Chapter 31 - Bab 31

Malam tersebut kelihatan sangat memukau. Awan berkepul-kepul yang menebal sebentar tadi telah hilang dan cahaya bulan kini terang menyinari tanah. Zhuge Yue meletakkan busur silangnya ke bawah dengan perlahan, dan berdiri dengan lama untuk melihat gerabak penjara dari Istana Sheng Jin itu bergerak jauh dan lebih jauh.

Malam yang panjang ini akhirnya akan melabuhkan tirainya.

Matahari kini menjelma. Cahaya matahari menyinari bilik menerusi tingkap yang tinggi, mendedahkan habuk-habuk yang berterbangan di udara. Bunyi ciut dapat didengari di latar belakang, seseorang yang tidak memberi perhatian pasti akan berkata bunyi itu telah datang dari tikus yang berjalan di atas rumput.

Chu Qiao bersandar pada dinding dan cuba untuk melelapkan matanya. Namun, di belakangnya, tangan gadis kecil itu bergerak sedikit demi sedikit, menggunakan batu untuk menipiskan dinding.

Matahari terbit dan terbenam dengan pantas, bunyi yang datang dari luar perlahan-lahan semakin menipis, dan tidak lama kemudian bandar itu diselubungi malam yang gelap. Warden penjara membuat rondaan sekitar kawasan itu sebanyak dua kali sebelum menguap dan lena tertidur. Ketika malam sudah lewat dan bulan sedang terpacak tinggi di atas langit, sebuah batu-bata yang besar tiba-tiba terhempas di atas tanah dengan satu dentuman perlahan.

"Yan Xun…" satu suara yang lemah kedengaran perlahan, namun di dalam sel penjara yang sepi itu, suara tersebut tertusuk ke dalam halwa telinga.

Chu Qiao berpaling dan melihat sel penjara yang berada di sebelahnya dan terlihat seorang pemuda berpakaian serba putih yang sedang bersandar pada dinding yang berlawanan darinya. Kakinya dilunjurkan sambil dia terduduk di atas rumput yang kotor dan layu, matanya tertutup rapat seperti dia sedang berada di alam mimpi.

"Yan Xun," Chu Qiao berbisik dengan waspada.

Bulu mata pemuda itu bergerak sedikit, dan lantas dia membuka matanya dan meneliti keadaan sekeliling. Dia lantas melihat sepasang mata jernih milik Chu Qiao yang berada di hadapannya. Diselubungi dengan perasaan gembira, dia merangkak ke arah lubang yang telah dibuat oleh Chu Qiao dan berkata, "Gadis, pandailah kau ini."

"Bodoh!" desis Chu Qiao, "Perlahankan suara kau kalau-kalau ada orang yang mendengar."

"Oh," Yan Xun memimikkan gerak-geri Chu Qiao dan mengesan sekelilingnya. Dia lantas berpusing dan tertawa kecil, mempamerkan sebaris gigi yang putih. "Gadis, jangan takut. Ayah aku akan menghantar orang-orang suruhan dia untuk menyelamatkan kita. Mereka takkan berani buat apa-apa kepada kita."

"Mmm." Tanpa membalas, Chu Qiao hanya mengangguk suram.

Yan Xun mengerutkan dahinya. "Hey, kau tak percaya aku ke?"

"Aku tak berani pun." Chu Qiao mencebikkan bibir. "Ayah kau akan selamatkan kau. Aku tiada ahli keluarga yang boleh buat macam itu."

Yan Xun ketawa lagi. Matanya bersinar bagaikan bintang di langit. "Jangan risau. Aku takkan tinggalkan kau. Kau boleh ikut aku pada masa depan, aku akan lindungi kau,"

Sebuah perasaan yang hangat menyelubungi dirinya, dan gadis kecil berumur lapan tahun itu ketawa dan tersenyum lebar sambil mengangguk-angguk. "Kau kena belanja aku makanan yang sedap bila kita keluar nanti. Aku kebuluran."

"Tak ada masalah," janji Yan Xun. "Kau boleh makan apa saja yang kau hendak. Aku akan tunaikan segala permintaan kau."

Tanpa disedari, salji tebal sedang meliputi bumi di luar dan salju ditiup masuk ke dalam sel penjara melalui tingkap yang tinggi di atas, bersama-sama angin membeku. Semasa Chu Qiao ingin mengatakan sesuatu, bibirnya menggigil dan dia lantas menggeletar di seluruh badan. Yan Xun yang melihat Chu Qiao sedang kesejukan itu melekapkan mukanya pada lubang di dinding, dan mula berasa cemas apabila melihat pakaian nipis yang sedang dipakai oleh Chu Qiao, muka gadis kecil itu memucat dan bibirnya mula bertukar ungu akibat kesejukan malam.

"Kau sejuk ke?"

"Aku baik-baik saja."

"Baju yang kau pakai nipis sangat. Kau mesti sejuk sangat sekarang ini." Yan Xun tiba-tiba berdiri dan mula untuk menanggalkan sehelai mantel yang sedang dipakainya, lantas bertinggung dan cuba untuk memuatkan mantel tersebut ke dalam lubang di dinding. Namun, mantel tersebut terlalu tebal; sehinggakan lengan mantel itu pun terlalu besar bagi lubang tersebut. Chu Qiao menolak kembali mantel ke arah Yan Xun dan berkata, "Hentikan. Kita akan berada dalam masalah kalau mereka dapat tahu."

"Jadi kenapa kalau mereka dapat tahu?" Yan Xun mendesis dan lantas menyambung, "Tunggu saja bila aku keluar dari sini. Aku takkan melepaskan mereka begitu saja."

"Simpan ayat kau itu sampai kita benar-benar dah keluar dengan selamat." balas Chu Qiao dengan penuh sindiran sambil merenung Yan Xun dengan hina.

Yan Xun mendesis lantas membantah, "Tunggu saja dan lihat."

Sel penjara tersebut bertambah sejuk pada setiap minit, Yan Xun yang risau akan keadaan Chu Qiao itu bersandar pada dinding berlubang tersebut dan tiba-tiba berkata, "Gadis, hulurkan tangan kau."

"Oh?" Chu Qiao terpana. "Apa?"

"Tangan kau." Yan Xun berkata sekali lagi, sambil membuat satu gerakan. "Hulurkan tangan kau."

Chu Qiao mengerutkan dahinya. "Apa yang kau hendak lakukan?"

"Jangan banyak tanya," omel Yan Xun dengan tidak sabar. "Lakukan saja apa yang aku suruh kau lakukan."

Chu Qiao lantas menggumam sendirian sebelum menghulurkan lengan kurusnya yang kini kelihatan sangat pucat dek kesejukan yang membeku, dan meletakkannya ke dalam lubang kecil pada dinding dan cuba mencapai udara halus. Dia bertanya lembut, "Apa yang kau cuba lakukan?" Lantas dia merasakan genggaman tangan seseorang pada telapak tangannya yang membeku, tangan lelaki tersebut lebih besar daripadanya. Pemuda itu menggenggam tangan Chu Qiao sambil menghembuskan nafas hangat ke atas telapak tangan gadis itu. Matanya bersinar terang, dan lantas bertanya sambil masih menghembuskan nafas, "Kau rasa lebih baik tak? Kau rasa lebih panas?"

Malam tersebut sangat menakjubkan; cahaya bulan yang pucat terasa sejuk seperti salju, dan salju di luar bertambah tebal berserta beberapa butir salju yang melayang ke dalam sel penjara melalui tingkap yang tinggi di atas, mengotorkan lantai. Gadis kecil yang sedang bersandar pada dinding sel itu terpana seketika; matanya bergelinangan dengan air mata, dan lantas mengangguk tanpa henti, namun tersedar yang pemuda yang berada di sel bersebelahan dengannya itu tidak dapat menyaksikan gerakan kepalanya dan lantas dia membalas dengan satu nada yang agak sengau, "Mmm."

"Haha," ketawa Yan Xun. Dia bertanya, "Gadis, siapa nama kau? Aku dengar yang tuan muda keempat daripada keluarga Zhuge itu panggil kau Xing Er. Itu nama sebenar kau ke?"

"Bukan," gadis kecil itu membalas dengan nada yang rendah. Suatu perasaan mesra yang menyelinap dari tangannya terus emnyelubungi setiap inci tubuh Chu Qiao dan lantas membuatkan perjalanan darahnya menjadi semakin lancar. Dia terus bersandar pada dinding sel dan menyambung lembut, "Nama aku Chu Qiao."

"Chu?" Yan Xun kebingungan. Tanpa disedari dia telah berhenti dari menghembuskan nafas hangatnya pada tangan Chu Qiao. "Bukan ke kau anak Pegawai Jing Yidian? Kenapa nama keluarga kau Chu?"

"Jangan tanya," Suara anak kecil itu rendah, namun keseriusannya terpancar jelas. "Yan Xun, tiada sesiapa yang tahu nama aku. Aku hanya bagitahu kau seorang saja buat masa ni dan aku harap kau ingat nama aku, tapi jangan sesekali bagitahu orang lain."

Yan Xun membeku, namun dia menyedari ini mungkin kerana keluarga tersebut mempunyai rahsia keluarga yang harus dipendam dari sesiapa pun. Dia tiba-tiba berasa gembira dan berpuas hati. Dalam memberitahu Yan Xun rahsia terbesar Chu Qiao, bukankah ia bermaksud yang gadis kecil ini sudah menganggap Yan Xun sebagai tempat mengadu? Dia pantas mendepangkan dada dan lantas menepuknya dan berjanji, "Mmm, jangan risau. Aku takkan bagitahu sesiapa walaupun aku mati."

"Bagaimana aku hendak panggil kau?" Pemuda itu mengerutkan dahinya. "Boleh aku panggil kau Xiao Qiao?"

"Tak boleh," Chu Qiao tiba-tiba teringat akan kecantikan Wu Timur semasa pemerintahan Tiga Negeri, yang juga dinamakan Xiao Qiao, dan pantas membantah, "Jangan panggil aku dengan nama itu."

"Kenapa?" Yan Xun bertanya dengan penuh sangsi, "Jadi boleh aku panggil kau Ah Chu?"

"Um…" Chu Qiao berfikir sejenak dan lantas mengangguk, "Baiklah, kau boleh panggil aku dengan nama itu."

Yan Xun melaung dengan penuh gembira, "Ah Chu!"

"Mmm."

"Ah Chu!"

"Aku boleh dengar kau."

"Ah Chu! Ah Chu!"

"Dah habis ke?"

"Ah Chu, Ah Chu, Ah Chu!"

"Ah Chu, tangan kau yang sebelah lagi."

Chu Qiao menuruti, mengambil kembali tangan yang telah dihangatkan, dan menghulurkan sebelah lagi tangannya. Yan Xun memegang lengan Chu Qiao dan menghembuskan dua helaan nafas hangat sebelum menyedari yang tangannya sendiri kini telah bertukar menjadi sejuk. Dengan pantas dia membuka butang teratas baju dan lantas mempamerkan dadanya sebelum meletakkan tangan kecil Chu Qiao ke dalam jubah.

"Alamak!" Chu Qiao berteriak, cuba untuk menarik kembali lengannya.

"Haha," ketawa Yan Xun tanpa melepaskan genggaman tangan gadis kecil itu. "Kau dapat tawaran yang bagus, aku pasti kau sedang tersenyum di dalam hati."

"Adab!" desis Chu Qiao. Tangan gadis kecil itu berehat pada dada pemuda itu. Pada malam yang sepi ini, Chu Qiao dapat merasakan degupan jantung Yan Xun yang berdegup kuat. Badan pemuda itu agak kurus namun dadanya tegap akibat latihan menunggang kuda dan juga latihan seni mempertahankan diri yang menjadi rutin harian Yan Xun.

Dia menggenggam tangan Chu Qiao dengan erat, sambil bersandar dan terduduk di atas lantas, lalu menyambung dengan lembut, "Ah Chu, lepas semua ini selesai, ikut aku balik ke Yan Bei. Aku akan cari seseorang untuk uruskan hal yang masih bermain di minda kau. Dunia ini kejam, ke mana kau akan pergi sebagai seorang budak kecil? Kau mungkin akan dibuli oleh orang-orang jahat. Walaupun kau nampak kejam, tapi kau masih belum bertemu dengan kekejaman yang sebenar, dan kalau kau jumpa mereka, tanpa aku di sisi kau, pasti kau akan kalah."

Chu Qiao bersandar pada dinding sel penjara dan rumput yang layu dan kering itu menjadi kerusinya. Salju berterbangan di hadapan, dan dia merenung jauh, namun hanya dinding sahaja yang berada di dalam penglihatannya. Ke manakah gadis ini akan pergi? Mungkin dia sendiri pun masih belum mengetahui jawapannya.

Yan Xun terus mengomel tanpa mendengar kata Chu Qiao. "Aku tak tahu kenapa, tapi aku ada satu keinginan untuk menolong kau. Pertama kali aku nampak kau di arena buruan, aku dapat rasakan gadis kecil ini seseorang yang menarik; sangat kecil tapi sangat ganas juga. Aku tak dapat hendak bunuh kau. Aku berada dalam ibu negara ini sudah bertahun-tahun lamanya, tapi itu kali pertama aku kalah kepada Zhao Che. Ia menjengkelkan aku setiap kali aku berfikir tentang perkara itu."

Bunyi gaungan dram bergema di dalam penjara, menandakan ia sejam sebelum tengah malam. Suara pemuda itu kedengaran suram dan dingin. "Ah Chu, Yan Bei tempat yang cantik. Konflik di sana sikit sangat. Datang ketika musim panas, rumput menghijau ada di merata-rata tempat. Aku, ayah aku, abang pertama dan juga abang ketiga selalu pergi memburu kuda liar di Dataran Huo Lei. Aku muda pada masa itu, dalam tujuh atau lapan tahun. Aku tak dapat menunggang kuda yang besar, jadi abang pertama aku selalu membenarkan aku untuk menunggang anak kuda-kuda liar yang mereka buru. Aku selalu memarahi dia sebab aku rasa dia selalu memandang rendah terhadap aku. Tapi, sekarang aku faham yang dia hanya bimbang kalau aku terjatuh dan mencederakan diri sendiri. Abang ketiga aku mempunyai baran yang teruk dan selalu mencari gaduh dengan aku, dan bila dia marah, dia akan mengangkat aku tinggi ke udara dan mengancam untuk menghempaskan aku ke tanah sehingga mati. Kakak kedua aku akan meluru ke arah kami dan melibas dia dengan cemeti. Kemudian, mereka berdua akan bergaduh. Walaupun abang ketiga aku kuat, tapi dia tiada tandingan jika melawan dengan kakak kedua aku. Aku memandang rendah terhadap dia pula pada ketika itu. Sekarang bila difikirkan balik, dia mungkin cuma tak mahu bertumbukan dengan dengan kakak kedua aku saja."

"Bila musim sejuk datang, Yan Bei mengalami salji yang lebat. Kita akan pergi ke Tanah Tinggi Shuo Bei, di sana ada banyak banjaran pergunungan yang tinggi-tinggi, dengan kolam air panas yang banyak. Ibu aku yang berasal daripada Empayar Tang tak dapat tahan udara sejuk di utara, dan bercampur pula dengan kesihatannya yang teruk, jadi dia akan menghabiskan separuh tahun di dalam istana di sebelah kolam air panas. Kami selalu ponteng sekolah tanpa memberitahu ayah untuk berjumpa dia. Siapa tahu yang bila kami sampai ke istana tu, ayah kami dah menunggu di sana?"

Di bawah sinaran bulan yang terang, raut wajah pemuda itu mempamerkan sebuah kemesraan yang Chu Qiao tidak pernah terlihat sebelum ini.

"Ah Chu, Yan Bei bukan macam ibu negara di mana keluarga-keluarga akan memaling tadah terhadap masing-masing; membuat perancangan sulit dan berkomplot tanpa henti demi kepentingan diri sendiri. Dalam ibu negara, kau boleh tengok tarian yang menjatuhkan maruah dan juga rakyat kebuluran di merata-rata tempat. Di Yan Bei, suasana huru-hara jarang sekali berlaku dan tiada seorang pun pelarian di sana, semua orang mempunyai makanan yang cukup dan hamba-hamba boleh memilih jalan hidup mereka sendiri. Ah Chu, ikut aku balik ke Yan Bei! Kehidupan kau akan jadi lebih baik di sana. Dengan aku di samping kau, tiada sesiapa yang akan membuli kau lagi. Tiada sesiapa yang akan menujukan mata anak busur kepada kau lagi. Aku akan bawa kau ke Dataran Huo Lei untuk memburu kuda liar, ke banjaran pergunungan untuk melawat ibu aku. Dia seorang yang sangat lemah-lembut. Kau pasti akan menyukai dia."

Udara di dalam sel penjara itu sepi, hanya diisi dengan suara pemuda itu yang sedang berceloteh. Anak kecil berpakaian nipis itu tiba-tiba berasa hangat di dalam dirinya, mendongakkan kepala dan membayangkan Yan Bei yang telah diungkapkan dengan jelas oleh Yan Xun. Dia dapat melihat padang yang menghijau, banjaran pergunungan yang bersalji putih, sekawanan kuda liar yang sedang menderap laju dan juga ketawa besar milik pemuda itu.