xun mencebikkan bibirnya dan menyambung, "Pegang dengan kuat!" Menghabiskan ayatnya, dia melibas belakang kuda itu dan dengan ringkikan, kuda itu terus melonjak tinggi ke udara di atas kepala setiap orang!
"Yan Xun!" tengking Zhuge Yue. Dia memperbetulkan jubahnya dan berteriak, "Beraninya kau masuk campur dalam urusan aku!"
Kuda pertempuran di Yan Bei boleh dikatakan sebagai kuda baka terbaik di dunia; tiada sesiapa yang dapat menghalang mereka di kawasan lapang ini. Yan Xun, bersama Chu Qiao di belakangnya itu pantas memacu kudanya untuk berpusing dan melepaskan ketawa yang besar. "Baiknya hati kau, Tuan Muda Keempat Zhuge. Aku akan pulang ke utara, kau tak perlu lihat pemergian aku lagi. Selamat tinggal, jumpa lagi!" Setelah ayatnya habis diuturkan, dia mendahului pahlawan-pahlawan Yan Bei dan beredar dari medan pertempuran.
"Tuan Muda!" teriak Zhu Cheng dengan penuh terkejut, dan melihat Zhuge Yue yang sedang mengalami kecederaan parah itu menyeringai dengan penuh berang. Dia melontarkan kain balutan di lehernya itu ke tanah, dan melonjak naik ke atas kudanya dengan muka yang marah. Setelah melibas belakang kuda itu untuk beberapa kali, kudanya menderap laju mengekori pihak Yan Xun.
"Cepat! Cepat, ikut Tuan Muda!"
Angin malam yang bertiup kencang telah membuatkan salji lebih menebal. Yan Xun dan Chu Qiao sedang menunggang di atas kuda yang sama, melintasi kawasan lapang dan tandus itu.
"Gadis, jom pulang ke Yan Bei dengan aku!"
"Tak mahu!"
"Tak mahu itu bukan satu jawapan." Jejaka muda itu tertawa. "Mari kita lihat ke mana kamu boleh lari selepas ini."
Bunyi sekumpulan besar telapuk kuda yang kuat itu telah mengganggu ketenteraman dan keheningan kawasan lapang itu. Lebih banyak telapuk kaki kuda yang boleh didengari dari belakang semasa angin meniup kencang ke seluruh kawasan, seperti bunyi kilat yang sabung-menyabung. Chu Qiao menggenggam lengan Yan Xun dengan cemas lalu melaungkan, "Orang gila, ada orang yang sedang mengejar kau dari belakang?"
Yan Xun membalas dengan ketawa yang acuh tak acuh dan lalu membalas, "Tak mengapa. Yan Bei besar dan ada banyak sumber, jadi tak ada masalah kalau Puak Wei nak ikut kita pergi ke sana."
Chu Qiao mengerutkan dahinya rapat. Sekali-sekala dia akan menjenguk ke belakang untuk melihat pihak lawan yang semakin mendekati mereka, mengetahui mereka sedang dikejar oleh ramai pihak dan lantas dia mengetap bibirnya dan menghamun Yan Xun sambil memeriksa sekelilingnya, "Kau dah gila ya? Kau tahu yang orang sedang mencari kau untuk bunuh kau? Kenapa kau masih datang balik?"
Yan Xun meraih keningnya sedikit dan mengulangi ayat yang sama, "Apa yang kau akan lakukan kalau aku tak datang balik?" Air mata Chu Qiao mula berlinangan di mata. Dia lantas mendongakkan kepalanya dan merenung dagu Yan Xun. Pemuda itu masih hanyalah seorang kanak-kanak; dagunya masih belum ditumbuhi sehelai janggut pun. Dia seorang aristokrat yang tidak tahu batasan yang tidak sepatutnya dilintasi, tidak sedar akan bahaya yang ada di luar sana.
Melihat Chu Qiao yang terpana, Yan Xun lantas ketawa besar dan bertanya, "Apa yang terjadi? Kau terharu sangat sampai kau nak bertunang dengan aku ke? Tak perlu fikir macam itu, kau masih terlalu muda. Kita tak tahu bagaimana rupa kau bila besar nanti. Macam inilah, kau ikut aku dulu, dan kita akan tengok bagaimana nanti."
"Pembelot daripada Yan Bei! Turun dari kuda sekarang dan serah diri!" Satu suara lantang tiba-tiba kedengaran datang dari belakang. Yan Xun terus membeku dan berkata dengan terdesak, "Hey, nampaknya kita dalam masalah lagi." Lalu dia melibas cemetinya ke belakang kuda supaya ia meningkatkan tahap derapannya.
Perisai hitam yang sedang dipakainya memberikan aura yang sangat menakutkan pada malam yang hening itu. Bunyi derapan telapuk kaki kuda semakin kuat setiap saat, sekaligus mengebur salji di tanah dan membuatkan ia kelihatan seolah-olah runtuhan salji telah berlaku dengan tanah yang bergegar bagaikan seekor binatang gergasi telah bangun dari tidur yang panjang dan ingin membelah tanah.
"Pegang dengan kuat!" Raut wajah jejaka itu terus bertukar menjadi batu dan serius. Dahinya dikerutkan dan Yan Xun menggenggam tali kekang dengan kuat dan dengan satu laungan, kuda pertempuran itu meringkik dengan lantang. Ia mengangkat kedua telapuk hadapannya ke udara dan mula menderap dengan lebih laju. Angin bertiup laju menghembus ke muka kedua anak kecil ini dan lantas meninggalkan pihak musuh di belakang.
"Haha!" Pasukan tentera Yan Bei melepaskan ketawa besar bersama-sama setelah menoleh ke belakang dan melihat muka pasukan tentera Wei yang terpinga-pinga.
Feng Mian, perantis kecil itu tertawa dan menambah, "Tuan Putera, kita patut tunjuk kepada mereka kehebatan kuda pertempuran Yan Bei."
Yan Xun ketawa mendengar kata Feng Mian lalu membalas, "Boleh. Mari kita kagumkan mereka." Setelah mendengar kata putera muda itu, pasukan tentera Yan Bei semuanya terus menggenggam tali kekang kuda mereka, meletakkan satu jari ke bibir mereka dan mengeluarkan satu bunyi siulan yang memekikkan telinga. Di tengah-tengah kekeliruan pasukan tentera lawan, kuda pertempuran milik pasukan tentera Yan Xun tiba-tiba mengangkat kedua telapuk kuda dengan surai mereka yang terpacak tinggi, lantas mengeluarkan ringkikan yang kuat yang tidak jauh dari bunyi seekor singa. Bunyi itu bergaung pada malam yang sunyi sepi, mempamerkan kekuatan kuda-kuda tersebut dan sikap mereka yang suka mendominasi. Ia sangatlah menakjubkan.
Kuda pertempuran milik pasukan tentera maharaja Zhen Huang mengeluarkan ringkikan tangisan keperitan, lutut kaki mereka menjadi lemah dan lantas terjatuh ke atas tanah. Tiada libasan cemeti daripada para jeneral yang dapat mengarahkan kuda-kuda itu supaya bangkit kembali.
Chu Qiao berasa tertarik.
Feng Mian tertawa dan lantas menjelaskan, "Di Yan Bei, kami mendapatkan kuda kami dengan membiak baka kacukan antara kuda terbaik dari Pergunungan Tian Mu dan juga serigala liar. Mereka tersangatlah pantas dan juga dapat memanggil kumpulan serigala untuk pertolongan dalam pertempuran. Kuda-kuda di Zhen Huang ini belum pernah berada dalam medan pertempuran pun; jadi sudah tentulah mereka akan meromok dengan ketakutan lepas mendengar bunyi kuda kami. Mustahil bagi mereka untuk mengejar kita."
Pasukan tentera Yan Bei ketawa secara serentak sekali lagi. Hujung jubah yang dipakai Yan Xun berkibaran di udara, berada di atas kudanya dan lantas memberikan arahan, "Jom! Balik ke Yan Bei!"
Para tentera itu ketawa besar dan melaungkan bersama, "Balik ke Yan Bei!" Bunyi derum-deram dari telapuk kaki kuda itu kedengaran kuat menghempas salji di tanah. Di dalam kepekatan malam itu, pasukan tentera Yan Bei melibas cemeti kuda mereka dan lantas beredar dari bandar itu kelihatan megah.
Namun, pada masa itu juga, Chu Qiao dapat merasakan bahaya akan datang menimpa mereka. Loceng perasaan waspada yang telah dilatih bertahun-tahun lamanya semasa dia bekerja dalam bidang yang berbahaya itu telah berbunyi di dalam kepalanya. Sebelum anak kecil itu dapat mencari punca kepada perasaan ini yang datang secara tiba-tiba, satu bunyi swoosh menembusi kegelapan dan bersiul kuat ke arah kumpulannya dengan satu aura yang mengerikan.
Dalam beberapa saat, sebelum Chu Qiao dapat menentukan perkara yang terbaik untuk dilakukan, gadis kecil itu melepaskan tumbukan yang kuat ke perut Yan Xun, lantas putera muda itu tertunduk sakit sambil mengerutkan mukanya. Sebelum Yan Xun dapat menengking Chu Qiao yang tidak kenang budi itu, sebatang anak panah telah tertusuk di bahu kirinya, mata anak panah terkeluar dari belakang badannya. Kelajuan anak panah itu telah menyebabkan darah yang banyak melimpah-ruah dari bahunya, sekaligus menjatuhkannya dari kuda ke atas tanah bersalji!
"Yan Xun!" teriak Chu Qiao dan lantas menarik tali kekang kuda supaya ia dapat berhenti, namun ia langsung tidak menghiraukan arahan gadis kecil itu lalu terus meluru ke hadapan. Chu Qiao berasa cemas dan lantas melonjak turun dari kuda tersebut, membuat balik kuang ke hadapan dan mendarat ke atas tanah dengan selamat. "Yan Xun!" Chu Qiao memegang bahu putera muda itu dan bertanya, "Kau tak apa-apa ke?"
Jejaka itu mengerutkan mukanya, anak matanya dingin. "Aku baik saja, aku takkan mati."
Sebatang lagi anak panah sedang meluru ke arah kedua anak kecil ini dengan bunyi swoosh. Chu Qiao yang telah mengenal pasti bahawa arah anak panah datang dari lokasi yang berlainan, meraih pedangnya untuk mengibas panahan tersebut. Kelajuan anak panah telah mencetuskan percikan api apabila mata anak panah bertemu dengan pedang Chu Qiao, menyinari malam yang gelap-gelita.
"Jatuhkan senjata kalian!" Banyak suara perlahan bergema serentak. Lebih dari seribu tentera muncul dari tanah bersalji. Mereka semua sedang memakai pakaian serba putih, menyamar di dalam salji. Patutlah tiada seekor kuda pertempuran pun yang menyedari kehadiran mereka semasa mereka menderap di sini. Banyak pedang yang sedang ditujukan kepada mereka, membuatkan ia mustahil untuk melepaskan diri.
Bunyi pedang sabung-menyabung kuat kedengaran tidak jauh dari mereka. Ia kelihatan seperti pasukan tentera Yan Bei tidak dapat melepaskan diri kali ini, pasukan tentera maharaja telah mengepung mereka dari semua arah.
Seorang jejaka memakai pakaian serba hitam muncul dari kalangan tentera. Jubah yang dipakai di sebalik jaketnya itu mempunyai naga emas yang telah disulamkan di atasnya. Kuku naga tersebut yang tajam dapat dilihat di kolar lehernya dan kelihatan sangat mengerikan dan juga menakjubkan di bawah cahaya obor api yang terang.
Zhao Che separa melayukan matanya dan mengejek, "Aku tahu yang keluarga Wei tak boleh diharap."
Berbilah-bilah pedang tajam sedang ditujukan ke arah leher kedua orang anak kecil ini. Pedang tersebut mempunyai logo bunga berwarna emas keunguan yang terukir di atasnya, sebuah simbol unik milik Istana Sheng Jin. Ini bermakna bahawa mereka merupakan tentera maharaja. Zhao Che, putera maharaja ketujuh, merenung ke dalam mata Yan Xun dan kemudian memeriksa Chu Qiao, lalu memberi perintah, "Bawa mereka balik."
"Tuanku Maharaja Ketujuh." Seorang pengawal tentera melangkah ke hadapan, dan lantas mengerling ke arah pasukan tentera Yan Bei yang masih bertempur di dalam medan pertempuran. "Bagaimana dengan yang lain?"
Zhao Che meraih keningnya dan lantas mendengus, "Mereka sudah melanggar arahan maharaja dan mengkhianat negara mereka sendiri. Buat apa nak biarkan mereka hidup?"
Askar tersebut yang mengerti akan maksud Zhao Che lantas melaung kuat, "Bunuh mereka semua!" Bunyi sorakan tanda faham dari pihak tentera maharaja kedengaran dari kejauhan. Dalam sekelip mata, satu gelombang anak panah telah melayang di udara dan meluru ke arah pasukan tentera Yan Bei. Beberapa minit sebelum ini, mereka bergelak ketawa dengan penuh keyakinan yang mereka akan melepaskan diri. Namun, mereka kini bergelempangan terkulai tidak bernyawa di atas tanah.
Chu Qiao berasa berang. Mendengar Feng Mian yang menyumpah seranah di sisinya, dia menggenggam tangannya sekuat hati dan merenung dingin Zhao Che yang sedang terduduk megah di atas kuda. Pada masa ini, pasukan tentera maharaja dari Istana Sheng Jin sedang maju ke arah mereka, gadis kecil ini bergelut sebentar dan lantas mendapat perhatian putera maharaja tersebut.
Zhao Che meneliti gerak-geri Chu Qiao dan mengerutkan mukanya sedikit. Gadis kecil ini kelihatan seperti pernah dilihat, namun tidak pasti di mana dia pernah bertemunya sebelum ini. "Bunuh semua orang yang tak penting," kata dia.
"Jangan berani!" Yan Xun meluru ke hadapan, menggenggam Chu Qiao erat di dalam pelukannya dan lantas merenung mata pemuda ini dengan penuh berani.
Zhao Che membeku; kemarahannya kini bertukar menjadi ketawa dan lantas menempelak, "Kau memang tak tahu batasan. Sekarang ni, kau masih fikir yang kau ini Putera Yan Bei ke?"
Yan Xun menyatakan dengan penuh dingin, "Zhao Che, kalau kau berani buat ini, aku akan pastikan yang kau akan menyesal nanti."
Zhao Che mengedutkan dahinya dan lantas mengejek, "Aku pun nak tahu bagaimana kau, binatang di dalam sangkar, akan buat aku menyesal. Lakukannya!"
Pasukan tentera elit dari kedua-dua arah meraih pedang mereka dan melangkah ke hadapan, dan Yan Xun mengeluarkan pisau belatinya dan mengangkat ke dada Zhao Che. Anak matanya membeku dan jelas terpancar kesungguhannya.
"Berhenti!" Zhao Che terperanjat dan memasamkan mukanya dengan terkejut. Matanya sekali lagi memerhati anak kecil itu dari kepala ke kaki sebelum dia berkata, "Yan Xun, aku akan jaga maruah kau pada masa ini. Bawa mereka balik!" Senjata mereka telah dirampas, dan kedua-dua anak kecil ini ditempatkan di dalam gerabak penjara yang telah disediakan dari awal lagi.
Pemuda itu memeluk Chu Qiao dengan erat dan gadis kecil itu merehatkan kepalanya di atas dada Yan Xun. Darah masih lagi mengalir dari bahu kiri Yan Xun dan terus ke dadanya, bercampur dengan baju yang dipakai pemuda itu.
"Yan Xun," Chu Qiao berbisik, "Kau tak apa-apa?"
"Gadis, aku sudah babitkan kau."
Chu Qiao berasa sedih, dan lantas dia menggelengkan kepalanya, membalas, "Jangan cakap macam itu. Kita akan…"
"Jangan risau!" Yan Xun tiba-tiba mencelah percakapan Chu Qiao dan berkata dengan penuh yakin, "Aku akan lindungi kau."
Badan Chu Qiao mengeras setelah mendengar ayat Yan Xun. Tidak lama sebelum itu, di dalam pondok kayu api yang usang, seseorang telah memberikan janji yang sama dengan nada yang sama.
"Yue Er, jangan takut. Abang akan lindungi kamu."
Angin bersiul lalu, kesejukan malam tersebut boleh membekukan darah sesiapa pun. Yan Xun telah kehilangan darah yang banyak; badannya beku dan dia menggigil tanpa henti. Chu Qiao mendepangkan lengannya dan memeluk putera muda itu dengan erat. Dia menjenguk ke kiri dan ternampak sebuah bukit yang kecil tidak jauh dari mereka. Awan hitam di langit telah hilang, memberi laluan kepada cahaya bulan untuk menerangi tanah bandar itu. Seorang lelaki muda sedang terduduk di atas kuda pertempurannya, dengan busur silang yang berada dalam genggaman yang ditujukan ke arahnya. Kecederaan pada bahu Yan Xun telah disebabkan olehnya.
Walaupun mereka telah dipisahkan dengan jarak yang jauh, Chu Qiao masih boleh mengenal pasti muka dan kening lelaki tersebut. Badan Yan Xun yang semakin menyejuk itu berada di dalam dakapan Chu Qiao, dan gadis kecil itu lantas mengetap bibirnya dan menggenggam tapak tangannya dengan ketat di belakang badan pemuda ini.